Jumaat, 28 Januari 2011

Jangan Sertai Kabilah Dangkal

Kedangkalan akal tanda-tandanya harus dikenalpasti supaya tiada siapa-siapa yang tersilap masuk kabilahnya (kabilah dangkal akal). Dangkal bukan sifat seorang manusia. Dangkal mendekati sifat seekor haiwan.

 ini haiwan. namanya lembu.

dan ini manusia.

Mari bersiar-siar di blog-blog yang melawan arus perdana, yang kritis, yang liberal, yang falsafah, jika nak menonton aksi kabilah dangkal.  Tapi blog itu mestilah milik ‘orang agama’ sebab agama unsur paling mensentimenkan bagi sesiapa pun (kecuali ateis). Untuk kesan terbaik, pilih blogger yang figur publik.

Sebelum dilanjutkan, ini ada pemberitahuan penting : agama tidak mendangkalkan akal manusia, malah mengangkat akal. Manusia dangkal yang mendangkalkan agama, memalukan agama.   

Saya contohkan blog Dr. Faisal Tehrani (FT). Saya selalu menziarahi beliau kerana tetamu-tetamu dangkal sering ada bersama. Malah saya belajar satu lagi arti kehidupan daripada kabilah ini. Terima kasih daun keladi.

Sedikit mengenai isu Dr. FT. Isu syiah meledak tiap tahun pabila  Muharram tiba. Peristiwa Karbala. Kita sedia maklum umum amat sensitif dengan sebutan "syiah". Dr. FT pula seorang pengkaji syiah yang tegar di Malaysia sekaligus novelis popular. Hasilnya, beliau seringkali dilabel sebagai syiah. Label syiah buat Dr. itu kerja siapa? Kerja kabilah dangkallah. Padahal FT berkali-kali menafikan. Bahkan tiada bukti yang tidak dangkal untuk mensabitkan beliau. 

Untuk  yang nak ambil tahu, isu syiah-sunni sangat kompleks. Menjangkau epistemologi dan ontologi, dua disiplin keilmuan yang filosofis (mendasar), yang mencorakkan pendapat dan aliran ilmiah masing-masing sunni dan syiah. Jadinya bukan senang-senang boleh mengecop seseorang sebagai syiah. Bukan senang-senang boleh menghukum mereka sesat. Mafhum lain, hanya kabilah dangkal yang suka dan cepat sangat menghukum, mengecop, dan menyangka.

Itulah antara jejak maya yang ditinggalkan rombongan kabilah dangkal, yang mengesahkan mereka memang wujud bergerombolan di alam tanpa dinding.      
 
Betapa ramai kritikus jalanan yang lahir dari kandungan kabilah dangkal. Mereka (kritikus) beraksi di ruang maya yang tak bersempadan. Kesannya, fitnah menyelubungi sebilangan besar manusia dan ahli kabilah pun bertambah. Kitaran ini tak henti-henti sampailah bumi terbelah.    

Orang-orang dangkal, pesan saya, kalau nak mengkritik sila kenal habis dulu apa yang ingin dikritik itu. Ahli-ahli kabilah dangkal, aksi-aksi dangkal mu itu hanya menjatuhkan martabat kemanusiaan mu kepada kehaiwanan, memalukan Islam dan orang Islam. Paling sedih, memecahbelah umat.

Terlalu banyak kecelakaan di dunia ini berlaku oleh kedangkalan manusia. Sekian banyak kesengsaraan mendukakan manusia kerana akibat salahfaham, tak faham, dan tak mau memahami.


Teringin mengkritik, tetapi tak kenal lumat yang ingin dikritik. Siapa orang yang dikritik. Apa yang dikritik. Janganlah jadi persis orang melatah hamun kerana disergah kawan baik sendiri. Perlakuan dangkal hanya menyerlahkan kebodohan dan kebinatangan.
 
Tergesa-gesa menghukum orang lain tanpa pertimbangan  memadai hanya membodohkan diri sendiri. Membuat keputusan bukan satu tugas mudah kerana keputusan yang dibuat membuahkan akibat. Keputusan baik akibatnya baik untuk manusia. Begitulah sebaliknya. 

DALAM wacana turath Islam, dalam ilmu tasawuf, mauduk al-Insan dibicara dengan mendalam. Al-Imam al-Ghazali contohnya dalam huraian-huraian beliau,  menggesa kita kenal manusia dan kemanusiaan. Tiada memadai dengan hanya tahu aspek fizik dan biologi manusia. Lebih utama menurut Al-Ghazali untuk mengenal matafisik dan kejiwaan (psikologi) manusia kerana di situlah letaknya lihatan Allah. Al-Attas juga begitu berhubung kemanusiaan.

Manusia antara lain ditakrifkan sebagai haiwan an-natiq. Seorang manusia, saya simpulkan, andai tak memanfaat akal bermakna mengurangkan kemanusiaannya hingga tak layak menyandang gelar makhluk terbaik. Dengan akal manusia berupaya menuju Tuhan, memesrai Tuhan. Sebab itu manusia terbaik.  

Jadi untuk puak dangkal, saya sarankan, kenal dulu diri sendiri (manusia) dan sifat-sifatnya. Ini ubat asas untuk merawat kedangkalan. Sebabnya, hanya manusia makhluk yang mempunyai kualiti berinteraksi dengan ilmu, berpendapat, berfikir, dan paling heroik, mengkritik. Yang dikritik, yang disalahi pendapatnya, juga manusia.

Sebabnya juga, untuk mengasingkan jauh-jauh antara dua martabat, insan dan haiwan.                     

Harapan saya moga diambil perenungan daripadanya lalu menginsafinya dan paling utama, tidak beramal dengan tingkahlaku dangkal. Sebenar-benar manusia tidak akan dangkal. Cukuplah dulu.

(Ahli kabilah dangkal tidak akan membaca habis esei ini, terutama di bagian yang asing bagi dia. Satu lagi, ahli kabilah dangkal cepat terasa..)

Jumaat, 21 Januari 2011

Sastra Kesufian

Pada saya entri yang paling senang dihasilkan dan diterbitkan di blog adalah sajak. Kerana sajak atau seumpamanya merupakan luahan dari jiwa, kenyataan pemberontakan dalaman yang dihambur keluar, ketidakpuashatian akal yang tahu yang mana sepatutnya (dan lain2 perkataan). Reaksi paling spontan terhadap sekeling adalah menulis sajak.

Justru saya teringat Faisal Tehrani pernah menyebut puisi digunakan oleh seorang penyair untuk mengkritik kelilingnya. Untuk misal, W.S Rendra yang lantang membela kaum tertindas, menghentam penguasa mengongkong. 

Puisi juga perlambangan jiwa khalifah seorang insan, yakni jiwa responsif terhadap alam. Pemuisi adalah golongan pemerhati lagi pemikir pada alam dan ketuhanan. Al-Quran menyeru kita berfikir pabila melihat alam, bukan melihat sis-sia.. Seorang sasterawan mampu mengumpama, memetafora, membuat kaitan, kerana dia sering berfikir pada kejadian (mawjud). 

Daun yang berbunyian digeser angin. Hujan lebat berhunjaman di celah malam kelam. Langit biru dengan di tengahnya oren mentari. Sesungguhnya alam ini adalah sebuah lukisan mengasyikkan. Mengapa tak hayati? Mengapa tak pernah tertangkap oleh akal bahwa pelukisnya itu lebih-lebih lagi berkesempurnaan ?? 

Namun, dalam sejarah sastera islami, tradisi kita (Islam) menyajikan apa yang tak ada pada sastra kebudayaan lain. Iaitu sastra sufi. Ya. Saya sudah katakan. Seorang pemuisi merupakan perenung alam yang terbaik. Dalam hubungan ini, seorang pemuisi-pencinta Tuhan pasti sekali cinta terhadap ciptaan Tuhan, kerana ia dari Tuhan. Malah dengan memerhati alam, seorang sufi pantas nampak dan merindu Tuhan. Sastra sufi berasaskan ini, saya ringkaskan,  hubungan alam-tuhan. 

