Isnin, 28 November 2011

Perjuangan Akliyah, Prof. Fazlur Rahman

Perjuangan, Dalam Akal

Dalam akal, perjuangan para kontradiksi ialah menuju ke sebuah kebulatan.
Manakala perjuangan sebuah kebulatan ialah menyebar ke dalam akal-akal yang lain.
Kontradiksi dan kebulatan, masing-masing berkebal dengan rasa keimanan menjangkau cinta, dengan ini, maka perjuangan tak kan pernah mahu tahu bila tarikh matinya, 
kontradiksi dan kebulatan terus hidup berjuang dalam akal.
Wahai matlamatku, yang maha mengorentasi segala gerak dalam akal,
Tuhanku yang ku percaya
Berjuang untuk Mu 
demi kehadiran Mu saja
Ku kan terus percayakan Mu sampai bila-bila. 

1:39 pagi, 24/11/2011, DQ




Hari ini aku ingin ucap “terima kasih” kepada almarhum Prof. Fazlur Rahman, atas jasanya menyelesaikan salah satu masalah yang lama mengurung akalku. Prof. telah memperkenalkan istilah bagi dua sifat banding. Interpretatif dan informatif. Interpretatif berhubung dengan kekuatan akal untuk mentafsir atau mendalami makna, manakala informatif pula menunjukkan informasi, yang lebih kepada ‘pemberitahuan awam’ tanpa mahu menghalusi maknanya. 

Bagi seorang ilmuan yang menulis dan berucap, pastilah kedua-dua sifat ini penting kerana saling melengkapi namun bagi saya sifat yang pertama lebih dituntut, kerana ia, seperti dimaklumkan Prof. Fazlur Rahman, perlu bagi menggabungkan fakta-fakta atau pun kebenaran-kebenaran yang kelihatan terpotong-potong atau pun terpisah antara satu sama lain. Apa tujuan menggabungkan semua ini? Pastilah bagi menghasilkan satu pandangan semesta, atau pun menghasilkan kebulatan jitu, yang mampu menyimpulkan segala macam fakta dan kebenaran itu. 

Dengan jasa almarhum ini juga, sekarang saya makin mampu menilai dengan lebih saksama setiap penulisan yang mengelilingi saya setiap hari, mampu kenal dan memilih mana ilmuan yang sebenar berdasarkan penulisan dan pidatonya, dan seterusnya menjumpai kebenaran lalu memperjuangkannya. 

Memang, kekuatan interpretatif yang mengandalkan makna - bukan lafaz – ini selalu ada pada golongan yang masyarakat panggil sebagai golongan “pemikir” atau “intelektual” atau “filosof”. Tidak pada golongan “ulamak”, yang lebih sering dinisbahkan kepada penekun ilmu-ilmu agama cara tradisional, dicirikan dengan konservatif, lama, dan tidak filosofis. Apakah fikiran awam ini benar dan disetuju belaka? Malah golongan ulama itu sendiri, meminjam Kant, rela memikul kebodohan di pundak mereka. Mereka menjelmakan diri sendiri sebagai ‘ulama’ sebagaimana persepsi awam. Apa yang mereka buat ialah mentajamkan lagi persepsi tersebut. Perkara ini benar selagi mana kelompok agamawan ini kekal tidak mahu mengasah kekuatan interpretatif mereka, yang bagi saya antara keperluan besarnya ialah supaya mereka bisa membaca zaman dan ruang, dan dengan itu sajalah, gerak dan tindak agamawan (dan agama) di masa moden ini ‘kena tempat’ atau pun 'kontekstual’ demi melakukan perubahan besar yang dihasrat. Rumusan ini yang saya lontarkan pada mesyuarat bersama rakan-rakan fasilitator petang tadi. 

Terima kasih sekali lagi untuk almarhum. Benarlah seperti dikata orang, seorang ilmuan yang mati akan sentiasa terasa masih hidup di hati generasi selepas matinya, lantaran karya-karya ilmiahnya. Wallahu a’lam. 

2:14 pagi, 24/11/2011. DQ.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan