Jumaat, 29 April 2011

Warna Cinta


Cinta, warnanya bukan merah
seperti dilafaz romeo dan julietnya
Cinta, bukan dalam kelam
bilik-bilik mewah, lorong-lorong sunyi

Cinta, benar-benar belaka
Cinta itu suci, cinta itu bersih
Cinta, hanya milik Maha Benar
Maha Suci daripada semesta alam


warnanya putih

pada telekung
pada ihram
pada jubah


-Bukit Beruntung, 8 pagi hari ini.

Jumaat, 22 April 2011

Bait-bait Matang Pak Samad


Kawan-kawanmu sesekali dalam percobaan,
yang akrab terkadang meloncat juga sebelah lawan.
Dan kau memang seorang yang amat keras menghukum,
terkadang ada yang amat payah sungguh dicantum.
Memang ada yang sentiasa ingin membencimu,
dan sesekali, soal bahasa yang mampu, aku juga begitu.
Tapi, daun bakti yang lain wajar jua dikira;
pemimpin tak semua benar, tak semua salah.
Dan dalam sedikit gulana resah batin bangsa,
aku tetap menerimamu pemimpin berharga.
Memang kau telah berjaya menyumbang banyak bakti,
menjadi amat peyah untuk sekadar membenci,
apalagi yang diragukan lebih teka-teki.

Ini bait-bait puitis A.Samad Said khas untuk Tun Mahathir. Mewakili cara sasterawan tersohor ini melihat seorang pemimpin, dalam ruang politik demokrasi partai.

Persepsi yang tersimpan di fikiran : Pak Samad  sering kelihatan di majlis-majlis pakatan rakyat. 

Orang PAS yang kuat berpegang pada teori persepsi akan dilanda rasa tak selesa menghunjam-hunjam pabila membaca  bait-bait ini.

Namun dalam realiti politik demokrasi kepartaian hal ini (politik matang) hampir tak relevan untuk berlaku. Harakah tak akan menyiarkan puisi ini. Utusan tak akan menyiarkan puisi politik Dinsman misalnya. Sebab itu penganut teori persepsi bertambah dengan pesat.

Maka tanah air ku sesak dengan orang-orang bodoh.  

Ahad, 17 April 2011

Politik Demokrasi Tidak Relevan Di sini

Saya akan teruskan lagi kerja membebel pasal politik negara kita. Kerana walaupun setelah lebih separuh abad merdeka, terlihat politik Malaysia masih berada di tahap belum matang. Padahal sistem yang digunapakai adalah demokrasi berparlimen yang diambil bulat dari Amerika, pemegang hak tamadun dunia hari ini. Bukankah yang sepatutnya terjadi adalah pencerahan minda dengan lahirnya pemenang-pemenang nobel di kalangan orang Malaysia? Andai ini diterima sebagai pengukur, maka demokrasi di bumi Melayu ternyata gagal (memang dah gagal pun!). Maka orang Melayu-Islam di negara demokrasi ini sampai bila pun tak kan jadi bijak seperti orang putih-sekular.   


Politik kita hari ini menyuburkan propaganda, persepsi, fitnah, konspirasi dan seumpamanya. Ini bukan budaya ilmu. Ini budaya jahil dan dungu. Apa yang dibualkan di kedai-kedai kopi oleh rakyat jelata hanyalah cerita dongeng yang tak tentu benar salahnya. Di mana, ada perekacipta cerita dan ada penggemar cerita. Perekacipta ialah politikus manakala penggemarnya ialah rakyat jelata. Cerita pula mestilah sensasi. Ini hukum umum. Jika tak sensasi tak akan laku.
 
Inilah yang berlaku dalam budaya politik kita saban tahun. Paling sensasi adalah cerita pabila menjelang pilihanraya. Walaupun ada yang macam meluat namun dia pasti tercatuk juga di depan televisyen untuk ikuti perkembangan cerita. Cerita seks ahli parlimen umpamanya. Mestilah laku habis.
 
