Khamis, 13 Januari 2011

Hikayat Politikus Liar Meranduk Bumi Sakral

ISTAC (logo) adalah singkatan bagi International Institute of Islamic Thought and Civilization, merupakan sebuat pusat keilmuan ulung yang dirangka sendiri zahir dan batinnya oleh Prof. Syed Muhammad Naquib Al-Attas, selaku pengasas dan pengarah pertamanya. 

Zahir merujuk aspek fisik ISTAC terutamanya seni bina, pengurusan pentadbiran, sistem pendidikan, dan perpustakaan. Batin merujuk aspek dalamannya termasuklah budaya, suasana, dan lain-lain hal yang memberi roh pada jasad ISTAC.

Malaysia menjadi tumpuan para pemikir dan ulamak kerana kewujudan ISTAC dan kerana perpustakaannya yang menghimpunkan karya-karya nadir dan koleksi peribadi cendekiawan ulung antarabangsa antaranya Fazlur Rahman, Swann, Oleg dan Andre Grabar, Bradenburg dan Bertold Spuler..

Tak keterlaluan langsung untuk saya mengatakan, Malaysia dihormati dunia kerana adanya ISTAC dan Al-Attas, orang Melayu kita.  Andai tiada wujud ISTAC dan Al-Attas, maka Malaysia hanya boleh ‘berbangga’ dengan politik nasional yang bengong, yang sedia dimaklumi orang luar.

Namun, pada 2002, kerajaan Malaysia di bawah kekuasaan Tun Mahathir membuktikan bahawa politiknya memang bengong. Inilah sebuah hikayat bertajuk : Politikus Liar Meranduk Bumi Sakral. Sila hayati sunguh-sungguh, saya ingin bercheritera.

Pada suatu hari, Tun bertindak menafikan kuasa autonomi ISTAC dengan membatalkan perlembagaan asal ISTAC 1989 yang memberikan beberapa kuasa bagi membolehkan institusi itu secara sendiri mencapai tujuan penubuhannya. Tindakan kerajaan itu bermakna ISTAC tidak lagi ‘tertuankan’ sepenuhnya oleh seorang pengarah, ketika itu Al-Attas.

Bermulalah saatnya ISTAC dihubungkan langsung di bawah pentadbiran UIAM sebagai salah satu dari kulliyahnya. Jawatan pengarah digantikan dengan dekan. Tidak cukup dengan merombak sistem pentadbiran, Al-Attas dan yang sekufu dengan beliau dihalau dengan penuh sopan dari ISTAC. Maka, bermula era baharu bagi ISTAC dengan dekan pertamanya Prof. Ibrahim Zein dari IIIT.

Seyogia diingatkan, Prof. Ibrahim Zein merupakan orang IIIT, sebuah lagi institut pemikiran, merupakan musuh tradisi ISTAC, diasaskan Prof. Ismail Faruqi yang antara lain turut memperjuang gagasan islamisasi ilmu yang kita sedia maklum ia adalah ide asal Al-Attas.

Prof. Ibrahim pernah mempertikai autoriti Al-Attas sebagai originator gagasan islamisasi ilmu dengan mengatakan ianya adalah sekadar perspektif yang sesiapa pun tertanggapkan. Walau bagaimanapun, telah dijawab oleh anak didik Al-Attas, Prof. Zainiy Othman dengan menegaskan islamisasi ilmu adalah ide besar Al-Attas, yang disimpulkan daripada perbahasan ilmiah yang sistematis lagi menyeluruh, bukannya sekadar perspektif yang bersifat lebih spontan.

Saya perkenalkan Prof. Wan Mohd Nor Wan Daud, pemikir dunia Islam, pernah menuntut dengan pemikir terkenal Pakistan almarhum Prof. Fazlur Rahman di Uni. Of Chicago sebelum menjadi murid paling kanan Al-Attas. Fazlur Rahman yang menyarankan beliau supaya mencari Al-Attas. Beliau adalah timbalan pengarah ISTAC di sisi Al-Attas.

Banquet Hall ISTAC

Sebuah buku beliau berjudul Penjelasan Budaya Ilmu (1991) pernah meribut di kalangan aktivis gerakan belia Islam PKPIM-ABIM utamanya dan awam. Buku tersebut tak lain daripada pengembangan ide epistemologikal Al-Attas yang dibuktikan sejarah Malaysia amat menyumbang kepada pengislahan sosial.  

Mari kita ungkap semula, pada tika itu – sekitar tahun tujuh puluhan - ABIM dengan pemimpin besarnya Anwar Ibrahim berjaya mengislamisasi rantau ini dengan pendekatan  kependidikan dan ilmu, dan, paling penting untuk diketahui, pemikir yang bertanggungjawab menyediakan gagasan dasar yang terbukti mengesankan itu merupakan Al-Attas.          

Sepertimana Iqbal merangka pembentukan negara Islam Pakistan, dan Ali Shariati menjayakan Revolusi Iran 1979, seperti itulah peran  Al-Attas dalam peristiwa kebangkitan kedua Islam di rantau ini setelah yang pertama sekitar kurun ketujuh. Lihat, betapa besar jasa Al-Attas.

Dalam buku Penjelasan Budaya Ilmu karangan Prof. Wan edisi cetakan kedua, terdapat tambahan dua bab yang salah satunya khusus mengkisahkan ISTAC sebagai model institusi yang berbudaya ilmu. Sila tumpukan perhatian pada frasa “budaya ilmu”. Perlu untuk saya sebut di sini, budaya ilmu sebagaimana dipancarkan oleh Islam – di abad moden ini – terlalu penting untuk dihadam setiap orang lebih-lebih kelompok pelajar. Sila baca habis buku Prof. Wan ini yang saya fikir tak lah berat. Ia antara buku kegemaran saya dan sangat mengilhami pemikiran saya. Buku ini bagi saya telah pun berjasa besar kepada ramai orang awam.

Prof. Wan dalam bab tersebut, ISTAC dicitrakan sebagai tempat perhimpunan ilmuwan-ilmuwan besar dunia Islam sama ada sunni atau syiah. Mereka ini ada yang berkhidmat di ISTAC secara kontrak. Rata-rata mereka yang pernah berkhidmat mengkagumi Al-Attas dan sering memperkatakan keseronokan hidup di ISTAC. Ada yang menyambung kontrak kerana belum puas. Ada yang membawa pula murid-murid wibawa mereka untuk belajar sama di ISTAC. Malah ada yang tak kisah soal gaji asalkan berpeluang bekerja di ISTAC.

Bangunan ISTAC (sila google untuk lain2 gambar)

ISTAC pada hari ini telah kehilangan tuan asalnya, yang paling memahaminya, dan selama ini melayaninya dengan penuh mesra. ISTAC bermula saat penyingkiran Al-Attas sampai kini kian longlai. Para penghuni ISTAC hari ini tak lagi merasa keharmonian suasana ilmiah dan cinta serasa di zaman Al-Attas. Al-Attas itu adalah murabbi dan muaddib sejati yang disenangi kalangan. Beliau bukan jenis pemikir alien yang berkurung bersama buku berjam-jam jauh dari manusia.

Al-Attas juga, pasti amat hampa dan berkecil hati dipaksa berpisah dengan taman ilmu dan akal-budi yang sangat akrab dengan beliau secara personal dan menandakan aspirasi perjuangan beliau.

Perkembangan terbaru yang saya dapat daripada staf ISTAC, ada omongan untuk menamakan perpustakaan ISTAC – antara perpustakaan terbaik dunia – dengan nama Al-Attas. Staf tersebut juga memberitahu, pihak ISTAC pernah menjemput Al-Attas untuk memberi syarahan di ISTAC namun beliau tak pernah hadir.

Memang. Ramai orang tak faham, tak berupaya menghayati rasa ini, malah tak rasa apa-apa pun dengan peristiwa ini, oleh sebab tak kenal sosok Al-Attas dan perjuangan beliau. Kedua, kerana tak menghayati budaya ilmu seperti diterap Al-Attas.

Budaya ilmu versi Al-Attas, sungguh saya tak tipu, melahirkan rasa cinta agong dan sungguh mendamaikan jiwa. Inilah sesungguh ilmu, membawa kebahagiaan terhadap insan bukan kekhilafan dan kesengsaraan.        

Kalian semua yang membaca nota ini sila ingat baik-baik tragedi hitam ini, yang berlaku pada 2002. Ini angkara politikus liar, dan liar adalah sifat hewan yang kita tahu tiada akal. Pada saya, ini satu peristiwa besar yang patut ditanda setanda dengan tragedi 13 Mei, kerana ia telah mematikan ramai orang dengan kematian rohani dan akli, yakni kematian yang jauh lebih dahsyat ketimbang mati biasa.

Buku Penjelasan Budaya Ilmu harus dibaca untuk lebih menghayati keagongan ISTAC dan budaya keilmuan Islam yang asli.

Sebelum terlupa, saya ingin bertanya lagi sekali : siapakah  yang masih tak kenal Al-Attas dan ISTAC? Kalau masih ada, alahai, malang sekali hidupnya di bumi Melayu.

2 ulasan:

  1. Salam ziarah,

    Kisah sebenar tragedi ini jauh lebih kompleks daripada apa yang saudara utarakan di atas. Politikus hanyalah orang tengah daripada kemelut ini. Alat para penghasad yang sebenarnya gol. ilmuan sendiri. Ya kita bersedih tapi kita juga harus bergerak. Kini kami dari Himpunan Keilmuan Muda (HAKIM) telah berusaha menggerakkan semula idea Al-Attas secara sistematik melalui siri-siri seminar dan program penyelidikan jangka panjang.

    BalasPadam
  2. salam abg Fahysal. t.kasih atas komen. Saya satu angkatan dengan Fazril Saleh. kita pernah ketemu.

    memang saya tak tahu cerita penuh. brgkali abg boleh kongsi.

    ini tujuan lebih utama saya untuk mengenalkan Al-Attas dan ISTAC kepada awam.

    para pelajar DARUL QURAN terutamanya.

    saya berminat dengan HAKIM. tahu mengenainya. cuma ada kekangan dan tanggungjawab lain.

    apa pun. salam perjuangan.

    moga HAKIM bersinar macam ISTAC zaman AL-Attas bersinar, menerangi umat melayu.

    BalasPadam