Sabtu, 11 Disember 2010

Hijrah Ilmiah


"Kita hidupkan api hijrah nabi di atas tanah dunia.
Agar cahayanya menerangi manusia-manusia
menghangusi setan-setan.."
- 1 Muharram 1432 - 

Duhai insan berilmu, berhijrahlah daripada Negeri Kurang Baik ke Negeri Lebih Baik. Kerna di sana ada bahagia. Dengan semangat hijrah Nabi, mulailah gerak!

Al-Imam Al-Ghazali menyebut dalam Az-Dzawahir bahawa yang paling berkuasa menaikkan ego seseorang adalah ilmu. Kata Al-Imam lagi di kesempatan lain, manusia merupakan makhluk beruntung lantaran dua anugerah, iaitu akal dan kemahuan. Ilmu mampu didapati insan dengan dua ini. Ilmu ditanggap oleh alat akal dengan adanya cetusan rasa kemahuan. Lembu tidak berilmu kerana tak punya akal, walau punya kemahuan. malaikat tidak berilmu kerana tak punya kemahuan, walau punya akal. 

Insan berilmu itu gemar mencari kesalahan dan mengata orang lain salah. Pastilah. Memang pun dunia kesalahan terzahir jelas di hadapan dia justru dua sebab. Pertama, kerana pengetahuannya. kedua, ketajaman akal fikirnya. Justru, insan itu sering mengkritik itu ini. Insan itu mudah iri dengan keilmuan orang lain, digusar melebihi keilmuannya. Pabila ingin bertutur, sering dia menghambur kesemuanya sekali yang difikir ilmiah. Tiada yang tertinggal. Selesai ucapan, kembang mekar bunga-bunga kebanggaan di jiwanya.  Dialah yang paling ilmiah, paling tajam, paling berhikmah.

Aduh.. Bahayanya ilmu. Kalau tak bisa dikawali ia, baik jangan..! Lebih baik...

Lebih baik berdiam diri berbanding bercakap. Lebih baik merenung alam Tuhan daripada termenung memikirkan ide intelektual liberal. Lebih baik bergaul dengan penekun ibadah daripada berdebat di pentas. Lebih baik berzikir daripada mencari dalil. Lebih baik bersunyi-sunyian dengan Yang Maha Tahu daripada dikelilingi pengkagum tak ketahuan. Lebih baik tadabbur al-Quran daripada membaca buku falsafah. Lebih baik beriktikaf di masjid daripada bermukim di maktabah. 

Duhai insan berilmu, mengapalah yang terlebih baik itu amat sukar untuk dilakukan berbanding yang kurang baik itu? Apakah keinginan mu itu lebih mendekati maksiat? Kau tak sedar lantaran dihijab dek topeng paling lutsinar iaitulah ilmu! Persis pujangga bangsa Persia, Urfi menasihat; 
"jika hatimu tidak tertipukan oleh fatamorgana, janganlah menyombong ketajaman akalmu; karena kelepasanmu dari tipuan mata ini, adalah disebabkan oleh dahagamu yang tidak sempurna."
Ingatlah, akal adalah alat rohani dan rohani hukumnya suci. 

Insan berilmu itu, dengan segala ketenangannya merendahkan hati menapak tanah bumi. Bangunlah dia dari khayal mimpi. Jalan mematangkan diri insani, katanya, memang penuh batu tajam. "aku tak tahu", "aku minta maaf" adalah ubat penenang bagi diri yang berpenyakit gusar jiwa. Sedang gusar jiwa adalah akibat keegoan diri dengan ilmunya.

Pada hakikatnya, Al-Imam Al-Ghazali dah lama susah hati dengan kekacauan keilmuan sebegini. Untuk al-Imam, ilmu-ilmu agama sudah hampir mati. Lalu disusunnya Ihyak Ulumuddin - The Revival of Religious Knowledge - karya terpenting Al-Imam sepanjang hayatnya. Perhatikanlah, itu zaman Al-Imam. Di zaman moden kini, kekacauan, kecelaruan, penyelewengan dalam keilmuan lebih-lebihlah lagi. Muda-mudi hari ini tiada kenal lagi siapa ilmuwan sebenar. Bahkan diri mereka pun tidak mereka kenal!  

Pujian dan kelebihan kesemuanya kembali kepada Allah. Jalan keluar ku fikir telah pun terlorong untuk aku. Melalui Al-Ghazali dan Al-Attas terutamanya, ku kenal epistemologi syarie dan juga tauhid serta akhlak al-karimah. Aku juga kian kenal diri manusiawiku. Kenal Tuhan. Kenal alam. Jalan itu kian lama kian bercahaya sehingga memadai serlah hujungnya - kebahagiaan hakiki - itulah destinasi akhir setiap perjalanan hayat manusia.

Dan semua itu, bagi aku, merupakan pengawal ilmu. Pengawal akal dan mahuku. 

Wahai Al-Haq, Kau zahirkanlah di hadapanku yang mana satu benar. Lapangkanlah jiwa bolak-balik ini. Amin..   

Ahmad Syaibani bin Ramli
Darul Quran,
Muharram 1432.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan