Selasa, 22 November 2011

Mengisi Cinta

Tetiba ungkapan ini, “mengisi cinta”, termuncul di ruang fikir. Saya ingat elok sangat kalau dibiakkannya menjadi sebuah penulisan bermanfaat.

Kuasa Perasaan

Setiap manusia mempunyai perasaan.  Jalaluddin Rakhmat, seorang figur awam di Indonesia menceritakan sisi perasaan atau emosional sebagai salah satu tajuk dalam buku beliau. Buku itu, judulnya Meraih Cinta Ilahi – Pencerahan Sufistik, saya beli kerana tertarik. Ia menghimpun fikiran-fikiran kreatif penulis bagi penuju cinta Tuhan, disajikan dengan ringan tetapi sempurna menyelerakan akal saya. Tetapi sekarang saya bukan nak mengulas buku itu, melainkan ingin berkisah mengenai tajuk ‘mengisi cinta’ dengan mengambil salah satu fikiran Jalaluddin untuk memulakan kisah. 



Menurut Jalaluddin, sisi perasaan mempunyai tempat yang besar dalam kehidupan seorang insan. 

Tulis Jalaludin:  “Emosi sangat mempengaruhi kehidupan manusia ketika dia mengambil keputusan. Tidak jarang suatu keputusan diambil melalui emosinya. Tidak ada sama sekali keputusan yang diambil manusia murni dari pemikiran rasionya (saya : akalnya), kerana seluruh keputusannya memiliki warna emosional. Jika kita memperhatikan keputusan-keputusan dalam kehidupan manusia, ternyata keputusannya lebih banyak ditentukan oleh emosi daripada akal sihat.”   

Kenyataan di atas kemudiannya beliau kukuhkan dengan sebuah cerita benar berlaku. Begini:

Pada satu saat, ada seorang anak meminta izin pada orang tuanya untuk menginap di tempat kawannya. Tak lama dari itu, si anak kembali ke rumah kerana tidak betah (saya : tidak tahan) tinggal di rumah temannya. Pada saat itu, orangtuanya masih menonton opera. Anak nakal itu mempunyai rencana. Ia ingin membuat kejutan untuk orang tuanya ketika pulang ke rumah pada waktu malam. Ia akan diam di toilet. Jika orang tuanya datang, ia akan meloncat dari toilet itu sambil berteriak.

Beberapa saat kemudian, menjelang tengah malam, orang tuanya pulang dari menonton opera. Mereka melihat lampu toilet di rumahnya menyala. Mereka menyangka ada pencuri di rumahnya. Mereka masuk ke rumah perlahan-lahan sambil membuka pintu untuk segera mengambil pistol, lalu mengendap naik ke atas loteng tempat toilet itu berada. Ketika sampai dia atas, tiba-tiba terdengar teriakan dari toilet itu. Ditembaklah orang yang berteriak itu sampai lehernya putus. Dua jam kemudian anak itu meninggal dunia. 

Kata Jalaluddin lagi sebagai merumuskan cerita tersebut : “saya bisa bayangkan betapa menyesalnya kedua orangtua itu. Mereka bertindak terlalu cepat. Mereka mengikuti emosi ketakutan dan kekhawatirannya sehingga panca indranya (dan akal rasionalnya) belum sempat menyampaikan informasi yang lengkap tentang orang yang meloncat dan berteriak itu. … Mestinya mereka menganalisis dulu. Mereka lihat siapa orang itu”

Lihat, bagaimana sisi emosi bertindak dalam menentukan keputusan perbuatan, bukan akal semata. Seterusnya Jalaluddin menyimpulkan bahawa seseorang mesti memiliki keupayaan mengurus emosi, memandangkan emosi yang tak terurus akan membuahkan akibat yang buruk dalam kehidupan, seperti cerita menyayat di atas.

Saya tidak mahu membahas dengan lumat apa yang dicadang dan dibuktikan oleh Jalaluddin ini walaupun ada persoalan lain yang mengajak saya berdebat. Cukuplah untuk menunjukkan bahawa emosi/perasaan amat besar pengaruhnya dalam kehidupan seorang insan, dengan tambahan bukti daripada para pengemosi-pencinta zaman-berzaman. Mereka yang sampai jadi gila dan mabuk kerana cinta. 

Sang sufi yang tenggelam dalam dunia cinta Tuhan, hilang kesedaran pada hidup yang nyata di mata kasarnya. Manakala pencinta lelaki-wanita, seakan kena pukau, sanggup meninggalkan keluarga yang mengasuhnya sejak bayi demi memilih kekasih yang baharu dikenali kurang daripada setahun. 

Maka, tidakkah cinta berkuasa menentukan keputusan-keputusan hidup? Waras berubah mabuk, takut menjadi sanggup? 

Mengisi cinta

Ya, cinta harus diisi. Rasa cinta wujud pada setiap diri manusia. Sebagai faktor dominan yang berkuasa luar biasa mengatur kehidupan, jadi ia mesti diisi dengan sepatutnya. Inilah yang saya ingin kaitkan dengan apa telah diungkap oleh Jalaluddin Rakhmat sebagai mengurus emosi. Cinta mesti diurus dengan betul. Betul bermaksud, yang disebut “betul” oleh agama. Kegagalan dalam mengurus emosi cinta akan mendatangkan akibat yang gagal pula dalam kehidupan. Kita sendiri yang berusaha mencipta kehidupan celaru dan derita pabila gagal mengisi cinta. Kita juga yang berbahagia dan tenang dalam melayari hidup apabila kapalnya ialah cinta yang syarie.  

Berapa ramai daripada ustaz-ustazah dan para pendakwah yang tewas bila bertarung dengan rasa cinta lain jantina yang selalu datang menyerbu hati tatkala ‘berjuang’ bersama? Isu cinta kopiah-tudung begini saya tak berminat untuk sekadar menambah ulas. Cuma untuk entri ini saya cuba memperkenalkan cinta sebagai kuasa luar biasa yang harus diisi dengan betul.

Sebab itu saya sebut dari awal bahawa cinta  itu harus kita isi dengan isi yang betul. Jangan biar ia terisi sendiri dengan godaan-godaan jahat dunia – cinta yang palsu, yang hanya mahu menjahanamkan kehidupan  - yang sentiasa mahu menguasai ruang cinta milik kita. 

(foto ini hanya terasa manis oleh orang-orang tertentu)


Persoalannya sekarang, siapakah yang harus dicinta, yang terpilih sebagai isi cinta kita?  

Saya jadikan kenangan berikut sebagai jawab : (Ungkapan ‘mengisi cinta’ tetiba terpacul tatkala aku, dengan jiwa menguntum, sedang melihat-lihat foto keluarga  - ummi, abah, adik-beradik ku – sambil telinga sedang galak menyedut lagu-lagu qasidah memuliakan Sayyidana Muhammad… Alhamdu lillah.. Moga-moga Baginda Rasulullah saw beserta ummi, abah, dan ahli keluarga ku kekal menjadi isi cinta pertama aku antara banyak-banyak manusia di bumi ini, dalam perit perjalanan aku mencecah cinta teragung Tuhan Rabbul Jalil. Amiin.

Aku bersyukur yang amat, Tuhan telah karuniakan untuk aku ibu bapa yang mencintai Tuhan. Aku percaya, hubungan famili yang berasaskan cinta tertinggi seperti ini adalah hubungan yang tak kan terputus kerana ‘cinta ketuhanan’ merupakan satu-satunya penghubung cinta yang hakiki. Keyakinan ini tak pernah aku sangsikan, dan rasa cinta suci yang sampai sekarang berdenyut tanpa henti menghidupkan aku menjadi buktinya. Terima kasih isi cintaku!)  -Darul Quran, 22.11.2011

*tulisan berwarna merah, kerana merah memberi makna cinta.

2 ulasan:

  1. >>>>>Nama Indah Berkata<<<<<

    Duhai Sahabatku Yang Dikasihi,

    Memberi Keputusan Selalunya Dengan Emosi,
    Menjawab Alasan Selalunya Dengan Logik,
    Hati Memang Ditempatkan Perasaan,
    Tidak Boleh Lari,
    Tetapi Boleh Dikawal Dan Ditunjukkan Jalan.

    BalasPadam
  2. Hati-hati mengisi cinta, jangan tersasar,terperangkap cinta murahan.perlu tahu awlawiyat dlm mengisi zaman.doa selamat dlm perjalanan.

    BalasPadam