Jumaat, 25 Mac 2011

Tuhan Manusia, Dari Faisal Tehrani Untuk Para Remaja

Saya termasuk dalam golongan yang lewat membaca novel ini. Saya juga antara yang terlewat menyedari kehadiran Faisal Tehrani. Namun saya bersyukur kerana buku-buku Faisal Tehrani masih lagi ada di kedai-kedai buku untuk didapati. Maknanya keterlewatan saya ini tidaklah terlalu teruk. 


Kenapa saya mengungkapkan kata-kata di atas? Untuk menjawab soalan ini, silalah kenali Faisal Tehrani dengan lebih mendalam melalui tulisan-tulisan beliau di banyak tempat sama ada di akhbar semasa, buku-buku dan blog beliau, atau pun majalah. Amati dengan teliti siapakah Faisal Tehrani sebenarnya. Jangan semborono menghukum dan menghindari terutama berkaitan ‘kesyiahan’ beliau.       

Pergulatan sekitar faham pluralisme agama atau pluralisme tuhan menjadi ide teras novel. Aspek penceritaan dan pengimaginasian tidak sangat mencirikan novel ini.  Jalan kisahnya cukup ringkas tetapi sangat realistik. Yang menjadi tumpuan Faisal ialah wacana. Wacananya pula semasa lagi relevan. Faisal berwacana dalam cerita bukan bercerita semata-mata. Konsep ‘wacana santai’ memang sejak lama menjadi keutamaan Faisal Tehrani. Sambil menikmati cerita menimba ilmu. 

Ali Taqi seorang remaja yang amat terkesan dengan kemurtadan abang kandungnya lalu drastik berubah menjadi ‘intelektual muda’. Kerana terluka dengan perbuatan abangnya itu yang juga melerai hubungan kekeluargaan mereka, dia berusaha memahami konsep pluralisme agama sedalam falsafahnya dan realitas semasanya yang mana ia diperjuang oleh teman sekelas bernama Zehra dan ayahnya sebagai watak antagonis. Mereka berdua pendokong pluralisme, menyebarkannya, malah menguruskan pemurtadan abang Ali Taqi. Novel ini menceritakan perjalanan Ali Taqi mencari hakikat pluralisme agama maka berlakulah wacana berpanjangan yang mendominasi sebahagian besar isi novel.     

Disorot dari sisi lain, Faisal cuba mengkritik para remaja sekarang. Ali Taqi merupakan jelmaan remaja berjati diri di tengah kekacauan identiti remaja-remaja lain. Malah dalam novel Faisal sengaja berkisah benar bahawa majoriti remaja hari ini yang seusia Ali Taqi tiada kesedaran intelektual dan budaya ilmu. Saya dapat menangkap mesej ini. Saya juga seolah merasakan, Ali Taqi itu adalah Faisal Tehrani ketika zaman mudanya kerana saya juga maklum serba sedikit riwayat hidup Faisal. Beliau saya andaikan tulus menjiwai watak Ali Taqi kerana memang itulah beliau. Seorang penulis novel dilihamkan oleh pengalaman personal masa lalunya selain ide-ide yang dicari untuk menghasil novel. Sebab itulah hasil penulisan adalah satu kepuasan bagi si penulis.      

Novel Tuhan Manusia ini terbit pada 2007 – sudah lama.  Namun bagi sesiapa yang menyedari bahawa manusia saat ini sedang mendiami zaman kepelbagaian (age of pluralisme) dan zaman maklmumat (age of information), novel ini pasti dikesani penting untuk ditatap.  Novel ini masih bersifat semasa lantaran wacananya malah semakin semasa. Para remaja yang masih tak mengerti di zaman apa letak duduknya mereka saat ini, sangatlah bodoh dan menyusahkan orang lain. Mereka ini keliru, tiada jatidiri, dan tiada identiti kerana tewas dengan serangan kepelbagaian maklumat (pluralisme of information). Sebab itu mereka ini gemar meniru sesuka hati budaya kaum penjajah.

Wacana yang Faisal ketengahkan dalam novel ini tidaklah terlalu berat. Saya percaya Faisal sudah  ringankannya untuk bacaan khalayak yang lebih ramai khususnya para remaja seperti yang ingin diteladani menerusi watak Ali Taqi. Fakta-fakta cukup banyak tetapi tiap satunya tak sulit untuk difahami. Cuma banyak tetapi mudah faham. Justru bagi penggemar falsafah novel ini agak membosankan namun bagi sesiapa yang ingin bermula memahami isu pluralisme agama, novel ini sesuai menunjuk jalannya. Akhirnya dengan semangat ingin tahu yang membara,  selaklah helai-helainya. Saya mencabar para remaja Melayu membaca novel ini.

Rabu, 23 Mac 2011

Al-Munqidz Min ad-Dholal


Al-Munqidz Min Ad-Dholal
(Penyelamat Dari Kesesatan)

Kala resah hati mula waras
Roh dipanggil pulang ke leluhur asal
Lama dia merayau di hutan jembalang

Selama itu aku merayau
Meninggalkan Kau
Kau jemput pulang lagi

Dalam sinar kepulangan
Ku terkenang guru yang sudah mati 
sebelum ku bisa mengenang
Kerana terasa terpimpin olehnya
Ku rasai mesra kalam guru (kuasailah fikirku!)
Kerana kisah guru seumpama kisahku

Kisahku kisah orang terdahulu;
Hanya kekalutan ku capai dalam ilmu
Benar, benar sekali kata guru!
Aku  galau, perit, sakit,
pedih menggila menyerap batin

Benar, guru menyedarkan;
Ilmu menderitakan insan
Makin dalam digali ilmu
Makin jauh dari pedoman
Makin kerap dibaca buku
Makin jarang kewarasan

Sang Guru mengajarkan bab terakhir
daripada kisahnya;
Al-ilmu billah sesungguh ilmu

- 8:27pagi - Pokok Tai - 21/3/2011 -

Isnin, 14 Mac 2011

Sebuah Buku Khas Buat Menyuluh Jalan Orang-Orang Keliru

Tulisan ini untuk memberitahu bahawa kita umat Islam kala ini berada di zaman moden yang dipenuhi bermacam-macam pandangan keliru dan palsu dalam hal keagamaan, yang dikemuka oleh kaum wahabi khasnya. Kemudian dicadangkan sebuah buku khas yang baru diterbitkan bagi menjelaskan segala kekeliruan dan kepalsuan.  


Saya menyimpulkan, pembelajaran ilmu secara moden sebagaimana diamalkan di pusat-pusat pengajian saat ini lah yang menjahanamkan kesucian ilmu agama dengan cara peminggiran terhadap sistem belajar secara tradisional yang luhur dan menjurus  intelek-rohani. Akibatnya  lahirlah pelajar yang bodoh, berfikiran singkat, tak rasional, materialistik, lagi keliru dalam usahanya mempelajari ilmu-ilmu agama dan mencari kebenaran.

Maka dengan itu, zaman moden adalah zaman malap bagi aliran tradisional atau turath.  Sebaliknya adalah zaman gemerlap bagi aliran wahabisme (baca:pembaharu kononnya) sebagai pencabar kewibawaan aliran turath (baca:kononnya aliran ‘lama’). Wahabi  ini sangat popular hatta sampai ke telinga penduduk desa paling hujung apatah lagi manusia di tengah kota. Disebut-sebut namanya serata negeri. Lalu adik-beradik kita bertanya, siapakah wahabi?

Saya menjawab, kaum wahabi dilahirkan dari perut kebobrokan sistem pendidikan moden yang nilai-nilainya bertentangan dengan tradisi pemikiran Islam dan sejalan dengan nilai Barat. Berkali-kali diperingat, abad moden merupakan abad kebaratan dan Barat adalah musuh nyata bagi kaum muslimin sejak perang salib. Kaum Wahabi bukan tak tahu Barat itu musuh tetapi malangnya mereka tak sedar diri sendiri termangsa oleh sistem pembelajaran moden milik Barat. Ini mengakibatkan pemikiran mereka terbentuk oleh nilai-nilai Barat. Untuk saya inilah asal-usul Wahabi dan sebab utama mengapa ia bercambah seperti cendawan selepas hujan pada abad moden ini.

Asas-asas pemikiran golongan wahabi – yang bernilaikan Barat – yang merasuk minda mereka dikenalpasti sebagai : ‘setiap orang berhak ditolak pendapatnya dan diterima pendapatnya kecuali Rasul’ dan juga ‘setiap orang melakukan kesilapan kecuali Rasul’, dalam misi mereka menuju retorika yang tak kesampaian : ‘Manhaj Quran dan Sunnah’.  

Bertolak dari situ, kaum wahabi cenderung menilai semula hukum-hakam yang diputuskan ulama tradisional sejak dahulukala lantaran keraguan melampau terhadap wibawa mereka (ulama tradisional). Wahabi tiada kenal hakikat ilmu dan hakikat ulama. Dalam berinteraksi dengan ilmu pengetahuan, mereka lebih mesra dengan perkataan dan lafaz, bukan makna bagi perkataan dan lafaz. Kata lainnya, pemaknaan terhadap nas adalah secara ala kadar. Atau pun, memahami nas secara kaku. Sebab itulah mereka begitu cemerlang memetik nas tertentu, pandangan ulama muktabar, nama kitab, nombor hadith dan darjat hadith tetapi tak berupaya mensyarahkannya dengan mendalam.  

Ada banyak lagi aspek lain yang menunjukkan kecelaruan wahabi namun semuanya berpunca dari kesilapan menanggapi ilmu.   Sebab itu saya sarankan mereka mengkaji dahulu ‘apa itu ilmu’ secara falsafah (mendalam) dan juga sistem pengambilan ilmu supaya mereka tahu budaya ilmu Islam itu bagaimana, budaya ilmu Barat bagaimana.

Kaum wahabi yang keliru itu, mengelirukan pula umat dengan mempromosi pendapat-pendapat baharu dan ‘moden’ hasil pemikiran celaru mereka. Umat Islam mula mempertikai sesama sendiri dan was-was untuk melakukan amalan agama  yang menjadi kebiasaan. Maka perpaduan umat beransur tiada manakala kebudayaan dan jatidiri masyarakat Melayu terhakis. 

Ke hadapan umat yang dukacita dikelirukan oleh wahabi, Al-Fadhil Al-Ustaz Muhadir Joll persembahkan buku khusus bertajuk ‘Persoalan Khilafiyyah dan Penjelasan Ulama – Inilah Jawapannya’. Ia hadir sebagai sebuah ensiklopedia setebal hampir 1000 mukasurat menghimpun soal-jawab 179 masalah yang sering dibangkitkan dalam masyarakat melengkapi dimensi agama yang tiga iaitu akidah, ibadah, dan akhlak. Selain itu disertai juga panduan untuk mendepani masalah khilafiyah.

Penjelasan oleh buku ini detil berakarkan pemikiran Islam yang asli, bergaya moden, dan sesuai untuk sesiapa yang tulus mencari kebenaran. Buku ini membuktikan keulungan  Al-Fadhil sebagai mewakili ulama aliran tradisional yang hidup dalam lingkungan kemodenan. 

Buku ini adalah rujukan tuntas dan meyakinkan apabila berhadapan masalah khilafiyyah. Khilafiyyah bermaksud perkara yang tidak disepakati hukumnya dikalangan ulama - pada hari ini terlalu kerap muncul di ruang awam. Contohnya, melakukan tahlil sempena kematian. Lantaran itu lah ia menjadi sangat penting untuk dimiliki setiap orang. Paling memerlukannya adalah golongan pelajar kerana mereka ini paling lantang berbicara soal khilafiyah.

