Jumaat, 28 Januari 2011

Jangan Sertai Kabilah Dangkal

Kedangkalan akal tanda-tandanya harus dikenalpasti supaya tiada siapa-siapa yang tersilap masuk kabilahnya (kabilah dangkal akal). Dangkal bukan sifat seorang manusia. Dangkal mendekati sifat seekor haiwan.

 ini haiwan. namanya lembu.

dan ini manusia.

Mari bersiar-siar di blog-blog yang melawan arus perdana, yang kritis, yang liberal, yang falsafah, jika nak menonton aksi kabilah dangkal.  Tapi blog itu mestilah milik ‘orang agama’ sebab agama unsur paling mensentimenkan bagi sesiapa pun (kecuali ateis). Untuk kesan terbaik, pilih blogger yang figur publik.

Sebelum dilanjutkan, ini ada pemberitahuan penting : agama tidak mendangkalkan akal manusia, malah mengangkat akal. Manusia dangkal yang mendangkalkan agama, memalukan agama.   

Saya contohkan blog Dr. Faisal Tehrani (FT). Saya selalu menziarahi beliau kerana tetamu-tetamu dangkal sering ada bersama. Malah saya belajar satu lagi arti kehidupan daripada kabilah ini. Terima kasih daun keladi.

Sedikit mengenai isu Dr. FT. Isu syiah meledak tiap tahun pabila  Muharram tiba. Peristiwa Karbala. Kita sedia maklum umum amat sensitif dengan sebutan "syiah". Dr. FT pula seorang pengkaji syiah yang tegar di Malaysia sekaligus novelis popular. Hasilnya, beliau seringkali dilabel sebagai syiah. Label syiah buat Dr. itu kerja siapa? Kerja kabilah dangkallah. Padahal FT berkali-kali menafikan. Bahkan tiada bukti yang tidak dangkal untuk mensabitkan beliau. 

Untuk  yang nak ambil tahu, isu syiah-sunni sangat kompleks. Menjangkau epistemologi dan ontologi, dua disiplin keilmuan yang filosofis (mendasar), yang mencorakkan pendapat dan aliran ilmiah masing-masing sunni dan syiah. Jadinya bukan senang-senang boleh mengecop seseorang sebagai syiah. Bukan senang-senang boleh menghukum mereka sesat. Mafhum lain, hanya kabilah dangkal yang suka dan cepat sangat menghukum, mengecop, dan menyangka.

Itulah antara jejak maya yang ditinggalkan rombongan kabilah dangkal, yang mengesahkan mereka memang wujud bergerombolan di alam tanpa dinding.      
 
Betapa ramai kritikus jalanan yang lahir dari kandungan kabilah dangkal. Mereka (kritikus) beraksi di ruang maya yang tak bersempadan. Kesannya, fitnah menyelubungi sebilangan besar manusia dan ahli kabilah pun bertambah. Kitaran ini tak henti-henti sampailah bumi terbelah.    

Orang-orang dangkal, pesan saya, kalau nak mengkritik sila kenal habis dulu apa yang ingin dikritik itu. Ahli-ahli kabilah dangkal, aksi-aksi dangkal mu itu hanya menjatuhkan martabat kemanusiaan mu kepada kehaiwanan, memalukan Islam dan orang Islam. Paling sedih, memecahbelah umat.

Terlalu banyak kecelakaan di dunia ini berlaku oleh kedangkalan manusia. Sekian banyak kesengsaraan mendukakan manusia kerana akibat salahfaham, tak faham, dan tak mau memahami.


Teringin mengkritik, tetapi tak kenal lumat yang ingin dikritik. Siapa orang yang dikritik. Apa yang dikritik. Janganlah jadi persis orang melatah hamun kerana disergah kawan baik sendiri. Perlakuan dangkal hanya menyerlahkan kebodohan dan kebinatangan.
 
Tergesa-gesa menghukum orang lain tanpa pertimbangan  memadai hanya membodohkan diri sendiri. Membuat keputusan bukan satu tugas mudah kerana keputusan yang dibuat membuahkan akibat. Keputusan baik akibatnya baik untuk manusia. Begitulah sebaliknya. 

DALAM wacana turath Islam, dalam ilmu tasawuf, mauduk al-Insan dibicara dengan mendalam. Al-Imam al-Ghazali contohnya dalam huraian-huraian beliau,  menggesa kita kenal manusia dan kemanusiaan. Tiada memadai dengan hanya tahu aspek fizik dan biologi manusia. Lebih utama menurut Al-Ghazali untuk mengenal matafisik dan kejiwaan (psikologi) manusia kerana di situlah letaknya lihatan Allah. Al-Attas juga begitu berhubung kemanusiaan.

Manusia antara lain ditakrifkan sebagai haiwan an-natiq. Seorang manusia, saya simpulkan, andai tak memanfaat akal bermakna mengurangkan kemanusiaannya hingga tak layak menyandang gelar makhluk terbaik. Dengan akal manusia berupaya menuju Tuhan, memesrai Tuhan. Sebab itu manusia terbaik.  

Jadi untuk puak dangkal, saya sarankan, kenal dulu diri sendiri (manusia) dan sifat-sifatnya. Ini ubat asas untuk merawat kedangkalan. Sebabnya, hanya manusia makhluk yang mempunyai kualiti berinteraksi dengan ilmu, berpendapat, berfikir, dan paling heroik, mengkritik. Yang dikritik, yang disalahi pendapatnya, juga manusia.

Sebabnya juga, untuk mengasingkan jauh-jauh antara dua martabat, insan dan haiwan.                     

Harapan saya moga diambil perenungan daripadanya lalu menginsafinya dan paling utama, tidak beramal dengan tingkahlaku dangkal. Sebenar-benar manusia tidak akan dangkal. Cukuplah dulu.

(Ahli kabilah dangkal tidak akan membaca habis esei ini, terutama di bagian yang asing bagi dia. Satu lagi, ahli kabilah dangkal cepat terasa..)

7 ulasan:

  1. tunggu ini. ttg FT.

    jazakallah

    BalasPadam
  2. Salaam Tuan,

    Golongan dangkal perlu dikritik untuk memberi pencerahan namun jika didebat tiada jua tercerah akal, bolehkah dibiarkan mereka sambil jadikan mereka sebagai isu halwa hiburan semata-mata.

    BalasPadam
  3. kabilah dangkal perlu dimanusiakan. bukan dicemuh kerana cemuhan hanya layak untuk hewan.

    BalasPadam
  4. antara manusia dan haiwan apabila berkata dengan kata-kata adalah sama cuma bezanya kata-kata haiwan itu manusia tidak memahaminya!

    BalasPadam
  5. Salam.

    Nama Indah berkata>>>

    Aku terasa dangkal untuk mendangkalkan terjemahan akal ke atas sifat dangkalnya akal.

    Namun itulah yang berpasak di bumi yang nyata ini, tafsiran yang bersandarkan semata-mata kepada akal yang selalunya juga dangkal, keliru, pening dan sakit.

    Tapi, tidak mengapa, kerana itulah proses pembentukan akal yang dangkal kearah akal yang kurang dangkalnya. Sedikit demi sedikit latihan yang dilaluinya melalui pemerhatian yang tajam keatas alam, dipandu wahyu yang mutlak kebenarannya, insya-Allah mampu mengurangkan kedangkalan yang ada pada akal. Bahkan, jika lebih hebat, mungkin mampu mengeluarkan "haiwan an-natiq" yang lain bersamanya. Sudah pasti, niatnya murni, untuk mencapai matlamat kehidupan yang sebenar.

    Walau macamana sekalipun, tafsiran akal mesti disertai dengan rasa hati, kombinasi ini memberi imbangan yang stabil kepada terpaculnya keputusan yang dikeluarkan. Akal menterjemahnya secara ilmiyah, hati mentafsirnya secara emosi. Kedua-duanya juga berperanan untuk terikat dengan wahyu. Akal memikirkan, hati menjiwainya.

    Akhir kalam dari akal yang hidup, afwan, "walk the talk", Wslm.

    BalasPadam
  6. Salam...hakikatnya,manusia y dangkal,merasakan diri mereka cukup dgn ilmu,justeru,pendapat selain dari mereka,ckup dangkal bg mereka...adapun,wujud kedangkalan akibat sifat kebinatangan tanpa mendahulukan prinsip2 ilmu y penting,justeru kemanusiaan adalah penerimaan secara umum,pengkajian barulah ulasan...dangkalnya manusia..

    BalasPadam
  7. dangkalnya penulis cerita dangkal, wahai si dangkal cerita la cerita yg x dangkal agar kamu si dangkal x terus menjadi dangkal.

    BalasPadam