Ahad, 17 April 2011

Politik Demokrasi Tidak Relevan Di sini

Saya akan teruskan lagi kerja membebel pasal politik negara kita. Kerana walaupun setelah lebih separuh abad merdeka, terlihat politik Malaysia masih berada di tahap belum matang. Padahal sistem yang digunapakai adalah demokrasi berparlimen yang diambil bulat dari Amerika, pemegang hak tamadun dunia hari ini. Bukankah yang sepatutnya terjadi adalah pencerahan minda dengan lahirnya pemenang-pemenang nobel di kalangan orang Malaysia? Andai ini diterima sebagai pengukur, maka demokrasi di bumi Melayu ternyata gagal (memang dah gagal pun!). Maka orang Melayu-Islam di negara demokrasi ini sampai bila pun tak kan jadi bijak seperti orang putih-sekular.   


Politik kita hari ini menyuburkan propaganda, persepsi, fitnah, konspirasi dan seumpamanya. Ini bukan budaya ilmu. Ini budaya jahil dan dungu. Apa yang dibualkan di kedai-kedai kopi oleh rakyat jelata hanyalah cerita dongeng yang tak tentu benar salahnya. Di mana, ada perekacipta cerita dan ada penggemar cerita. Perekacipta ialah politikus manakala penggemarnya ialah rakyat jelata. Cerita pula mestilah sensasi. Ini hukum umum. Jika tak sensasi tak akan laku.
 
Inilah yang berlaku dalam budaya politik kita saban tahun. Paling sensasi adalah cerita pabila menjelang pilihanraya. Walaupun ada yang macam meluat namun dia pasti tercatuk juga di depan televisyen untuk ikuti perkembangan cerita. Cerita seks ahli parlimen umpamanya. Mestilah laku habis.
 
Begitu juga halnya berita-berita dalam akhbar harian dari mana-mana parti pun. Penuh dengan cerita tanpa nilai ilmu. Dalam Islam, ilmu ditinggikan sebagai keyakinan dan kebenaran. Bersalahan dengan ciri politik kita, tak tentu benar salah adalah sifat bagi fitnah. Fitnah dipandang berat oleh agama dengan  disebut secara nyata dalam al-Quran. Fitnah itu sendiri merupakan tanda kebodohan. Ianya merupakan zonn, lawan bagi keilmuan.
 
Demokrasi berparlimen atau pun representative democracy kadang-kadang dipersalah sesetengah kalangan sebagai penyebab politik pembodohan yang berlaku. Jenis ini yang hampir semua negara demokrasi seluruh dunia amalkan.
 
Oleh demikian, antara kelompok yang sedar hal ini ligat berbincang soal demokrasi tulen atau disebut juga direct democracy, terjemahnya demokrasi terus, atau demokrasi tanpa perwakilan. Seperti lantang diperjuang oleh Khalid Jaafar dan kumpulannya di PKR, bahawa rakyat Malaysia perlukan pencerahan minda-ini nilai murni dari demokrasi. Sambil mengambil contoh demokrasi era sebelum masihi di Athens, Perikles, seorang demokrat terulung pernah mempraktik demokrasi tulen di mana setiap dasar dibahas secara bersama oleh rakyat. Apabila rakyat sama-sama berhujah baik buruk dasar kerajaan, pastilah pencerahan minda berkembang dalam masyarakat itu.

Untuk itu, pelaksanaan demokrasi tulen bagi menuju pencerahan minda memanglah sangat idealistik. Dalam pemilihan PKR tahun lalu konsep demokrasi terus ini ada dipraktik. Namun begitu, harap maaf, sistem direct democracy tak akan berjalan di Malaysia kerana terhalang oleh perlembagaan persekutuan.
 
Benar kita mengharapkan masyarakat yang demokratik, yang bermaksud, berpengetahuan, fikiran luas dan terbuka, serta lantang memperjuang hak kemanusiaan. Tetapi semua ini mesti mengarah ke akibat yang terakhir iaitu akhlak yang baik. Untuk saya, apa yang paling penting ialah tujuan terakhir tersebut. Akhlak yang baik. Saya percaya akhlak yang baik terpancar dari ilmu yang benar dan pemikiran yang murni.

Makanya apa yang dilaung oleh ‘grup pencerahan minda’ yang dimukai oleh Khalid Jaafar itu saya sokong separuh sahaja. Kerana ianya separuh jalan. Beliau tidak pernah bercakap soal moral dan kelihatan slogan-slogannya lunak ke arah kaum Barat. Semua orang sedia maklum bagaimana moraliti masyarakat Barat yang dipuji bijaksana lagi berpengetahuan itu. Politik Islam, matlamatnya seperti disebut Malek Ben Nabi ialah warga negara yang berakhlak luhur.
 
Di sini, amat penting untuk membandingkan 'pencerahan minda' antara tradisi Islam dan tradisi Barat.

Khalid Jaafar waktu dahulu pernah menjawat setiausaha akhbar kepada Anwar Ibrahim. Anwar juga merupakan seorang yang kuat menggesa pemurnian demokrasi di Malaysia. Dengan kritik-kritiknya terhadap kerajaan yang dikecamnya sering mengamal nilai otokrasi, umpamanya hukuman tanpa mahkamah, Anwar mempromosi demokrasi cara Islam. Bagi beliau Islam berkongsi nilai dengan sistem demokrasi Barat. Dalam ucapannya di Berlin tahun lepas, beliau memulakannya dengan mengungkap Muhammad Iqbal, filusuf dan penyair muslim tersohor. Madah tersebut memberi penjelasan bahawa Barat dan Timur pernah saling berkongsian, bersahabat mesra tanpa pertengkaran. Anwar cuba mengembalikan nostalgia itu pada hari ini dengan penerimaan demokrasi Barat oleh kita umat Islam.

Namun, takdirnya saya terjumpa sebuah syair Iqbal yang lain yang jelas mengutuk politik demokrasi Barat. Syair tersebut bukti kuat Iqbal juga tak meyakini politik demokrasi. Pun, saya turut bersetuju bahawa sistem demokrasi mempunyai nilai tertentu yang dikongsi bersama Islam. Itu perkara biasa. Memang benar. Tetapi jangan lupa, nilai yang berlawanan juga ada. Barat itu kan sekular yang hampa moral.   

Maka saya kekal begini, bahawa saya sampai hari ini skeptis terhadap sistem politik demokrasi sama ada demokrasi terus (tulen) yang cuba diperkenal PKR atau pun demokrasi perwakilan seperti kita amalkan sekarang.

Harapan saya hanya satu pada rakan-rakan di PAS : moga kalian tak turut sama jadi bodoh. Saya amat mengharapkan perkembangan budaya ilmu di dalam PAS bagi mengimbangi semangat jihad mereka lebih-lebih lagi di kalangan pemudanya yang sangat meluap. Lantaran saya bertegas dengan gagasan politik moral yang lahirnya dari budaya ilmu islami sebagaimana dianjur Malek Ben Nabi itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan