Isnin, 23 Januari 2012

Gelap-Samar-Cahaya


Masih banyak perkara samar melingkar liar aku di tengah; tanpa walau sedikit belas. Persoalan menghadir tanpa henti, mendesak jawaban dengan rakusnya, kerakusan yang membala dalam jiwa; aku bagaikan orang terkena kafarah; entah dosa apa aku dah buat?

Tatkala diucap oleh ku; mahu menyebar cahaya kebahagiaan; maka safarnya pasti meninggalkan kegelapan; meredah kesamaran; menuju cahaya. Dulu gelap; sekarang samar; nanti masanya tiba; cahaya terang-menerang. Namanya cahaya kebahagiaan.


Sekarang merupakan safar; aku dalam kesamaran.


Samar lebih membala jiwa daripada kegelapan; gelap merupakan ‘tempat tinggal’ sama seperti cahaya sedangkan samar merupakan ‘perjalanan’ antara dua tempat tinggal tersebut. Sifatnya adalah; sentiasa bergerak. Bergerak dari kepalsuan menuju kebenaran; dari paksaan kepada kepastian. Seorang yang mengharung perjalanan; merasa payah dengan seribu sangkaan; berbanding hidup selesa dalam daerah kegelapan; namun akhirnya; tahulah siapa yang merasa bahagia!    

Batin sengaja memuntahkan isinya, ketika berada dalam samar;
“Perjuangan mengaman negeri teramat payah
Direlakan juga demi memanggil cahaya kepastian
Hasrat menghalau seribu kegelapan yang memaksa..”

Tatkala waktunya ;
Segala kegelapan berarak meninggalkan negeri
Kerana telah datang cahaya seorang.
Negeri Jahili kini namanya Madinatul Munawwarah.

Batin diam tak termuntah lagi.

1:05 pagi 15 hb 1 tahun 2012.



Jumaat, 20 Januari 2012

Dari Ku Laki Untuk Mu Hawa


Pantun Berguna Buat Teman Hawa
Agar Kena Untuk Masuk Syurga.
 
Sirih dilumat menjadi rata
Pinang digobok merah warnanya
Temanku wahai semua hawa
Dirimu terkandung fitnah bahaya

Andainya pinang terlebih merah
Kadang diperi serupa darah
Usah dikecilkan besarnya fitnah
Gusar kejahatan menjalar bawah
 
Lauk dihidang sebelah nasi
Cili berapi menaik seri
Pabila hawa bertemu laki
Seperti minyak berjumpa api
 
Dapur berasap atas tanah
Karat sahabat periuk murah
Pesan agung pemberi syafaah
Sebaik hiasan wanita solehah
 
Emak berhajat turun ke lurah
Mengerat serai dua pelepah
Bila ditanya bagaimana solehah
Jawabnya berjaga segala arah.

02:21, 15/1/2012.
DI Hening Dar Quran.

Rabu, 11 Januari 2012

Insan, Dangkal, Dan Fitnah



Kebenaran terasa sirna
Syaqawah memberontak jiwa
Setan-nafsu asyik bercinta
Alam bersendu air duka

Sahaja  ternampak kiamat
Terasa pelukan malaikat
Al-Haqq ingin tersaksi cepat
As-Saadah puncak barokat.

Pergilah! Dunya lancung
Atom bersifat bohong
Insan benar dikurung
Lepaskan, Yang Teragong. 

18:16 29/12/2011


Hidup telah  puluh tahun dalam dunya ini, macam-macam fiil insan aku terjumpa. Hari ini aku seperti ingin bahagikan segala macam jenis insan itu kepada dua kumpulan sahaja- dangkal dan bijak – walau pun aku tahu pembahagian kepada dua ini salah terus menurut kata Tuan Guru tempat aku sering merujuk. Melalui pelajaran perihal insan, guru ku menunjuki bahawasanya insan itu berupa diri rohani- ruhi, dan akali. Hakikat insan ialah roh yang bersifat dengan sejuta kebijaksanaan (nafs natiki), bukan jasadi sepertimana terasuk pada nazari sebahagian manusia yang tak kenal diri. Namun, khalas perkhabaran guru, aku kekal bingung. Kerana pada nazari ku terhadap insan masani yang mengelilingiku saban waktu, tak kira di mana, bergerombol insan yang dangkal akalnya. Mereka seolah bahagia menjelmakan diri seumpama hewan; gah menayang tubuh jasadi mereka sedang ia bukan diri asali mereka. Mereka sanggup memalsukan pengenalan diri dengan tidak menggunakan hikmah akali dan tawajjuh ruhi ila robbih yang merupakan diri mereka yang hakiki. Aku heran, kekadang aku berduka mengenang nasib insan kurun ini (termasuk aku?!). 

Seterusnya apa yang terjadi? Sebelum menimbang faktor luaran, aku terfikir barang satu kalimah. Kini ku sebut, “fitnah”. Sohibul Kalam, Yang Maha Benar, memeri betapa dahsyat tragedi fitnah kepada masharakat dengan ungkap Nya – “akbaru minal qatli”. Dikisahkan lagi oleh Sohib, “takutlah kamu akan fitnah yang bukan saja menimpa orang-orang zalim di antara kamu..”. Pesan dari Sohib ini, sedikit-sedikit memberi kepuasan kepada ku. Baru aku tahu, betapa luasnya wilayah fitnah; ia menyelubung kesemua. 

Seolah ayat itu dalil bahawa memang orang-orang dangkal (pemacu fitnah) akan kekal ada sepanjang zaman seluas ruang sampai lah masa dan ruang dimusnah Sohibul Kalam. Dan seolah ayat itu dalil besar bagi menyokong kenyataan Syaikh Abu Walid lewat Fasl Maqalnya yang sedar berkata bahawa manusia terbahagi tiga: bodoh, separa bodoh, dan bijak.

Sahabat-sahabat ku semua manusia, bagaimana boleh berlaku fitnah? Fitnah berupa cerita tak benar karangan orang dangkal, busuk hati, pelayan syahwat dan pelayan emosi amarah bissuk. Ketika dia mengarang fitnah, akalnya bukan dalam keadaan menyaksikan kebenaran lagi jauh dia dari Tuhan. Syahwatnya menguasai maka terhamburlah fitnah laksana meletupnya gunung berapi;kekadang terancang rapi macam gunung meletup sedikit-sedikit dalam satu jangka masa. Pabila terhambur fitnah, cepat pula ia tersebar merata negeri. Kerana apa? Kerana ramainya orang-orang dangkal tak terkira. Mereka ini merupakan pengguna akal yang pasif, yang cepat percaya pada fitnah, seraya memudahkan agenda penyebaran. Aku dah sebut di awal kalam tentang asal-muassal fitnah, peri lahirnya daripada insan yang tak kenal dirinya hakiki. Fitnah terus berkitaran seiring berkitarnya siang malam mengitari hari. Kitaran ini amat ganas seperti kata Tuan Guru. Maka sahabatku, apa lagi mau diharap pada manusia sepeninggalan Sayyidil Mustofa?