Ahad, 4 Disember 2011

Perpaduan Para Penekun Al-Quran

*Tulisan pendek ini saya pernah terbitkan pada tarikh 13 Oktober 2010 di sebuah blog lain. Merupakan hasil renungan saya terhadap masalah perpecahan pelajar di Darul Quran yang pada ketika itu terlihatnya begitu kritikal, lalu selepas itu, saya bertindak memperkenalkan 1Irsyad demi mencapai 1Perkemat-Perpaduan pelajar seluruhnya! Ketika itu saya berada di tahun pertama pengajian sebagai seorang yang suka memerhati, maka terciptalah tulisan ini. Saya terbitkan sekali lagi di sini sempena transisi kepemimpinan PERKEMAT yang baharu saja selesai kelmarin. Moga-moga memberi pedoman.



Idealisme Perpaduan

PM Najib Tun Razak pada hari ini menzahirkan idealisme perpaduannya menerusi gagasan 1Malaysia cetusan beliau. Setidak-tidaknya Pakatan Rakyat pasti dirundung risau apabila konsep ini disebarluas dengan begitu hebat sekali terutama melalui saluran perdana tambahan pula gagasan 1malaysia ini terbukti berfungsi sebagai wasilah pengharmoni yang compatible dengan sebarang isu sosial tanah air dalam memberi rasa aman kepada kelompok masyarakat yang terlibat sekurang-kurangnya buat seketika. Kelebihan ini (compatibility) wujud lantaran sifat universal yang ada pada konsep ini justeru ia memfokus kepada ide kesatuan, perkongsian ciri dan seumpamanya. Lihat, betapa jauh daya fikir Najib (jika 1malaysia ini merupakan buah pemikiran beliau yang asli).

Membentuk perpaduan

Prof SMN Al-Attas ada menjelaskan bahawa kesatuan itu dibentuk/dicapai apabila terdapat faktor2 yang sama atau dikongsi bersama oleh entiti-entiti yang mahu disatukan. Dalam hubungan ini, beliau menjelaskan lagi dalam siri syarahan di Radio Malaya pada tahun 1959 bahawa kesatuan sesuatu negara (negara bangsa) diasaskan sekurang-kurangnya pada tiga daripada empat faktor iaitu agama, bangsa sejarah politik dan bahasa. Huraian lanjut yang lebih praktis boleh dirujuk pada buku bertajuk : Pembangunan di Malaysia : Ke arah Satu Kefahaman Baru Yang Lebih Sempurna (2005), JAPI API UM.

Menjayakan perpaduan secara sistematik : justifikasi oleh Al-Banna dan Junjungan Besar (saw)

Imam Hassan al-Banna pada hari ini sering disebut-sebut oleh ahli-ahli harakiy tidak ketinggalan anak-anak muda kita. Kejayaan dakwahnya di Mesir mengangkat hebat peribadi beliau serta jemaah Ikhwanul Muslimin. Semenjak itu, amar ma’ruf nahi munkar gaya harakiy cetusan al-Banna ini menjadi inspirasi utama kepada pertubuhan-pertubuhan dakwah Islam termasuk jemaah-jemaah Islam di Malaysia. 

Lalu, mari kita perhati antara dasar2 utama Ikhwanul Muslimin :
1. Sistem usrah - kesatuan2 kecil dibentuk bagi mencapai kesatuan besar (Ikhwanul Muslimin) 
2. Konsep fardul muslim, baitul muslim, mujtama’ muslim, khilafah islamiyah - ini menggambarkan pemeringkatan kesatuan bermula sekecil-kecil seorang individu sehingga sebesar-besar ummah. 

Nabi Muhammad saw arkitek perpaduan professional, baginda saw dalam peristiwa agung Hijrah menyatukan terlebih dahulu puak Aus dan Khazraj menjadi Muhajirin sebelum membawa mereka (Muhajirin) ke penempatan golongan Ansar di Yathrib. Sebelum itu, nabi saw terlebih dahulu mengirim seorang sahabat ke Yathrib bagi tujuan islamisasi, dan kelompok muslimin pertama berjaya dibentuk (Ansar). Mereka ini yang menyambut kedatangan Muhajirin. Kemudian, Muhajirin dan Ansar dimadukan pula oleh Rasulullah saw membentuk ahlul Madinah. Dengan ini maka terbinalah kesatuan ummah paling awal dalam sejarah utusan terakhir saw bagi merintis kerajaan Islam Madinah Munawwarah, cahayanya menyinari alam.

Kedua-dua bukti sejarah di atas sebenarnya merupakan penjelmaan zahir makna perpaduan yang dilakukan secara berperingkat atau bersistem. Maksudnya Rasulullah saw dan al-Banna tahu benar peri penting agenda perpaduan dan merancang rapi agenda ini. Dalam kata lain, teknik-teknik atau proses untuk mencapai matlamat perpaduan itu difikir, dirancang serta dilaksana oleh mereka – iaitu penyatuan secara berperingkat : bilangan sedikit kepada ramai atau pun kecil kepada besar. 

Penutup

Islam merupakan sebuah agama yang mementingkan perpaduan ummah dan ini dapat dibuktikan lewat sistem khilafah islamiyah iaitu sistem pentadbiran ummah yang bersifat ummatan wahidatan, merentas sempadan geografi, budaya dan latar belakang sejarah. Seluruh manusia bersumpah-setia (taat) kepada khalifah yang satu, tiada dua. Ini ialah manifestasi perpaduan terbesar dalam sejarah manusia namun saat itu hanya tinggal menjadi kenangan terindah dan bahan laungan pejuang2 Islam pada hari ini. Ketika ini, kuasa besar Barat terus-menerus membuli ummah terbaik ini terutamanya dari segi penguasaan pemikiran. Umat Islam berpecah-belah, tiada ummah administration central-system dan keadaan ini amat2 merugikan kita. 

"aku hamba,aku khalifah" 
  
Selesai: 
10.21malam. 
Chancellor Condominium, 
Ampang, Selangor.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan