Jumaat, 25 Februari 2011

Aku, Wahabisme Dan Esoterisme

Berpaling sejenak dari pergolakan melanda Timur Tengah,


Say NO ENTRY to wahabi!

Saya sejak lama menolak wahabisme. Selama itu saya tak berupaya menjelaskan dalam struktur penjelasan yang menyampaikan kerana untuk saya ini isu pemikiran yang perlukan abstraksi tinggi untuk dibicara jika mahu kelihatan objektif. Syukur, sekarang sudah ada kata-kata yang sesuai untuk menjelaskan mengapa saya tak serasi dengan wahabisme.

Kata kuncinya ialah esoterisme ilmu. Ialah sisi dalam atau dasar bagi ilmu. Justru menuntut ketajaman pikir dan kedalaman pengetahuan untuk mencecahnya takatnya.  

Seperti diungkap Ali Shariati, setiap sesuatu (mawjud) terdiri daripada luar dan dalam. Zahir dan batin apabila merujuk kepada manusia. Dunia dan akhirat apabila dilihat dari konteks alam. Begitulah yang lain-lain. Bagaimanapun keduaan ini menurut Islam tetap sepadu. Hakikat yang satu. Bukan dua dalam arti tercerai tapi dua dalam arti sebati, dikeranakan oleh tauhid, pemikiran paling fundamental dalam tasawur alami Islam.

Pulang kepada esoterisme dan kaitannya dengan wahabisme. Poinnya, aliran pemikiran wahabisme hampa esoterisme dalam perbahasan ilmu mereka. Biar saya sebutkan bahawa perbahasan yang layak ditarafkan sebagai ilmiah, mengakar umbi dan bercorak filsafat jarang sekali ditemukan dalam lingkungan mereka.

Dalam sejarah ketamadunan dan keilmuan - yang terbina oleh esoterisme ilmu sendiri - kelompok esoterisme diwakili terbesarnya oleh aliran sufisme baik sunni atau syiah. Ini disebut oleh Prof. Baharudin Ahmad (yang aktif menterjemah karya-karya S.H Nasr ke Melayu). Sunni wakil-wakil mukanya seperti Ibn Arabi, Rumi, Attar, Fansuri, Iqbal dan Al-Attas (yang masih hidup). Saya pertimbangkan juga Al-Attas kerana beliau layak pada takah tertentu. Syiah diwakili Mulla Sadra, Thusi, Nikmatullah dan lain-lain. Maklumat syiah kurang pada saya. Namun asas hujah menunjukkan esoterisme kaum sufi syiah sangat tinggi.

Kerana menurut seorang komentator maya, syiah dalam peradaban pemikirannya telah mencapai hikmat mutaali yakni sintesis daripada gnoesis Ibn Arabi, peripatik Aristotle, dan hikmah isyraqiyyah Surahwadi.

Faham wahabisme pada saya tidak ilmiah bertapakkan takrif ilmu oleh Al-Attas. Al-Attas dengan merujuk mutakallimun silam antaranya Saifudin Al-Amidi dan Fakrudin Ar-Razi mengemukakan takrif ilmu sebagai berikut :

Merujuk Allah sebagai sumber ilmu, ilmu adalah kedatangan makna pada diri. Pabila merujuk diri sebagai pentafsir, ilmu adalah kedatangan diri kepada makna.

Bertapak takrif ini, ilmu itu adalah makna. Mudahnya ilmu merupakan ide dan kefahaman. Seseorang yang tidak memahami perkataan-perkataan yang dibacanya tidak dikira sebagai berilmu. Begitu juga seseorang yang tiada memahami pelajaran oleh guru di kelas tidak dikatakan sebagai memperoleh ilmu. Begitu juga, seseorang yang menghafal dengan tidak memahami yang dihafal tak dikira mendapat ilmu.

Isyaratya ialah, makin dalam pemaknaan seseorang terhadap sesuatu makin berilmu seseorang itu. Lalu di sinilah esoterisme mengambil tempatnya.

Al-Attas telah pun membuktikan bahawa kedatangan Islam ke Nusantara telah merubah segalanya. Bangsa Melayu umpama menerima sayap ghaib bernama Islam yang mengangkatnya menaiki puncak ketamadunan. Peranan Islam ini sedemikian monumental dan luar biasa dalam sejarah dan kebudayaan Melayu. Apa yang perlu diautoritikan di sini ialah sosok bernama Hamzah Al-Fanshuri. Beliau tersohor sebagai ulamak, pemikir, sufi, dan sumbu paling utama mencetuskan kebangkitan kebudayaan Melayu. Beliau mengembangkan ajaran Ibn Arabi yang kemudiannya disambung oleh Syamsuddin Sumatrani anak murid beliau paling setia yang juga tokoh besar sufi Melayu. Hamzah juga pemula kesusasteraan Melayu gaya baharu yang mengangkat rasionalisme dengan pengkaryaan sastera berpusatkan pandangan tauhid.

Nyata di sini bahawa aliran sufisme (yang esoterik itu) yang mentamadunkan umat Melayu. Ingat baik-baik, prasyarat mencapai tamadun ialah ilmu pengetahuan dan pemikiran.

Wahabisme hampa esoterisme kerana salah faham terhadap ilmu. Oleh sebab itu saya pesankan mereka perlu pulang ke pangkal epistemologi, yakni, awal-awal jalan untuk mengenali kebenaran dan kesahihan. Ilmu merupakan kebenaran, kesahihan dan keyakinan. Ini diajar dalam epistemologi. Penekanan ilmu adalah kepada makna iaitu unsur esoterisme bukanlah kepada lafaz dan matan yang dimaknai secara ala kadar. Ilmu lebih mencerminkan esoterisme sebagai dirinya dengan tidak menolak huruf, lafaz dan perkataan sebagai alat atau medium untuk tiba kepada makna atau diri ilmu itu.

Oleh kerana hal inilah wahabisme tidak serasi dengan sufisme, aliran kalam asyairah (aliran tok-tok guru pondok di nusantara), dan puak filusuf sebagaimana saya tak serasi dengan wahabisme kerana saya percaya kebenaran (ilmu) berasaskan esoterisme.

Ini adalah  sebab besar di antara sebab-sebab kecil yang lain mengapa saya dan sekolompok besar umat tak berdaya untuk meraikan wahabi. Ini bukan soal meraikan semua pandangan tetapi soal ketulenan ilmu. Dan, puak wahabi semestinya tidak akan memahami esei ini

Tiada ulasan:

Catat Ulasan