Selasa, 13 Disember 2011

Perasaan Sekular Dalam Berilmu


"... Di antara hamba-hamba Allah yang takut kepada-Nya, hanyalah para ulama. .." 
(Fatir :28)

Tulisan 'bismillahirrahmanirrahim' hasil seni khat 
Prof. Syed Muhammad Naquib Al-Attas


Perasaan Sekular (tidak taqwa) Dalam Berilmu

Spontan, tetiba terlintas di fikiran satu ide. Sebenarnya tidaklah spontan, tetapi impak pengalaman hidup sejak beberapa minggu lepas. Serta-merta kalam Al-Attas tertayang kembali, kalam ini saya abadikan di pintu almari bilik tidur, ‘merujuk kepada Allah sebagai asal segala ilmu, ia (ilmu) adalah ketibaan makna sesuatu ke dalam diri seseorang. Apabila merujuk kepada diri sebagai pentafsir, ilmu adalah ketibaan diri seseorang kepada makna tentang sesuatu’.  Khalas teorinya. 

Pengalaman hidup sebagai makhluk berkeinginan, khas beberapa minggu lepas, bila direnung-renungkan ternyata misterius dan cenderung bersifat rahsia. Oleh itu saya tak akan ceritakan. Cukup di sini dengan berkongsi natijah berguna yang berupa sebuah fikiran baharu – baharu terpasak kuat – yang kini kukuh di jiwa saya. Fikiran itu teorinya seperti Al-Attas ungkapkan di atas, sebuah takrif  ilmu menurut kerangka pandangan alam islami (rukyatul Islam lil wujud) zaman berzaman, yang terjadi pada diri saya, lebih tepat lagi, dalam akal saya. 

Sebelum itu wajar saya kisahkan sedikit mengenai asal-usulnya menurut kalam Prof. Wan. Menurut beliau, takrif ilmu tersebut terhasil daripada tinjauan Al-Attas terhadap sejumlah besar takrif ilmu lewat kitab-kitab muktabar yang membicara perihal epistemologi semisal Al-Amidi, At-Taftazani, Al-Gazali, dan Fakhruddin Ar-Razi – nama-nama sekadar ingatan saya. Daripada survey ini, Al-Attas memilih takrif oleh Ar-Razi sebagai ‘yang paling mentakrifkan ilmu’ lantas membina semula takrif tersebut dengan lebih lawa.

Apakah fikiran baharu yang terjadi pada diri saya itu?  Ia berkaitan dengan relevansi (hubungkait) ilmu dan Tuhan. Bagi sesiapa yang menekuni perjuangan Al-Attas, akan tahu bahwa perjuangan beliau bersifat tauhid dan kesufian. Penegasan kembali setegas-tegasnya bahawa Allah swt menjadi titik asal dan titik tumpu setiap sesuatu, dan juga titik rujuk. Dalam bidang keilmuan dan pemikiran – so called epistemology / philosophy of truth – yang saya ingin sentuh sekarang ini, dan kerana kepentingan besarnyalah saya sentuh, Allah swt jelas diungkap oleh Al-Attas sebagai asal segala ilmu. 

Semangat Falsafah

Allama Iqbal menggunakan ungkapan ‘semangat falsafah’ bagi memerikan seseorang yang ghairah bertanya demi mencari jawab-jawab bagi sejuta persoalan yang mengitari hidupnya. Atau pun orang yang gemar berfikir dan berpengetahuan. Ya, ada orang yang dianugerah Tuhan dengan tinggi semangat falsafahnya selain disebabkan faktor luaran. Bagi orang-orang sebegitu, pencarian makna adalah keghairahan hidupnya. Biar pun panjang, lama, dan berliku. Kuat membaca buku, suka berdiskusi, dan lain-lain aktiviti yang membawa kepada nikmat memahami sesuatu. 

Pada zaman yang senang dipanggil teknologi maklumat dan zaman politik demokrasi-liberal ini, ternyata kumpulan yang bersemangat falsafah sangat pesat membangun. Hal ini, apa yang perlu dirisaukan? Risaunya kerana globalisasi pemikiran dan pengetahuan yang membadai dunia zaman kini terasnya ialah pandangan alam Barat yang senang cakap, berciri-utamakan sekular. Apa itu sekular? Sekular yang bermaksud ‘meninggalkan Tuhan daripada hidup’. Hidup tanpa Tuhan. Menghuni dunia ini tanpa nilai-nilai agama dan rohani. Secara bulat, atau terus, memang nilai sekular ini payah dibuktikan kerana ia merupakan ‘sekularisme’ iaitu senang saya sebutkan, ‘kecenderungan fikiran untuk jauh dari Tuhan’. Sebentuk penyakit dalam pemikiran. 

