Isnin, 15 November 2010

Martabat Teologi Asya’irah

Abū al-Hasan Alī ibn Ismā'īl al-Asya'arī (874 – 936) adalah pendiri aliran teologi versi baharu atau disebut aliran khalaf (generasi terkemudian). Muktazilah merupakan pengasas disiplin ilmu teologi atau falsafah ketuhanan. Asya’ari sendiri mengenal teologi daripada muktazilah. Selepas itu beliau memodifikasi sebahagiannya supaya berbetulan dengan manhaj salaf. 

Boleh dikata Asya’ari ini mengharmonikan aliran salaf (wahyu tanpa akal) dan muktazilah (akal memungkir wahyu) lalu melahirkan manhaj baharu dikenal sebagai aliran asya’irah sempena nama beliau. Sebab itu aliran asyairah dicirikan dengan unsur wasatiah. Ilmu Kalam adalah disiplin teologi bagi aliran asyai'rah. Diakuri keabsahan aliran ini oleh teolog-teolog Islam selepas itu sehingga ia menjadi aliran mainstream bagi menanggapi ilmu usul ad-din.

Penting difahami, Imam Asya’ari hanyalah melengkapkan aliran salaf konstektualnya dengan memasukkan dimensi akliah ke dalam aliran itu (salaf). Khalaf dan salaf adalah seiring dan sejalan, bukan saling berlawanan. Melihat dari perspektif lain, beliau memperbetul manhaj muktazilah yang terpesong dari jalan salaf dan Nabi Muhammad saw.

Tradisi keilmuan identik dengan budaya fikir dan falsafah ketimbang akal adalah alat utama menanggap ilmu. Abbasiyah sebagai tanda zaman kemuncak ilmu pengetahuan sepanjang sejarah umat Islam, ketika itu diperintah oleh al-Makmun, seorang muktazilah. Di zaman itu muktazilah menguasai ruang awam tika aliran salaf kian malap seiring dengan berkembangnya budaya kefalsafahan. Sedangkan salaf kelihatan jumud, tidak bebas fikir, dan tidak meraikan falsafah.

Menimbang situasi ketika itu, bakal sahaja berlaku kritikan terhadap cara-gaya salaf yang sinonim lebih suka “menyelamatkan diri” atau “berdiam diri” apabila diterjah dengan pelbagai persoalan menyangkut ontologi ketuhanan dan wujud2 tak kasat mata lainnya. Muktazilah lantas mudah dominan. Namun, akibat terlalu mengangkat akal, wahyu sebagai prinsip agama yang tidak mungkin dipinda telah diatasi kerana dianggap “menyalahi akal”. Di tahap ini, penyelewengan telah berlaku terhadap ilmu usul ad-din dan tuhan.

Imam Asya’ari, membesar dalam didikan muktazilah malah selaku pemuka mazhab muktazilah menyedari kesilapan mazhab itu lalu bertindak memeranginya, mengasaskan aliran pemikiran teologinya sendiri. Dalam Aqidah An-Najin, dikisahkan perdebatan Asya’ari dengan Jubaei mahaguru muktazilah dan Asya’ari menang.

Hidup di zaman global kala ini, segalanya mengglobal termasuk ilmu dan falsafah. Aliran pemikiran khususnya yang datang dari Barat merencam dan bercabang-cabang. Segala sesuatu disoal dan memerlukan penjelasan. Bermacam penjelasan timbul dari berlainan pemikiran. Lagi, budaya demokratik dan sikap liberal dalam tradisi ilmu-fikir Barat yang mendominasi dunia saat ini giat  mempengaruh tidak sedikit manusia-manusia yang tidak kukuh rukyah al-Islam li al-wujud (teras pemikiran Islam) pada pemikirannya sebagaimana ditayangkan oleh ilmu usul ad-din dan teologi asya’irah. 

Di sinilah letaknya keutamaan manhaj khalaf asya’irah. Artikel inilah jawapan kepada sesiapa yang gemar mengaitkan aliran asya’irah dengan falsafah lalu dengan simplistik menyalahkannya.

Perlu diingat, akal (dan pemikiran) dan tuhan saling menyangkut secara harmoni. Tuhan adalah unsur terasas dalam pandangan alam / pandangan wujud seorang individu seperti Al-Attas sering wacanakan. Aristotle dan Einstein sendiri dengan keegoan akal fikir masing-masing terpaksa mengakuri wujudnya Tuhan. Dalam ilmu falsafah ada hukum sebab-akibat. Al-Kindi, antara filosof terawal Islam, menyimpulkan Tuhan adalah sebab mutlak (pertama-tama) kepada setiap akibat yang berlaku. Ismail Al-Faruqi menulis karya monumentalnya bertajuk, Tawhid : Its Implication For Thought And Life. Saya sangat ghairah dengan tajuk ini kerana lama saya bingung memikirkan persoalan sama seperti yang ditajukkan.

Ibn Atoillah terkenal dengan mahakaryanya bertajuk Al-Hikam, sebuah kitab ilmu tasawuf yang terbukti “susah difahami”. Ibn Arabi terkenal dengan gelaran bapak aliran sufisme-falsafi dan faham wahdah al-wujudnya. Hamzah al-Fanshuri selaku penerus aliran Ibn Arabi di nusantara termasyhur dengan syair-syair sufinya dan diiktiraf Al-Attas sebagai pembaharu bahasa Melayu malah pencetus kebangkitan tamadun Melayu-Islam. Beliau memasukkan rasionalisme dalam tradisi sastra Melayu yang sebelum itu penuh dengan unsur mitos, tak masuk akal dan magis usungan pemikiran hindu-buddha. Apa makna semua ini? 

Akhirnya izinkan saya mencadangkan : bahawasa mendalami ilmu teologi dan kalam asya’irah adalah satu kebutuhan bagi setiap muslim lebih-lebih lagi golongan pemikir. Kenapa? Kesannya yang pertama, akan memperbetulkan pemikiran insan. Kedua, membentuk teras pemikiran dan falsafah insan yang sepatutnya, dan ketiga, mendekatkan insan kepada Tuhan. Ini semua sebenarnya terangkum dalam makna “aqidah”.            
 

1 ulasan: