Sabtu, 31 Mac 2012

Sufisme Dalam Kenyataan Masyarakat Hari Ini




Sufisme Dalam Kenyataan Masyarakat Hari Ini

Mudahnya, sufisme merupakan ide berkaitan ketuhanan dan hal ehwal rohaniyah. Dalam tradisi ketamadunan Islam dan dunia amnya, sejarah menunjukkan ide ini membina budaya umat Islam dan aliran pemikiran tersendiri yang kukuh bahkan muncul sebagai pasak tunjang bagi agama, tradisi pemikirannya dan tamadun manusia yang terlahir daripadanya.

Tokoh-tokoh sufisme bermunculan tanpa henti sepanjang sejarah sejak abad ke-8 sebagai ilmuan unggul yang menguasai ilmu-ilmu interpretatif dan filosofis. Inilah yang saya katakan sebagai merencana pasak bagi tamadun Islam.

Zaman kini dikenali oleh sebahagian pemikir abad semasa, contohnya Michael Foucoult dan Derrida, sebagai pasca-moden akibat kehampaan modenisme. Jika zaman moden ditandai dengan pengangkatan rasionalisme dan empirisisme dalam kemajuan ilmiah dengan mengutuk mistisme, di zaman yang nama-kononnya  pasca-moden ini ternyata metodologi sekularistik tersebut mula disangsikan.

Hipotesis menceraikan mistisme daripada konsep menanggap ilmu tersebut, walau pada satu ketika dianggap benar dengan perkembangan sains teknologi dan pengunggulan tamadun Barat di celahan bangsa-bangsa dunia, pada sela masa ini tesis itu mula tertelanjang aibnya. Kemodenan materialistik yang anti-tuhan dan anti-ghaib itu memaksakan masyarakat manusia dengan budaya hedonisme dan syahwat, yang membiakkan dengan pesat jenayah antara manusia, sehinggalah berlaku peperangan antara negara menggunakan teknologi tercanggih.

Dengan krisis kemanusiaan yang membadai dunia masa kini, kesedaran kepada  agama dan hal ehwal rohani mulai merebak dalam kalangan masyarakat. Perkembangan baharu ini difikirkan dengan serius oleh para pemikir kontemporari yang setelah itu mamaksa mereka menoleh kepada tradisi sufisme Islam yang kaya-raya, kerana ciri tauhidiknya iaitu mengabsahkan mistisme sekaligus rasionalisme semisal tokoh-tokoh seperti al-Ghazali, Ibnu Arabi, Surahwadi dan Mulla Sadra.

Hari ini dalam kenyataan moden-sekular yang kebendaan terlampau dan hampa moral, masyarakat mula menyedari betapa penting pemikiran sufisme/agama sebagai penyelesai masalah kehidupan yang menghambat. Sebagai akibat kesedaran awam inilah secara mendadak sufisme menjadi popular dan dimahukan.

Dalam kalut kemahuan kepada sufisme yang betapa kontekstual zaman dan berdaya besar sebagai solusi masalah akar manusia masa kini, malangnya wujud segolongan manusia yang mencela sufisme dan tokoh-tokohnya. Mereka ini membina persepsi negatif terhadap jalur pemikiran ini, kemudian, menyanggupi diri sebagai musuh persepsi positif yang sedia terbina harmoni secara pergerakan sejarahwi. Pendirian golongan pencela ini akan kita debatkan dalam pos akan datang. Sekian.


Rujukan:

Syed Mohd Zakir Syed Othman (2010), Pascamoden : Kutukan Terhadap Falsafah dan AgamaKuala Lumpur : Nusabuku Enterprise.

Fazlur Rahman (1997), Islam, Ahsin Mohammad (terj.), cet. 3, Bandung : Penerbit Pustaka

Tiada ulasan:

Catat Ulasan