Sabtu, 31 Mac 2012

Sufisme Dalam Kenyataan Masyarakat Hari Ini




Sufisme Dalam Kenyataan Masyarakat Hari Ini

Mudahnya, sufisme merupakan ide berkaitan ketuhanan dan hal ehwal rohaniyah. Dalam tradisi ketamadunan Islam dan dunia amnya, sejarah menunjukkan ide ini membina budaya umat Islam dan aliran pemikiran tersendiri yang kukuh bahkan muncul sebagai pasak tunjang bagi agama, tradisi pemikirannya dan tamadun manusia yang terlahir daripadanya.

Tokoh-tokoh sufisme bermunculan tanpa henti sepanjang sejarah sejak abad ke-8 sebagai ilmuan unggul yang menguasai ilmu-ilmu interpretatif dan filosofis. Inilah yang saya katakan sebagai merencana pasak bagi tamadun Islam.

Zaman kini dikenali oleh sebahagian pemikir abad semasa, contohnya Michael Foucoult dan Derrida, sebagai pasca-moden akibat kehampaan modenisme. Jika zaman moden ditandai dengan pengangkatan rasionalisme dan empirisisme dalam kemajuan ilmiah dengan mengutuk mistisme, di zaman yang nama-kononnya  pasca-moden ini ternyata metodologi sekularistik tersebut mula disangsikan.

Hipotesis menceraikan mistisme daripada konsep menanggap ilmu tersebut, walau pada satu ketika dianggap benar dengan perkembangan sains teknologi dan pengunggulan tamadun Barat di celahan bangsa-bangsa dunia, pada sela masa ini tesis itu mula tertelanjang aibnya. Kemodenan materialistik yang anti-tuhan dan anti-ghaib itu memaksakan masyarakat manusia dengan budaya hedonisme dan syahwat, yang membiakkan dengan pesat jenayah antara manusia, sehinggalah berlaku peperangan antara negara menggunakan teknologi tercanggih.

Dengan krisis kemanusiaan yang membadai dunia masa kini, kesedaran kepada  agama dan hal ehwal rohani mulai merebak dalam kalangan masyarakat. Perkembangan baharu ini difikirkan dengan serius oleh para pemikir kontemporari yang setelah itu mamaksa mereka menoleh kepada tradisi sufisme Islam yang kaya-raya, kerana ciri tauhidiknya iaitu mengabsahkan mistisme sekaligus rasionalisme semisal tokoh-tokoh seperti al-Ghazali, Ibnu Arabi, Surahwadi dan Mulla Sadra.

Hari ini dalam kenyataan moden-sekular yang kebendaan terlampau dan hampa moral, masyarakat mula menyedari betapa penting pemikiran sufisme/agama sebagai penyelesai masalah kehidupan yang menghambat. Sebagai akibat kesedaran awam inilah secara mendadak sufisme menjadi popular dan dimahukan.

Dalam kalut kemahuan kepada sufisme yang betapa kontekstual zaman dan berdaya besar sebagai solusi masalah akar manusia masa kini, malangnya wujud segolongan manusia yang mencela sufisme dan tokoh-tokohnya. Mereka ini membina persepsi negatif terhadap jalur pemikiran ini, kemudian, menyanggupi diri sebagai musuh persepsi positif yang sedia terbina harmoni secara pergerakan sejarahwi. Pendirian golongan pencela ini akan kita debatkan dalam pos akan datang. Sekian.


Rujukan:

Syed Mohd Zakir Syed Othman (2010), Pascamoden : Kutukan Terhadap Falsafah dan AgamaKuala Lumpur : Nusabuku Enterprise.

Fazlur Rahman (1997), Islam, Ahsin Mohammad (terj.), cet. 3, Bandung : Penerbit Pustaka

Rabu, 21 Mac 2012

Persoalan Pentakrifan



Persoalan Pentakrifan - Ialah persoalan yang awal-awal mendesak akal saya untuk dijawab bagi menyelesaikan sebuah kajian ilmiah tentang sufisme. Saya dapatkan jawabannya sebelum dijadikan sebagai bagian pertama penulisan kajian itu. Sekarang saya turunkan di sini dengan sedikit suntingan semoga boleh berkongsi manfaat. 
           
Pentakrifan merupakan awal bicara keilmuan. Oleh itu jadi sangat wajar bagi seorang pembicara ilmu memahami persoalan pentakrifan sebelum apa-apa supaya mauduk yang ingin dibicara terpandu lantaran makna sesuatu sentiasa berkembang menuturi perjalanan kehidupan insan. Pemikir Muslim tersohor abad ke-20, Malek Ben Nabi (1970) membahas persoalan ini awal sebelum melanjutkan halaman buku analisis sosial beliau terhadap isu krisis intelektual muslim.

