Khamis, 28 Oktober 2010

[7:156] - "Belas KasihKu Meliputi Segala"



'Tuhanku, benarkan lah aku mencintai Mu...'
'Tuhanku, benarkan lah aku mencintai Mu...'
'Tuhanku, benarkan lah aku mencintai Mu...'

Islam adalah agama cinta. Allah tuhan yang bersifat pembelas dan pengasih kepada hamba. Ini bukan omong jenaka belaka. Tuhan serius. Buktinya, Dia telah mengisytihar bahwa “BELAS KASIHKU MELIPUTI SEGALA” (7:156). Nah. Kalam Nya membuktikan sudah.

Ihsan merupakan dimensi agama yang memancarkan nilai kasih dan cinta. Bahkan, ihsan dilmuliakan sebagai unsur tujuan dan matlamat agama, iaitu buah beragama. Tasawauf rohaniyyah mengajar manusia tentang saling cinta-mencintai Tuhan dan hamba. Orang-orang sufi bercinta dengan Tuhan, tersangat asyik sehingga mencapai mertabat lebur (fana), dengan maksud hilang daripada kawalan dunia realiti wujudi ini dan masuk ke pintu alam rohani, yang tak bisa dicapai inderawi manusia.

Sisi kasih atau cinta atau belas agama Islam ini, hanya dimengerti oleh orang-orang yang mahu faham, iaitu, mereka yang memaksima kemanfaaatan akal (natika) yang dikarunia Tuhan. Agama ini didirikan atas tapak ilmu dan faham, yang melahirkan amal atas sebab faham yang teguh itu. Tuhan memberi manusia kebebasan (freedom) untuk memilih (ikhtiyar) bermaksud budaya berfikir dan berilmu amat ditekankan sebagai wasilah untuk memilih dan memutuskan. Tuhan Yang Maha Mencintai hamba membuktikan cinta dan kasihnya apabila Dia tidak memaksa, bahkan memberi akal untuk manusia bebas berfikir dalam mencari cinta, mencari Dia. 

Manusia adalah ‘hamba tapi bebas’, iaitu bebas daripada belenggu tidak faham, jahil dan seumpamanya. Manusia adalah hamba yang akalnya dibiar lepas terbang ke mana sahaja mencari hakikat Tuhan, hakitat manusia, hakikat alam dan salingkaitan antara semuanya. Akal dilepas menerawang untuk mencari hadrat Tuhan, sebagai tujuan akhir hidupnya. Inilah falsafah hidup seorang manusia pencinta Tuhan.

Syurga neraka disediakan Tuhan sebagai tempat abadi kesudahan perjalanan manusia. Perkhabaran mengenainya dicerita awal-awal dalam Quran, dan ini termasuk dalam akidah yang wajib diimani sekalian kita. Jadi, adakah Tuhan itu martabat wujudnya hanya sebagai penghukum (atau pengadil), sepertimana juri yang menentukan menang kalah pertandingan misalnya? Tidak. 

Seorang muslim yang punyai tasawur Islam yang sempurna tidak akan mengatakan atau memomok mindanya bahawa Tuhan itu penghukum semata. Berpandukan keterangan di atas, mana mungkin Dia hanya setakat penghukum yang tidak mengambil tahu dan tiada merai cinta hamba. Sekali lagi ditegaskan, Tuhan itu pencinta hamba-hamba bukan penghukum semata!
   
Agama ini bukan didiri atas tapak kekerasan, kepaksaan dan seunpamanya. Tuhan ALLAH bukan lah tuan tanah seperti dalam prinsip feudalisme, yang mempertimbang harta dunia cuma tanpa ada hubungan kesalingan cinta dengan yang di bawah. 

Barat pada abad ini coba mengelirukan masyarakat dunia bahawa Islam itu dicirikan dengan dimensi2 seperti kekerasan, keterlaluan (ekstremisme), membelenggu dan tidak demokratis. Kempen global ini membuatkan kita seolah terlupa dan terlepas pandang seketika pada dimensi ihsan agama. Justru, tulisan ini coba menyedarkan.    

Tiada ulasan:

Catat Ulasan