Khamis, 3 Mac 2011

Zaman Blog, Zaman Keserabutan


"Nahnu na'isyu fi 'asri blog"


Saat ini saya punyai blog peribadi dan sedang duduk-duduk menghasilkan post terbaharu. Syukran untuk blogger.com. Bagi saya blog lambang kepuasan. Menghasilkan penulisan adalah kerja yang menyeronokkan. Selama masa mempunyai blog yang mencapai setahun pada bulan dua tahun masihi ini, saya melepaskan nafsu di blog dengan menghasilkan penulisan untuk dipos. Saya juga meyakinkan diri bahawa seorang penulis blog tak perlu tertekan jika tidak ada entri untuk dipos kerana ia kontradik bagi kepuasan dan kenikmatan. Barangsiapa berperasaan sebegitu maka dia adalah seorang pengharap yang ternanti-nanti blognya dikunjung ramai dan dia tampaknya ketagih kebanggaan di hati orang.

Pelbagai ragam penulis blog boleh kita temui. Macam-macam gaya penulisan ditampilkan. Jati diri penulis atau tiada jati diri, atau pendiriannya terhadap sesuatu dapat kita ketahui walaupun tidak tepat sepenuhnya kerana panulis blog biasanya tak akan mendedahkan kekurangan dirinya secara sengaja. Malangnya, secara tak sengaja segala kelemahannya dapat dicam oleh pembaca tertentu.

Blog sebenarnya menyelak untuk pengunjung siapa kah penulis blog, pemikirannya, dan kecenderungannya. Pendek kata blog merupakan hakikat diri seseorang blogger oleh sebab blogger dan karangannya bak matahari dan pancaran cahaya yang berpunca darinya. Sebarang kebodohan, kedangkalan, dan kekacauan pemikiran akan tersingkap jua andai itulah kelemahan yang ingin disorok seorang blogger, walaupun dia sedaya-upaya merahsiakan identitinya. Nah, seperti cahaya matahari yang memberitahu manusia sifat-sifat bagi matahari iaitu panas, terang dan lain-lain. Sepertimana ucapan seseorang mengenalkan audiennya siapakah dia sebenarnya.

Ketika bibit awal kebangkitan blog di alam manusia, saya pernah beranggapan dengan meluasnya aktiviti blogging maklumat akan berkembang pesat dan masyarakat lebih bijak berfikir dan menilai jadinya tak mudahlah seseorang dicucuk hidung dan berperilaku tidak rasional. Ketika itu saya tidak punyai blog peribadi lagi. Ketika itu saya amat positif dengan teknologi blog. Pendirian sebegini nampaknya mendekati puak demokrat dan sosialis.

Maka ketika ini saya ingin menceritakan pendirian saya yang terkini, yang berlainan sedikit daripada pendirian yang terdahulu. Kerana masa senantiasa tak pernah berhenti, demi masa, teknologi maklumat berkembang terus maju.

Di satu pihak berita ini menggembirakan. Puak ini diwakili oleh demokrat, liberalis, sosialis, modenis, (dan wahabi). Perkembangan ini bermakna kematian bagi konservatisme yang itu ini tak boleh dan tak terbuka, literalis yang jumud, kapitalis yang mengongkong, dan tradisionalis yang belajar cara konvensional iaitu cara berguru dan bersanad. Secara tersusun, kumpulan pertama merupakan oposisi kumpulan kedua.

Perkembangan ini bermakna pengglobalan maklumat. Istilah global mengandaikan dunia, bermakna, setiap inci penduduk dunia mampu mencapai sebarang maklumat dengan mudahnya. Namun jika dilihat dari aspek keaslian maklumat dan kesakralan ilmu – Islam mengangkat tinggi ilmu dan orang berilmu – ternyata pengglobalan ini adalah tanda tidak baik. Ternyata ini liberalisasi ilmu, penyamarataan ilmu, pencampuran maklumat benar dan palsu, dan akhirnya sampai kepada kehilangan kesucian ilmu.

Oleh sebab itu zaman ini dikenal sebagai zaman kerajalelaan fitnah di mana manusia disama tarafkan. Tiada lagi taraf guru dan murid. Dalam tradisi (baca:budaya asal)  ilmu Islam, guru dan murid ada perbedaan. Guru dimuliakan sementara murid dianjurkan supaya sentiasa menghinakan diri. Namun murid pada hari ini tidak terasa kehinaan yang sepatutnya dihayati itu, dan tidak lagi memandang mulia akan guru kerana dia banyak baca buku, berdiskusi di alam maya, dan menulis blog lagi. Inilah kesetaraan yang saya maksudkan. Tiada lagi kebitaraan (baca:autoriti) terkhusus untuk guru.

Di pusat-pusat pengajian, seorang pelajar kian menghilang rasa kebergantungan terhadap guru. Memang dia akan cakap bahawa dia menghormati guru dan mengakui keilmuan seorang guru, namun saya boleh katakan bahawa rasa hormat, cinta, bergantung, dan kegahan terhadap guru tidak hidup mekar dalam dirinya. Ini terbukti. Seorang pelajar agama, jika dia ada musykil dalam pembelajaran atau pun menghadapi masalah dalam amalan hariannya, dia terus rujuk bahan bacaan atau pun bertanya rakannya yang dinilainya banyak membaca dan berpengetahuan luas. Ini tahap rendah. Tahap yang lebih tinggi lagi dan lebih berbahaya, dia lebih mempercayai pendapat rakannya daripada guru yang mengajarnya hukum-hakam fekah dan pelbagai ilmu lain.

Pandangan saya ini mestilah tidak disukai kelompok liberalis, demokrat, wahabi dan lain-lain seperti disebut pada ayat-ayat di atas, yang beraya sakan dengan perkembangan teknologi maklumat. Adakah saya seorang penganut aliran konservatisme (yang tak meraikan keterbukaan) atau tradisionalis (yang sangat mengangkat guru) ?

Nanti kalau ada orang tanya tentang ini saya akan kata saya seorang Islamis. Tapi nampaknya jawapan ini terlalu dangkal dan diklaim oleh setiap kelompok muslim. Lalu akankah saya jawab bahawa saya pengikut mazhab salaf? Tidak, kerana itu antara retorika kaum wahabi. Maka untuk jawapan terakhir dan muktamad saya akan menjawab, saya seorang pengikut aliran wasatiah. Walaupun jawapan terakhir ini masih boleh diperdebat panjang kerana ke’lalang’annya, namun ini pada hemat saya adalah pendirian paling tepat dan selamat, dan sebenarnya tidak lalang, bagi setiap manusia yang hidup di zaman globalisasi serta liberalisasi ilmu pengetahuan dan percambahan aliran pemikiran.

Menulis secara bebas seperti ini sangat menyeronokkan!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan