Sabtu, 7 April 2012

Pengenalan Kepada Sufisme




Takrif asal : Sufisme Menurut Bahasanya

Kaedah bahasa arab semantik seperti dipopular oleh Profesor Syed Muhammad Naquib Al-Attas lewat wacana-wacana ilmiahnya dalam mentakrifkan sesuatu akan penulis gunakan. Seperti disebut beliau, bahawa ‘bahasa membayangkan hakikat kewujudan’, menunjukkan hubungan erat tiga  serangkai bahasa-makna-kewujudan.[1] Oleh itu  perkataan ‘sufi’ menurut bahasa Arab akan cuba dicapai makna konsepnya dengan memerhatikan beberapa kalimah Arab yang terbina daripada akar yang sama, yang mana kalimah-kalimah tersebut (bahasa) muncul hasil pergumulannya dengan sejarah keinsanan. Kemudian, akan dibandingkan makna konseptual yang berjaya dicapai adakah ia sejalan dengan pandangan sarwa Islam bagi menjatuhkan hukum atau etika padanya.

Yang pertama perkataan sofa-yasfu-sofaan yang membawa erti bersih. Kedua, suffah iaitu satu anjung dari masjid Rasulullah saw di Madinah yang disediakan untuk sahabat-sahabat baginda yang miskin tetapi terkenal kuat iman. Yang ketiga, soff yang bermaksud barisan pertama di dalam solat. Keempat ialah perkataan soufun. Maknanya baju daripada bulu kambing dan juga pakaian yang kasar.[2]

Kesemua perkataan yang berakar sama ini ternyata mempunyai hubungan maknawi apabila kaedah semantik diaplikasi. Tergambar di fikiran kita sekarang makna konseptual tasawuf/sufisme, seperti dirumus oleh Dr. Mahmud Saedon dengan memetik Abu al-Wafa’ al-Ghanimi al-Taftazani ;

“Sesungguhnya tasawuf secara umum adalah merupakan falsafah hidup dan cara yang tertentu di dalam tindak-tanduk perjalanan hidup seseorang untuk sampai kepada kesempurnaan akhlak, mengetahui dan mengenal hakikat dan mencapai kebahagiaan rohani.”[3]

Takrif yang ‘lebih menusuk’ bagi kata sufi tersimpul cantik di tangan Martin Lings (1970), beliau menggunakan kaedah simbolisme ketika menjawab pertanyaan “what is sufisme?” : “From time to time a Revelation flows like a great tidal wave from the Ocean of Infinitude to the shores of our finite world; and sufisme is the vocation and the discipline and the science of plunging into the ebb of one of these waves and being drawn back with it to its Eternal and Infininite source”.[4]

Takrif kontekstual : Sufisme sebagai disiplin ilmu

Dalam penggunaan popular, sufisme sering dikaitkan sebagai Tasawuf yang merujuk kepada satu disiplin ilmu. Sunni-Asyairah, aliran pemikiran terbesar umat Islam meletakkan Tasawuf sebagai disiplin ilmu yang utama serangkai dengan ilmu akidah dan fikh amaliah seperti yang penulis dengar sendiri daripada Tuan Guru Pak Teh Pengkalan Hulu. Sebagai model, penulis mengambil takrif tasawuf daripada karya Syaikh Abdul Qadir bin Abdul Muthalib al-Indonesia al-Mandili (1950-an), seorang ilmuan terkenal nusantara lewat kitabnya Penawar Bagi Hati :

“Ketahui olehmu bahawasanya ilmu tasawuf itu pengetahuan yang diketahui dengan dia akan segala kelakuan hati, sama ada kelakuan yang dipuji seperti merendah diri dan sabar atau kelakuan yang dicela seperti dengki dan membesar diri[5]

Ilmu tasawuf telah terbukti berkembang pesat di dunia Islam dengan penemuan sejumlah besar kitab membicara ilmu ini yang dikarang oleh ilmuan-ilmuan kenamaan, sehingga ia boleh disahkan mantap sebagai salah satu cabang ilmu utama bagi umat Islam. Antara yang terkenal ialah kitab Risalah Qusyairiyah oleh Imam Qusyairi, Awarif Maarif oleh Surahwardi, Ihya’ Ulumiddin oleh al-Ghazali, al-Hikam oleh Ibnu Athoillah al-Sakandari, Tanwir al-Qulub oleh Amin Kurdi, Futuhat Makkiyah oleh Syaikh al-Akbar Ibnu Arabi, Sairul al-Salikin yang dikarang oleh ulama nusantara Syaikh Abdus Samad Palembang dan yang lebih terkini Qawaid al-Tasawuf oleh Syaikh Ahmad Zarruq.  

Takrif kontekstual : Sufisme sebagai inti dan aliran pemikiran

Sebagai sebuah pemikiran dan aliran pemikiran yang intinya telah pun selesai ditakrif secara semantik seperti di atas, dengan mengambil takrif konseptual daripada Dr. Abu al-Wafa, maka takrif bagi sufisme ialah inti pemikiran seseorang yang mengandalkan kesempurnaan akhlak, mengetahui dan mengenal hakikat dan mencapai kebahagiaan rohani.

Sepanjang pengaliran sejarah umat Islam sejak zaman Sayyiduna Nabi Muhammad s.a.w (6 Masihi), menurut Profesor Fazlur Rahman (1950-an), aliran yang dikenali sebagai sufisme pertama kali muncul pada kurun ke-8 Masihi iaitu relatif dua abad selepas masa Baginda s.a.w. Dalam bab khusus membahas aliran sufisme dalam buku yang bertajuk Islam itu, beliau menjadikan konsolidasi meluas sikap bermewah-mewah kaum penguasa dinasti baharu Umayyah sebagai pendorong kuat kebangkitan kaum sufi menjadi sebuah aliran yang bakal dominan dengan tokoh ketika itu al-Imam Hasan al-Basri (728 M).[6]






[1] Syed Muhammad Naquib Al-Attas (2007), Tinjaun Ringkas Peri Ilmu Dan Pandangan Alam,
  Pulau Pinang : Penerbit Universiti Sains Malaysia, hal. 47. 
[2] Mahmud Saedon Awang Othman (1987), Tasawuf :Sejarah Perkembangan dan Persoalan,
  Kuala Lumpur : Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia, hal. 9-10
[3] Ibid. hal.12
[4] Martin Lings (2005), What Is Sufisme, Lahore : Suhail Academy, hal. 11
[5] Abdul Qadir Abdul Muthalib al-Indonesia al-Mandili (2007), Penawar Bagi Hati, Johor
Bahru : Perniagaan Jahabersa, hal. i
[6] Fazlur Rahman (1997), Islam. Ahsin Mohammad (terj.), Bandung : Penerbit Pustaka, hal. 185

Tiada ulasan:

Catat Ulasan