Sabtu, 25 Disember 2010

Cerpen Kritik : Air Dan Daun Keladi


Air cuba meresapi daun, daun degil membenarkan

Dari tadi aku mengelamun;

Makin digeluti, makin merancu. Aku yang kerancuan itu, kekadang. Zaman ini penuh rancu. Aku yakin sangat, lebih rancu berbanding zaman tahafut falasifah al-Ghazali dan zaman materi-sekular Said Nursi di Turki. Kerna zaman ini menjanjikan kepelbagaian di tahap paling maksimal. Dalam setiap perkara.

Ada orang kata, ilmu pengetahuan kian bertambah seiring hayat zaman. Seiring perkembangan teknologi maklumat. Maklumat mudah-mudah didapati. Di hujung jari.

Ada 'agamawan', muda lagi, berpendapat, cendekiawan agama masa dahulu tidak setanding cendekiawan kini.

Sering juga aku mendengar ‘ahli hadith kecil’ berkata : “ ada kemungkinan sebilangan hadith nabi saw tak sampai kepada imam itu.. kerana pada zaman imam itu, ulum hadith tak semantap pada zaman ini.. Ada hadith-hadith pada masa itu yang tak sempurna lagi pengumpulannya sebagaimana zaman kemudian”

Orang yang sama juga sering mengulang-ulang ungkapan sama;

“Semua manusia tak maksum kecuali nabi. Kata-kata mereka boleh saja ditolak kerana mereka juga insan biasa yang tak lepas dari salah silap..”

sambungnya lagi;

“Jadi kemungkinan para imam dahulu untuk tersilap pasti ada. Kita berlapang dada. Kita hormat pandangan para imam. Tetapi mesti ingat! Adalah tanggungjawab kita untuk memperbetul yang salah itu..”

Telingaku, bersaksilah! bahawa engkau sudah puas mendengar ucapan seumpama itu. Dah lekat di kepala ini ayat-ayat klise itu. Akalku sudah letih mentafsir, menilai. Sedar-sedar, sudah menjangkau empat tahun aku hidup dalam hingar cakap-cakap semacam itu.

Aku meneruskan lamunan. Hal sebegini memang wajar untuk dilamun. Petang yang damai di bawah teduhan pondok tepi tasik. Alangkah tenang memandang wajah tasik yang kebiruan. Sesekali ternampak bayangan kawanan ikan saling berkejaran. Waktu yang amat ideal untuk berfikir dan meneroka ilham baru. Benarlah kata guru, ini masalah umat.

Sekonyong-konyong aku terkejut. Sejurus, terlepas dari kawalan alam lamun. Seorang teman rupanya. Tak sangka pula dia yang datang. Dah beberapa kali sebenarnya dia mendatangi aku. Apakah dia ini kasyaf? Seperti tahu-tahu apa aku sedang lamunkan. Kali ini aku pasti dia ingin menyambung diskusi. Perjuangan mencari kebenaran katanya. Kataku juga. Sedangkan kesudahannya pasti kebuntuan lagi. Tiada persepekatan. Ah. Sama sajalah.

Aku sudah kenal benar pemikirannya. Dia pun sehabis puas mendengar suara akalku. Kerana pertemuan kami bukan sekali dua. Banyak kali. Tapi masing-masing optimis. Apakah mindanya seperti mindaku? Yang ku fikir dia fikir juga kah? Entah. Masing-masing teguh dengan pendirian masing-masing. Tiada perubahan di mana-mana. Tiada percontohan. Apakah mindaku ini yang telah tepu? Tapi minda bisa tepukah?

Dia duduk langsung selepas kami bersalaman.

“Tadi ana solat di masjid. Lepas habis doa imam terus umum akan dilangsung solat hajat. Secara berjemaah. Ana rasa tak sedap hati untuk turut serta. Risau ana. Entah-entah bid'ah.."

Telahan aku tepat. Dia ingin berdiskusi lagi. Topik juga tak lari. Topik bagi diskusi-diskusi sebelumnya. Itulah juga topik lamunan aku. Nampaknya bolehlah aku sambungkan alam lamunan dengan alam nyata.

“Bagus la enta. Solat di masjid. Malu ana. Ana dari tadi melepak kat sini.”

“Itu hal kecil. Ana tengah fikir hal besar ni. Ana takut. Ana risau Mat.. Setiap hari ana terkenang-kenangkan perkara ini. Umat hari ini selalu buat apa yang nabi tak pernah buat. Ana takut nanti di akhirat nabi akan persoal balek benda yang kita buat di dunia dulu, bahawa baginda tak pernah pun suruh buat benda tu. Lebih kurang kata nabi : aku tak pernah ajar pun begitu. Kenapa kamu pandai-pandai buat?”

Masya Allah sahabat. Aku pun risau juga. Bukan kau seorang. Gumamku. Tapi risauku berbeza ketimbang risau dia. Risauku adalah pada kedangkalan manusia.

“Akhi.. Ana yakin, agama ini tidak sekejam itu. Percayalah. Bahawa Islam ini bukan agama kaku tidak bernyawa. Islam adalah agama cinta. Cinta merupakan roh agama, yang menghidupkan agama. Agama ini agama kasih sayang. Nabi Muhammad saw adalah kekasih kita, sebagaimana, baginda sangat-sangat cintakan kita umat akhir ini. Allah bukanlah penghukum semata-mata. Nabi saw bukanlah utusan dalam arti macam posmen, yang kaku, yang kerjanya semata menyampaikan surat. Bahkan baginda merupakan rahmatan lil alamin. Ertinya, mengasihi seisi alam. Baginda jua dikasihi seisi alam. Ini sangat simple. Enta pasti tahu kan.. Akhi, Allah amat menyayangi hamba-hamba. Nabi saat hampir direnggut nyawa, masih pantas di dibir baginda yang mulia lafaz memanggil-manggil kita umatnya. Ana ulang, Allah dan Rasul mengajar kita erti cinta. Islam agama kecintaan bukan agama paksaan. Ini agama kehidupan. Bukan agama prosedur yang skematis! Kita semua wajib mempercayai hakikat kerahmatan ini.. ”

Aku obses berfalsafah saat mengucap kata. Tak kira sama ada berhujah atau berkata-kata seharian. Kerana aku yakini, inilah usuluddin, awal-awal ilmu yang wajib dihadam ia. Nabi Muhammad saw, guru terbesar sepanjang zaman mengajar usul addin lebih lama tempohnya berbanding fekah ketika awal perkembangan Islam. Apa kesimpulannya? Nabi ingin membentuk pemikiran para sahabat terlebih dulu. Usuluddin itu lah falsafah agama. Falsafah dan agama mesra bersama, bukannya saling memangkah.

Aku percaya, agama adalah ilmu dan ilmu adalah kebenaran mutlak. Allah, sumber kebenaran. Muhammad bin Abdullah, rujukan kebenaran mutlak di kalangan makhluk-Nya. Dalam kitab jawi lama akidah  pernah ku terjumpa perbahasan seputar epistemologi yakni faham ilmu atau pun disebut juga faham kebenaran.

Aku sejak di bangku sekolah gemar mendalami sesuatu. Ini aku perasan. Mencari hakikat abadi. Mencari kebenaran sampai hati ku puas. Sebab itu aku cenderung sangat kepada epistemologi.

Tapi, dia pun, dia kata, mencari kebenaran. Nah. Matlamat sama.

Tuhan! mengapakah pendirian kami berbeza?

“Bukankah nabi pernah bersabda bahawa wajib ke atas kita mengikut sunnah baginda dan para sahabat, dan mereka yang teguh kekal di jalan itu iaitu salaf? Kita hafal quran. Kan ada ayat quran yang memerintahkan, apabila timbul selisih dalam sesuatu perkara maka kembalikan kepada Allah dan Rasul? Maknanya, mesti rujuk quran dan hadith yang sahih di setiap kerja buat kita.. betul tak?”

“Ana setuju penuh. Ana semampu mungkin, malah wajib, mengikuti apa quran kata. Apa nabi kata. Dan ana yakin 100% bahawa para alim ulamak terdahulu, yang tersangat warak dan tinggi ilmu itu, sedaya mungkin menjunjung kalam Allah dan hadith nabi. Bahkan, mereka ana pasti lebih memahami keduanya berbanding kita di zaman ini. Ana yakin mereka juga tegas mengikuti jalan salaf kerana salaf mengikuti nabi.”

Aku sambung lagi setelah diam sebentar untuk meraikan, setelah terlihat dia semacam tak mahu merespon;

“Hari ini umat islam dibala dengan penyakit yang sukar diobat. Enta tahu apa? Masalah inilah… Masalah memahami ilmu. Kekeliruan dalam kalangan mereka yang coba mendekati ilmu. Penyakit ini ana kata sukar disembuh kerana ia berkaitan pemikiran dan juga keilmuan itu sendiri. Kerana, rujukan ilmu yang benar sudah tiada di zaman ini. Baginda Muhammad saw dah lama pergi. Lalu hiduplah kita di zaman ini dalam kebingungan. Lebih mengharukan, hidup kita saat ini dalam dunia dan zaman milik Barat. Dunia hari ini dikawalselia oleh Barat. Orang Islam pun terkawal sama. Barat mengatur iklim dunia. Maksud aku, segala bidang kehidupan kita orang Islam ditentukan Barat, termasuklah pendidikan dan pemikiran. Kita saja yang tak perasan. Masih nyenyak bermimpi. Kita tanpa sedar terikut gaya pemikiran Barat. Sungguh! Ramai yang tak sedar telah terkena. Hasilnya, lahirlah para ilmuwan muda yang berlagak pandai padahal segala buah mulut mereka sangatlah dangkal. Kelompok keliru ini membiak pantas di IPT-IPT...”

“Cuba perincikan. Ana tak nampak la..”

“Bab ini sangat panjang. Baiklah. Biar ana sebut tanda-tanda untuk mengenal ilmuan muda berlagak pandai. Biar direct lah kali ni. Senang sikit. Pertama, dia gemar menyebut nas quran dan sunnah yang berkait kewajipan menurut Allah dan Rasul. Kedua, minat utamanya adalah ilmu berkaitan hadith. Seolah itulah ilmu paling usul dalam Islam. Dia sangat mengingati nama-nama besar dalam hadith. Imam Bukhary Muslim, Ibn Hajar, An-Nawawi. Juga kitab-kitab mereka dan nombor-nombor hadith. Oleh itu dia selalu merujuk Al-Albani, seorang kritikus hadith mutakhir. Ketiganya, dia sering mengiktiraf diri sebagai pejuang sunnah dan penghapus bid’ah. Justru amat akrab dengan ulamak seperti Ibn Taymiyyah dan Ibn Qayyim. Ilmuwan muda ini sangat tegas dalam isu sunnah-bid’ah sehingga melampau-lampau. Segalanya bid’ah. Sunnah seolah terlalu sempit. Keempat, dia menolak falsafah. Apa kenyataan dia? Katanya jangan ikut akal tapi ikutlah sunnah nabi. Ana nak jawab, apa yang dia tak tahu, bahawa dia telah menafikan aspek hikmah dalam agama. Kalau enta nak kenal lagi, kelompok keliru ini kalau berdebat, hujah-hujah mereka sangat umum. Tak mendalam..”

Aku kalau bercakap memang susah menoktah. Biarlah. Lagi pun niat aku hanyalah ingin berkongsi hakikat kebenaran. Bukan untuk ‘membasuh’. Aku teruskan sesi.

“Ana dah kata. Memang mereka ini dangkal. Tapi nak berlagak bijaksana dan berpengetahuan. Yang paling memperjuang sunnah kononnya. Terlalu banyak perkara asas dalam ilmu dan agama yang mereka tak kuasai dengan memadai. Inilah yang celarunya. Keliru! Namun ana tak kata enta termasuk. Ini umum.”

“Ana sangat yakin dengan jalan yang aku ikut sekarang ini. Mazhab ana adalah salaf. Ana yakini sepenuhnya. Ana yakin, jalan inilah yang pernah dilalui salaf, dan jalan inilah yang kita pada hari ini wajib ikuti. Mereka yang mengikut manhaj salaf pada zaman ini adalah minoriti. Namun usah digusar. Nabi telah memberi harapan gembira kepada ghurabak. Itu lah orang-orang yang sedikit. Yang ganjil di mata masyarakat. Mereka lantang menegakkan sunnah. Yang selalu pula dihindar orang. Tetapi mereka tetap degil mempertahan pendirian kerana Allah dan rasul sahaja matlamat mereka. Matlamat suci. Bagi mereka, seorang pejuang kebenaran pasti tak sepi dari pelbagai ujian. Mat.. Ana tak reti la nak jelaskan bagaimana lagi supaya enta faham. Mungkin ana yang kurang. Tak mahir dalam penyampaian. Tapi Allah sahaja yang tahu, ana dah sedaya-upaya sejak pertemuan pertama untuk menyampaikan kebenaran kepada enta. Sekarang ana cuma boleh berharap dan berdoa, agar enta, satu hari nanti enta ketemu kebenaran..moga-moga.”

Usai. Dia meminta diri. Aku pula masih tak berganjak.
Aku menyambung semula lamunan yang tergendala. Lalu aku teringat. Pepatah Melayu pernah mengumpama : Bagai mencurah air ke daun keladi. Inilah yang baru tadi berlaku!

Dan sekali lagi. Biar aku tulus bertanya diri sendiri tanpa memeduli optimisme yang menguasai ;
“Siapakah berwatak air?”
“Siapakah berwatak daun keladi?”
“Yang mana satu benar?”
“Yang mana satu salah?”
“Yang mana satu degil?”

Sekalipun sudah sekian lama aku meletakkan sikap, tetap, bagi wacana sebegini.

(Daun keladi tetap berkeras, air tak mungkin meresapinya!) 

2 ulasan:

  1. ah. saya begitu minat diskusi seperti begini.

    teruskan berkongsi di blog:)

    juga dahagakan ilmu baru ..

    BalasPadam
  2. Untuk pelajar lepasan SPM dan STAM yang berminat untuk ke Timur Tengah,saya rasa anda patut tengok link ini..ada yang semacam je yang menarik.
    -Danial Al Asr-

    http://www.facebook.com/pages/Langkah-Ke-Bumi-Anbiya/152622408121240

    http://bumianbiya2u.blogspot.com/

    http://si-kacamatahitam.blogspot.com

    BalasPadam