Ahad, 29 Mei 2011

Demokrasi Buruk


Demokrasi liberal yang saya skeptiskan atas alasan singkat 'datangnya dari Barat', sekarang saya punyai alasan yang lebih kuat.

Tahun lepas, Anwar Ibrahim memetik filusuf terkenal Iqbal dalam ucapannya berkenaan 'kebebasan politik dan demokrasi liberal di dunia Islam'. Syair Iqbal diungkap bagi menjustifikasi prinsip kebebasan dna menyokong tesis beliau bahawa Islam dan demokrasi saling harmoni.

Ini bukan masalah sama ada saya setuju atau tidak dengan Anwar Ibrahim, saya hanya berminat dengan wacana, dalam konteks ini wacana berhubung kebebasan dan politik demokrasi. 

Iqbal seperti disebut Anwar, dalam syair urdunya telah merangka pertemuan nilai antara dua kutub- Islam dan Barat, tau pun, antara Timur dan Barat. Dilukis Anwar lagi, Iqbal serupa bersikap hormat terhadap Barat. Payam Masyriq dihasilkan Iqbal khas menjawab Barat oleh Timur. 

Namun, di tempat lain, Iqbal didapati mengungkap sikapnya terhadap demokrasi Barat. Yang ini lebih kena konteks. Iqbal menyebutnya dalam Zarb i Kalim dengan judul 'pemerintah dari rakyat' dalam buku beliau, the reconstruction. 

Hari ini, puak yang lunak terhadap demokrasi adalah ramai dari kalangan ilmuan Muslim. Antaranya adalah Al-Qardawi dan M. Fethullah Gulen, dua tokoh besar. Qardawi di bidang fikh dan Gulen di bidang pemikiran. Ini belum lagi dimasukkan tokoh-tokoh haraki zaman moden. 

Atas sebab ini, mungkinkah politik demokrasi sebagai sasaran skeptis di masa ini sudah mati wacananya? dan dipersetujui sebagai murni secara muktamad? Saya fikir tidak. Masih ada lagi puak skeptis terhadap demokrasi. Kerana, bagi seorang rakyat yang percaya kepada realiti, tidak kira agama apa, yang terbentang di hadapan mata hanyalah sebuah lukisan politik Malaysia yang buruk tanpa sebarang kehalusan seni lukis!   

Khamis, 12 Mei 2011

Sapere Aude Antara Al-Attas dan Liberalisme

Wacana liberalisme mulai menempati ruang pemikiran saya sejak tersedar oleh isu pluralisme agama Anwar Ibrahim. Isu yang kritikal pada saya ini, kerana saya berbasiskan pemikiran Al-Attas, membawa saya kepada perkenalan lebih rapat dengan Institut Kajian Dasar, sejak itu, wacana liberalisme saya teguk setiap hari bak seorang pendahaga. Dan paling penting, bebas dari skeptis melulu. Nah. Perwatakan sebegini, iaitu ‘berkeadaan kosong’ untuk menanggapi mana-mana pemikiran yang asing dari pemikiran sedia ada, yang baharu cuba diteroka, adalah sikap saksama terhadap ilmu. 


Perwatakan ‘bebas’ inilah yang diantar oleh liberalisme. Perwatakan sapere aude, slogan the freedom of consciousness yang ditokohi oleh Immanuel Kant filusuf pencerahan saf hadapan. Sikap bebas ilmiah ini juga disebut oleh Anwar Ibrahim dalam Gelombang Kebangkitan Asianya.

Saat begini memanggil memori kembali. Saya mula masuk ke alam berani berfikir, alam pemikiran, alam abstraksi, alam metafizik, alam falsafah, biar apa jua namanya, melalui pintu Prof. Muhammad Naquib Al-Attas. Saya syukur sangat. Mengungkapkan ide yang abstrak di atas kertas seperti di sini, atau pun dengan bercakap, adalah kerja yang susah pada ketika itu. Manusia bebal, lawan bagi berani berfikir, seperti disenaraikan tanda-tandanya oleh  (Hussein) Al-Attas, salah satunya ialah tidak mampu berbicara sesuatu yang abstrak. 

Bermakna bermula saat itu, saya sudah bermula membebaskan akal saya. Ketika itu, dalam syarahan-syarahan anjuran grup saya, saya ditakut-takutkan dengan watak the captive mind yang lagaknya laksana lembu kerana tak mampu berfikir dengan kritikal, selain syarahan mengenai kuasa anak muda. Itu empat tahun yang lalu. 

Pada hari ini, kedengaran suara yang lain, yang lantang menyeru kepada pencerahan minda. Datangnya dari kem liberalisme.  

Al-Attas seorang filusuf, teolog, ahli dalam sufisme, yang sejati kepihakannya terhadap Islam. Beliau the real islamist. Penguasaan beliau terhadap khazanah pemikiran Islam-sunni begitu esoterik. Sumbangan beliau iaitu pengabsahan terhadap sebatian Melayu-Islam dikelaskan monumental bagi masharakat nusantara. Dalam zaman sekularisme sekarang, usaha pengabsahan yang dibuat Al-Attas ini merupakan keperluan yang mendesak. Kita sedang menyaksikan kehilangan nilai-nilai sejati Melayu-Islam di kalangan orang muda. Budaya pribumi tak terpandang lagi oleh anak-anak muda. 

Al-Attas, dengan upayanya cemerlang mengetengahkan apa yang disebut sebagai worldview of Islam - asas-asas dalam pemikiran seorang muslim. Tema-tema penting dalam ‘hidup’ dibicarakan sesuai dengan ruang dan waktu sekarang selingkungan tuhan, rasul, insan, ilmu, akal, roh, bahagia, sengsara, dan lain-lain termasuklah prinsip kebebasan yang saat ini giat dipromosi puak liberalisme. 

Kalau mereka (liberalisme) menyeru kepada ‘berani berfikir’, maka tradisi pemikiran Al-Attas pun sama. Saya memesrai ungkap-ungkap seperti logis, akal, dan natiq, yang berhubungan sesamanya, melalui Al-Attas. Bukunya Risalah Untuk Kaum Muslimin dengan memadai memperkenalkan faham akal - antara bab buku itu yang mampu mengkhusyukkan saya. 

Hakikat betapa manusianya saya, saya tahu dengan keraian terhadap unsur akal, dengan usaha berfikir dan berilmu. Ini ungkapan saya. Oleh doktrin ini, saya makin berani berfikir, tabah mendalami lubuk pemikiran apa pun, degil mencerna buku-buku berat. Ini semua, adalah hal yang sama tercemin dari ungkapan the consciousness of mind dalam wacana liberalisme.            

Jadi apa bezanya, dalam soal meraikan akal, antara liberalisme dan attasisme?

Saya simpulkan bahawa, liberalisme bermula dengan kebebasan akal meredah rencam pemikiran dan ilmu termasuk agama. Manakala Al-Attas, memulai agama di atas segala pemikiran dan ilmu termasuk kebebasan akal. 

Dalam sebutan lain, kebebasan akal di tangan Al-Attas adalah sebagaimana dihurai oleh agama, melalui individu-individu berwibawa dalam soal ini (faham akal) dalam tradisi ilmu agama Islam. Bermakna, soalan ‘apa itu akal’ dijawab oleh Islam. Sebab itu Al-Attas dalam tulisan beliau banyak dijumpai nama-nama tokoh kenamaan Islam dalam bidang faham akal, Al-Ghazali misalnya. 

Setakat ini, saya masih belum menjumpai penghuraian terhadap faham akal dalam liberalisme. Mereka menganut falsafah pencerahan Kant yang semata-mata penggesaan terhadap penggunaan akal secara tertinggi. Dengan itulah mereka berani meredah mana-mana ideologi dan falsafah yang diskrit lagi kompleks. Liberalisme dalam keraiannya terhadap akal, memang dalam takat tertinggi. Usaha berfikir dengan sehabis jauh, di lapis yang paling atas. Cubalah baca esei orang-orang seperti Khalid Jaafar, Al-Mustaqeem Mahmod Radhi, Eddin Khoo, Pauline Fan. Serasa berjalan menyusur taman intelektual yang mengasyikkan.

Antara Dua Paradigma Dunia

Kelihatan puak liberalis sangat mesra dengan tradisi pemikiran Barat, tokoh-tokohnya, dan mereka menganjurkan wacana antara budaya atau pun antara agama. Bahawa, Islam berkongsi nilai-nilai kemanusiaan dengan Barat. Hakikat universalisme dan nilai-nilai sejagat antara Islam dengan lain-lain budaya sering diangkat dalam liberalisme. Pertembungan tamadun Islam-Barat atau pun pertembungan sekularisme-Islam dalam wacana Al-Attas, tidak lagi relevan dalam wacana liberalisme. 

Pada diri saya ada prejudis yang tebal terhadap Barat oleh kerana Al-Attas. Al-Attas sedalam epistemologi membezakan kebudayaan Islam dan Barat, bukan sekadar nasib sejarah dan agama. Kerana itu, untuk saya, hujah epistemologi yang dalam konteks ini termasuklah kebebasan akal, amat memuaskan untuk menghakimi liberalisme. Saya senang hati. 

Tetapi dengan saya berkata begini, semacam saya mempromosi jurang antara timur dan barat atau pun dalam ayat-ayat liberalisme yang lebih menusuk, ‘seolah tuhan tidak adil kerana membahagikan dunia kepada dua yang bertentangan nasib, baik dan jahat’. Pun saya berterima kasih masing-masing kepada Al-Attas dan puak liberal. Kerana pencampuran antara kedua-dua pemikiran ini saya mampu menyikapi isu Islam-Barat dengan lebih saksama. Prejudis saya terhadap Barat disederhanakan oleh liberalisme tentunya. Sekarang saya tidak lagi hanya semata berfikir dari sorot paradigma apabila mengadap isu Islam-Barat.

Isu Pluralisme Agama (religious pluralisme) Anwar 

Liberalisme hari ini memperjuangkan demokrasi bebas dalam politik dan konsep pasaran bebas dalam ekonomi. Dalam bidang perhubungan antara manusia, mereka menganjur perkongsian nilai kemanusiaan yang sejagat atau pun ‘nilai bebas agama’. Semua yang disebut ini, walaupun ada implikasi-implikasi buruknya, masih boleh kita raikan. 

Tetapi apabila isu pluralisme agama meledak mutakhir ini, apakah masih boleh kita raikan? 

Pluralisme agama dilahirkan oleh mereka yang melihat agama dengan kritis, bermakna, dengan penggunaan akal maksima. Sebab itu pemukanya ialah puak liberalisme. 

Dari satu sudut, semua pihak harus memuji sumbangan liberalis ini yang saya kira dalam wacana hari ini nyaris tiada puak Islam tradisional yang punyai kemampuan sama. Kita masih terhimbau dengan memori gemilang pemikiran Islam, oleh tokoh-tokoh seperti Ibn Arabi, Al-Ghazali, Rumi, dan lain-lain dari aliran sufisme. Mereka ini (sufisme dalam tradisi lampau dan liberalisme dalam zaman moden), merupakan mereka yang kritis  terhadap agama dan tuhan. Mereka mampu berbicara hal ehwal metafizikal dengan jelas. Alam rohaniyah (secara akliah) bukan ‘alam lain’ bagi mereka. Sebab itu, yang selalu dibicara oleh sufisme dan liberalisme ialah nilai-nilai agama, tujuan agama, prinsip kebenaran, moraliti. Ini semua memerlukan tenaga akliah yang hebat untuk mencapainya.          

Namun begitu, kasus ‘kebebasan akal’ ini jika berlebihan, dengan tanpa rasa kesepihakan terhadap Islam (seolahnya begitu oleh liberalisme), dan dengan tanpa worldview of Islam yang kukuh, saya fikir amat berbahaya kepada seorang muslim. 

Maka jalan selesainya mudah, iaitu  dengan menyimpulkan bahawa yang pertama, tiada kebebasan mutlak untuk insan kerana insan dengan sifat keinsanannya bukan ketuhanan (lari dari ungkapan kosong ‘manusia itu lemah’). Kedua, bias tetap berlaku walau bagaimana sekalipun. Maka satu-satunya bias yang selamat ialah bias kepada agama. Ketiga, dalam menanggapi pemikiran apa pun, wajib ada ‘kerangka pemikiran sebenar’ yang kukuh. Kerangka itulah worldview of Islam yang telah disediakan oleh Al-Attas. Saya menghakimi liberalisme menggunakan ini.     

Untuk isu pluralism agama, ini isu yang sangat susah ditafsir kerana melibatkan ketuhanan. Sarjana seperti Aboe Bakar Acheh mengakui bahawa ketuhanan merupakan topik yang wacananya tidak mudah, lalu melahirkan kerencaman tafsiran yang membentuk pula kerencaman aliran pemikiran dalam sejarah islam. Oleh itu, saya tidak berani mengatakan liberalisme yang menganjurkan pluralisme agama sebagai sudah tergadai akidah namun potensi ke arah itu besar jika kurang penggalian terhadap sumber pemikiran muktabar Islam. Saya merujuk kepada sufisme dan teologi asyairah.