Menurut beliau, aktiviti memberi takrif dimulakan dengan meletakkan nama. Itulah aktiviti akal pertama yang dengan itu takrif pertama telah terbina bagi sesuatu yang masuk dalam lingkungan fahaman seseorang dan ia menjadi bukti kewujudannya. Beliau kemukakan dalil naqli tentang aktiviti meletak nama sebagai aktiviti pemula pentakrifan dengan firman Tuhan :

Ertinya : Dan Dia ajarkan kepada Adam nama-nama (benda) semuanya, kemudian Dia perlihatkan kepada para malaikat, seraya berfirman, “sebutkan kepada Ku nama semua (benda) ini, jika kamu yang benar

Takrif mestilah merangkumi sesuatu dan tidak melebihi had sesuatu tersebut seperti yang dihajat (contextual). Pentakrifan wajib harmoni dengan masa dan ruang dengan merujuk insan sebagai makhluk sosial yang bertanggungjawab membina takrif tanpa sedar sepanjang perjalanan hidup. Dalam kata lain, takrif mestilah ditakrifkan oleh pelakunya dalam keadaan dia sedar bahawa aktiviti pemaknaan itu mesti bersifat mempunyai human interest dan sosialistik.

Sehingga dapat dikatakan bahawa sesuatu yang setelah ditakrifkan menurut kefahaman di atas, jika mempunyai hubungan makna yang terlihat benar oleh pandangan sarwa agama (yang kekal mutlak), yang tertayang pada kitab al-Quran dan hadith Nabi saw, maka yang ditakrifkan itu dihukum benar dan sah di sisi agama. Begitu agama merujuk kepada nilai  sebagai penghakiman mutlaknya (ultimate goal), tidak hanya kepada zahir sesuatu perbuatan atau perkataan khusus insan laksana difahami sekelompok manusia keliru pada hari ini.

Hal ini kelihatan pada ungkapan Jalaluddin Rakhmat ketika menitip pesan buat para pejuang-intelektual agama :

"Intelektual adalah manusia yang terlibat dengan nilai, I'homme engage. Encyclopedia of Social Sciences menegaskan bahawa sepanjang sejarah, para intelektual bangkit karena dorongan keagamaan dalam arti luas. Perhatian seorang intelektual berkenaan dengan nilai-nilai akhir (ultimate), yang terletak di luar pengalaman konkret (beyond the immediate concrete experience), seperti yang diperjuangkan oleh Fathimah".

Pengalaman konkrit yang dimaksudkan ialah perbuatan-perbuatan manusia di alam nyata manakala nilai ialah makna yang tinggal di dalam perbuatan tersebut.

Kaedah bahasa arab semantik seperti dipopular oleh Profesor Syed Muhammad Naquib Al-Attas lewat wacana-wacana ilmiahnya dalam mentakrifkan sesuatu, wajar kita ambil perhatian. Seperti disebut beliau, bahawa ‘bahasa membayangkan hakikat kewujudan’, menunjukkan hubungan erat tiga  serangkai bahasa-kewujudan-makna. 



*Rujukan :

Malek Bennabi (2005), Krisis Intelektual Muslim. Zulkarnain Mohamed dan Farid Mat Zain (terj.), Shah Alam: Karisma Publications Sdn. Bhd., hal. 3

Surah al-Baqarah (2) : 31, Al-Quran dan Terjemahannya (Rasm Uthmani), Kuala Lumpur : Pustaka Darul Iman Sdn. Bhd. 

Jalaluddin Rakhmat (2001), Meraih Cinta Ilahi : Pencerahan Sufistik, Bandung : PT Remaja Rosdakarya, hal. 292

Syed Muhammad Naquib Al-Attas (2007), Tinjaun Ringkas Peri Ilmu Dan Pandangan Alam, Pulau Pinang : Penerbit Universiti Sains Malaysia, hal. 47. 

Selasa, 20 Mac 2012

Madah Bercinta Temu Bahagia

Madah Bercinta Temu Bahagia
(Dari Orang Tua)

Tiap kata hamil makna
Begitu jua kata cinta
Bila ditanya makna cinta
Suruh dia jumpa pencinta

Pencinta dicari rata benua
Gunung didongak darat ditapak
Kenapa tidak ketemu juga
Pencinta palsu sering ternampak

Akhirnya tertuju pondok kayu
Hujung negeri dihembus bayu
Seorang tua berbaju melayu
Mengajar hikmah nan beribu

Pedagang perhati jarang layu
Akan santri berwajah perlu
 Seorang tua bulat ditumpu
Ke hati cinta datang bertamu

Pedagang lentok khusyuk sekali
Bulan merembang tak tersedari
Perut bersuara berapa kali
Bisakah terjaga pedagang lali

Bila saatnya pedagang ternanti
Ingin bertanya pencinta sejati
Apa ramunya mohon dimiliki
Moga bahagia dapat dikongsi

Wahai pedagang tercari erti
Tuhan tempat cinta menjadi
Cinta Mustofa pada “ummati”
Cinta percik bahagia tertinggi

Pedagang, usah genggam manusia
Cintanya rapuh retak berjuta
Hairan, ramai sungguh menjaja
Cinta makhluk palsu belaka

Zaman masani bala modeniti
Falsafah bebas ditabal menteri
Warak terkurung penjara abdi
Cinta palsu menjajah negeri

Hasrat pedagang melihat jaya
Titip-titipkan dari pencinta
Kepada seluruh jagat raya
Madah bercinta temu bahagia

2:10 pagi 16/01/2012