Rabu, 1 Disember 2010

Berpolitik Demokrasi Dalam Kerangka Persatuan - khas PRK DQ

Pilihanraya Kampus Darul Quran (PRK DQ) baru saja berlalu. Ini pilihanraya kedua yang saya secara langsung terlibat dalamnya – sebagai pengundi paling asasinya. Tahun lepas saya sekadar mengundi dan membuat juga pemerhatian sosial dengan tindakan yang tidak sungguh2. Kali ini, seiring pembangunan akal budi dan daya amat sosial, saya sedar malah terhentak, bahawa aspirasi perubahan mesti ditindakkan dengan lebih berkuasa. Memang saya ‘teruk’ terinspirasi oleh DSAI, bapak reformis melayu. Boleh juga mungkin, saya angkat beliau sebagai pembangkit sikap demokrasi dalam budaya politik kita. Pedulikan. Itu politik nasional.




Ada Kekeliruan

Ada 'sepokok' kekeliruan yang sejak lama saya bingung. Pilihanraya yang dibuat adalah bagi melantik barisan kepemimpinan persatuan yang baharu. Persatuan yang dimaksudkan ialah Persatuan Kebajikan Maahad Tahfiz (PERKEMAT), yang bertaraf NGO. PERKEMAT merupakan NGO, bukan MPP. NGO secara langsung tertakluk bawah kerajaan Malaysia sedang MPP secara langsung tertakluk bawah institusi pendidikan. Ini kekeliruan pertama dan pemula. Antara NGO dan MPP.

Misalkan saja, Student Representative Council (SRC) sebagai badan perwakilan pelajar di UIAM Gombak adalah bertaraf MPP, jadi, tertakluk di bawah institusi (UIA).

Kita ambil pula contoh sebuah badan NGO lain, iaitu Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM). Pertubuhan ini berdaftar dengan kerajaan Malaysia. Jadi, tertakluk ia secara langsung di bawah kerajaan.

Kecelaruan terjadi apabila PERKEMAT sebagai sebuah NGO bergerak terhad dalam ruang instutusi (DQ). Di institusi2 lain, tidak pernah wujud sebuah NGO yang mewakili secara langsung pelajar institusi tersebut. Yang ada adalah MPP, SRC di UIA misalnya. Sebutan “PERKEMAT DQ” melambangkan PERKEMAT sebagai NGO yang sepatutnya meliputi nasional, hanya meliputi ruang institusi iaitu DQ, seperti MPP.



Kita teruskan lagi perbincangan ini. Ambil contoh PKPIM iaitu Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia. Sebagai sebuah NGO yang berkonsepsikan persatuan, perlantikan kepemimpinannya bukan demokrasi pilihanraya. GAMIS juga setahu saya tidak mengamalkan pilihan raya untuk melantik barisan pemimpinnya. PKPIM menggunakan sistem syura.

Sebaliknya, setiap MPP mengamalkan sistem pilihan raya untuk melantik kepemimpinannya. MPP di UIA iaitu SRC sebagai badan perwakilan pelajar di insitusi, menggunakan pilihanraya untuk melantik kepemimpinannya. Seperti SRC, MPP di semua institusi turut menggunakan sistem pilihan raya demokrasi sehingga masyhur ungkapan “PRK” iaitu Pilihan Raya Kampus.

Konsep Pertubuhan Ini

Konsepsi pertubuhan NGO ini (PERKEMAT) adalah persatuan (union). Ini penting untuk difahami kerana ianya mewakili aspirasi pertubuhan. Perwakilan berbeza dengan persatuan. Persatuan membawa nilai perpaduan di samping mewakili pelajar sedangkan perwakilan (representative) – seperti SRC – sekadar mewakili pelajar, tiada roh perpaduan.

Justru sebagai sebuah persatuan, yang sudah sedia dirangka sedemikian rupa, saya bertegas bahawa sebarang penyerupaan kepada MPP adalah tidak patut lantaran kesan negatifnya, dalam konteks konsepsi - seperti saya jelaskan di perenggan atas ini. Biar saya jelaskan lagi. Apabila pilihanraya diamalkan oleh NGO persatuan (miliki nilai perpaduan), bermakna ia menyerupai MPP (sekadar perwakilan). Akibat penyerupaan ini (pilihanraya) - yang disebabkan oleh kecelaruan NGO-MPP - adalah kekacauan terhadap kesatuan pelajar.

Inilah kecelaruannya. Apabila sebuah NGO bertindak mewakili pelajar institusi yang sepatutnya digalas tugas itu oleh MPP.

PERKEMAT DQ mempunyai dua wajah. Berwajah NGO pada konsepsi persatuannya. Termasuk ini adalah pengamalan seluruh sistemnya, contohnya, muktamar tahunan. Wajah kedua adalah MPP, pada perlantikan kepemimpinannya di mana pilihanraya diamalkan. Sepanjang pengetahuan saya, tiada mana-mana MPP yang mengadakan muktamar tahunan! Lebih jelas lagi, muktamar tahunan adalah perhimpunan agong tahunan seluruh ahli pertubuhan. Inilah persatuan. Lanjutnya lagi, PERKEMAT bagi saya lebih berwajah NGO persatuan daripada berwajah MPP, kerana, wajah MPP hanya terjelma pada masa pilihanraya. Dalam keadaan2 lain, ia berwajah NGO persatuan.

Namun bukan itu yang saya ingin fokuskan. Fokus kita adalah pada akibat kecelaruan tersebut, iaitu, pengamalan politik pilihan raya dan demokrasi dalam konteks persatuan adalah janggal (tak pernah ada di mana2), dan implikasinya adalah apa yang dipanggil sebagai “diversity in unity”, juga adalah janggal. Diversity merujuk kepada puak2 dalaman dan unity merujuk kesatuan (PERKEMAT).

Pengamalan Politik Pilihan Raya Dalam Konteks Persatuan

Politik Darul Quran melalui PERKEMAT yang mengamalkan sistem demokrasi pilihanraya untuk melantik kepemimpinannya, wajib dibedakan pengamalannya berbanding politik nasional (serta insitusi2 lain) dalam aspek berkaitan bagi saya kerana beberapa sebab;

Pertama, tak pernah wujud sistem parti (partition) dan puak politik (political goal) tertentu di Darul Quran. Sebabnya, semua pelajar adalah ahli persatuan yang satu (PERKEMAT) Kalau pun ada, ia (puak) sekadar hadir sebagai bertujuan selain politik kuasa. Contohkan saja dengan jemaah tabligh. Tujuannya adalah tertentu (dakwah), dan bukan politik. Sebaliknya di UIA misalnya, memang wujud kelompok2 politik yang bermatlamat menang pilihan raya lantaran mereka tidak bersatu di bawah kesatuan persatuan.

Kedua, atas nama perpaduan Islam hasil usaha pemikiran yang saya lakukan sejak semasuknya saya ke tempat ini. Hasilnya itu adalah, saya merasakan perpaduan dan kesatuan pelajar merupakan tema utama untuk digariskan sebagai aspirasi perubahan yang mahu ditindakkan. Ini yang saya nampak. Situasi ni lebih mudah difahami apabila dipandang dalam konteks masa, setahun yang lalu.

Saya bukanlah sosialis-liberalis tegar macam Isham Rais. Saya juga tak ingin meniru sebulat para demokrat barat. Saya sebaliknya tegar mempertahankan tradisi asli Islam yang mementingkan akhlak. Jadi, tak akan bakal saya dedahkan sedetilnya.

Cukup dengan saya simpulkan – ini saya simpulkan pada tahun lepas lagi – bahawa pelajar-pelajar DQ (ahli2 PERKEMAT) tiada kesatuan yang memadai. Maknanya, perpecahan pelajar yang ketara terzahir pada waktu tersebut. Ini satu bencana yang tidak sepatutnya berlaku dalam kebudayaan DQ dan masyarakatnya. Ini masalah terbesar dalam kalangan pelajar DQ.

Justeru asas ini, wajib pertama-tamanya kita membedakan politik DQ dengan nasional dalam konteks pengamalan, tepatnya, tidak mengamalkan sama sekali “politik menang-kalah”. Maksud saya, menang kalah tidak dijadikan titik lihat mutlak sebagaimana terjadi di peringkat politik nasional.

Ingat! Kita berpilihan raya dalam kerangka sebuah kesatuan.

Saya terus-terang hampa dengan politik demokrasi Malaysia. Walaupun membawa nilai-nilai yang boleh dimanfaat, sikap demokratis misalnya, namun, prinsip demokrasi untuk saya hanya merosakkan moral dan akhlak islami lalu menyuburkan kefasadan masyarakat. Buktinya jelas nyata tanpa perlu pengkajian mendalam. Barangkali bukan kerana demokrasi tapi ‘demokrasi ala malaysia’. Namun, skeptis saya masih kekal terhadap prinsip demokrasi atas sebab akarnya adalah Barat yang sekular. Akibat buruknya pada umat Islam Malaysia khususnya adalah perpecahan. Sedangkan Islam agama yang berpasakkan falsafah tauhidik yang memancarkan prinsip kesatuan.

Justru sedemikian korup politik nasional, mana mungkin budayanya dibenarkan untuk diusung masuk ke DQ. Pelajar DQ wajib celik membedakan dan mahir “berpolitik dalam kerangka persatuan”. Lagi bagus, hazafkan saja pengamalan pilihan raya bagi mengelakkan lahirnya puak-puak dalam sebuah kesatuan pelajar iaitu PERKEMAT.

Akhirnya, saya ucapkan selamat memimpin kepada barisan hadapan baharu diketuai akhi Che Faizul Che Mat. Ya. Kita merupakan satu pasukan. Bezanya, kalian di hadapan kami di belakang. Inilah konsepsi kesatuan dalam Islam, ia sangat ‘harmonis’ umpama satu jasad!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan