Sabtu, 2 Julai 2011

Renungan Tentang Penulisan


Renungan Tentang Penulisan
Darul Quran
26 Jun 2011 

Apabila diminta untuk membuat satu artikel, kepada sahabat itu saya katakan, ‘tengoklah dulu kalau ilham datang..’. Sebabnya, saya bukanlah seorang yang suka membuat tugasan menulis. Saya meniatkan penulisan saya di blog lebih kepada kepuasan. Tulisan-tulisan saya di blog, saya tulis bukan sebagai satu tugasan, tetapi sebagai satu kepuasan. Saya mendekati penulisan sebagai nikmat intelektual. Ya. Saya ghairah menulis. Saya gemarkan, kalau boleh, saya sebut sebagai free writing. Penulisan bebas. Free menggambarkan kebebasan, bebas dari sebarang gesaan, suruhan, tugasan, tanggungjawab dan seumpamanya. 

Pendek kata, apabila diminta untuk menulis, itu bermakna wujud gesaan untuk melakukan penulisan maka berlawananlah dengan prinsip penulisan saya. Oleh kerana saya belum pernah diminta untuk menulis artikel sepanjang hidup saya, jadi wajar bagi saya untuk merenung hal ini walaupun sejenak.

Islam didatangkan kepada alam sebagai rahmat (rahmatan lil alamin) yakni atas tujuan memakmurkan alam. Ini maksud agama Islam. Islam merupakan anugerah tak terperi kepada umat manusia sama ada kafir atau muslim. Islam membahagiakan kehidupan setiap manusia, dan memurnikan perhubungan antara manusia dan manusia serta perhubungan antara manusia dan selainnya. 

Agaknya inilah yang direnungkan Syeikh Abul Hasan Ali An-Nadwi apabila menjudulkan bukunya sebagai, ‘Kerugian Dunia Disebabkan Kemunduran Umat Islam’. Judul yang bermakna dalam dan tepat untuk memeri Islam sebagai agama pembahagia dunia.

Maka sebagai seorang manusia dan muslim (beragama Islam), saya tahu bahawa saya digalas, bahkan dimuliakan, dengan tanggungjawab hamba dan khilafah. Ini doktrin asas kehidupan manusia yang dalilnya jelas disebut dalam al-Quran. Sebagai seorang hamba, saya berhubungan dengan Tuhan-tuan saya yang mutlak. Sebagai seorang khalifah, saya berhubungan dengan alam. Alam di sini saya maksudkan sebagai yang selain Tuhan seperti manusia, planet, bukit-bukau, lapisan langit, haiwan, jin iblis, dan lain-lain.

Dengan itu, saya yakin bahawa menulis bukan lagi kerja suka-suka, seperti ditanggapi sekelompok manusia. Menulis bukan sekadar hobi, minat, dan kenyataan kepuasan akal semata, yang hanya dilakukan ketika tiba musim suka. Menulis, adalah kerja suka-duka yang hanya dimengerti oleh fulan yang sedar betapa muslimnya dia dan tahu bahawa manusia itu berwajah dua sekaligus- hamba dan khalifah. Hidup ini satu tanggungjawab, bukan ‘free’. Seorang manusia terikat dengan Tuhan justru dia dicipta. Manusia tidak wujud sendiri. 

Penulisan, pabila diletakkan di tempat betulnya iaitu sebagai tanggungjawab, bukan kesukaan, bermakna di situ berhimpun suka dan duka sebuah perjuangan. Perjuangan seorang muslim memakmurkan alam. Saya percaya nikmatnya perjungan ini jauh mengatasi kenikmatan ‘menulis suka-suka’ dan mengatasi juga perit kedukaan sebuah perjuangan, atas sebab, rahmat Tuhan adalah paling sempurna.

Saat begini mengingatkan saya kepada Faisal Tehrani. Beliau saya iktirafkan sebagai ikon ‘penulis beragama’ yang paling kompeten di Malaysia. Beliau mampu bersaing dengan penulis-penulis handalan lain yang tak terzahir bersifat ‘penulis beragama’ seperti beliau. Faisal sedar tanggungjawabnya dalam penulisan yang seperti saya sebutkan di perenggan-perenggan atas. Prinsip penulisan beliau jelas menayangkan kesedaran keagamaan ini yang diceritakan dalam karya beliau ‘Karya Nan Indah’, sebuah buku panduan penulisan menurut Faisal Tehrani. Manakala dalam kalangan sasterawan berpengalaman, kita miliki Shahnon Ahmad yang berbicara soal alam ghaib dan roh dalam novel-novelnya. Semangat keislamannya boleh kita akui. Contohnya novel bertajuk ‘Pararuhi’. Cerita perbandingan  perjalanan roh mukmin, kafir, dan munafik sebaik meninggalkan alam dunia.

Saya ucapkan terima kasih kepada dia yang meminta saya menghasilkan satu artikel untuk dimuatkan di sebuah blog. Maka inilah artikelnya yang sekarang ini sudah pun menjadi sabuah renungan hidup berkenaan penulisan yang amat manginsafkan untuk saya. Moga bermanfaat juga untuk semua.

1 ulasan:

  1. Saudara, saya juga memintai Faisal Tehrani. Saya cukup kagum dengan ilmu yg saudara miliki. Semoga kita dapat menggerakkan ummah islam yg lebih padu pada masa akan datang. Insyaallah :)

    BalasPadam