Jadi penting untuk saya sebut, sastra sufi adalah bertunjangkan pemikiran tauhid. Tauhid pula merupakan prinsip asas agama kita. Maksud mendatangnya, golongan pemuisi yang sufi syair-syairnya didasari oleh rasa kedekatan dengan Tuhan (yang esa). Ini tujuan mereka menulis puisi, yang kadangkalanya berbaur erotis melampau dengan penggunaan lafaz semisal khamar, mabuk, lebur, hilang, dan lain-lain.

Ibn Arabi sebagai contoh, mengarang sebuah kitab yang penuh dengan ungkapan-ungkapan sastra sufi. bertajuk tarjuman asywaq.

Siapa lagi yang terlayak dimesrai kalau bukan Tuhan?

 ....................................................

 gambaran menunjukkan keakraban ahli sufi dengan alam


Lalu atas sebab ini, biarlah saya berpuisi untuk kali yang terkini;

Pesan Untuk Manusia

Rata alam zahir di mata mu ini kau jelajahi
kau saksikan pameran keindahan tak tertara, fikirmu
dengarlah pesanku (jika kau mahu)
dan jika hatimu tak tertembok
alam ini maha kecil kelibatnya
martabatnya cuma mawjud
alam wujud maha luas, maha dalam tak terbandingkan
tak termisal olah kata biasa ku ini.
tiada bahasa benua mana pun sanggup memberitahu
hatta pesanku ini
justru usahlah percaya perkataan ku ini
percayailah
ilahi dengan segala kesempurnaan,
segala ketidakterbandingan,
lagi segala kemungkinan
tak tertakrif olah aku dan kau.
betapa pun kau coba mengadili pesanku ini
kau selak kitab moden klasik
kau kritik rawi hadith nabi
kau tekuni usul qurani
kau berteman alim terbaik zaman
aku yakin juga untuk kali yang kesekian 
kau kan buntu.
sebelum kau membid'ahkan aku
lagi awal aku memberitahu
ini bukan pengetahuan seperti difahami engkau dan sekutu engkau
ini merupakan perasaan
mabuk yang suci lagi sejati
percayailah pesan ini
andai kau adalah manusia.       

Ahmad Syaibani bin Ramli
Jumaat Sang Penghulu
Darul Quran

Khamis, 13 Januari 2011

Hikayat Politikus Liar Meranduk Bumi Sakral

ISTAC (logo) adalah singkatan bagi International Institute of Islamic Thought and Civilization, merupakan sebuat pusat keilmuan ulung yang dirangka sendiri zahir dan batinnya oleh Prof. Syed Muhammad Naquib Al-Attas, selaku pengasas dan pengarah pertamanya. 

Zahir merujuk aspek fisik ISTAC terutamanya seni bina, pengurusan pentadbiran, sistem pendidikan, dan perpustakaan. Batin merujuk aspek dalamannya termasuklah budaya, suasana, dan lain-lain hal yang memberi roh pada jasad ISTAC.

Malaysia menjadi tumpuan para pemikir dan ulamak kerana kewujudan ISTAC dan kerana perpustakaannya yang menghimpunkan karya-karya nadir dan koleksi peribadi cendekiawan ulung antarabangsa antaranya Fazlur Rahman, Swann, Oleg dan Andre Grabar, Bradenburg dan Bertold Spuler..

Tak keterlaluan langsung untuk saya mengatakan, Malaysia dihormati dunia kerana adanya ISTAC dan Al-Attas, orang Melayu kita.  Andai tiada wujud ISTAC dan Al-Attas, maka Malaysia hanya boleh ‘berbangga’ dengan politik nasional yang bengong, yang sedia dimaklumi orang luar.

Namun, pada 2002, kerajaan Malaysia di bawah kekuasaan Tun Mahathir membuktikan bahawa politiknya memang bengong. Inilah sebuah hikayat bertajuk : Politikus Liar Meranduk Bumi Sakral. Sila hayati sunguh-sungguh, saya ingin bercheritera.

Pada suatu hari, Tun bertindak menafikan kuasa autonomi ISTAC dengan membatalkan perlembagaan asal ISTAC 1989 yang memberikan beberapa kuasa bagi membolehkan institusi itu secara sendiri mencapai tujuan penubuhannya. Tindakan kerajaan itu bermakna ISTAC tidak lagi ‘tertuankan’ sepenuhnya oleh seorang pengarah, ketika itu Al-Attas.

Bermulalah saatnya ISTAC dihubungkan langsung di bawah pentadbiran UIAM sebagai salah satu dari kulliyahnya. Jawatan pengarah digantikan dengan dekan. Tidak cukup dengan merombak sistem pentadbiran, Al-Attas dan yang sekufu dengan beliau dihalau dengan penuh sopan dari ISTAC. Maka, bermula era baharu bagi ISTAC dengan dekan pertamanya Prof. Ibrahim Zein dari IIIT.

Seyogia diingatkan, Prof. Ibrahim Zein merupakan orang IIIT, sebuah lagi institut pemikiran, merupakan musuh tradisi ISTAC, diasaskan Prof. Ismail Faruqi yang antara lain turut memperjuang gagasan islamisasi ilmu yang kita sedia maklum ia adalah ide asal Al-Attas.

Prof. Ibrahim pernah mempertikai autoriti Al-Attas sebagai originator gagasan islamisasi ilmu dengan mengatakan ianya adalah sekadar perspektif yang sesiapa pun tertanggapkan. Walau bagaimanapun, telah dijawab oleh anak didik Al-Attas, Prof. Zainiy Othman dengan menegaskan islamisasi ilmu adalah ide besar Al-Attas, yang disimpulkan daripada perbahasan ilmiah yang sistematis lagi menyeluruh, bukannya sekadar perspektif yang bersifat lebih spontan.

Saya perkenalkan Prof. Wan Mohd Nor Wan Daud, pemikir dunia Islam, pernah menuntut dengan pemikir terkenal Pakistan almarhum Prof. Fazlur Rahman di Uni. Of Chicago sebelum menjadi murid paling kanan Al-Attas. Fazlur Rahman yang menyarankan beliau supaya mencari Al-Attas. Beliau adalah timbalan pengarah ISTAC di sisi Al-Attas.

Banquet Hall ISTAC

Sebuah buku beliau berjudul Penjelasan Budaya Ilmu (1991) pernah meribut di kalangan aktivis gerakan belia Islam PKPIM-ABIM utamanya dan awam. Buku tersebut tak lain daripada pengembangan ide epistemologikal Al-Attas yang dibuktikan sejarah Malaysia amat menyumbang kepada pengislahan sosial.  

Mari kita ungkap semula, pada tika itu – sekitar tahun tujuh puluhan - ABIM dengan pemimpin besarnya Anwar Ibrahim berjaya mengislamisasi rantau ini dengan pendekatan  kependidikan dan ilmu, dan, paling penting untuk diketahui, pemikir yang bertanggungjawab menyediakan gagasan dasar yang terbukti mengesankan itu merupakan Al-Attas.          

Sepertimana Iqbal merangka pembentukan negara Islam Pakistan, dan Ali Shariati menjayakan Revolusi Iran 1979, seperti itulah peran  Al-Attas dalam peristiwa kebangkitan kedua Islam di rantau ini setelah yang pertama sekitar kurun ketujuh. Lihat, betapa besar jasa Al-Attas.

Dalam buku Penjelasan Budaya Ilmu karangan Prof. Wan edisi cetakan kedua, terdapat tambahan dua bab yang salah satunya khusus mengkisahkan ISTAC sebagai model institusi yang berbudaya ilmu. Sila tumpukan perhatian pada frasa “budaya ilmu”. Perlu untuk saya sebut di sini, budaya ilmu sebagaimana dipancarkan oleh Islam – di abad moden ini – terlalu penting untuk dihadam setiap orang lebih-lebih kelompok pelajar. Sila baca habis buku Prof. Wan ini yang saya fikir tak lah berat. Ia antara buku kegemaran saya dan sangat mengilhami pemikiran saya. Buku ini bagi saya telah pun berjasa besar kepada ramai orang awam.

Prof. Wan dalam bab tersebut, ISTAC dicitrakan sebagai tempat perhimpunan ilmuwan-ilmuwan besar dunia Islam sama ada sunni atau syiah. Mereka ini ada yang berkhidmat di ISTAC secara kontrak. Rata-rata mereka yang pernah berkhidmat mengkagumi Al-Attas dan sering memperkatakan keseronokan hidup di ISTAC. Ada yang menyambung kontrak kerana belum puas. Ada yang membawa pula murid-murid wibawa mereka untuk belajar sama di ISTAC. Malah ada yang tak kisah soal gaji asalkan berpeluang bekerja di ISTAC.

Bangunan ISTAC (sila google untuk lain2 gambar)

ISTAC pada hari ini telah kehilangan tuan asalnya, yang paling memahaminya, dan selama ini melayaninya dengan penuh mesra. ISTAC bermula saat penyingkiran Al-Attas sampai kini kian longlai. Para penghuni ISTAC hari ini tak lagi merasa keharmonian suasana ilmiah dan cinta serasa di zaman Al-Attas. Al-Attas itu adalah murabbi dan muaddib sejati yang disenangi kalangan. Beliau bukan jenis pemikir alien yang berkurung bersama buku berjam-jam jauh dari manusia.

Al-Attas juga, pasti amat hampa dan berkecil hati dipaksa berpisah dengan taman ilmu dan akal-budi yang sangat akrab dengan beliau secara personal dan menandakan aspirasi perjuangan beliau.

Perkembangan terbaru yang saya dapat daripada staf ISTAC, ada omongan untuk menamakan perpustakaan ISTAC – antara perpustakaan terbaik dunia – dengan nama Al-Attas. Staf tersebut juga memberitahu, pihak ISTAC pernah menjemput Al-Attas untuk memberi syarahan di ISTAC namun beliau tak pernah hadir.

Memang. Ramai orang tak faham, tak berupaya menghayati rasa ini, malah tak rasa apa-apa pun dengan peristiwa ini, oleh sebab tak kenal sosok Al-Attas dan perjuangan beliau. Kedua, kerana tak menghayati budaya ilmu seperti diterap Al-Attas.

Budaya ilmu versi Al-Attas, sungguh saya tak tipu, melahirkan rasa cinta agong dan sungguh mendamaikan jiwa. Inilah sesungguh ilmu, membawa kebahagiaan terhadap insan bukan kekhilafan dan kesengsaraan.        

Kalian semua yang membaca nota ini sila ingat baik-baik tragedi hitam ini, yang berlaku pada 2002. Ini angkara politikus liar, dan liar adalah sifat hewan yang kita tahu tiada akal. Pada saya, ini satu peristiwa besar yang patut ditanda setanda dengan tragedi 13 Mei, kerana ia telah mematikan ramai orang dengan kematian rohani dan akli, yakni kematian yang jauh lebih dahsyat ketimbang mati biasa.

Buku Penjelasan Budaya Ilmu harus dibaca untuk lebih menghayati keagongan ISTAC dan budaya keilmuan Islam yang asli.

Sebelum terlupa, saya ingin bertanya lagi sekali : siapakah  yang masih tak kenal Al-Attas dan ISTAC? Kalau masih ada, alahai, malang sekali hidupnya di bumi Melayu.

Jumaat, 7 Januari 2011

Saya Akan Ke ISTAC 'Baharu'

Kami lebih kurang 40 orang pelajar dari Darul Quran akan melawat ISTAC insha Allah pada Isnin ini. Saya mulanya sangat bersemangat. Namun, api yang marak itu mengecil. ISTAC? "Apa itu ISTAC", mereka bertanya sewaktu saya mengusulkan dalam mesyuarat.


Seni binanya adalah ilham Al-Attas sendiri.

Sayang sekali ramai rakyat Malaysia tak sedar kehadiran apatah keterunggulannya sebagai pusat kebudayaan ilmu di bumi Melayu. 

Saya simpan kemas alasan kukuh ini (tema entri ini), bagi menjawap mengapa saya amat hampa dengan politik Malaysia!

Politik menang-kalah. Politik aksi. Politik perang. Politik yang menang bersantai di istana, yang kalah berkelana di rimba. Politik tanpa tauhid. Politiik tanpa rasa bertuhan. Poltik tanpa nilai apa-apa. Itulah politik kita. Risau saya. 

Kerana memenuhi kehendak politik bengong ini, sebuah institusi keilmuan ulung sanggup dikorban. Ya lah. Institusi suci sebegini yang akan melahirkan para pejuang menentang amalan politik bengong mereka.

Orang Melayu yang masih tak kenal apa itu ISTAC dan siapa Prof. Syed Muhammad Naquib Al-Attas 'Al-Melayu', nasib kamu sangat malang.

Di bawah ini adalah artikel berkaitan peristiwa ISTAC disembelih. Bertarikh 28 Julai 2008.

ISTAC Menuntut Pembelaan Rakyat Malaysia
Oleh Md. Asham B. Ahmad

Akhirnya, seperti yang dijangkakan, Presiden UIAM Tan Sri Sanusi Junid ditamatkan kontraknya lebih awal berikutan perkembangan terkini politik negara. Beliau menafikan sebarang salah laku yang mewajarkan tindakan itu terhadapnya, dan mengisyaratkan bahawa tindakan itu semata-mata bermotifkan politik. Setiap manusia yang berakal dan bermaruah tidak kiralah apa pangkat dan kedudukannya mahu dilayan dengan adil dan wajar. Justeru, sesiapapun tidak akan menerima tindakan yang tidak bersebab, lemah sebabnya, apatah lagi yang langsung tidak munasabah sebabnya.

Tidak ramai, khususnya masyarakat umum, mengetahui bahawa pada tahun 2002, semasa Tan Sri Sanusi masih memegang jawatan Presiden UIAM, Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC) telah dibatalkan perlembagaannya, manakala Pengasas-Pengarahny a, Profesor Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas, telah tidak disambung kontraknya tanpa sebarang alasan yang benar lagi munasabah. Jika Sanusi mempertikaikan pemecatannya dengan alasan dia tidak melakukan sebarang kesalahan, dia juga mesti bersedia memberikan sebab dan alasan yang munasabah terhadap apa yang dilakukan kepada al-Attas dan ISTAC.

Tindakan yang dikenakan ke atas al-Attas dan ISTAC membayangkan bahawa suatu kesalahan yang amat besar telah dilakukan sehingga mewajarkan penyingkiran Pengasas-Pengarahny a diikuti dengan pembersihan ISTAC dari para ahli akademik dan sarjana penyelidik yang sealiran dengan beliau. Soalnya apakah sebenarnya masalah yang dihadapi oleh ISTAC yang cuba ‘diselesaikan' oleh UIAM dengan membatalkan perlembagaan ISTAC dan menyingkirkan al-Attas dan orang-orangnya dari institut berkenaan? Adakah masalah itu kini selesai dan ISTAC kini berada pada kedudukan yang lebih baik dari sebelumnya?

Andaikanlah al-Attas telah melakukan suatu kesalahan yang mewajarkan penyingkirannya; kenapa para tenaga pengajar dan penyelidik yang dilatih dengan penat lelah oleh al-Attas bagi mengendalikan ISTAC juga turut disingkirkan? Kenapa tidak pula dilantik menggantikannya seorang yang memiliki kewibawaan yang setaraf dengannya atau lebih baik darinya?

Ataupun sebenarnya gagasan Islamisasi Ilmu anjuran al-Attas itu yang sebenarnya dimusuhi dan mahu dimusnahkan? Jika itulah alasannya UIAM mempunyai lebih dari cukup profesor dan ahli akademik yang boleh digembelengkan tenaganya bagi mendedahkan kesalahan-kesalahan yang terkandung dalam gagasan pemikiran yang menjadi landasan perjuangan ISTAC itu. Kenapa perlu menghasut golongan politik bagi membantu menghapuskan ISTAC?

