Sabtu, 2 Oktober 2010

Isham Yang Ajar Saya Lebih Berkeyakinan Kritik Orang


Rampaian terima kasih saya untuk Hakimi Mahmud, teman satu geng sedar kerna menghadiahi saya juadah kunyah yang sungguh nikmat – himpunan karya tulis Isham Rais yang dibukukan dengan dipilih judulnya : Keganasan, penipuan dan internet, Hegemoni Media Daulah Pecah. Sangat nikmat kerana, sila baca sendiri gaya tulis Isham di laman blognya tukartiub.blogspot.com. Dan juga kerana beliau (Isham) yang paling responsif dan kritis menjawab isu sosial politik Malaysia. Segala bentuk pembodohan yang berlaku di Malaysia hasil ‘politik saling menjatuhkan’ amalan berzaman disingkap Isham satu per satu.

 ini Isham Rais dan buku beliau itu

Isham dikatakan independent dalam mengkritik, namun saya tak yakin, kerna ia berlawanan dengan kesimpulan yang saya buat dalam tulisan saya sendiri sebelum ini : bahawa pandangan politikus Malaysia seringkali bias dan prejudis, tidak bebas ilmiah. Kerna Isham ada tempat duduk dalam PKR.

Buku ini memberi minda saya rehat yang paling menikmatkan, kerna Isham bercerita ‘hal-hal yang sepatutnya dilaksana tapi tak dilaksana’ iaitu hal-hal rasional yang pragmatis, hasil daya peka sosialnya yang sangat tinggi. Inilah ide. Tapi pragmatis. Dan disampai Isham kepada pembaca dengan pilihan dan susunan kata yang menghadirkan rasa lucu. Isham memang sempoi. Ini lebihnya Isham. Ini yang mengganda-gandakan kutipan jualan bukunya.

Saya sebelum mengulit dan mengulat buku ini memasang niat untuk mengenali Isham lebih dalam, pemikirannya dan apa-apa tentangnya, kerana teman penghadiah buku ini tampak sangat ‘thiqah’ akan Isham. Kedua-dua buku Isham yang diterbitkan seupaya mungkin dicarinya dan dibeli. Manakan tidak, buku ini kekal top ten bestseller sejak baharu  terbit sampai sekarang. Justru, saya berbangga memilikinya.
 
Teman saya itu, dihikayatnya awal-awal bahwa Isham ini sosialis dan idealis yang ‘piyao’. Pada gambaran akal saya pada masa itu (yang dipengaruh oleh premis yang tersimpan di akal), pasti Isham ini seorang yang begitu memahami sosialisme hingga ke akar umbinya – sekurangnya macam Rustam A. Sani – antara orang terawal mengajar dan mengembang ilmu sosial sains dan masyarakat di universiti di Malaysia. Maksud saya, sosialisme sebagai ilmu dan falsafah pemikiran.

Namun saya tersilap. Isham sendiri memperbetulkan saya. Beliau dalam buku ini mengaku beliau sosialis, tetapi bukan sosiologis. Jadi saya dapat satu istilah baharu daripada Isham iaitu ‘sosiologis’, iaitu seorang sosialis yang ‘piyao’. Barangkali apa yang Hakimi maksudkan dengan sosialis piyao perlu beliau jelaskan kembali kepada saya. Mungkin lain ide yang mahu beliau beri tahu. Namun saya dapat agak sosialis ‘piyao’ yang Hakimi coba ungkap ini adalah bermaksud pengamal dan pejuang isu sosial yang tegar. Inilah yang dinamakan keragaman tafsiran akal, yang sekaligus mendedahkan kelemahan manusia ‘agnostik’ (seperti diungkap dalam buku) – itu lah Isham – orang yang percaya pada kekuatan akal pikir manusia.

Isham membuat bermacam pengakuan pelik dalam buku ini, dan dengan itu saya lebih kenal siapa Isham lalu matlamat saya mambaca buku tercapai. Dalam buku, Isham tanpa segan mengaku bahwa beliau sekular dan lebih bahaya dan bengong lagi, mengatakan bahwa untuk beliau, agama hanyalah sebagian daripada budaya bangsa. Sekadar itu. Ini yang paling saya tak puas hati. Isham memang telah terbaratkan. Saya faham. Tempoh 20 tahun di luar negara terutama di kota London adalah sangat lama dan matang untuk membentuk rasa kagum beliau terhadap bangsa sekular dan gaya fikir dan budaya bangsa itu. Isham dalam buku ini seringkali mengangkat budaya Eropah dan merendah budaya Melayu. Bagi Isham kebangsaan tiada apa2 nilai. 

Sedangkan bangsa Melayu punya akar budaya yang terbentuk daripada worldview Islam yang mantap. Sebenarnya Isham tak layak bercakap soal budaya, kerna budaya datang dari pemikiran, dan pemikiran datangnya dari tradisi keilmuan yang melampaui, dan budaya pula membentuk tamadun. Semua ini falsafah dan pemikiran yang memerlu kajian mendalam, bukan gaya pragmatis Isham yang hanya setakat berupaya memahami permukaan.   

Saya yakin dan percaya, di balik kehidupan yang sangat dinikmati oleh Isham, yang sangat selalu beliau luah dalam buku ini, ada tikanya beliau tidak tenteram. Dimensi spiritual yang diangkat menjulang oleh Al-Attas sebagai the real happiness dalam hidup insan, tampak malap di jiwa manusia Isham. Ketenangan dan kegembiraan yang hakiki (original, sebenar) hanya ada pada manusia beragama dan berpandangan dunia menurut Islam (worldview of Islam) dalam mengharung hidup singkat ini. Inilah nikmat sebenar, yang diketengah agama Islam, bukan seperti diketengah Isham.
 
Isham Rais yang saya hormati itu, barangkali sebelum beliau tua dan berkurang daya taakulnya ada baiknya beliau menghadam pemikiran Al-Attas. Saya sarankan, bacalah Islam and Secularism karya mega Al-Attas dan juga tulisan Al-Attas tentang akar budaya Melayu supaya beliau ‘turut sama menikmati’ hidup kekal selepas hidup singkat ini.

Pada saya, yang membuat saya hormat dan kagum akan Isham adalah kerana beliau pejuang isu sosial yang sangat melawan dan daya pragmatis beliau yang tinggi. Kempennya telah menyedarkan ramai orang. Ini sumbangan Isham. Ini perjuangan isham. Setakat itu.

Yang membuat saya jelek pula ialah kehidupan sekularnya, dan kegagalannya mencari punca penolakan masyarakat terhadap Barat. Kesian Isham, kerna hal yang terlalu dan paling penting ini beliau bodoh menilainya sedangkan hal-hal lain beliau lah paling bijak dan ideal. Inilah bahana mazhab pragmatism anutan Isham – tak mampu membongkar isu2 pemikiran dan akidah. Yang bahayanya, jumlah pengikut Isham dan daya ketrampilan beliau sangat ramai dan beranak-ranak. Ya. Isham pada satu tahap telah berjaya membentuk budaya baharu masyarakat Malaysia, iaitu budaya Isham. Para pengkagum Isham ini saya harap semuanya insaf dan kembali kepada akar budaya Melayu-Islam.
 
Dari segi keilmuwan dan kefalsafahan – yang lebih saya cenderung – Isham masih ketinggalan jauh. Praktikalnya, mendengar syarahan ahli2 ilmu sosiologi dan falsafah amnya, lebih menikmatkan daripada mendengar syarahan Isham. Isham (untuk saya) lebih kepada hiburan (yang mudah-mudah), kerna ilmu dan falsafah itu sesuatu yang mulia, diangkat tinggi oleh agama. Sebab itu, ianya yang payah-payah.

Isham ini saya simpulkan termasuk pengamal politik pragmatis-machiavelis – sama saja dengan umno yang selalu sangat beliau kritik.

Isham Rais memang meraikan manusiawi, iaitu meraikan akal - kerna manusia itu ditakrifkan sebagai haiwan berakal. Nasihat saya, Isham mesti meraikan juga Ilahi. Ini lebih penting.    
   

2 ulasan:

  1. 1.Setahu aku, isham tidak ada tmpt di mn2 partai politik termasok PKR.Bukan sekali dia sendiri tibai anwar ibrahim.Berkali2 dia sendiri tibai PKR yg berakar umbi dr UMNO
    2.Isham jika bercakap, psal islam atau apa2 agama, pekakkan saja karena kita tahu dia mmg tak betol dlm hal2 itu.
    3.Aku rasa hang kena baca buku 'Tapai' pulak.Isham yg aku tau, tak pernah merendah-rendah budaya Melayu malah meraikannya lebih dari meraikan agama.Apa yg aku tahu isham mencintai budaya kmpung lebih dari anak2 muda sekarang.Sekali lg aku sarankan bc 'Tapai' untuk lihat keraian isham terhadap budaya.
    4.Artikel di tranungkite tu bukan kali pertama aku bc.Mengenai pikiran farish terhdp nabi itu kita boleh tolak.Sekali lg, ya, golongan 'free-thinker' ni kita tak perlu harapkan mereka utk berckp baik2 psal agama.Mereka bukan ahli..tak perlu terkejut.Tapi aku sgt anjurkan hg bc 'Dari majapahit ke..'.Ide farish menarik utk dihadam.

    BalasPadam
  2. t.kasih bro.mmg aku takckup dalami isham habis lagi.ini sbg pngantar. tntu skali tak ckup analitis.
    ttp yg pasti isham ini tak ckup pham akar bdy mlayu asliy yg merai rasional.

    mlayu skang yg bodoh. mlayu dulu bijak

    BalasPadam