Begitu juga halnya berita-berita dalam akhbar harian dari mana-mana parti pun. Penuh dengan cerita tanpa nilai ilmu. Dalam Islam, ilmu ditinggikan sebagai keyakinan dan kebenaran. Bersalahan dengan ciri politik kita, tak tentu benar salah adalah sifat bagi fitnah. Fitnah dipandang berat oleh agama dengan  disebut secara nyata dalam al-Quran. Fitnah itu sendiri merupakan tanda kebodohan. Ianya merupakan zonn, lawan bagi keilmuan.
 
Demokrasi berparlimen atau pun representative democracy kadang-kadang dipersalah sesetengah kalangan sebagai penyebab politik pembodohan yang berlaku. Jenis ini yang hampir semua negara demokrasi seluruh dunia amalkan.
 
Oleh demikian, antara kelompok yang sedar hal ini ligat berbincang soal demokrasi tulen atau disebut juga direct democracy, terjemahnya demokrasi terus, atau demokrasi tanpa perwakilan. Seperti lantang diperjuang oleh Khalid Jaafar dan kumpulannya di PKR, bahawa rakyat Malaysia perlukan pencerahan minda-ini nilai murni dari demokrasi. Sambil mengambil contoh demokrasi era sebelum masihi di Athens, Perikles, seorang demokrat terulung pernah mempraktik demokrasi tulen di mana setiap dasar dibahas secara bersama oleh rakyat. Apabila rakyat sama-sama berhujah baik buruk dasar kerajaan, pastilah pencerahan minda berkembang dalam masyarakat itu.

Untuk itu, pelaksanaan demokrasi tulen bagi menuju pencerahan minda memanglah sangat idealistik. Dalam pemilihan PKR tahun lalu konsep demokrasi terus ini ada dipraktik. Namun begitu, harap maaf, sistem direct democracy tak akan berjalan di Malaysia kerana terhalang oleh perlembagaan persekutuan.
 
Benar kita mengharapkan masyarakat yang demokratik, yang bermaksud, berpengetahuan, fikiran luas dan terbuka, serta lantang memperjuang hak kemanusiaan. Tetapi semua ini mesti mengarah ke akibat yang terakhir iaitu akhlak yang baik. Untuk saya, apa yang paling penting ialah tujuan terakhir tersebut. Akhlak yang baik. Saya percaya akhlak yang baik terpancar dari ilmu yang benar dan pemikiran yang murni.

Makanya apa yang dilaung oleh ‘grup pencerahan minda’ yang dimukai oleh Khalid Jaafar itu saya sokong separuh sahaja. Kerana ianya separuh jalan. Beliau tidak pernah bercakap soal moral dan kelihatan slogan-slogannya lunak ke arah kaum Barat. Semua orang sedia maklum bagaimana moraliti masyarakat Barat yang dipuji bijaksana lagi berpengetahuan itu. Politik Islam, matlamatnya seperti disebut Malek Ben Nabi ialah warga negara yang berakhlak luhur.
 
Di sini, amat penting untuk membandingkan 'pencerahan minda' antara tradisi Islam dan tradisi Barat.

Khalid Jaafar waktu dahulu pernah menjawat setiausaha akhbar kepada Anwar Ibrahim. Anwar juga merupakan seorang yang kuat menggesa pemurnian demokrasi di Malaysia. Dengan kritik-kritiknya terhadap kerajaan yang dikecamnya sering mengamal nilai otokrasi, umpamanya hukuman tanpa mahkamah, Anwar mempromosi demokrasi cara Islam. Bagi beliau Islam berkongsi nilai dengan sistem demokrasi Barat. Dalam ucapannya di Berlin tahun lepas, beliau memulakannya dengan mengungkap Muhammad Iqbal, filusuf dan penyair muslim tersohor. Madah tersebut memberi penjelasan bahawa Barat dan Timur pernah saling berkongsian, bersahabat mesra tanpa pertengkaran. Anwar cuba mengembalikan nostalgia itu pada hari ini dengan penerimaan demokrasi Barat oleh kita umat Islam.

Namun, takdirnya saya terjumpa sebuah syair Iqbal yang lain yang jelas mengutuk politik demokrasi Barat. Syair tersebut bukti kuat Iqbal juga tak meyakini politik demokrasi. Pun, saya turut bersetuju bahawa sistem demokrasi mempunyai nilai tertentu yang dikongsi bersama Islam. Itu perkara biasa. Memang benar. Tetapi jangan lupa, nilai yang berlawanan juga ada. Barat itu kan sekular yang hampa moral.   

Maka saya kekal begini, bahawa saya sampai hari ini skeptis terhadap sistem politik demokrasi sama ada demokrasi terus (tulen) yang cuba diperkenal PKR atau pun demokrasi perwakilan seperti kita amalkan sekarang.

Harapan saya hanya satu pada rakan-rakan di PAS : moga kalian tak turut sama jadi bodoh. Saya amat mengharapkan perkembangan budaya ilmu di dalam PAS bagi mengimbangi semangat jihad mereka lebih-lebih lagi di kalangan pemudanya yang sangat meluap. Lantaran saya bertegas dengan gagasan politik moral yang lahirnya dari budaya ilmu islami sebagaimana dianjur Malek Ben Nabi itu.

Rabu, 6 April 2011

Demokrasi Malaysia Membodohkan

Menurut Dr. Samih Athif as-Zain, Sesungguhnya, dua teori yang menyatakan bahwa kekuasaan rakyat dan rakyat sebagai sumber kekuasaan adalah dua teori Barat dari sistem demokrasi. Teori itu muncul di di Eropa setelah perang berdarah yang terjadi di abad-abad pertengahan, yang berlalu beberapa abad. Hal itu, kerana Eropa dikuasai oleh raja-raja dan dikuasai oleh sistem teokrasi. Yaitu, sistem yang memberikan hak pada raja-raja sebagai tuhan terhadap rakyatnya. Maka, di tangan rajalah perundang-undangan, kekuasaan dan hukum. Rakyat adalah gembalaan raja yang tak punya hak dalam perundang-undangan, kekuasaan atau hukum. Hak mereka hanyalah taat, patuh dan melaksanakan. 

 

Saya masih cuba memahami dunia politik am setulusnya untuk merumuskan politik Malaysia. Sebagai rakyat Malaysia, mahu atau tidak, baik atau buruk, tak mungkin kita boleh lari keluar dari medan politik tanah air. Tak mungkin untuk saya elak diri dari memikirkan isu-isu politik. Ini disebabkan demokrasi  adalah asas politik Malaysia. Demokrasi membawa makna, bahawa    penglibatan seluruh rakyat - walau orang asli - dalam menentukan kuasa politik.

Dalam ungkapan di atas, Dr. Samih menerangkan asal-usul demokrasi iaitu akibat kehampaan teokrasi. Kemudian, ekoran kolonialisasi Barat ke atas dunia Timur, termasuk Malaysia mengamalkan politik demokrasi.

Sepatutnya dalam sebuah negara demokrasi tak kan berlaku revolusi besar-besaran untuk mengguling penguasa. Rusuhan popular hanya berlaku dalam pemerintahan teokrasi. Tetapi itulah yang berlaku di Mesir awal tahun ini. Amerika sebagai negara rujukan dunia dalam pemerintahan demokrasi, memang tak pernah kita dengar pemberontakan seumpama itu. Sebab itu dapat disimpulkan bahawa demokrasi di Mesir adalah demokrasi palsu. Berdasarkan ini, dakwaan bahawa kebangkitan serupa ada kemungkinan merebak ke Malaysia tak boleh diterima. Lagi pun ini bukan zaman Mahathir. Di zaman Mahathir sekalipun, demokrasi masih lagi bernyawa dan tidaklah seteruk Mesir dan negara-negara arab lain. Buktinya, Kelantan sejak lama dikuasai PAS. Mahathir tidak sezalim Mubarak.

Dengan melihat politik Malaysia saat ini seseorang secara paling simplistik boleh menyimpulkan, 'inilah akibat mengikut sistem politik demokrasi Barat' atau 'Islam menolak sistem demokrasi, Islam hanya menerima sistem syura'. Kesimpulan sebegini selalu datang dari puak Islam konservatif yang enggan ambil tahu hal-hal sosial. Ini pandangan salah. Lantaran politik merupakan urusan manusia antara manusia (sosial), maka penilaian terhadapnya lebih liberal dan tiada keputusan mutlak. Oleh itu tesis Ali Abdul Raziq yang jelas menolak sistem khilafah tak sepatutnya dikecam terlalu hebat. Ia masih mempunyai ruang kebenaran.   

Secara rambang kelihatan kerajaan lebih bodoh daripada pembangkang. Malah sangat bodoh. Kaum penguasa memang tak maju berfikir, kerana, untuk mencapai tujuan-tujuannya kuasa dipergunakan. Dengan kuasa segala tujuan bisa dicapai secara paling mudah. Manifestasinya adalah penguatkuasaan akta, sekatan media, hukuman tanpa mahkamah dan banyak lagi yang lain. Di sini nampaklah bahawa kuasa menghalang perkembangan pemikiran dalam meneruskan survival politik. Sedangkan sebaliknya yang berlaku di pihak pembangkang atau kita namakannya  puak tertindas di mana percambahan pemikiran berlaku. Tak percaya? Cuba bandingkan artikel politik akhbar Utusan dengan Harakah. 

Tak percaya kerajaan bodoh? Lihatlah apa keputusan akhir kes liwat satu, perkembangan kes liwat dua serta yang terbaru kes video lucah. Saya percaya video itu angkara parti kerajaan walau setakat ini tiada bukti konkrit. Bukti tak konkrit atau andaian sangat banyak. Kala kes liwat dua dilihat tak relevan lagi (berpandukan analisis panjang lebar dalam media pembangkang), usaha untuk memenangi persepsi rakyat dilanjutkan lagi dengan kes video seks. Tujuannya satu - menjahanamkan seorang insan bernama Anwar Ibrahim dengan membentuk persepsi awam bahawa beliau seorang kaki seks. Ini sejak 1998 lagi. Bermakna lebih satu dekad rancangan ini berjalan tapi masih juga belum berjaya. 

Untuk kes video seks, awal-awal lagi sudah tersingkap banyak percanggahan. Ini menggambarkan betapa mundurnya daya fikir mereka yang merancang kes ini. Saat sekarang kes ini paling hangat untuk diikuti. Kita nantikan pihak mana yang akan kantoi!    
            
Sesuai dengan wawasan 2020, kita mengharapkan sebuah masyarakat yang demokratik dan matang berfikir. Sepatutnya ini yang dicapai dalam negara yang mengamalkan demokrasi. Namun pada saya apa yang berlaku dalam politik demokrasi Malaysia saat ini terbantut setakat peperangan persepsi bukan peperangan ide atau ideologi. Oleh kerana itu kita dapati isu-isu politik di media hanya berlegar sekitar hak ehwal remeh dan memualkan.

Dalam ungkapan lebih mudah, politik kita merupakan politik membodohkan. Hari ini cabar-mencabar, esok rasuah, lusa saman, tahun lepas lompat parti, tahun ini seks. Budaya politik sebegini mengekalkan kewujudan masyarakat Malaysia yang bodoh dan rendah moral. Oleh kerana biasa hidup dalam dunia persepsi, teori konspirasi berkembang pesat dengan penganut setianya pantas bertambah. Dengan ini nyatalah sesungguhnya politik kita merencat perkembangan budaya ilmu dan fikir.