Saya bukanlah berhasrat untuk lebih-lebih mencanangkan kehebatan buku ini atas tujuan komersial. Nak buat apa? Sebaliknya ini atas tujuan perjuangan mentuankan kembali keluhuran keilmuan Islam yang ditandai oleh ulama tradisional. Juga insha Allah sebagai cahaya menyuluh jalan orang-orang yang mengelirukan dan dikelirukan.

Kata-kata akhir saya : kita meraikan berbilangnya pandangan namun ketahuilah kebenaran itu jumlahnya tetap satu tidak berbilang. Kita tidak meraikan semua pandangan, kita hanya meraikan pandangan yang matang kerana mana mungkin pandangan seorang anak kecil diraikan. 

 sila klik pada gambar

*klik sini untuk maklumat seterusnya tentang buku
*Pelajar Darul Quran yang nak beli boleh maklumkan kepada ana 0136247915 



Khamis, 3 Mac 2011

Zaman Blog, Zaman Keserabutan


"Nahnu na'isyu fi 'asri blog"


Saat ini saya punyai blog peribadi dan sedang duduk-duduk menghasilkan post terbaharu. Syukran untuk blogger.com. Bagi saya blog lambang kepuasan. Menghasilkan penulisan adalah kerja yang menyeronokkan. Selama masa mempunyai blog yang mencapai setahun pada bulan dua tahun masihi ini, saya melepaskan nafsu di blog dengan menghasilkan penulisan untuk dipos. Saya juga meyakinkan diri bahawa seorang penulis blog tak perlu tertekan jika tidak ada entri untuk dipos kerana ia kontradik bagi kepuasan dan kenikmatan. Barangsiapa berperasaan sebegitu maka dia adalah seorang pengharap yang ternanti-nanti blognya dikunjung ramai dan dia tampaknya ketagih kebanggaan di hati orang.

Pelbagai ragam penulis blog boleh kita temui. Macam-macam gaya penulisan ditampilkan. Jati diri penulis atau tiada jati diri, atau pendiriannya terhadap sesuatu dapat kita ketahui walaupun tidak tepat sepenuhnya kerana panulis blog biasanya tak akan mendedahkan kekurangan dirinya secara sengaja. Malangnya, secara tak sengaja segala kelemahannya dapat dicam oleh pembaca tertentu.

Blog sebenarnya menyelak untuk pengunjung siapa kah penulis blog, pemikirannya, dan kecenderungannya. Pendek kata blog merupakan hakikat diri seseorang blogger oleh sebab blogger dan karangannya bak matahari dan pancaran cahaya yang berpunca darinya. Sebarang kebodohan, kedangkalan, dan kekacauan pemikiran akan tersingkap jua andai itulah kelemahan yang ingin disorok seorang blogger, walaupun dia sedaya-upaya merahsiakan identitinya. Nah, seperti cahaya matahari yang memberitahu manusia sifat-sifat bagi matahari iaitu panas, terang dan lain-lain. Sepertimana ucapan seseorang mengenalkan audiennya siapakah dia sebenarnya.

Ketika bibit awal kebangkitan blog di alam manusia, saya pernah beranggapan dengan meluasnya aktiviti blogging maklumat akan berkembang pesat dan masyarakat lebih bijak berfikir dan menilai jadinya tak mudahlah seseorang dicucuk hidung dan berperilaku tidak rasional. Ketika itu saya tidak punyai blog peribadi lagi. Ketika itu saya amat positif dengan teknologi blog. Pendirian sebegini nampaknya mendekati puak demokrat dan sosialis.

Maka ketika ini saya ingin menceritakan pendirian saya yang terkini, yang berlainan sedikit daripada pendirian yang terdahulu. Kerana masa senantiasa tak pernah berhenti, demi masa, teknologi maklumat berkembang terus maju.

Di satu pihak berita ini menggembirakan. Puak ini diwakili oleh demokrat, liberalis, sosialis, modenis, (dan wahabi). Perkembangan ini bermakna kematian bagi konservatisme yang itu ini tak boleh dan tak terbuka, literalis yang jumud, kapitalis yang mengongkong, dan tradisionalis yang belajar cara konvensional iaitu cara berguru dan bersanad. Secara tersusun, kumpulan pertama merupakan oposisi kumpulan kedua.

Perkembangan ini bermakna pengglobalan maklumat. Istilah global mengandaikan dunia, bermakna, setiap inci penduduk dunia mampu mencapai sebarang maklumat dengan mudahnya. Namun jika dilihat dari aspek keaslian maklumat dan kesakralan ilmu – Islam mengangkat tinggi ilmu dan orang berilmu – ternyata pengglobalan ini adalah tanda tidak baik. Ternyata ini liberalisasi ilmu, penyamarataan ilmu, pencampuran maklumat benar dan palsu, dan akhirnya sampai kepada kehilangan kesucian ilmu.

Oleh sebab itu zaman ini dikenal sebagai zaman kerajalelaan fitnah di mana manusia disama tarafkan. Tiada lagi taraf guru dan murid. Dalam tradisi (baca:budaya asal)  ilmu Islam, guru dan murid ada perbedaan. Guru dimuliakan sementara murid dianjurkan supaya sentiasa menghinakan diri. Namun murid pada hari ini tidak terasa kehinaan yang sepatutnya dihayati itu, dan tidak lagi memandang mulia akan guru kerana dia banyak baca buku, berdiskusi di alam maya, dan menulis blog lagi. Inilah kesetaraan yang saya maksudkan. Tiada lagi kebitaraan (baca:autoriti) terkhusus untuk guru.

Di pusat-pusat pengajian, seorang pelajar kian menghilang rasa kebergantungan terhadap guru. Memang dia akan cakap bahawa dia menghormati guru dan mengakui keilmuan seorang guru, namun saya boleh katakan bahawa rasa hormat, cinta, bergantung, dan kegahan terhadap guru tidak hidup mekar dalam dirinya. Ini terbukti. Seorang pelajar agama, jika dia ada musykil dalam pembelajaran atau pun menghadapi masalah dalam amalan hariannya, dia terus rujuk bahan bacaan atau pun bertanya rakannya yang dinilainya banyak membaca dan berpengetahuan luas. Ini tahap rendah. Tahap yang lebih tinggi lagi dan lebih berbahaya, dia lebih mempercayai pendapat rakannya daripada guru yang mengajarnya hukum-hakam fekah dan pelbagai ilmu lain.

Pandangan saya ini mestilah tidak disukai kelompok liberalis, demokrat, wahabi dan lain-lain seperti disebut pada ayat-ayat di atas, yang beraya sakan dengan perkembangan teknologi maklumat. Adakah saya seorang penganut aliran konservatisme (yang tak meraikan keterbukaan) atau tradisionalis (yang sangat mengangkat guru) ?

Nanti kalau ada orang tanya tentang ini saya akan kata saya seorang Islamis. Tapi nampaknya jawapan ini terlalu dangkal dan diklaim oleh setiap kelompok muslim. Lalu akankah saya jawab bahawa saya pengikut mazhab salaf? Tidak, kerana itu antara retorika kaum wahabi. Maka untuk jawapan terakhir dan muktamad saya akan menjawab, saya seorang pengikut aliran wasatiah. Walaupun jawapan terakhir ini masih boleh diperdebat panjang kerana ke’lalang’annya, namun ini pada hemat saya adalah pendirian paling tepat dan selamat, dan sebenarnya tidak lalang, bagi setiap manusia yang hidup di zaman globalisasi serta liberalisasi ilmu pengetahuan dan percambahan aliran pemikiran.

Menulis secara bebas seperti ini sangat menyeronokkan!