Rabu, 21 Disember 2011

Makna Perjuangan

(Ditulis oleh seorang penghafal al-quran di Darul Quran, antara lain sebagai penghargaan ikhlas buat barisan kepemimpinan pelajar yang baharu ditabal. Kerana, buat pertama kalinya, sebuah syarahan ilmiah-kritikal dianjurkan di Darul Quran, sebuah institut tahfiz terkenal di Malaysia!)



Syukur, segunung ucapan terima kasih saya ingin lambakkan ke hadapan Persatuan Kebajikan Pelajar Maahad Tahfiz Darul Quran sesi 2011-2012 atas ‘keberanian’ mereka menganjurkan program berkala bertajuk Siri Pembudayaan Ilmu dengan siri pertamanya yang mengambil tajuk, Pemikiran Prof. Syed Muhammad Naquib Al-Attas. Saya sungguh sanjung inisiatif ini bukan sangat kerana Al-Attas sebagai tokoh mithali saya, tetapi lebih tepat lagi kerana mereka telah membantu memaknakan perjuangan saya yang saya yakini sejak tempoh yang lama. 

Kehadiran abang Fahysal, abang Aliff, abang Aimran, dan abang Sya'arani pada pagi itu seakan sinar baharu bagi saya sendiri, teman-teman sepenuntut, dan Darul Quran sebagai sebuah institusi keilmuan. Saya bukan berlebihan memerikan. Seperti cakap puji-pujian saya kepada teman pimpinan pelajar yang melaksana program, bahawa, "buat pertama kalinya dalam sejarah pelajar Darul Quran, kepimpinannya menganjurkan ceramah awam yang layak dikategori sebagai wacana ilmiah-kritikal." 

Saya sebelum ini pernah mengadu masalah ‘minda tertawan’ dan ‘tiada keberanian berfikir’ kepada perwakilan pelajar dua tahun lepas, sekaligus mencadangkan pada masa itu, yang pada hari ini baru dilaksana,  wacana ilmiah-kritikal. Di Darul Quran, saya boleh kata tiada langsung penganjuran wacana sebegini oleh perwakilan pelajar sejak jejak kaki pertama saya sebagai penghuni di sini. Bayangkan, saya menunggu sejak itu sehinggalah saat ini, usia saya hanya tinggal kira-kiranya tiga bulan sahaja lagi bagi mentamatkan tiga tahun pengajian. Namun, segala puji tetap dan hanya bagi Allah swt yang merencana setiap kejadian.

Kerana saya yakin, bagi mengubat segala masalah yang menimpa para pelajar, di Darul Quran khususnya sebagai objek pemerhatian saya, ialah dengan membebaskan minda. Biarkan ia terbang tinggi menyentuh langit suci pemikiran dan ilmu pengetahuan.   

Cara-gaya Perjuangan Yang Saya Yakini

Sebelum apa-apa, ingin saya tegaskan bahawa Al-Attas merupakan sosok pejuang Islam. Kelihatan hasrat perjuangannya yang luhur di buku-buku beliau. Risalah Untuk Kaum Muslimin umpamanya, menggunakan retorika (seni persembahan) laksana seorang insan prihatin dan kasih kepada kaum kaum muslimin sesaudara. Tumpuan kajian dan penulisan Al-Attas ialah menyelesaikan gejala-gejala buruk kehidupan masharakat muslimin masani. Mudah cakap, kajian dan penulisan yang bersifat problem solving, itu yang menjadi hasrat besar Al-Attas. Bila memikirkan hakikat ini, saya terasa sebak. 

Tuan-tuan boleh fikirkan sendiri, orang hari ini terlalu ramai yang sama ada tak kenal atau salah kenal Al-Attas. Salah kenal Al-Attas, maksud saya, dengan mengenali Al-Attas sekadar beliau sebagai ilmuan popular, sebagaimana yang terjadi pada saya ketika mula-mula serius ingin mendampingi pemikiran beliau pada empat tahun yang lepas ketika menuntut di UIA. Hakikat Al-Attas sebagai insan pejuang yang dengan penuh kasih sayang cuba mengubat derita sakit pada tubuh kaum masyarakat Islam, tidak pula terlintas di fikiran para penzalim tersebut. Ini lah sebabnya mereka itu tidak berdaya meletakkan Al-Attas pada tempatnya yang betul, maka itulah lahir telahan-telahan yang jauh meninggalkan kebenaran berkenaan Al-Attas. Masya-Allah! 

Saya mengambil kalam oleh Prof. Wan bagi menjelaskan perjuangan Al-Attas, bahawa, perjuangan para attasian di muka bumi Allah ini ialah bercara-gaya ‘dynamic stabilism’, iaitu kestabilan dinamik. Sebuah perjuangan mengislah kaum muslimin dengan cara mengubah faktor paling akar, iaitu faktor kestabilan, bagi kaum muslimin. 

Bayangkan saja masalah umat muslimin masani (zaman kini) sebagai sepohon pokok rendang berakar satu yang tunjang. Segala masalah zahir kaum muslimin diwakili oleh zahir pokok yang kelihatan pada pandangan mata zahir kita, dengan dahan-dahannya yang bercabang-cabang dan daun-daun hijaunya, menggambarkan keserabutan dan banyaknya masalah kaum muslimin. Al-Attas, bagi beliau – ini menurut saudara Aliff Basri – segala (masalah) yang nampak oleh mata itu merupakan gejala, bukan masalah sebenar. Masalah sebenar diwakili oleh akar tunjang yang bilangannya satu itu. 

Apakah masalah sebenar (the real problem) kaum muslimin? Jawab Al-Attas : Ilmu. Dengan itu Al-Attas mengungkapkan (yang mafhumnya), ‘Segala permasalahan (gejala) kaum muslimin pada hari ini berakar dari kekeliruan dan penyelewengan dalam menanggapi ilmu pengetahuan’. Oleh sebab itu, perjuangan Al-Attas bersifat keilmuan dan islah yang ingin dilakukan ialah pada pemikiran. Dengan itu Al-Attas memperkenalkan kerangka epistemologinya (falsafah ilmu) dan kerangka pandangan alam tradisi Islam (rukyatul Islam lil- wujud). Apa wasilahnya? Wasilahnya pastilah pendidikan. Saya ulang, wasilahnya ialah melalui pendidikan.  

Pesan Saya Buat Para Pejuang Haraki-Politik

Oleh yang demikian, perjuangan yang cuba dilaksanakan oleh Al-Attas memanglah tidak bersifat ‘pantas mengubah setiap yang berlaku di hadapan mata’ seperti dibuat oleh golongan terbesar anak muda hari ini yang sana-sini ‘berharakiy’ atau pun ‘pantas bergerak’. Aktivisme menjadi ide utama yang mentakrifkan perjuangan, yang terserlah pada pemuda-pemudi asuhan Parti Islam se-Malaysia (PAS). Saya tidak salahkan mereka yang kuat semangat keislaman itu. Malah saya kagum akan semangat, dan istiqamah sesetengah kawan saya dalam memperjuangkan Islam. Ketegasan dan sentimen mereka yang tebal dengan agama Islam. Semangat jihad dan pengorbanan mereka yang sukar saya tandingi. 

Namun, ingin saya menyelit pesan kalau diberikan celahan, bahawasanya segala usaha fizikal itu tidak akan berhasil selagi mana tidak diasaskan pada ‘ilmu yang benar’ dan ‘meletakkan sesuatu pada tempatnya’. Ini berkaitan dengan soal konteks atau pun mahsyur diulang sebut oleh anggota harakiy sebagai waqi’iy. Konteks bermaksud ‘tempat’. Seorang pejuang wajib kenal tempat sebelum bertindak. 

Contoh yang mudah, seorang pendakwah yang ingin melaksana dakwah fardi mestilah mengkaji terlebih dahulu keperibadian sasarannya sebelum memulakan dakwah tersebut. Begitu pula dalam contoh yang lebih besar, sebuah barisan perwakilan pelajar mestilah mahir ‘membaca masyarakat’ yang berada di bawah pimpinannya sebelum melaksana islah. Islah difaham sebagai memperbaik. Untuk itu, contohnya, perwakilan tersebut mesti mengenalpasti masalah yang melanda para pelajar, kemudian, mencari sebab bagi masalah tersebut, kemudian, merencana pelan tindakan bagi menyelesaikan masalah. ‘Mengenalpasti sebab bagi masalah adalah titik mula bagi menyelesai masalah’ merupakan sebuah kaedah penting dalam melakukan pembaikan. Al-Attas sebut ini dalam salah satu makalah beliau. 

Jadinya, bagi melakukan perjuangan, atau pun islah, seseorang wajib punyai ilmu yang benar buat mengadili semua perkara, dan juga ‘akal yang tidak tertawan’, iaitu akal yang secara kritis dan analitis mampu memikirkan kejadian sekeliling, melihat yang mana perlu diubah, memcari akar masalah, lalu merencana sebelum bertindak. Inilah namanya perjuangan yang terpimpin! Bukan perjuangan yang tergesa-gesa mengubah semua yang ternampak di hadapan mata sehingga berlaku keadaan ‘hanya membanyakkan lagi masalah yang sedia ada’, yang secara pakejnya, ‘hanya menyusahkan usaha memperbaiki masalah paling akar’ hasil tilikan para pejuang yang berhati-hati lagi cukup teliti dalam menjalankan perjuangannya.

Kalam Penutup

Saya akhiri dengan rangkap Al-Attas dalam Islam and Secularisme yang diterjemah oleh salah seorang anak murid beliau Al-Ustaz Khalif Muammar, 

"Ingatlah bahwa kita adalah umat yang tidak terbiasa dan tidak dibenarkan untuk untuk kehilangan harapan dan kepercayaan diri, maka tidak mungkin bagi kita untuk tidak melakukan sesuatu melainkan bertengkar sesama kita sendiri dan meneriakkan slogan kosong dan aktivisme yang negatif sementara kita membiarkan tantangan zaman yang sebenarnya melanda kita tanpa perlawanan yang positif. Tantangan yang sebenarnya adalah yang bersifat intelektual, dan perlawanan positif harus ditingkatkan melalui kekuatan benteng yang bukan hanya bersandarkan kekuatan politik, namun oleh kekuatan yang disandarkan pada ilmu yang benar." 

Rangkap ini saya abadikan di birai kanan blog ini sebagai mewakili keyakinan perjuangan saya.      


2:30 pagi 19/12/2011,
Darul Quran.


3 ulasan:

  1. "Ditulis oleh seorang penghafal al-quran di Darul Quran"...rsnye lbih baik ditulis "salah seorg penuntut DQ" - lebih bersifat merendah dri n x menunjuk-nunjuk dlm penulisan..Wallahu'alam

    BalasPadam
  2. assalamu'alaikum. dikurniakan nikmat untuk menghafal Al Quran merupakan anugerah daripada Allah Ta'ala, teruskan menulis ya akhi :)

    BalasPadam
  3. Wa'alaikumussalam.

    Jazakallah kedua-dua komen. Moga Allah taala karuniakan kebaikan yang bertimpa-timpa.

    BalasPadam