Isnin, 6 Mei 2013

Sifat-Sifat Tuhan Menurut Imam Juwaini rhm



Kes Imam Juwaini rhm (5H) dan Pengkelasan Sifat-sifat Tuhan Menurut Beliau.


Kerangka pengkelasan sifat-sifat Tuhan Imam Juwaini rhm berbeda sebagaimana yang kita faham. Maklum, kita belajar ilmu sifat-sifat Tuhan yang 13 dan 20. Iaitu yang disusun oleh mutakallimun terkemudian. Mutakallimun terdahulu seperti Imam Juwaini rhm dan Imam Asyaari (3H) membincangkan sifat-sifat Tuhan dalam kerangka lain daripada yang kita belajar.

Sekarang ana nak bandingkan kerangka kita dan kerangka beliau rhm. Kerana pada awalnya ana terhasil keliru disebabkan hal ini antaranya.

Menurut beliau rhm dalam kitab tawhid utama beliau Al-Irsyad, Sifat-sifat Tuhan itu hanya terbahagi kepada dua;

(1) Nafsiyyah.
(2) Maknawiyyah.

Takrif (1) ialah sifat yang wujud pada diri Tuhan tanpa 'illah. Ia berdiri sendiri pada zat Tuhan. Contohnya sifat wujud.
Takrif (2) ialah sifat pada diri Tuhan kerana wujud 'illah. Ia tidak berdiri sendiri pada zat Tuhan. Ia dikira sifat Tuhan kerana adanya 'illah yang wujud pada diri Tuhan. Contohnya sifat berilmu. Ia sifat maknawiyah kerana wujud 'illah pada zat Tuhan iaitu sifat ilmu.

Sifat dua puluh seperti kita faham, jika dimasukkan ke dalam kerangka Imam Juwaini rhm ini dengan melihat takrif-takrif tadi, maka yang termasuk dalam sifat (1) ialah sifat wujud (nafsi) dan tujuh sifat maani kerana sifat-sifat ini adalah wujudi dan yang termasuk dalam sifat (2) ialah tujuh sifat maknawiyah (yang menurut kerangka sifat 20). Dan sifat salbiyyah dalam sifat 20/13 tidak termasuk dalam diskusi sifat-sifat Tuhan bagi Imam Juwaini rhm.

----------------------------------------------------

Jika kita buka kitab-kitab besar ulama kalam terdahulu, kita tak akan jumpa pengkelasan sifat dua puluh atau tiga belas. Imam Asyaari rhm (3H) dan Imam Maturidi rhm (3H) sendiri tak buat pengkelasan ini. Tidak ada pada kurun ke-5 (Imam Juwaini rhm), kurun ke-6 (Imam Ghazali rhm), kurun ke 7 (Imam Fakhrudin al-Razi rhm, Imam Al-Amidi rhm), kurun ke-8 (Imam Al-Iji, Imam Taftazani) kurun ke-9 (Imam Jurjani rhm). Kandungan kitab-kitab para imam yang ana sebut sebermula Imam Juwaini rhm membincang sifat Tuhan lebih ke arah mempertahan ketuhanan daripada spekulasi failusuf. Qaul berkata pengkelasan sifat 20 dimulakan oleh Imam Nasafi rhm. Ana tak pasti kurun berapa.

Kelainan ini bukanlah percanggahan betul/salah tetapi ianya perkembangan dari asal (Imam Asyaari rhm) kepada bentuk yang kena dengan konteks dan cabaran zaman. Prinsip-prinsip yang sama. Laisa kamithlihi syaiun yang sama. Tanzih yang sama. Cuma bagi kita, harus kita faham sifat-sifat Tuhan secara ontologinya (wujudiyahnya) bukan menghafal tuli. Supaya kita mampu serasi dengan semua kerangka dan mampu pula melawan cabaran zaman. Pada 3H Imam Asyaari rhm berdepan cabaran muktazilah. Pada 6H dan 7H Imam Ghazali rhm dan Imam Fakhrudin rhm berdepan cabaran failusuf. Dan pada zaman kita, kita berdepan dengan cabaran sekularisme dan liberalisme. Kedua-duanya menggoyah pegangan pemikiran kita. Ia bersangkut dengan bab-bab dalam kitab kalam seperti af'al 'ibad, qadak qadar, sifat-sifat Tuhan sendiri. Soalnya, mengapa kita mengaji ilm kalam tetapi tak mampu berdepan dengan cabaran zaman seperti mana imam-imam tadi rhm. Isu pluralism agama/ kristianisasi/penggunaan kalimah Allah cthnya yang melibatkan prinsip paling asas dalam ilmu kalam. Fa taammal!

Jumaat, 3 Mei 2013

Ontologi/Wujudiyah SIfat-Sifat Tuhan Menurut Mutakallimun





Oleh kerana perbincangan ini melibatkan sifat maknawiyah maka kita akan guna :

(1) kerangka pengkelasan asyak (sesuatu-sesuatu) kepada empat bukan tiga kerana perbincangan ini melibatkan haal dan

(2) kerangka Imam Maturidi rhm (3H) kerana Imam Asyaari rhm (3H) menafikan sifat maknawiyah dan Allamah Pak Da Eil rhm (13 atau 14H) sendiri menurut jalan Maturidiyah.

Kita jelaskan dahulu berkenaan pengkelasan asyak kepada empat dari segi keadaan dan ketiadaannya;

(1) Wujud. Ada di dalam dan luar akal.

(2) 'Adam. Tiada di dalam dan luar akal.

(3) Amrun iktibari. Ada di dalam akal sahaja.

(4) Haal. Bukan wujud dan bukan 'adam. Ia tengah antara dua itu.

Sifat nafsi adalah diri Tuhan sendiri. Oleh itu ia masuk dalam kategori wujud. Ini satu qaul. Qaul lain kata ia masuk dalam kategori amrun iktibari. Qaul lain kata ia masuk dalam kategori haal.

Sifat maknawi masuk dalam kategori wujud. Ia bukan 'adam. Bukan amrun iktibari. Bukan haal. Ia maujud yang berdiri sendiri pada zat Tuhan. Ia memang ada sebagaimana adanya kita dan sebagaimana adanya Tuhan. Ia bukan zat Tuhan. Ia diceritakan sebagai "perkara tambahan pada zat Tuhan selain zat-Nya". Wujudnya berdiri sendiri pada zat Tuhan tanpa 'illah.

Sifat maknawiyah masuk dalam kategori haal. Ia bukan wujud. Ia bukan amrun iktibari. Ia bukan 'adam. Ia dikira 'wujud' kerana wujudnya 'illah. 'Illahnya ialah sifat maani. Oleh itulah 'wujud'nya secara haali bukan wujudi mutlak. Buat mudah faham, seseorang itu dikata berilmu (maknawiyyah) kerana dia mempunyai sifat ilmu (maani) pada dirinya. Seseorang yang tidak punyai sifat ilmu, orang-orang bodoh dan jahil umpamanya, tidak dikatakan berilmu.

Sifat salbiyyah masuk dalam kategori 'adam. Ia bukan wujud. Ia bukan haal. Ia bukan amrun iktibari. Secara hakikatnya ia tiada sama sekali.
 

Rujukan:

(1) Imam Juwaini rhm (5H). Kitab Al-Irsyad.

(2) Imam Baijuri rhm (11H). Kitab Tuhfatul Murid li Jauharah Tauhid.
(2) Ustaz Zaidi rhm. Dhobit dari kalam beliau. 
(3) Ustaz Aqli rhm. Risalah Fikriyyah Dalam Menghuraikan Jauharah Tauhid.
(4) Ustaz Amiruddin rhm. Santri Baba Khairul rhm dan Ustaz Sobri rhm.