Bermakna, seorang yang bersemangat falsafah, jika tak terpimpin oleh asas teori ilmu Islam sebagaimana Al-Attas jelaskan di atas, maka dia akan mempunyai kecenderungan ‘menjauhi Tuhan’ dalam pandangan-pandangan dan rumusan-rumusannya, atau pun, tidak mendahulukan unsur agama (Islam) dan Tuhan dalam pandangan, rumusan, dan tindakannya. Atau pun, bersikap tidak senang dengan ketuhanan. Bagi saya, kecenderungan sebeginilah yang berlaku pada kelompok liberal, kelompok yang fokus padu pada kekuatan akal dan keberanian berfikir sehingga terjemput datang kepada mereka perasaan sekular.  

Seorang pemuda yang bersemangat falsafah, pastilah yang menjadi perhatian utamanya persoalan-persoalan yang bersifat sulit. Dia tak kan berminat dengan persoalan-persoalan picisan politik Malaysia, misalnya, seperti disukai ramai orang pada hari ini. Berkenaan politik, dia akan mencari akar permasalahan yang mampu menjawab/menjadi sebab kesemua persoalan politik tersebut. Apa yang dia akan lazimi ialah prinsip dan pemikiran yang membina politik nyata, seperti demokrasi-liberal, realpolitik, politiking, dan lain-lain. Dalam keagamaan pula, persoalan yang menjadi kegemarannya ialah yang bersifat esoterisme, sekitar ketuhanan, alam, roh, dan lain-lain- apa yang disimpul sebagai metafizik. Malah, keghairahannya mungkin sekali mencapai persoalan ontologi dan epistemologi sebagai jawaban paling dasar bagi semua persoalan hidup. Seperti kata Pak Samad, kehidupan ini dipercayai ada susun-aturnya dan tingkat-tingkatnya. Semua persoalan dalam dan sulit ini, seseorang yang bersemangat falsafah sahaja menyanggupinya.             

Falsafah Sepatutnya Membawa Kepada Tuhan 

Berbalik kepada persoalan asal, apa yang saya ingin kaitkan ialah, seseorang yang punyai semangat falsafah boleh jadi tidak akan suka kepada persoalan-persoalan yang bersifat ringan, yang tidak membelai akalnya. Akalnya senantiasa mahukan pengisian yang berat-berat. Pabila seorang ustaz yang warak memberi khutbah pada hari Jumaat, “bertakwalah kepada Allah”, baginya itu perkara biasa yang semua orang pun tahu. Dia tak tertarik dengan seruan taqwa tersebut. Dia juga tak suka mendengar tazkirah-tazkirah awam yang membicara fadilat-fadilat amal, cerita keperibadian Nabi saw, dan pelajaran-pelajaran moral misalnya. Status-statusnya di facebook kesemuanya bersifat kritis dan tepu pengetahuan, hampir tiada yang bersifat ringan misalnya seruan kepada adab dan akhlak.

Sedangkan seorang ilmuwan muslim, semakin bertambah dalam ilmunya, semakin bertambah taqwa beliau kepada Allah swt. Ertinya, wujud perkadaran langsung antara ilmu dan ketuhanan. Kalau seseorang itu bersemangat falsafah, bererti dia juga seorang yang dekat dengan Allah swt.  Rasa berTuhannya lebih tinggi daripada orang yang tidak bersemangat falsafah. Ini yang saya ingin maksudkan dengan Tuhan sebagai ‘titik tumpu’, ‘titik asal’, dan ‘titik rujuk’ dalam takrif ilmu oleh Al-Attas tersebut. 

Seorang yang bersemangat falsafah dan gemar mengambil tahu, sepatutnya dia juga rapat dengan sesiapa pun yang suka menghampirkan diri kepada Allah swt. Gemar bersama dengan kawan-kawan yang menjaga amalan dan baik pula akhlaknya. Selalu mendampingi guru-guru yang kelihatan warak, mendengar ucapan-ucapan sufi mereka tanpa langsung rasa jemu. Suka mendengar seruan tasawuf dan pelajaran pembersihan hati bahkan itu lah yang ‘paling falsafah’ bagi dia. Apabila saya renung-renungkan lagi di masa lain, saya terfikir, mungkin isu inilah antara alasannya mengapa Al-Imam Al-Ghazali seakan menjauhi falsafah sebagai seorang pejalan (salik) menuju Tuhan.   

"Bertambah ilmu, makin terasa berTuhan"

12:38, 13/12/2011. Negeri Al-Quran.     

2 ulasan:

  1. sentuhan tasawuf sudah pasti mampu memantap dan memperkemaskan aqidah utk memastikan lahirnya mujaddid zaman,pendokong falsafah Islam sejati.segalanya menuntut kesungguhan dan pengorbanan besar yg memerlukan tempoh masa yg panjang.didiklah diri sabar utk bersabar.

    BalasPadam
  2. patutlah ustaz di sekolah nasihat ; " jikalau diri tiada kepentingan lebih kepada falsafah, elakkan. kalau falsafah itu perlu, tidak apa. beradalah di pertengahan. "

    BalasPadam