Rabu, 28 Disember 2011

Perasan Ilmiah !?



Hari ini saya ingin berkisahkan kisah yang ringan. Jangan salah faham, ringan tak berarti tiada pengisian. Jangan tersilap dalam menanggapi ilmu pengetahuan. Apa-Apa yang membawa kepada taqwa dan akhlak, itulah ilmu paling berma’na. Ada orang yang begitu obses dengan falsafah dan pengisian yang berat-berat sambil sinis terhadap yang ringan-ringan; katanya yang ringan itu tidak ilmiah. Dia dah tersilap. Dia tak faham epistemologi (apa itu ilmu) sepertimana diajar oleh Islam.

Oleh sebab itu lah, seorang yang gemarkan gaya kritikal dalam berfikir mesti tahu mengawal bagaimana bersikap dan berperasaan terhadap orang sekeliling yang menjadi sasaran kritiknya. Ya, dia dengan bahasa paling mudah akan selalu mengungkapkan “kritikan mestilah ilmiah” dan juga “berfikir mestilah kritikal” di status facebooknya. Namun apakah dia tahu bagaimana yang dikatakan sebagai ilmiah itu? Apakah dia mempercayai bahawa pengetahuan yang bersifat berat dan sendat fakta sahaja sebagai ilmiah dan kritikal?

Lalu, apa sikapnya terhadap para santri pondok pengajian turath yang dikenal sebagai ‘tidak kritikal’ dalam berpengetahuan, hanya menerima secara patuh maksima terhadap kata sang guru? Saya tahu persoalan saya ini sangat terpencil dalam dunya yang terselubung dek kabut kekeliruan ilmu pengetahuan. Masharakat hari ini, walaupun maklumat di ujung jari, tak suka ambil tahu persoalan mendalam, yang merupakan dasar bagi ‘maklumat ujung jari’ tersebut. Mereka lebih mesra dengan fakta-fakta yang muncul dengan pelbagai wajah- ada benar, ada palsu. Mereka celaru mengenal kebenaran.

Buat paling ringkasnya bagi menghadam masalah ini, cuba pertimbangkan teori ilmu seperti disebut oleh al-Quran, “yang paling bertaqwa adalah para ilmuan” yang seakan mahukan pembuktian taqwa (dan akhlak luhur) daripada seorang muslim yang selalu perasan dia ilmiah dan kritis. Nescaya sekarang saya ingin menyebut bahwa dalam kes sikap terhadap santri pondok, seorang yang ilmiah dan gemar pengisian yang kritikal tidak akan sinis atau pun memandang rendah kerna umumnya para santri lebih terjaga kehidupan rohani mereka. Budaya tasawuf dan pembersihan hati masih segar di pondok-pondok turathi, berbanding di bangunan-bangunan keilmuan moden yang penuh dengan kecenderungan maksiat. Berfikir tentang dilema tradisional-moden ini, telah melahirkan beberapa rangkap pantun pada masa itu. Pantun ini saya namakannya Pondok Berkat. Saya ungkapkan kembali :   

Bangunan di tengah-tengah kota
Tinggi mencapai awanan sana
insan materi asyik bekerja 
Sehari bersama mesin dan wayar

Tenang pondok kayu ujung desa
Seorang muallim hidup tua  
Melatih lidah murid alif ba
Hingga fasih mengungkap asal ba    

Berjaga-jaga penduduk kota
Ingat-ingat mutaalim kota
Amerika musuh tiap yang lama
Falsafah moden merasuk minda

Beruntung sungguh hai manusia 
Penghuni pondok di hujung desa
Hari-hari malaikat bersama
Makhluk pembawa berkat mulia
.

Yang saya bawakan di atas adalah sekadar cebisan daripada sekian banyak peristiwa yang berlaku dalam alam pemikiran dan perasaan golongan yang cenderung berpengetahuan. Kononnya berilmu dan gemar berfikir! Persoalan ini membelenggu saya seberapa lama sehinggalah dengan baik diselesaikan oleh Prof. Naquib Al-Attas, ilmuan, pemikir, bahkan seorang pejuang yang tegar hasrat merawat sakit kaum muslimin dengan mencipta penawar yang sesuai zaman. Prof. Al-Attas nampaknya lebih berkarikatur seperti al-Imam al-Ghazali. Kisah juang Al-Attas merupakan lawatan semula (re-visit) sejarah al-Imam al-Ghazali tatkala al-Imam menyeru kepada ihyak ulum ad-din- menghidupkan semula ilmu-ilmu agama.     

Nampaknya saya telah terlajak lagi. Asalnya bukan ini yang saya hendak tuliskan (lihat perenggan pertama). Wallahu a’lam. Salam Perjuangan.   

Tiada ulasan:

Catat Ulasan