Hakikatnya al-Attas tidak pernah didakwa apatah lagi dibuktikan bersalah atas sebarang tuduhan oleh mana-mana mahkamah, tribunal, atau badan siasatan yang berwibawa. Justeru, semua tuduhan yang disebarkan oleh pihak UIAM selama ini hanyalah fitnah-fitnah jahat golongan yang mempunyai kepentingan tertentu.

Sumbangan Profesor al-Attas terhadap institut berkenaan khususnya dan dunia ilmu umumnya memang tidak dapat dinafikan sehingga negara kita turut mendapat nama baik di persada antarabangsa. Justeru, penamatan kontrak beliau, diikuti oleh ‘pembersihan' ISTAC dari kumpulan yang mendokong gagasan Islamisasi Ilmu anjuran al-Attas menimbulkan misteri dan banyak persoalan yang tidak terjawab sehingga ke hari ini. Maksudnya ada usaha secara sistematik agar ISTAC tidak lagi berjalan di atas landasan asalnya, dan ini perlu dijelaskan sebabnya.

Apa yang kita bangkitkan ini bukanlah persoalan peribadi kerana ISTAC bukan harta peribadi al-Attas. ISTAC sebaliknya adalah sumbangan beliau kepada dunia umumnya dan Kaum Muslimin khususnya. Justeru, kerosakan yang dilakukan terhadap ISTAC adalah sebenarnya pengkhianatan terhadap amanah dan ahlinya.

Tatkala setiap pihak di negara ini begitu ghairah menuntut kembali hak-hak yang dirampas oleh para pemeras terdahulu kenapa tidak hak para ilmuwan dan institusi ilmu juga dituntut dan dikembalikan kepada pemiliknya yang sah? Bukan hanya institusi kehakiman sahaja yang perlu dibela dan dibebaskan dari kongkongan politik, yang lebih penting adalah keutuhan dan maruah ilmuwan dan institusi ilmu kerana segalanya bermula di situ.

Pada hari ini, di saat Kaum Muslimin diserang dari segenap penjuru dan cuba dikelirukan pemikirannya kita telah membiarkan sebuah institut yang begitu penting dirosakkan oleh golongan yang berhasad dengki, sedangkan di situlah sepatutnya diletakkan harapan dan amanah membela nasib ummah dalam menghadapi cabaran semasa yang begitu getir. Apa yang telah disumbangkan oleh al-Attas tidak ternilai harganya. Beliau telah bersusah-payah membina satu landasan yang kukuh buat Kaum Muslimin bagi membolehkan mereka memahami sebenar-benarnya punca-punca masalah yang mereka hadapi agar dapat diusahakan penyelesaian- penyelesaiannya yang wajar. Semua itu dapat disaksikan oleh sesiapapun yang ingin melakukannya. Lihat sahaja bangunannya yang tersergam indah, perpustakaannya yang mengandungi khazanah ilmiah yang amat berharga, aktiviti-aktiviti pengajaran, pembelajaran dan penyelidikan yang menarik para sarjana dan pelajar berwibawa dari segenap pelusuk dunia.

Al-Attas tidak melarang sesiapapun dari melakukan usaha-usaha yang sama dengan pendekatan yang lebih baik dan berkesan sekiranya ada. Beliau hanya menuntut ISTAC tidak diganggu dan diberi peluang, sokongan, dan dokongan bagi menjayakan niat dan tujuan penubuhannya. Kalau kita sanggup berbelanja besar memberi sokongan dan dokongan bagi menjayakan program angkasawan negara kenapa tidak boleh kita melakukan perkara yang sama untuk ISTAC?

Apa yang dituntut hanyalah penjelasan yang jujur, tulus, dan ikhlas. Sekiranya tiada apa yang ingin disembunyikan tiada sebab permintaan ini tidak boleh dipenuhi.
 
Artikel asal di laman ikim. Klik.
 
Watak penting kisah ini ialah PM ketika itu, dan seperti disebut dalam artikel.
 
ISTAC yang akan saya lawati pada Isnin ini ialah ISTAC yang kehilangan roh murni aslinya. Walau bangunannya menyejukkan mata, namun, jiwa seorang pencinta budaya ilmu Islam tetap tidak kan tenang. sebagaimana Al-Attas pernah memarahi si fulan yang memuji kecantikan seni bina ISTAC, dengan membetulkan, bahawasanya kecantikan sisi kerohanian ISTAC jauh lebih mengasyikkan, tetapi tak ramai yang memuji tentangnya.   
 
Saya sedar. Saya tidak akan melangkah masuk ke ISTAC sebagai institusi asli. Saya akan menjejak ISTAC, sebuahi nstitusi yang telah tercabut nyawanya oleh penguasa liar. 
 
pepatah arab ada menyebut : " man la yazuq la yadri". Siapa tak rasa sendiri, tak akan tahu! 
 
 
 

      

Khamis, 6 Januari 2011

Pencari Kebenaran Wajib Pemberani!

Entri ini, kerana ada pencari kebenaran yang takut-takut. Jangan takut kalau benar tulus mencari. Bersedialah mengubah pendirian jika bertemu kebenaran itu. Jangan jadi jiwa-jiwa pentaksub. Jangan jadi dangkal. Jangan cepat putus asa andai sedar betapa luas dan dalamnya lautan ilmu harus diselam. Selamlah sampai jumpa hakikat kebenaran. Mencari kebenaran tunggal adalah perjuangan. Perjuangan hukumnya derita.

Andai tulus mahukan kebenaran. Berbincanglah dengan siapa pun, pihak setentang sekali pun, jangan takut. Dan andai kebenaran pada dia, wahai pencari kebenaran, nah.. maka peluklah kebenaran itu puas-puas. Walau kebenaran pada musuh yang sering dikririk, akurlah.

Kesengsaraan terhebat adalah hidup di dalam kepalsuan!

Jangan lari dari kebenaran
Jangan lari
Jangan


Buat jiwa pencari kebenaran saya tujukan bait-bait ini khas ;

Jiwa-jiwa milik Tuhan
Jiwa-jiwa berwajah
berpalinglah ke mana pun
jangan takut kegelapan
kerana wajah itu bermata
jangan takut menatap kebenaran
kerana selainnya adalah kepalsuan
dan kebenaran adalah Tuhan
Tatapilah selama hidup
jangan berpaling lagi

Ahmad Syaibani bin Ramli
DQ KKB. Lepas solat Asar.

Sabtu, 1 Januari 2011

Kebenaran Milik Cinta


















Kebenaran
bukan pada nomor dan fakta tilikan indera
bukan pada dua yang setentang tidak kan bersama
bukan pada nama pengkarya dan karya
bukan milik mustadafin dan penguasa
semua itu penipu!

kebenaran tidak sejati pada manusia
Kebenaran
milik tuhan manusia
milik manusia bertuhan
milik para pencinta, para pengkhayal
pemain gitar, peniup seruling
penepuk rebana dan pemutar tari

wahai cinta,
berapa ramai sudah coba mentakrifkanmu?
apa kata Rumi, Iqbal?
Ibn Arabi, Halllaj, Rabiah, Bayazid?
apakah artimu pada Laila dan Majnunnya?
apa pula engkau menurut Adam Hawa?
Gibran, Beethoven, Hermingway?
Chairil, Kemala? Ramai.
Namun kau tetap mistri, tetap aneh,
tak tertakrif jua sampai ke akhir

Syiah bercinta
Sunni bercinta
Kafir juga bercinta
lalu yang mana satu arti cinta?
mistri sungguh!

Biar, biar aku..
aku ingin mentakrif cinta
sesungguhnya
cinta adalah kebenaran

Sahabat yang percaya,
mari bercinta
Kita jemput penggesek gitar, pemukul rebana,
peniup seruling,
Bingitkan telinga yang lama tenang
kita panggil penari sejati,
menari jangan berhenti
Seramai mungkin, datanglah, ajaklah!

Kerana kita ada misi besar
menghidupkan api cinta di hati-hati gersang
Marakkan sehabisnya
agar satu dunia cukup disinar
oleh cahaya kebenaran

- 12:38, 1/1/11 - Guar Chempedak -