Sabtu, 27 November 2010

Sedarlah 'Aku'



Hidup ini bukan aku punya
Hari dan saat adalah hukum
Manusia tak kerdip terhukumkan
manusia mana hidup di luar masa?
manusia mana tidak palsu?
andai benar hidup milik aku

justru itu ;

Wahai diri akali
nobatkanlah kemalaikatanmu
Aku.
Tuhan tuju layak mu
senobatmu

Hey! serakah hayawani
pergilah jauh-jauh
diam terlayak mu di rimba sana
sini daerah suci
kerna aku telah berjanji sebelum dimateri

Aku mahu mahu
mahu untuk ketahuan
tahu untuk menyatu

Cinta teragong
adalah tuju akhir segala kepalsuan
mencari yang benar
Realitas Abadi.
................

- 16:59, 27/11/2010 -  Kuala Kubu Baru, Selangor -

Sabtu, 20 November 2010

Pesan Ibu Beribu-ribu

Saya rasa tidak beradab apabila tidak berfikir langsung soal haji dan korban sepanjang minggu ini. Cuti seminggu sempena raya haji sekaligus cuti pertengahan semester, sudah sampai ke penghujung. Esok bakal jejak kembali taman ilmu dan budi di Kuala Kubu Baru Selangor. 

Memang ada ide tentang itu (haji dan korban). Namun saya fikir ia masih belum terbina mantap untuk dijadikan entri. Masih kabur. Namun, sehabis tiada pun, saya bersyukur kerana diberi peluang menonton cerita kartun berjudul Habil dan Qabil - kisah ibadah korban pertama-tama dalam sejarah Islam. Juga, pembunuhan pertama sepanjang sejarah manusia.

Untuk memahami falsafah berkait makna dan tujuan haji, korban, seluruhnya, saya merasakan tulisan Ali Shariati sangat perlu diulit. Pergi sini untuk dapatkan link downloadnya.




Buat ummiku, sebelum berangkat ke taman ilmu :

Kita ada ibu
ibu kita satu
pesanannya beribu-ribu.


Setiap langkah kita diiringi pesanan ibu
"buat begini jangan begitu
bacalah buku selalu
kukuhkan diri dengan ilmu
pilihlah kawan yang mulia hati
tolaklah kawan pementing diri
pilihlah kawan yang yang punya petunjuk
tolaklah kawan penagih rokok."
ibu yang satu menyekat kita di pintu
bertanya ke mana arah tuju
"jagalah diri selalu
di luar sana mungkin bencana menunggu."
Kita menjadi jemu
mendengar pesanan ibu beribu-ribu
tapi ibu tetap ibu
pesanan bertambah satu dan satu 
"jangan dibiar kepala berkutu
carilah ubat jerawat batu."

Suatu senja 
seorang temanku merintih
kerana kehilangan kekasih
kini baru disedarinya
pilihan musang berbulu arnab
biarpun menyamar cekap
ada masa masuk perangkap

Si bedul sudah ditangkap
Si Bedul masuk lokap

Dia menyatakan kesalnya
kerana dia alpa
ibunya berpesan sejak dulu
"pilihlah kawan yang bermutu
jang dipilih kawan berhantu"

Mengenangkan nasib temanku itu
aku merindui pesanan ibu
Ya, pesanan ibu.

Ibu, 
kuyakini kau mengenali
yang mana permata, yang mana kaca
yang mana budaya, yang mana buaya
berilah pesanan beribu-ribu
malah berpuluh ribu
aku tidak akan jemu
ini janjiku kerana aku tahu
sempurna seorang ibu
dengan pesanan beribu-ribu.   

- Puisi ini tajuknya seperti tajuk entri ini, karya Rahman Shaari seorang kritikus sastra.

Saya ingin bertanya, sekadar mana kita mengingati dan mencintai ibu berbanding mencintai kawan2? Sekadar apa kita menghargai ibu dan adik-baradik kita? Balek bercuti, layan facebook berjam-jam.. Sedangkan ahli rumah tidak pula diajak bersembang. Awas! ini budaya jelek baharu yang sedang mara bahaya, masuk ke lingkungan masyarakat kita membentuk budaya dan adat orang Melayu terkehadapan. 

Puisi di atas sangat senang difahami, dan sangat-sangat bermakna. Hargailah seorang ibu.

Isnin, 15 November 2010

Martabat Teologi Asya’irah

Abū al-Hasan Alī ibn Ismā'īl al-Asya'arī (874 – 936) adalah pendiri aliran teologi versi baharu atau disebut aliran khalaf (generasi terkemudian). Muktazilah merupakan pengasas disiplin ilmu teologi atau falsafah ketuhanan. Asya’ari sendiri mengenal teologi daripada muktazilah. Selepas itu beliau memodifikasi sebahagiannya supaya berbetulan dengan manhaj salaf. 

Boleh dikata Asya’ari ini mengharmonikan aliran salaf (wahyu tanpa akal) dan muktazilah (akal memungkir wahyu) lalu melahirkan manhaj baharu dikenal sebagai aliran asya’irah sempena nama beliau. Sebab itu aliran asyairah dicirikan dengan unsur wasatiah. Ilmu Kalam adalah disiplin teologi bagi aliran asyai'rah. Diakuri keabsahan aliran ini oleh teolog-teolog Islam selepas itu sehingga ia menjadi aliran mainstream bagi menanggapi ilmu usul ad-din.

Penting difahami, Imam Asya’ari hanyalah melengkapkan aliran salaf konstektualnya dengan memasukkan dimensi akliah ke dalam aliran itu (salaf). Khalaf dan salaf adalah seiring dan sejalan, bukan saling berlawanan. Melihat dari perspektif lain, beliau memperbetul manhaj muktazilah yang terpesong dari jalan salaf dan Nabi Muhammad saw.

Tradisi keilmuan identik dengan budaya fikir dan falsafah ketimbang akal adalah alat utama menanggap ilmu. Abbasiyah sebagai tanda zaman kemuncak ilmu pengetahuan sepanjang sejarah umat Islam, ketika itu diperintah oleh al-Makmun, seorang muktazilah. Di zaman itu muktazilah menguasai ruang awam tika aliran salaf kian malap seiring dengan berkembangnya budaya kefalsafahan. Sedangkan salaf kelihatan jumud, tidak bebas fikir, dan tidak meraikan falsafah.

Menimbang situasi ketika itu, bakal sahaja berlaku kritikan terhadap cara-gaya salaf yang sinonim lebih suka “menyelamatkan diri” atau “berdiam diri” apabila diterjah dengan pelbagai persoalan menyangkut ontologi ketuhanan dan wujud2 tak kasat mata lainnya. Muktazilah lantas mudah dominan. Namun, akibat terlalu mengangkat akal, wahyu sebagai prinsip agama yang tidak mungkin dipinda telah diatasi kerana dianggap “menyalahi akal”. Di tahap ini, penyelewengan telah berlaku terhadap ilmu usul ad-din dan tuhan.

Imam Asya’ari, membesar dalam didikan muktazilah malah selaku pemuka mazhab muktazilah menyedari kesilapan mazhab itu lalu bertindak memeranginya, mengasaskan aliran pemikiran teologinya sendiri. Dalam Aqidah An-Najin, dikisahkan perdebatan Asya’ari dengan Jubaei mahaguru muktazilah dan Asya’ari menang.

Hidup di zaman global kala ini, segalanya mengglobal termasuk ilmu dan falsafah. Aliran pemikiran khususnya yang datang dari Barat merencam dan bercabang-cabang. Segala sesuatu disoal dan memerlukan penjelasan. Bermacam penjelasan timbul dari berlainan pemikiran. Lagi, budaya demokratik dan sikap liberal dalam tradisi ilmu-fikir Barat yang mendominasi dunia saat ini giat  mempengaruh tidak sedikit manusia-manusia yang tidak kukuh rukyah al-Islam li al-wujud (teras pemikiran Islam) pada pemikirannya sebagaimana ditayangkan oleh ilmu usul ad-din dan teologi asya’irah. 

Di sinilah letaknya keutamaan manhaj khalaf asya’irah. Artikel inilah jawapan kepada sesiapa yang gemar mengaitkan aliran asya’irah dengan falsafah lalu dengan simplistik menyalahkannya.

Perlu diingat, akal (dan pemikiran) dan tuhan saling menyangkut secara harmoni. Tuhan adalah unsur terasas dalam pandangan alam / pandangan wujud seorang individu seperti Al-Attas sering wacanakan. Aristotle dan Einstein sendiri dengan keegoan akal fikir masing-masing terpaksa mengakuri wujudnya Tuhan. Dalam ilmu falsafah ada hukum sebab-akibat. Al-Kindi, antara filosof terawal Islam, menyimpulkan Tuhan adalah sebab mutlak (pertama-tama) kepada setiap akibat yang berlaku. Ismail Al-Faruqi menulis karya monumentalnya bertajuk, Tawhid : Its Implication For Thought And Life. Saya sangat ghairah dengan tajuk ini kerana lama saya bingung memikirkan persoalan sama seperti yang ditajukkan.

