Selasa, 15 November 2011

Sedikit Asumsi dan Keinsafan

Entah apa ingin ditulis sekarang? Saya ingin menulis, ingin menzahirkan keinsafan-keinsafan dan rumus-rumus baharu yang tentu saja menghaluskan lagi makna kehidupan singkat tetapi berseliratan ini.. Fikiran-fikiran tersebut, sekarang ini wujud sejak malam tadi lagi dan amat menginsafkan. 

Apakah saya sudah tertindas oleh apa yang disebut sebagai ‘rasionalisme’ atau pun ‘kuasa akal’ yang terlihat bagi saya akal merupakan diri insani. Atau pun, ego seorang insan. Ego yang saya ingin ungkap di sini ialah apa yang berhubung dengan individualism- kecenderungan yakin dan percaya pada diri (akal) lalu mengharung hidup realiti ini dan alam pemikiran dengannya. Saya tak tahu, apakah mungkin juga diungkapkan sebagai, ‘kuasa ikhtiyar’ seperti dalam disiplin ilmu kalam. Saya tak tahu apakah ini pertantangan sengit dua pihak yang boleh dilagakan- falsafah (dengan maksud individualisme akliah) dan Tuhan (dengan maksud kehendak Tuhan). 

Walaupun saya terperasan, kadang-kadang saya tersilap dalam kerja berfikir dan mencari makna dan seorang guru pernah memberi pesannya kepada saya bahawa “ada benda-benda yang tak perlu dan tak boleh difikirkan”. Dan benda-benda yang tak perlu dan tak boleh difikirkan di sini bukan bermakna hal ehwal ghaib yang sejak asal tak termampu dibuktikan secara ilmiah-saintifik-sistematis, tetapi yang sebaliknya. 

Kekadang orang mengkritik seruan ‘kebebasan berfikir’ dan falsafah/aliran liberalisme yang tertunas daripadanya. Namun, falsafah inilah yang memunculkan dan mengekalkan tamadun moden Barat sekian lama sampailah sekarang. Seperti kata Khalif Muammar (anak didik Al-Attas), liberalisme merupakan falsafah utama tamadun barat. Dr. Khalif ialah penterjemah buku terbesar Al-Attas, Islam and Secularisme ke bahasa melayu Indonesia. Pasti beliau antara orang yang paling memahami buku penting itu seperti dihasrat maknanya oleh tuan pengarang. 

Saya tahu, saya bersama-sama kaum muslimin seluruhnya saat ini sedang berhadapan dengan cabaran zaman. Cabaran zaman sentiasa ada dan berbeza. Sesuai dengan kata ‘tempoh’ dan ‘temporal’, yang mencerminkan ‘masa’ dan ‘kesementaraan’. Kerana perbezaan dan sentiasa berubah inilah sejarah ada warna dan mendapat esensinya. Bagi melepasi cabaran zaman ini, tak dapat tidak seseorang mesti pandai mengenali zaman. Mahir membaca zaman yang sentiasa berubah ini. Zaman yang berubah pasti saja menentang dengan wajah yang berbeza pula. 

Misalnya sekarang orang mengatakan zaman sudah dan sedang berada pada tahap pasca-moden selepas tahap moden. Pemikiran yang menguasai masharakat oleh itu dikenal sebagai pasca-modenisme, selepas berakhir era modenisme. Kalau tempoh masa yang dinamakan sebagai moden itu ditandai dengan renaissance yang bertindak ‘memodenkan’ bangsa kulit putih, dengan difaktorkan oleh kebangkitan rasionalisme-saintifik dengan kewajiban melaungkan mistisme sebagai musuh rasionalisme dan penyebab zaman hitam tamadun mereka, pasca-modenisme pula merupakan dirinya sebagai anti-tesis kepada kenyataan ini. Iaitu, memujuk semula mistisme kembali ke pangkuan masharakat dan tamadun demi saja tersedar oleh krisis kemanusiaan yang meruncing sejak penghalauan mistisme oleh zaman moden. Begitu contoh ‘membaca’ zaman.

Kalau dahulu Immanuel Kant diagung serata negeri, sekarang tiba zamannya di mana Ibn Arabi dimasyhurkan kembali. Perkembangan ini terbukti dengan permintaan yang tinggi semula terhadap agama di negara-negara Barat. Sebaliknya yang berlaku, Islam mendapat sambutan selepas peristiwa sebelas hari bulan sembilan. Terbukti falsafah modenisme yang materialistik, anti-sakral, dan anti-ghaib  itu bermasalah kepada ketamadunan. Sekularisme yang dikritik bulat oleh Al-Attas memang kena tempat dan kekinian zaman. Al-Attas terbukti berupaya dengan jayanya membaca zaman. 

Sekularisme yang cuba dijelaskan beliau merujuk kepada peminggiran agama dan rohaniyah oleh zaman moden sejak mulanya, atau pun pasca moden yang masih juga moden (kerana falsafah modenisme masih kuat sekarang). Ramai manusia yang tanpa cuba meneliti faham sekularisme bawaan Al-Attas ini, terus tergesa menafikan makna sekularisme ini di samping ada juga pemikir-pemikir lain (seperti Nurcholis Majdid) yang turut mentakifkan sekularisme namun tanpa kontekstual dengan zaman, tanpa ada essence of problem solving, atau pun tidak ada 'human interest' pada takrif sekularisme mereka. Pentakrifan yang bersahaja, bebas dan kosong daripada ruang dan zaman.      

Apakah sekularisme akan terus naik namanya (sebagai musuh jahat) pabila orang mula berborak mengenai pengumuman kedatangan pasca-moden? Pengumuman ini bukan dibuat oleh pemikir muslim. Ia diumumkan sendiri oleh Michael Faucoult, pemikir jaguh pasca moden. Walau apa pun, perjuangan Al-Attas ternyata mengena. Farhan Afandi – dari ofis liberalisme Khalid jaafar – juga memberitahu saya perkara yang sama iaitu ‘Barat mula menoleh kepada sufisme Islam’. Pak Khalid sendiri dan teman-temannya pun kala ini sedang mendiskusikan wacana-wacana Ibn Arabi. Apakah zaman benar-sungguh bergerak ke arah sufisme-rasionalisme semisal Ibn Arabi, Rumi, Surahwadi, Mulla Sadra, dan Shah Waliyullah? 

Dalam minat dalam saya terhadap sufisme, saya sedar bahawa rasionalisme atau falsafah yang seringkali dipoinkan sebagai bersatu dengan dimensi ketuhanan yang ghaib, oleh itulah lahir mahabbah dan ‘asyik, perkara ini, amat membebankan dan usahanya sulit. Kerana kefalsafahannya, saya ghairah dan bertekun membaca tentangnya. Bukankan kerja berfikir yang saya suka buat ini lebih kepada mengasuh individualisme akliah saya? 


Seseorang yang gemar membaca buku perlahan-lahan tanpa sedar membina egoismenya sendiri. Seorang yang kuat membaca menguatkan kecenderungan ‘betapa dia manusia berakal yang gah’ pada dirinya. Seorang yang mempunyai sifat ‘passion for meaning’ iaitu keghairahan tinggi mengetahui sesuatu sedalamnya, atau pun disebut, ‘semangat falsafah’ adalah bermasalah jika tak terpimpin, jika tanpa menghiraukan dimensi rohaniyah yang darinya datang kebahagiaan (sa’adah)

Kepada para pembaca buku, termasuk saya, saya ingin bertanya, “bagaimana akhlak kita dengan orang? Bagaimana hubungan kita dengan Tuhan? Bagaimana kedudukan Nabi Muhammad saw dalam pemikiran dan amal kita?”. Al-Ghazali barangkali kerana memikirkan masalah (besar) inilah beliau sering menekankan hubungan ilmu-amal, tercermin pada kitab-kitab beliau. Saya memang perasan ini sejak lama. 

Saya tahu, tulisan ini akan menjadi panjang dan huraiannya mungkin mengelirukan kalau diteruskan. Menyusahkan orang. Sudahkan membaca dan berhenti merenung! Amalkan dan beristiqamah dengan kefahaman-kefahaman yang mudah yang sudah sedia ada. Cukup dengan simpulan-simpulan mudah yang menggugah nurani saya malam tadi tatkala saya mendengar ceramah oleh seorang insan yang cukup mengesankan saya sejak empat tahun lepas, Al-Ustaz Muhadir bin haji Joll. Al-Ustaz berbicara dengan tajuk ‘lau kana bainana al-habib’ berkisar Junjungan Besar Nabiyyuna Muhammad sollallahu alaihi wa alihi wa sohbihi wa baroka wasallam dan akhlak baginda saw. Nanti saya mahu ungkapkan kembali di sini sebagai natijah berguna untuk jiwa-jiwa.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan