Jumaat, 8 Julai 2011

Hanya Tuhan Mengenal Tentera Nya


Tajuk Buku : Hanya Tuhan Mengenal Tentera Nya
Penulis : Khaled Abou El Fadl
Penterjemah : Al-Mustaqeem Mahmood Radhi.
Penerbit : Middle Eastern Graduates Centre.


Penulisnya mungkin asing di kalangan kita. Saya sendiri tak tahu tentang Prof. Khaled Abou El Fadl sebelum membaca buku ini. Justru saya terhutang jasa dengan Middle Eastern Graduates Centre (MEGC) lebih-lebih lagi pengarahnya Al-Mustaqeem yang  menterjemah buku ini ke Melayu dari tajuk asalnya And God Knows The Soldiers : The Authoritative and Authoritarian in Islamic Discourses edisi terbitan semula. 

Ringkas memperkenalkan, Khaled merupakan pakar undang-undang di UCLA Amerika dan beliau seorang muslim. Maklumat lanjut tanyalah google. 

Khaled mendatangkan satu kasus di mana seorang pemain bola keranjang, seorang muslim, enggan berdiri ketika upacara penghormatan lagu kebangsaan Amerika. Peristiwa ini membesar menjadi polemik yang meributkan. Sunnah Adherence Society (SAS), sebuah pertubuhan agama di Amerika (yang berpemikiran wahabi-puritan) telah mengeluarkan fatwa yang membenarkan tindakan Abdul Rauf si pemain bola keranjang. Latar ini, telah dijadikan sebagai mukaddimah perbahasan buku yang di tangan Khaled, menjadi dalam dan panjang, menjadi sebuah buku. Iaitu perbahasan sekitar puritanisme dan kaitannya dengan pembentukan hukum-hakam Islam. 

Untuk tulisan ini, izinkan saya luaskan maksud  'hukum-hakam' kepada 'kebenaran'.      

Kebenaran Mutlak

Ketahuilah bahawa kebenaran miliknya Allah secara mutlak. Di kalangan manusia Allah melantik utusan Nya bagi meluaskan kebenaran di muka bumi. Siapakah ? Itulah para rasul bagi Allah (rasulullah). Di sini kita faham bahawa di kalangan manusia, pemilik hakikat kebenaran hanya para rasul. Kita juga bersepakat bahawa rasul yang terakhir, bermakna pemilik kebenaran Tuhan yang terakhir, ialah lelaki keturunan Arab Mekah bernama Muhammad bin Abdullah yang sudah pun wafat 14 abad lepas. Dengan wafatnya baginda, bererti tiada lagi utusan Allah di muka bumi sekaligus membawa erti tiada lagi pemilik kebenaran mutlak di muka bumi.

Namun aliran kebenaran pasti tak akan putus. Sebuah hadith dilaporkan Bukhari dan Muslim menyebut, 'al-'ulamak warathatul anbiyak'. Hadith berdarjat sahih ini memberi isyarat kewafatan rasul bukan membawa maksud total tak kan ada lagi kebenaran Tuhan di muka bumi. Ternyata baginda ada meninggalkan pewaris. Pewaris inilah yang menanggung pula beban memiliki dan menyebarkan kebenaran yang diamanah oleh rasul. Namun, sampai sini, satu soalan timbul; 'siapakah ulama yang dimaksudkan?' atau pun 'bagaimana dikenali ulama tersebut?'.  Disebabkan hadith ini umum maknanya, maka soalan ini amat mungkin ditanya.

Keadaan ketiadaan wakil Tuhan lagi (iaitu rasulullah) di kalangan manusia telah memberi nyawa yang panjang, bahkan selamanya, kepada wacana dan ini mencambahkan banyak aliran pemikiran. Masing-masing dengan hasrat menyingkap kebenaran.Wajah-wajah kebenaran.

Wajah-wajah Kebenaran

Perpecahan umat Islam kepada dua dunia kebenaran yang sama sekali berbeda - sunni dan syiah mungkin sekali merupakan bukti terpenting kesan ketiadaan rasul (sebagai pemilik kebenaran mutlak). Walaupun saya seorang sunni, saya mengatakan syiah sebagai benar dengan beralasan. Siapakah berani mengatakan syiah tidak ada tempat dalam Islam? Sesungguhnya alam sunni dan syiah terletak nun jauh di antara satu sama lain dan 'tanpa komunikasi  berkesan' hatta seorang sunni sama sekali tak tahu apa yang ada dalam alam syiah. Pertentangan pemikiran sunni-syiah bermula seawal wafat nabi atas faktor politik. Dari situ masing-masing menbentuk aliran pemikiran sendiri yang mantap. Oleh itu amat tidak wajar untuk seorang yang bermazhab sunni menghukumi syiah menurut undang-undang sunni. Begitulah sebaliknya.

Di zaman ini, percambahan aliran pemikiran berada di tahap paling maksimum. Asy-Syarastani (6H) jika beliau hidup di zaman kita boleh jadi beliau terdesak untuk menghasilkan sebuah lagi Al-Milal wa An-Nihal  versi kedua yang lebih tebal. Al-Milal wa An-Nihal  merupakan sebuah buku besar yang mengumpul aliran-aliran pemikiran teologi yang menumbuh dari zaman wafat rasul hingga ke masa Asy-Syarastani.

Abad ke-21 boleh kita ungkapkan sebagai the age of pluralisme - zaman paling pelbagai. Segalanya berbagai-bagai sehingga timbul kepercayaan bahawa tidak wujud satu kebenaran mutlak dan agung. Oleh pemuka liberalisme diungkapkan, 'tiada satu kebenaran yang mutlak, yang ada hanya wajah-wajah kebenaran'. Lantaran itu hari-hari seorang liberalis dikerumuni wacana tanpa batas. Kehidupan mereka setiap masa dengan tesis-antitesis-sintesis yang sentiasa berkitaran tanpa henti.

Walaupun sikap ini tampak negatif kerana seolah mengakuri dan merayakan kesamaran, namun tak syak lagi liberalismelah yang paling menyedari zaman ini sebagai zaman kepelbagaian pandangan dan haluan pemikiran yang mengkaburkan wajah sebenar kebenaran (iaitu kebenaran Tuhan) dan sangat menuntut wacana. 

Bagi saya kesedaran ini sangat penting. Mengapa? Kerana di kalangan umat Islam sekarang sedang dominan pemikiran puritanisme yang saya fahami gejalanya sebagai begini : Merasa diri memiliki kebenaran Tuhan lalu memaksa orang lain mengikut katanya.

 
Pemikiran Puritanisme-Wahabisme

Dengan penguasaan yang tak memadai terhadap khazanah tradisi keilmuan Islam (khususnya), kelompok puritan ini membuat bermacam keputusan dan hukum-hakam seraya mengklaim bahawa itu keputusan dan hukum Tuhan. Di sini terbentuk sikap memaksa (authoritarian) dalam diri orang-orang puritan, dengannya, memaksa pula orang lain menurut kebenaran yang konon dimiliki. Implikasinya lebih lagi dari itu, iaitu, teks al-Quran dan hadith yang memiliki kebenaran Tuhan (autorithative) telah dicabul kehormatannya sebagai teks suci berisi wahyu. Puritanisme bukan saja bersikap authoritarian terhadap manusia, malah kepada teks suci juga dengan memaksa teks menurut tafsiran manusia puritan.

Sebagaimana disebut Khaled, jika seseorang berhajat mewakili wibawa Tuhan, iaitu bercakap atas nama Tuhan, atau mendakwa 'ini kata quran dan hadith saw', dia tidak dapat tidak mesti melalui proses pencarian makna yang panjang dan payah. Ini merujuk kepada penguasaan ilmu-ilmu yang sepatutnya.

Igauan yang panjang selama bertahun-tahun semata memikirkan hal ini (puritanisme), akhirnya melahirkan sebuah buku yang bertajuk Hanya Tuhan Mengenal Tentera-Nya. Pengarangnya, Khaled, ingin bertegas dengan pembacanya bahawa siapa pun tak bisa mengaku dia wakil Tuhan. Hanya Tuhan tahu dan mengiktiraf siapa wakil Nya. Menjadi wakil Tuhan bukan kerja yang mudah dan boleh dipermudah. Kerana payah, maka janganlah pantas berkata 'yang saya cakap ini ialah hukum Tuhan' dan ungkapan 'ayuh kembali kepada quran sunnah' yang hari-hari dilaung sekelompok manusia amat memalukan sebenarnya untuk diucapkan. Harus diingat baik-baik bahawa mewakili wibawa Tuhan Yang Maha Kudus adalah tugas paling membebankan bagi insan yang tak kudus sama sekali.

Buku ini seperti disebut Khaled, telah memamah sebagian besar masanya. Bertahun-tahun. Ia sempurna sebagai sebuah buku setelah mengharungi kebingungan pemikiran dan proses penyelesaiannya yang dinamik dan lama-soal wahabisme yang melanda Amerika.

Soal wahabisme bukan soal remeh seperti disangka sebagian masyarakat. Wahabisme merupakan satu masalah pemikiran yang melanda umat Islam secara internasional, bukan hanya di Amerika. Malah wahabisme dilihat mendominasi dunia keilmuan Islam kala ini sebagaimana penerbit buku ini mengulasnya antaranya sebagai berikut, 'wahabisme menyuburkan kemalasan berfikir di dunia Islam'.

Saya bersyukur kerana sekarang bukan saya saja yang menyorot wahabisme sebagai 'krisis pemikiran' dan 'tragedi besar'. Khaled juga berpendapat sedemikian dan menjelaskan kekalutan wahabisme-puritanisme dari sudut hukum-hakam dalam buku ini. Sebab itu buku ini amat memberi pedoman untuk saya.  Pabila terpandang kelibat buku ini di ruang facebook, dan membaca nota ringkasan buku oleh penerbit, saya tekad untuk mendapatkannya. Dan kini saya telah berjaya menghabisinya dan sedang berkongsi di sini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan