Rabu, 29 September 2010

" My Name Is Khan, I'm Not A Terrorist. I'm A Humanist! "


MY NAME IS KHAN sebuah filem arahan sutradara Karan Johar. Ia begitu menarik minat saya kerna mengangkat wacana agama yang mungkin sekali diperdebat orang, kerna ia hal paling sensitif dalam hidup insan. Seperkara, ia memang menarik pun. Tetapi wajar sekali menanggapnya dengan pandangan awal yang skeptis lagi prejudis kerna dunia sekarang dilanda sekularisme hasil peradaban Barat. Islam, Hindu, dan Kristian disertakan sekali dalam satu filem, dengan menonjolkan Islam secara berlebihan. Tidak ketinggalan, pemikiran sekularisme yang diwakili oleh negara Amerika.

Watak utama ialah Rizvan Khan, seorang muslim yang berkahwin dengan seorang penganut hinduisme, Mandira. Pelakon Shah Rukh Khan dan Kajol. Islamiphobia melanda Amerika sejurus tragedi 11/9 lalu Islam diberi wajah teroris. Kesannya, pelbagai masalah menimpa keluarga Khan lantaran keislaman Rizvan dan terbesarnya ialah kematian anak mereka yang pantas memomok langsung persepsi Mandira bahwa Islam itu mesti dihindarkan.

Rizvan yang dihalau isteri sendiri kemudiannya melalui perjalanan panjang bagi ‘membuktikan’ falsafah anutannya iaitu (petikan dalam filem) : “good people who do good deeds. And bad people who do bad. That’s the only difference in human beings. There’s no other difference”. Baginya, seseorang tidak boleh dianggap jahat kerna agamanya Islam. Tetapi seseorang dianggap jahat kerna membuat jahat. Falsafah itu dilekat kukuh pada pemikiran Rizvan oleh ibunya sejak dia kecil, apabila ketika itu (1983) berlaku pertelingkahan besar antara agama Islam dan hinduisme.

Pengembaraan Rizvan ditandai terutamanya oleh babak ‘good deed’ beliau terhadap panganut kristian dengan bersusah-payah meredah hujan lebat dan banjir besar demi menemui dan menyelamatkan Mama Jenny yang juga pernah berbudi kepadanya terdahulu. Tragedi banjir yang menimpa tempat itu mendapat liputan media. Sekali lagi Rizvan melakukan ‘good deed’ iaitu menolong pihak polis menangkap seorang ekstremis Islam. Kedua-dua peristiwa itu dijadikan rasional yang berkesan oleh pengarah filem bagi menafikan tanggapan bahwa Islam itu ganas dan sebagai pemusnah virus islamiphobia. Selepas itu, Rizvan mulai dikenali masyarakat dan menjadi amat terkenal di Amerika. Ia sekaligus merubah sama sekali persepsi masyarakat terhadap Islam yang sebelum itu teruk diskeptis dan diprejudiskan.
      
FILEM ini dengan halusnya menganjurkan bahwa islamiphobia kononnya dapat diatasi dengan pemikiran anutan Rizvan Khan iaitu : orang baik ialah yang buat baik, dan orang jahat ialah yang buat jahat. Tidak dikira apa agamanya.  Filem ini walau tampak mahu menghapus sisi ekstrem Islam yang diwakili oleh sebutan lafaz “jihad” dan “sacrifice” dalam filem, namun, ditampilkan pula ideologi humanisme dan secara sangat halus menolak peranan agama dalam kehidupan. Sudah cukup dengan melakukan kebaikan dan menafikan kejahatan, yang dibilang berupaya ditanggap sepenuhnya oleh akal tanpa panduan wahyu. 

Sedangkan Islam menjawat sebagai agama samawi yang ditunjang wahyu tanpa menolak akal budi manusia dan nilai kemanusiaan. Nilai kemanusian itu sendiri dipandu oleh wahyu sebagai perlembagaan baik-buruk perbuatan manusia.

Lebih berat lagi, mungkin saja falsafah humanisme yang cuba dimomok dalam My Name Is Khan ini membawa kepada falsafah pluralisme agama, ideologi yang mengandaikan bahwa semua agama itu sama rata dan berkongsi hakikat kebenaran. Tiada kebenaran mutlak yang berhak dimiliki oleh hanya satu agama. Falsafah ini malah pada hari ini dikatakan berkesan bagi mendamaikan konflik antara agama dan membawa perpaduan sosial.   

Tiada ulasan:

Catat Ulasan