Jumaat, 25 Februari 2011

Aku, Wahabisme Dan Esoterisme

Berpaling sejenak dari pergolakan melanda Timur Tengah,


Say NO ENTRY to wahabi!

Saya sejak lama menolak wahabisme. Selama itu saya tak berupaya menjelaskan dalam struktur penjelasan yang menyampaikan kerana untuk saya ini isu pemikiran yang perlukan abstraksi tinggi untuk dibicara jika mahu kelihatan objektif. Syukur, sekarang sudah ada kata-kata yang sesuai untuk menjelaskan mengapa saya tak serasi dengan wahabisme.

Kata kuncinya ialah esoterisme ilmu. Ialah sisi dalam atau dasar bagi ilmu. Justru menuntut ketajaman pikir dan kedalaman pengetahuan untuk mencecahnya takatnya.  

Seperti diungkap Ali Shariati, setiap sesuatu (mawjud) terdiri daripada luar dan dalam. Zahir dan batin apabila merujuk kepada manusia. Dunia dan akhirat apabila dilihat dari konteks alam. Begitulah yang lain-lain. Bagaimanapun keduaan ini menurut Islam tetap sepadu. Hakikat yang satu. Bukan dua dalam arti tercerai tapi dua dalam arti sebati, dikeranakan oleh tauhid, pemikiran paling fundamental dalam tasawur alami Islam.

Pulang kepada esoterisme dan kaitannya dengan wahabisme. Poinnya, aliran pemikiran wahabisme hampa esoterisme dalam perbahasan ilmu mereka. Biar saya sebutkan bahawa perbahasan yang layak ditarafkan sebagai ilmiah, mengakar umbi dan bercorak filsafat jarang sekali ditemukan dalam lingkungan mereka.

Dalam sejarah ketamadunan dan keilmuan - yang terbina oleh esoterisme ilmu sendiri - kelompok esoterisme diwakili terbesarnya oleh aliran sufisme baik sunni atau syiah. Ini disebut oleh Prof. Baharudin Ahmad (yang aktif menterjemah karya-karya S.H Nasr ke Melayu). Sunni wakil-wakil mukanya seperti Ibn Arabi, Rumi, Attar, Fansuri, Iqbal dan Al-Attas (yang masih hidup). Saya pertimbangkan juga Al-Attas kerana beliau layak pada takah tertentu. Syiah diwakili Mulla Sadra, Thusi, Nikmatullah dan lain-lain. Maklumat syiah kurang pada saya. Namun asas hujah menunjukkan esoterisme kaum sufi syiah sangat tinggi.

Kerana menurut seorang komentator maya, syiah dalam peradaban pemikirannya telah mencapai hikmat mutaali yakni sintesis daripada gnoesis Ibn Arabi, peripatik Aristotle, dan hikmah isyraqiyyah Surahwadi.

Faham wahabisme pada saya tidak ilmiah bertapakkan takrif ilmu oleh Al-Attas. Al-Attas dengan merujuk mutakallimun silam antaranya Saifudin Al-Amidi dan Fakrudin Ar-Razi mengemukakan takrif ilmu sebagai berikut :

Merujuk Allah sebagai sumber ilmu, ilmu adalah kedatangan makna pada diri. Pabila merujuk diri sebagai pentafsir, ilmu adalah kedatangan diri kepada makna.

Bertapak takrif ini, ilmu itu adalah makna. Mudahnya ilmu merupakan ide dan kefahaman. Seseorang yang tidak memahami perkataan-perkataan yang dibacanya tidak dikira sebagai berilmu. Begitu juga seseorang yang tiada memahami pelajaran oleh guru di kelas tidak dikatakan sebagai memperoleh ilmu. Begitu juga, seseorang yang menghafal dengan tidak memahami yang dihafal tak dikira mendapat ilmu.

Isyaratya ialah, makin dalam pemaknaan seseorang terhadap sesuatu makin berilmu seseorang itu. Lalu di sinilah esoterisme mengambil tempatnya.

Al-Attas telah pun membuktikan bahawa kedatangan Islam ke Nusantara telah merubah segalanya. Bangsa Melayu umpama menerima sayap ghaib bernama Islam yang mengangkatnya menaiki puncak ketamadunan. Peranan Islam ini sedemikian monumental dan luar biasa dalam sejarah dan kebudayaan Melayu. Apa yang perlu diautoritikan di sini ialah sosok bernama Hamzah Al-Fanshuri. Beliau tersohor sebagai ulamak, pemikir, sufi, dan sumbu paling utama mencetuskan kebangkitan kebudayaan Melayu. Beliau mengembangkan ajaran Ibn Arabi yang kemudiannya disambung oleh Syamsuddin Sumatrani anak murid beliau paling setia yang juga tokoh besar sufi Melayu. Hamzah juga pemula kesusasteraan Melayu gaya baharu yang mengangkat rasionalisme dengan pengkaryaan sastera berpusatkan pandangan tauhid.

Nyata di sini bahawa aliran sufisme (yang esoterik itu) yang mentamadunkan umat Melayu. Ingat baik-baik, prasyarat mencapai tamadun ialah ilmu pengetahuan dan pemikiran.

Wahabisme hampa esoterisme kerana salah faham terhadap ilmu. Oleh sebab itu saya pesankan mereka perlu pulang ke pangkal epistemologi, yakni, awal-awal jalan untuk mengenali kebenaran dan kesahihan. Ilmu merupakan kebenaran, kesahihan dan keyakinan. Ini diajar dalam epistemologi. Penekanan ilmu adalah kepada makna iaitu unsur esoterisme bukanlah kepada lafaz dan matan yang dimaknai secara ala kadar. Ilmu lebih mencerminkan esoterisme sebagai dirinya dengan tidak menolak huruf, lafaz dan perkataan sebagai alat atau medium untuk tiba kepada makna atau diri ilmu itu.

Oleh kerana hal inilah wahabisme tidak serasi dengan sufisme, aliran kalam asyairah (aliran tok-tok guru pondok di nusantara), dan puak filusuf sebagaimana saya tak serasi dengan wahabisme kerana saya percaya kebenaran (ilmu) berasaskan esoterisme.

Ini adalah  sebab besar di antara sebab-sebab kecil yang lain mengapa saya dan sekolompok besar umat tak berdaya untuk meraikan wahabi. Ini bukan soal meraikan semua pandangan tetapi soal ketulenan ilmu. Dan, puak wahabi semestinya tidak akan memahami esei ini

Rabu, 23 Februari 2011

Kenabian, Kebenaran

Apa dah jadi di Timur Tengah sekarang?

Pada hari ini, kita hanya mampu melihat tulisan nama Muhammad saw yang indah. Saya memikirkan betapa dahsyat akibat ketiadaan nabi bermula wafat baginda sehinggalah saat terakhir masa ketika tulisan ini dihasil. Yang ada cuma tulisan nama seumpama yang di bawah ini. Nabi yang termulia, sang pengaman dunia, paling benar, paling telus, tiada langsung hipokrit, sudah tiada. Dunia hari ini diselubungi selimut zulumat. Manusia meniti hari yang senantiasa mendatang dengan wajah kecewa dan berkerut. Hari ini hari kerajalelaan hipokrasi dan kebinatangan justru yang paling selesa menghuni hari ini adalah pemeras, penzalim, penembak mati babi-buta, penipu, pemalsu, pelahap dan sebulu dengannya. 

Lihatlah puas-puas.dan sedalamnya nama Muhammad ini. Hanya penyangak yang saya sebut tadi yang tak suka lihat dan renung ini kerana Muhammad merupakan simbolik kebenaran dan kebangkitan kebenaran merejam kepura-puraan.   


Tuhanku
apa dah jadi dengan aku
apa dan jadi dengan dunia
apa dah jadi dengan pemimpin kami
ada sunni ada syiah.
ada wahabi ada sufi
ada pemain perseorangan
Berperang sesama kita
Tiada pemenang, tiada kebenaran
Tiada satu-satunya 

bila nabi sudah tiada
kebenaran hilang diganti kepalsuan
sebaik nabi tiada
terserlah terang kenabian Muhammad
betapa cuma satu manusia
Cuma satu manusia 

Tuhanku
sejauh ini aku berjalan
semakin banyak cabang dan simpang
mau pilih yang mana?

Nabi akan samakah dengan para sahabat?
Andai sama, mengapa bumi arab kacau-bilau sebaik mangkat nabi?
Nabi akan samakah dengan ulamak?
Andai sama, dunia kan aman.
Nabi akan samakah dengan buku, kitab, e-buku?
Andai sama, bacalah buku banyak-banyak selagi tak pening dan sesat.

Terserlah sampai silau mataku
Muhammad memang nabi
Cuma satu manusia

Dalam kesilauan terhadap yang mati
Aku  ketidak ketahuan
Hari-hari tanpa nabi
cukup abstrak dan tidak pasti

Terasa sedikit tenang pabila mengiang Al-Ghazali;
Pencari kebenaran terjumpa kepalsuan kerana dia mencari mengikut caranya sendiri

Rabu, 16 Februari 2011

Rindu Nabi

Saat nabi lahir seluruh semesta bersenda  
saat ulang tahun lahir nabi
aku bersendu dalam duka
aku cuma boleh selak kitab sejarah
coba membayang-bayang
rupa nabi, batang tubuh nabi yang termulia

Aku kecewa menjadi penghuni masa ini
mempersoal, mengapa tidak masa nabi?
Ku akur, tak apa, nabi mampu ku temu
di masa ini juga

ya, di masa ini juga
pertemuan hati
pertemuan roh

Allahumma solli ala habibi
Muhammad.
Nabi masih hidup
di masa ini juga.

- 13 Rabiulawwal - Darul Quran -


Ini tempat penuh barokah, tempat baginda saw dilahirkan. Pemilik asal rumah ialah sepupu Rasulullah bernama Uqail ibn Abu Tolib (ra), kemudian diwarisi oleh anak dan cucunya.

Pada 12 Rabiulawwal tahun gajah, hari Isnin, bersamaan 20 April tahun 570 Masihi, di sinilah jasad baginda yang mulia menjengah dunia. 

Bermula saat itu, gelap menjadi cerah, tolol menjadi pandai. Tahun-tahun yang lama muram mulai betukar mimik ceria. Cahaya menyinar terang-benderang. Harapan baharu untuk tanah arab bahkan seluruh semesta bergembira. Allahumma solli 'ala Muhammad wa alihi wa sohbihi ajma'in.

Gegak gempitakan minggu ini dan bulan ini bahkan tahun ini dengan sholawat ke atas baginda Muhammad saw. Mari sama-sama kita rayakan ulang tahun kelahiran agong ini. Seluruh semesta bergembira, setiap makhluk tersenyum saat kelahirannya. Maka kita yang satu spesis dengan baginda ini pastilah paling dalam cinta dengan baginda mampu kita capai dan rasa. Maka minggu ini, bergembiralah! 


Sabtu, 12 Februari 2011

Kuasa Kaum Tertindas


Heboh, Mubarak dikatakan telah pun undur dari mesir. Dia lari keluar naik helikopter dari istananya di Cairo. Facebook kecoh. Semua umat Islam macam bahagia dan bersemangat bermula malam tadi.

Pastilah saya nak komen ;

1-   Mubarak ini hanya alat. Tuannya pasti dah ada alat ganti.Tahu kan siapa tuan dia. Jaga-jaga, tak kan semudah ini. Saya sebelum ini membayangkan pertunjukan perasaan selama berbulan-bulan. Mungkin ini undur bersyarat. (Alahai, kakak saya yang belajar di Al-Azhar dijangka tiba pagi ini di KLIA).

2-   Politik demokrasi (yang tulen) dibayangkan makin relevan di rantau arab yang terkenal kosong dan palsu demokrasinya selama ini. Harapan baharu ini selari lah dengan apa diperjuang bapak demokrasi kita, Anwar Ibrahim, PKR, dan yang sehaluan pemikiran dengan mereka.  

3-   Teori domino yang rata-rata dipegang penganalisis semakin terbukti. Terima kasih Tunisia!

4-   Dan juga, ideologi kaum tertindas peloporan Syiah ternyata sangat relevan. Nah. Saya kebelakangan ini belajar ilmu sosiologi dengan Ali Shariati ahli sosiologi terkenal dunia Islam dari kem Syiah.

Kuasa Kaum Tertindas

Kebangkitan rakyat 1979 menggulingkan penguasa Shah (yang spesis penindas macam Mubarak juga) bagaimanapun tak dapat disamakan dengan kebangkitan rakyat 2011. Mesir negara sunni totok. Iran negara syiah totok. 

Syiah sejak nabi Muhammad saw wafat sampailah sekarang kekal sebagai kaum monoriti dan tertindas. Kerana itu mereka punya falsafah hidup tersendiri dan menarik untuk diselidiki. Mereka punya cara pandang berbeza terhadap sejarah berbanding sunni. Mereka lebih kritikal terhadap sejarah dan berdaya historisme. 

Mereka berkali-kali memimpin revolusi. Sejak pemimpin revolusi pertama melakukannya, yang bernama Muhammad bin Abdullah. Sayyiduna Hussain tewas di Karbala namun roh revolusi tak hilang terus bahkan menyemarak pula dalam kalangan penganut syiah sampai ke saat dunia hari ini yang dipimpin penindas terzalim bernama Amerika-Israel.

Roh inilah yang disebut Ali Shariati. Roh inilah menghidupkan kebangkitan rakyat Iran pada 79. Rakyat Mesir bangkit kerana ditindas kepentingan mereka semata, sedangkan rakyat Iran, selain ditindas penguasa yang zalim, mereka sedia punyai dasar pemikiran agama tentang ide kaum tertindas, revolusi, kebangkitan popular, dan seumpamanya. Rakyat Iran bangkit kerana agama.

Maka, umat sunni yang mendominasi kaum muslimin wajib pelajari ide ini daripada syiah. Kita bersatu melawan Barat.

Iran hari ini kita semua kenal sebagai kuasa Islam yang mampu menyaingi kegahan Barat. Iran cipta roket sendiri. Iran menghasilkan nuklear sendiri. Mesir dan negara sekitarnya (yang sunni itu) pula selama ini bergantung penuh pada Barat untuk meneruskan survival sama ada politik atau ekonomi. Kita pun tahu kan.

Maknanya, sejak kebangkitan 1979 itu, rakyat Iran dan pemimpinnya terus-menerus bangkit. Lihatlah betapa berkuasanya kebangkitan jenis ini!

Untuk itu kita tengok pula apa akan jadi di Mesir selepas ini kalau nak tahu setakat mana kuasa kebangkitan rakyat sunni. Kita pastilah tidak mahu kebangkitan hipokrit, bangkit sekejap kemudian pejam mata semula. 

Bukan Barak yang menindas rakyat Mesir tetapi tuannya iaitu Barrack dan Barat! 

Bangkit terus wahai rakyat Mesir melawan Barrack dan Barat, bukan Barak sahaja! Barak hanya orang suruhan tuannya.

Bangkit lagi, buktikan kuasa kebangkitan sebenar kaum tertindas. Saya ulang pesan, belajarlah dari Syiah.