Ahad, 6 November 2011

Cinta Fansuri : Sebuah Pelajaran Cinta

Cinta bukan soal remeh dan biasa. Cinta merupakan kuasa aneh mengatur kisah hidup manusia. Pak Samad cuba menyelak kenyataan ini menerusi Cinta Fansuri - sebuah pelajaran tentang cinta. 


Apa yang boleh saya ungkapkan untuk Cinta Fansuri? Bingung juga kesudahannya. Kalau inginkan cerita daripada buku ini, memang yang terhasil ialah kebingungan dan tanpa kesudahan yang memuaskan seperti terhasil pabila membaca Ramlee Awang Murshid. Penggemar Ramlee yang terbiasa dengan hiburan penghikayatan dengan segala kompleksiti plot dan saspensnya tak akan serasi dengan Cinta Fansuri. Kalau yang diharapkan adalah jalan cerita yang thriller, novel ini paling mungkin untuk diletak di luar kelas. Bayangkan, saya mengikuti dengan teliti plotnya yang bertindihan itu, dan saya yakin bisa menguasainya, tetapi bab terakhirnya yang tak sampai satu per tiga halaman pantas mematikan aliran yang saya telah mula dan sambung-sambungkan itu. Bab terakhir seumpama aliran sama dengan kemarau air mengantarainya dan bab-bab sebelum. Berulang saya katakan, seorang ‘penagih cereka’ tak akan mendapat habuannya daripada novel ini memandangkan peleraian ceritanya membingungkan, dan juga klimaksnya tak tertonjol.

Menerusi kata ganti pertama ‘aku’ yang sedang berkhayal di tepi Sungai Matu, novel ini bercerita mengenai Fansuri, pemuda Melayu yang meninggalkan buminya sendiri ke Paris hampir tiga dekad yang lalu, akibat hebat dikecewakan oleh makhluk bernama cinta. Cinta manusia bernama Fahiyaton. Ujian cinta yang maha hebat lantaran tiga kali dia ditolak Fahiyaton dalam tempoh yang lama, walaupun ikrar setia gadis itu di permulaan cinta berulang-ulang kali masih terngiang, payah dilupa.

Damri, seorang budayawan (penulis, pengarah teater) dipinta oleh Wan Siriyah – anak saudara kepada Fahiyaton – untuk ke Paris demi menghulurkan pesan Fahiyaton kepada Fansuri setelah tiga dekad hampir tanpa sebarang perhubungan. Fahiyaton yang saat sekarang sedang terlantar di wad, menggunung harap misi Damri berjaya. Apakah pesan itu? Pak Samad merahsiakannya. Namun hasrat utama Fahiyaton ialah bertemu dengan pencinta lukanya itu sebelum dia mati. Damri tergesa ke Paris, meninggalkan bengkel penulisan pimpinannya kepada Bambrio keseorangan mengurus pelbagai kerenah pelajar mereka. Di Paris Damri bertemu sahabat sesekolah rendahnya Obardi, berkenalan dengan Laura Ash, seorang wanita, teman sahabatnya itu. Damri cuba melalui Obardi untuk mendapatkan Fansuri di tengah kalut kota besar Paris namun takdirnya misi ini gagal. Gagal bukan kerana tiada komunikasi langsung antara Fansuri dan Damri. Gagal kerana Fansuri sendiri menolak untuk bertemu Damri setelah diketahuinya daripada Shakeel Alim pemuda itu dari Malaysia. Fansuri awal lagi tepat menerka, ‘tentang apa lagi kalau dari Malaysia, kalau bukan pembongkaran semula sebatian cinta dan kepuraan, sebatian yang sampai kini kekal barah di jiwa nurani aku!’.

Saya mengandaikan misi Damri gagal kerana zahir cerita mengarah ke situ. Tetapi pabila mempertimbangkan bab terakhir yang menyatakan kematian Fahiyaton yang lama terlantar, dengan kata-kata akhirnya, ‘aku tak akan kahwin seorang pembunuh!’ disertakan bab pertama yang turut berahsia kala Fansuri menjerit, ‘bukan aku yang membunuh leftenan itu. Bukan peluru aku…’, maka ini menunjukkan terdapat andaian lain yang layak dikemukakan sebagai peleraian cerita. Pasti sekali berhubungan dengan plot (sebab-akibat) wanita tua dari Edang Epala yang asyik mengulang kisah datuknya membunuh orang putih kerana saya masih belum terjumpa keleburan bahagian ini bersama kebulatan cerita novel. Memang, saya masih belum menguasai cerita sepenuhnya. Namun cukup dengan andaian umum bahawa berakhir cerita ini dengan bad mood.

Apa inti novel ini? Novel nipis ini sebenarnya karya khayalan daripada Pak Samad. Sebuah pengantar keanehan cinta insani. Cinta Fansuri bukan novel cinta tipikal. Ini bukan novel cinta ‘kopiah-tudung’ selagak karya-karya Habiburrahman. Juga bukan daripada kumpulan sketsa cinta tiga segi – atau pun banyak segi! – Aisya Sofea dan selatar dengannya yang segak teratur di rak-rak toko buku lelong. Pak Samad tak akan menghabiskan tintanya untuk picisan-picisan seperti itu. Sebagai seorang seniman dan budayawan, dan juga sastrawan nusantara, Pak Samad menulis juga tentang cinta kerana cinta merupakan nilai hidup yang amat signifikan dan universal tetapi boleh sekelip mata menjadi terlalu peribadi dan rahsia. Cinta berkuasa mengubah dan menetapkan. Cinta yang sama memanggil sengsara dan bahagia. Seorang lagi budayawan yang pantas meningkat naik Faisal Tehrani juga menulis novel cinta, sebuah, yang bertajuk Tunggu Teduh Dulu. Ini juga novel cinta yang bukan sendat cerita yang direka-reka.

Bagi saya, tujuan besar Pak Samad untuk novel ini ialah menjelaskan falsafah cinta-cinta yang mempunyai kuasa luar biasa mengatur kehidupan manusia. Cinta jangan disangka remeh. Disebabkannya segala. Aliran kehidupan insan dihalakan oleh cinta. Benar, kerana cintalah Fansuri pada satu ketika berbahagia dan pada ketika yang lain berduka teramat.

Justru menjelaskan hakikat cinta, novel ini penuh dengan monolog dalaman – dalam bentuk kenangan lalu - watak-wataknya yang hampir kesemuanya bergelut dengan cinta. Pak Samad membancuh cinta insani bukan saja pada plot utamanya (cinta Fansuri-Fahiyaton), tetapi pada banyak babak kumpulan watak-watak lain yang melengkapkan cerita. Cinta Damri-Wan Siriyah-Namzirah, yang pada masa yang sama Damrilah penggalas tugas mencari Fansuri, Bambrio yang terkenang-kenang kisah cintanya dengan Ratna Murni saat mengajar Namzirah dan rakan-rakan, Laura Ash yang semacam ada hati pada Damri dan Obardi, dan lagi pertarungan datuknya wanita dari Endang Epala yang apabila ditanya sebabnya, jawabnya – ‘sebab cinta’. Setiap ‘fragmen cinta’ ini merupakan slices of  life – meminjam Faisal Tehrani – yang membungkus falsafah cinta, cuba disampaikan Pak Samad menerusi novel ini. Untuk saya, Pak Samad telah berhasil menunjukkan cinta sebagai kuasa mempengaruh yang tanpanya tidak akan bergerak kehidupan.

Cinta Fansuri bukan kisah cinta tinggi ala sufi seperti saya jangka ketika pandang pertama buku ini di stor buku, walaupun pada bagian-bagian tertentu mengenainya. Pak Samad bagaimanapun terpaksa meminjam juga kekudusan cinta sufisme dalam usahanya mengungkap cinta insani lelaki-wanita. Nama-nama unggul dunia sufi Melayu terlafaz dalam buku semisal Hamzah Fansuri dan Nuruddin Raniri. Hallaj juga ada, sang pencinta yang lebih mistri itu.

Kalau gemarkan novel cinta, karya seperti inilah yang sepatutnya dibaca berbanding Aisya Sofea atau Habiburrahman. Kerana menerusi novel ini Pak Samad memperkenalkan cinta yang sering mentemai cerita Aisya dan Habib.

6 ulasan:

  1. langit keruh, aku terpengaruh
    langit cerah, kau marah
    langit kelam, aku cuba

    BalasPadam
  2. awal pembacaan..agak pening. Kemudian, makin lama sudah makin faham.. tapi, akhirnya..jadi bingung dengan penamat cerita.

    juga turut tertanya-tanya, dengan Fahiyaton yang menjerit " aku tidak bunuh Leftenan itu" (seumpanya) " aku tidak mahu berkahwin dengan pembunuh "...

    BalasPadam
  3. Ariffah9,

    dh baca? bguslah..

    Bab 1 dan bab terakhir memang aneh. persoalan timbul, siapa pembunuh? siapa yang dibunuh? Ada lompong antara plot misi Damri(berjaya atau gagal?) dan reaksi Fahiyaton selepas itu.

    Juga bab 1, Fansuri kah yang terlantar di katil itu?

    BalasPadam
  4. Bab 1 & 19 membentuk satu kitar antara katil, peristiwa atas Sg. Kedang Kepala (?) tampaknya lebih membakar dari presiden Saddam. Apau Kayan. Agak sukar untuk saya menjangka usia watak-watak. Salah satu kekunci menyatakan 3 dekad. 1961, mungkin ketenteraman di Kalimantan.

    BalasPadam