Ibn Atoillah terkenal dengan mahakaryanya bertajuk Al-Hikam, sebuah kitab ilmu tasawuf yang terbukti “susah difahami”. Ibn Arabi terkenal dengan gelaran bapak aliran sufisme-falsafi dan faham wahdah al-wujudnya. Hamzah al-Fanshuri selaku penerus aliran Ibn Arabi di nusantara termasyhur dengan syair-syair sufinya dan diiktiraf Al-Attas sebagai pembaharu bahasa Melayu malah pencetus kebangkitan tamadun Melayu-Islam. Beliau memasukkan rasionalisme dalam tradisi sastra Melayu yang sebelum itu penuh dengan unsur mitos, tak masuk akal dan magis usungan pemikiran hindu-buddha. Apa makna semua ini? 

Akhirnya izinkan saya mencadangkan : bahawasa mendalami ilmu teologi dan kalam asya’irah adalah satu kebutuhan bagi setiap muslim lebih-lebih lagi golongan pemikir. Kenapa? Kesannya yang pertama, akan memperbetulkan pemikiran insan. Kedua, membentuk teras pemikiran dan falsafah insan yang sepatutnya, dan ketiga, mendekatkan insan kepada Tuhan. Ini semua sebenarnya terangkum dalam makna “aqidah”.            
 

Sabtu, 6 November 2010

Falsafah Kesatuan Dan Politik

Dalam pemikiran agama (usul ad-din), konsep kesatuan dipanggil prinsip tauhid. Dalam skema tasawwur agama Islam (yang mesti ditanggapi secara semesta dan komprehensif), dapat difahami bahawa prinsip tauhid mendominasi akal fikiran, sementara prinsip belas kasih menguasai hati. Cantik dianalogi Reza Shah Kazemi berkenaan kesepaduan keduanya, “belas kasih bagi tauhid adalah pancaran bagi matahari”. Bermakna, belas kasih atau sufisme keluar terpancar dari sumber tauhid.

Hakikat salingkait tauhid dan akhlak kesufian  dijelaskan sahabat saya (peminggirkota.blogspot.com), "akhlak karimah itu merupakan penampakan keyakinan jiwa akan tauhid.Dalam tradisi tariqah sufiyah, ada konsep tazkiyah al-nafs iaitu takhalli-tahalli-tajalli. Penyingkiran sifat mazmumah diikuti pemugaran mahmudah dan natijahnya dalam aspek mikro (diri insan) ialah akhlak al-karimah. Umpama tanih yang baik bakal menghasilkan buah yang baik . Begitu dengan kefahaman yang baik dengan 'rasa' akan faham itu, buahnya akhlak mulia."

Beliau (peminggirkota) merupakan seorang 'penghayat' mazhab attasian yang cukup saya kagumi.
 
Ismail Raji Al-Faruqi, filosof terkemuka menulis adikaryanya yang dinilai menumental bertajuk, Tawhid : Its Implications For Thought And Life. Di bagian prakata buku ada disebut kedudukan pemikiran tauhid sebagai asas setiap kewujudan. Jadi, segala benda dan makhluk saling berkaitrapat antara satu sama lain sekurang-kurangnya di peringkat paling asas.

Sila baca sini untuk lagi penjelasan falsafah tauhidik.
  
Falsafah Tauhid Dan Politik

Doktrin kesatuan mengandungi  dan diperhayat roh kesepaduan atau keharmonian unsur-unsur yang dilinkungi. Merujuk ini, sebuah perhimpunan tidak semestinya sebuah kesatuan, kerana tiada disyaratkan padanya roh kesepaduan.

Al-Attas mengenalpasti asas-asas kesepaduan dalam mencapai penyatuan masyarakat negara, sekurang-kurangnya pada tiga daripada empat perkara iaitu agama, bangsa, sejarah politik dan bahasa.

Dalam usaha pembentukan negara bangsa Malaysia yang identik dengan ciri majmuk bangsa, budaya, dan agama masyarakatnya, metod lebih-lebih lagi falsafah kesatuan amat perlu dihadam. Faham pembangunan untuk negara atau yang dimantap maknanya sebagai al-Islah oleh Wan Mohd Nor Wan Daud tak terlepas menyinggung aspek kesatuan. Ini tertuang dalam karya beliau, Pembangunan di Malaysia : Ke arah Satu Kefahaman Baru Yang Lebih Sempurna.

Namun dalam usaha membina negara bangsa di Malaysia, masalahnya dalam konteks tulisan ini adalah kepelbagaian agama, diburukkan lagi dengan budaya politik hampa nilai. Usah dibicara soal kesatuan pelbagai bangsa, kerana kesatuan masyarakat sebangsa seagama pun masih tidak berjaya dilakukan. 

Justru pemikiran tauhidik hanya pada agama Islam, skop tulisan ini hanya menyangkut isu perpaduan Melayu.

Melayu berpecah dan bertelingkah kerana politik. Mudah. Akibat ini berlaku kerana pemikiran tauhidik tidak disemangati para pemuka politik (Melayu-Islam) lalu berleluasa amalan politik bengong machiaveli. Budaya korup ini meliputi setiap peringkat politik, iaitu nasional dan mahasiswa institusi. PR dan BN, sama saja. Tidak ada roh dan bawaan falsafah tauhid yang kukuh.


Konsep kesatuan bangsa atau perpaduan masyarakat yang anbiyak, umarak, dan pemimpin-pemimpin politik yang sedar ghairahkan, bukan semata slogan dan gagasan retorik murahan, tetapi adalah manifestasi luaran yang terpancar dari roh pemikiran tauhid yang kukuh terpasak pada pemikiran manusiawi mereka. Ia sebenarnya merupakan falsafah tunjang, mengakari segala falsafah cabang lainnya.

Kala PM Najib menggagas 1Malaysia dan memperdanakannya di ruang awam sejak mula memerintah, sungguh, saya semacam merasainya (1Malaysia) sebagai roh yang hidup. Apa sebabnya? Sebab adanya “satu” atau “1” pada perkataan “1Malaysia”. Sungguh. Saya terkesan dengan slogan 1Malaysia. 

Baru sekarang saya faham mengapa, dan mampu menjelaskan di sini sebagai satu perkongsian bermanfaat. Saya kira falsafah tauhid ini sangat nadir diperkata orang. Sedangkan ia terlalu penting. Pemikiran setiap individu muslim wajib dipasakkan dengan falsafah tauhid.

Abu Hasan Asya’ari harus dipandang sebagai teolog dan filosof agong kerana beliau bertanggungjawab mengasas aliran pemikiran tauhidik berpaksi Quran dan Sunnah saw. Tradisi ini disambung oleh ulamak-ulamak muktabar seperti Al-Ghazali, Fakruddin Ar-Razi, Saifuddin Al-Amidi. Saya sekadar menyebut beberapa nama yang saya ingat yang menekuni falsafah.

Kita sepatutnya menjadi generasi penerus aliran kalam gagasan Asyai'rah ini untuk mengukuh akidah pemikiran, dan menentang aliran-aliran pemikiran lain yang bertentangan.  Sekularisme yang membadai dunia moden hari ini membawa falsafah dualisme, nampak sangat bertentangan habis dengan falsafah kesatuan aliran tauhid agama Islam.
          
Dalam konteks politik, prinsip tauhid asya’irah ini sepatutnya dianuti, difahami, dan benar-benar terjelma hidup sebagai falsafah anutan politikus-politikus BN dan PR. Kalau tidak, segala bentuk pembangunan terutamanya pembangunan modal insan jangan diharap berlaku. Perpaduan Melayu atau antara kaum usah lagi dicanang. 

Jumaat, 5 November 2010

Reformasi Anak

Pabila Ali mahukan kuasa,
dia bukan gilakan dunia,
Dia mahu mengajar cuma,
Gimana kuasa harus diguna!
-Jalaludin Rumi, Mathnawi 
(dipetik Wan Mohd Nor Wan Daud dalam bukunya)



Reformasi anak
siapa sangka mudah belaka?
Mahu bersuara ayah suruh senyap
Ayah, ayahnya.
Anak kecil.

Di minda anak :
Demokrasi lancung
pengurusnya dilembu
rela melembu
ada yang tak sedar, terlembu.
Mana ruang kebebasan yang dikisahkan lapang?
Akhirnya
Pabila keparat naik takhta
rakyat berpeluh penat
sepihak dianiaya
dia hanya tahu mempengerusi mesyuarat

Anak sedar dan tercabar
mesti budaya setan dirobahkan
Anak berjiwa singa
Hatinya bercahaya
raganya tangkas bingkas melawan
Bukan melawan ayah
tapi melawan kelancungan, kemachiavelian

Anak-anak sayang kebenaran.
Anak-anak sayang ayah.

- 1:52 pagi - Ampang Pecah -