Sabtu, 6 November 2010

Falsafah Kesatuan Dan Politik

Dalam pemikiran agama (usul ad-din), konsep kesatuan dipanggil prinsip tauhid. Dalam skema tasawwur agama Islam (yang mesti ditanggapi secara semesta dan komprehensif), dapat difahami bahawa prinsip tauhid mendominasi akal fikiran, sementara prinsip belas kasih menguasai hati. Cantik dianalogi Reza Shah Kazemi berkenaan kesepaduan keduanya, “belas kasih bagi tauhid adalah pancaran bagi matahari”. Bermakna, belas kasih atau sufisme keluar terpancar dari sumber tauhid.

Hakikat salingkait tauhid dan akhlak kesufian  dijelaskan sahabat saya (peminggirkota.blogspot.com), "akhlak karimah itu merupakan penampakan keyakinan jiwa akan tauhid.Dalam tradisi tariqah sufiyah, ada konsep tazkiyah al-nafs iaitu takhalli-tahalli-tajalli. Penyingkiran sifat mazmumah diikuti pemugaran mahmudah dan natijahnya dalam aspek mikro (diri insan) ialah akhlak al-karimah. Umpama tanih yang baik bakal menghasilkan buah yang baik . Begitu dengan kefahaman yang baik dengan 'rasa' akan faham itu, buahnya akhlak mulia."

Beliau (peminggirkota) merupakan seorang 'penghayat' mazhab attasian yang cukup saya kagumi.
 
Ismail Raji Al-Faruqi, filosof terkemuka menulis adikaryanya yang dinilai menumental bertajuk, Tawhid : Its Implications For Thought And Life. Di bagian prakata buku ada disebut kedudukan pemikiran tauhid sebagai asas setiap kewujudan. Jadi, segala benda dan makhluk saling berkaitrapat antara satu sama lain sekurang-kurangnya di peringkat paling asas.

Sila baca sini untuk lagi penjelasan falsafah tauhidik.
  
Falsafah Tauhid Dan Politik

Doktrin kesatuan mengandungi  dan diperhayat roh kesepaduan atau keharmonian unsur-unsur yang dilinkungi. Merujuk ini, sebuah perhimpunan tidak semestinya sebuah kesatuan, kerana tiada disyaratkan padanya roh kesepaduan.

Al-Attas mengenalpasti asas-asas kesepaduan dalam mencapai penyatuan masyarakat negara, sekurang-kurangnya pada tiga daripada empat perkara iaitu agama, bangsa, sejarah politik dan bahasa.

Dalam usaha pembentukan negara bangsa Malaysia yang identik dengan ciri majmuk bangsa, budaya, dan agama masyarakatnya, metod lebih-lebih lagi falsafah kesatuan amat perlu dihadam. Faham pembangunan untuk negara atau yang dimantap maknanya sebagai al-Islah oleh Wan Mohd Nor Wan Daud tak terlepas menyinggung aspek kesatuan. Ini tertuang dalam karya beliau, Pembangunan di Malaysia : Ke arah Satu Kefahaman Baru Yang Lebih Sempurna.

Namun dalam usaha membina negara bangsa di Malaysia, masalahnya dalam konteks tulisan ini adalah kepelbagaian agama, diburukkan lagi dengan budaya politik hampa nilai. Usah dibicara soal kesatuan pelbagai bangsa, kerana kesatuan masyarakat sebangsa seagama pun masih tidak berjaya dilakukan. 

Justru pemikiran tauhidik hanya pada agama Islam, skop tulisan ini hanya menyangkut isu perpaduan Melayu.

Melayu berpecah dan bertelingkah kerana politik. Mudah. Akibat ini berlaku kerana pemikiran tauhidik tidak disemangati para pemuka politik (Melayu-Islam) lalu berleluasa amalan politik bengong machiaveli. Budaya korup ini meliputi setiap peringkat politik, iaitu nasional dan mahasiswa institusi. PR dan BN, sama saja. Tidak ada roh dan bawaan falsafah tauhid yang kukuh.


Konsep kesatuan bangsa atau perpaduan masyarakat yang anbiyak, umarak, dan pemimpin-pemimpin politik yang sedar ghairahkan, bukan semata slogan dan gagasan retorik murahan, tetapi adalah manifestasi luaran yang terpancar dari roh pemikiran tauhid yang kukuh terpasak pada pemikiran manusiawi mereka. Ia sebenarnya merupakan falsafah tunjang, mengakari segala falsafah cabang lainnya.

Kala PM Najib menggagas 1Malaysia dan memperdanakannya di ruang awam sejak mula memerintah, sungguh, saya semacam merasainya (1Malaysia) sebagai roh yang hidup. Apa sebabnya? Sebab adanya “satu” atau “1” pada perkataan “1Malaysia”. Sungguh. Saya terkesan dengan slogan 1Malaysia. 

Baru sekarang saya faham mengapa, dan mampu menjelaskan di sini sebagai satu perkongsian bermanfaat. Saya kira falsafah tauhid ini sangat nadir diperkata orang. Sedangkan ia terlalu penting. Pemikiran setiap individu muslim wajib dipasakkan dengan falsafah tauhid.

Abu Hasan Asya’ari harus dipandang sebagai teolog dan filosof agong kerana beliau bertanggungjawab mengasas aliran pemikiran tauhidik berpaksi Quran dan Sunnah saw. Tradisi ini disambung oleh ulamak-ulamak muktabar seperti Al-Ghazali, Fakruddin Ar-Razi, Saifuddin Al-Amidi. Saya sekadar menyebut beberapa nama yang saya ingat yang menekuni falsafah.

Kita sepatutnya menjadi generasi penerus aliran kalam gagasan Asyai'rah ini untuk mengukuh akidah pemikiran, dan menentang aliran-aliran pemikiran lain yang bertentangan.  Sekularisme yang membadai dunia moden hari ini membawa falsafah dualisme, nampak sangat bertentangan habis dengan falsafah kesatuan aliran tauhid agama Islam.
          
Dalam konteks politik, prinsip tauhid asya’irah ini sepatutnya dianuti, difahami, dan benar-benar terjelma hidup sebagai falsafah anutan politikus-politikus BN dan PR. Kalau tidak, segala bentuk pembangunan terutamanya pembangunan modal insan jangan diharap berlaku. Perpaduan Melayu atau antara kaum usah lagi dicanang. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan