Isnin, 6 Ogos 2012

Mendaftar Fakta




Membaca merupakan satu kemahiran dalam kegiatan ilmiah. Menulis pula merupakan satu kemahiran yang lain dalam kegiatan yang sama. Seorang  pembaca yang hebat berupaya mencerna teks yang berselirat dan makna yang samar tetapi belum tentu dia mampu mengarang. Mengarang teks ilmiah melibatkan kemahiran mendaftar fakta. “Mendaftar fakta” ini saya dapat daripada Rahman Shaari, seorang kritikus sastera. Dalam artikel di Sinar Harian tersebut, Rahman Shaari merujuk Anwar Ibrahim sebagai seorang pendaftar fakta yang hebat. Ini bermakna beliau seorang pengarang ilmiah yang hebat. Benar, umum maklum DS Anwar bukan saja seorang pengarang yang hebat dalam catatan-catatan pena, tetapi juga dalam pidato-pidato awam. 

Bagi seorang yang bersaksi memilih berjuang dalam medan ilmu, dia mestilah pandai menulis dan dengan itu mestilah menguasai kemahiran mendaftar fakta. Ini kerana, dalam kehidupan hari ini, fakta dan data sudah menjadi nilai dan etika dalam pandangan alam manusia moden. Ya, ia sudah bertukar menjadi sebuah retorika kepada masyarakat pada zaman yang dipanggil alaf teknologi maklumat.

Buktinya, kita dapat melihat pada waktu ini Faisal Tehrani mendapat perhatian besar dalam khalayak. Tak perlu diperkenal lagi siapa Faisal. Saya percaya, yang membuatkan orang melekat dengan novel-novelnya bukan semata isu syiah tetapi kerana ‘wacana merentas institusi’ dalam penulisan beliau. Novel terbaharu beliau Perempuan Nan Bercinta mendapat komen pelbagai di alam maya dan tak maya. Ungkapan Rahman Shaari, “mendaftar fakta”, saya kira sesuai untuk beliau. Faisal Tehrani, seorang pendaftar fakta yang hebat. Malah apabila kita menyentuh bidang penulisan sastera, mendaftar fakta berubah menjadi sebuah kemahiran yang lebih kompleks lagi. Penghasilan sebuah novel yang wujud fakta, bahkan fakta lebih diutama berbanding cerita, memerlukan kemahiran mandaftar fakta yang tinggi. Faisal bukan mengarang sebuah kertas kerja seminar, beliau mengarang novel. Untuk membaurkan fakta dalam plot (atau kausaliti) yang membina perjalanan kisah, adalah bukan kerja mudah yang menjadi keutamaan beliau selama ini.

Kamus Dewan mengtakrifkan ‘mendaftar’ seumpama ‘menyusun’. Jadi, mendaftar fakta bermaksud menyusun fakta. Oleh kerana itu, boleh juga kita katakan bahawa mendaftar fakta sebagai seni menyusun fakta dalam sebentuk penulisan. Apabila cerita yang dikarang, maka jadinya, seni menyusun fakta dalam cerita. Jika cerita mempunyai peristiwa berjalinan sebab-akibat yang menarik pembaca untuk terus membaca, fakta pula bersifat sebab atau akibat semata-mata yang tidak terjalin. Fakta bersifat sedemikian kerana ia berniat khusus untuk menyampaikan kebenaran dan etika.

Seperti Faisal Tehrani, beliau menulis untuk memperjuangkan sebentuk pemikiran dan kebenaran secara serius, bukan semata meraikan kesukaan mencipta ayat-ayat kreatif. Kita sedia tahu, masyarakat umum lebih bernafsu kepada retorika berbanding fakta. Kalau berhubung dengan novel, lebih berahi dengan cerita berselirat yang mengundang permainan perasaaan berbanding fakta yang statik dan tidak bernyawa. Dalam kecenderungan umum seperti inilah, kemahiran mendaftar fakta jadi amat  signifikan supaya novel tepu fakta yang dikarang tidak terus ditolak.
  
Dulu saya pernah berpegang dan membuat ucapan, “saya hanya berminat dengan kebenaran, saya tak berminat dengan fakta. Saya ghairah membaca dan menulis bukan untuk menghafal fakta, sebaliknya saya ingin mencari makna, yang dengannya saya berdikit-dikit membina kehidupan saya yang lebih sempurna”. Tetapi nampaknya sekarang saya perlu menimbang semula ucapan tersebut. Ternyata fakta, data, angka, nota kaki, nama buku, nama pengarang, dan lain-lain yang sebangsa ada juga bahagian dalam upaya untuk meggapai sebuah kehidupan yang bermakna. Nah, untuk meyakinkan orang, untuk tujuan dakwah, perlu bijak mendaftar fakta. Sebabnya tanpa fakta orang susah nak percaya!