Sabtu, 26 Mei 2012

Ahli Sufi : Insan Berakal Yang Sedar Berhutang Dengan Tuhan




Apabila datang kepada saya tugas untuk menghasilkan kajian ilmiah akhir bagi mengesahkan ‘kediplomaan’ saya, pelbagai tajuk bergelut dalam fikiran. Dalam batas masa yang ada, akhirnya saya memilih sufisme sebagai fokus kajian yang bakal saya kerjakan.

Bagi saya, biarlah kajian yang dilakukan memberi makna kepada diri. Merujuk kepada safar hidup saya sejak lahir dan membesar, ternyata saya sekarang berada di hentian yang istimewa dan penting sekali. Saya ingin sebut hentian ini sebagai hentian ‘kesedaran’. Sedar diri. Sedar yang saya maksudkan terungkap sebagai, “sebagai makhluk berakal, saya bukan saja dikerah supaya ghairah berfikir dan berpengetahuan, lebih jauh lagi saya merupakan makhluk berkeadaan berhutang kepada Tuhan. Kerja berfikir dan berilmu merupakan awal tugas untuk melangsaikan hutang tersebut..” Bermakna, segala perbuatan saya di dunia ini dikira kesemuanya untuk berkhidmat kepada Tuhan. Perbahasan tentang nilai ‘berhutang dengan Tuhan’ sebagai nilai anutan manusia ini saya dapati daripada Prof. Al-Attas tatkala Prof. membahaskah faham agama (ad-diin, ad-dain).

Ketika liberalisme meniup semboyan “sapere aude!” sehingga membangkitkan raksasa tamadun Barat moden yang sampai kini mengganasi dunia, saya fikir saya ikut terpesona. Apa sebabnya? Sebabnya ialah diri saya sendiri memang secara asalnya (fitriy) bernama hayawan an-natiq. Terjemahnya – haiwan berakal, justru setiap insan pasti akan tertarik kepada ilmu dan ide bagi memenuhi hajat akal. Sapere Aude bermaksud Berani Berfikir. Ia hadir dalam rupa sebuah seruan atau pun slogan kepada kebebasan berfikir. Saya faham juga sebagai ‘membebaskan akal sebebas-bebasnya, biarkan ia meredah saujana segala pengetahuan dan pemikiran; jangan kurung atau sekatinya’.

Keadaan saya terpesona dengan semangat Sapere Aude! dan liberalisme, saya rujuk sebagai salah satu hentian dalam perjalanan hidup saya. Sampai sekarang – walaupun hentian itu sudah dilewati – saya masih memanfaat apa yang baik daripada liberalisme setelah saya sedar kecelaruan garis besarnya. Hentian liberalisme ini dalam memberi kesan kepada sikap saya ialah, saya semakin cenderung kepada pemikiran analisis dan falsafah. Sebagai contoh, yang pertama membuka jalan kepada matematik dan fekah sementara yang kedua membawa saya kepada sastera, teologi dan usul fikah.

Dan penting untuk saya sebut bahawasanya kecenderungan tersebut berbentuk sebegitu mujarrod (kosong) daripada hubungan dengan ketuhanan. Khalid Jaafar sendiri pernah mengaku bahawa sekularisme moden – yang teras falsafahnya ialah pemikiran liberal – akan mencairkan keyakinan  beragama.

Saya ingin menjurus kepada kenyataan ‘liberalisme mencairkan keyakinan beragama’ seperti saya pernah tulis pada waktu-waktu lepas. Tanpa langsung menempatkan ketuhanan pada mana-mana bahagian dalam ruang pemikiran ajarannya, seperti yang disuguhkan oleh liberalisme, kecenderungan dan sikap yang diakibatkan pada insan ialah ‘kian maju berfikir dan berilmu, kian menjauh dari Tuhan’. Nah. Inilah yang kiranya dimaksudkan oleh Pak Khalid. Saya percaya, sampai ke satu tahap yang parah, Tuhan boleh tergamak dikatakan penghalang kebebasan berfikir, penegah kepada kemajuan dan pembangunan! Minta berlindung daripada Allah taala.

Sehinggakan saya terfikir bahawasanya kelemahan kita kaum muslimin pada saat ini ialah tak berupaya menempatkan Tuhan selayaknya dalam sistem pemikiran sendiri. Ini menyebabkan kaum muslimin tidak nampak relevansi Tuhan dalam kehidupan dan kemajuan hidup di dunia, contohnya, dalam membina negara bangsa dan tamadun. Tuhan disangka sekadar tumpuan rasa rohani yang hanya diseru dalam azan dan doa; dirintih ketika tahajjud tengah malam; diucap riang ketika bersyukur. Tuhan hanya dipandang sebagai penunggu alam akhirat; memastikan insan beramal di dunia hanya untuk kemajuan hidup akhirat.

Oleh itu..

Saya merasakan sufisme boleh dirupa sebagai sintesis daripada sebahagian komponen (yang islami) liberalisme dengan kerohanian Islam. Saya melihat tamadun dan  budaya Islam hidup di atas kekukuhan pasak dalam yang terbina daripada sufisme. Sufisme diwakili oleh, bagi saya, penganut agama yang tahu-sedar kedudukan hidupnya sebagai insan berakal yang berhutang dengan Tuhan. Dengan ciri akal sebagai ciri luar biasa yang dianugerah Tuhan kepadanya, dia berusaha berkhidmat untuk Tuhan. Jadi, tentu saja melalui jalan ilmu dan pemikiran dan seorang sufi ialah seorang pemikir atau ahli falsafah yang merasa kehadiran Tuhan. Bahkan dia yang paling merasainya bila dibandingkan dengan orang biasa. Apa yang seorang sufi capai ialah ‘makin berilmu dan kuat berfikir, makin dekat dengan Tuhan..’.

Inilah yang saya maksudkan dengan hentian kesedaran iaitu hentian terkini dalam safar hidup saya. Setelah pemikirannya sudah dicapai, tinggal lagi bagi saya untuk mempraktikkan. Kini saya sedang dalam proses menyiapkan kajian (tidak sebesar mana) tentang sufisme. Pastilah manfaatnya untuk saya, untuk saya meredah lebih dalam akan dunia orang-orang sufi. Redahan yang tentu sekali sangat bermakna.        

*catatan dulu, ketika masih di Dar Quran.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan