Selasa, 20 Julai 2010

Dia Kemerahan

DIA KEMERAHAN 


Hari-harinya seorang manusia hayawani
Yang hidup terkurungdi sangkar materi ;
Keluh-kesah merantai jasad gagahnya
kemas lagi kukuh hingga berbekas.
Merah.

Alam materi memang cerah.
Silaulah mata-mata yang zahir kala menatap
walau menjeling cuma.
Butalah mata-mata batin,
diam titahnya
sekadar meratap perlahan dalam kemerahan.

Di dunia meteri yang menyangkar,
seorang manusia hayawani.sentiasa berkeluh-kesah.
Tiada warna bahgia di sangkar materi melainkan jalur-jalur ilusi
Hanya syaqawah yang pasti,
dalam kemerahan terikat kejap.

Maka, berhijrahlah!
Ke dunia baharu.
Pulanglah ! ke alam asali
seperti dibai'ah aku dan kamu
di hari alastu.

- 15:55 - 20/07/2010 Masihi - 
- Darul Quran Kuala Kubu Bharu -

Ahad, 18 Julai 2010

Kenali Puisi Yang Baik

Dalam karya 'Risalah'nya, yang pembikinannya khas untuk memberi kita penghayatan terhadap punca permasalahan umat Islam era sekarang, Al-Attas ada memfokuskan perihal kesusasteraan lewat salah satu daripada sekalian berma'na perenggan-perenggan karangan itu.

Sebelum itu, mesti maklum, bahawa Al-Attas dalam karangan ini mngungkapkan secara permukaan (bagi beliau) faham-faham atau pun konsep-konsep utama dalam kehidupan manusia dan masyarakat, juga tamadun. 

Maksudnya, faham kesusasteraan adalah sebagian daripada konsep penting yang perlu kita ma'nakan sebaiknya.

Saya mau mencedok dan menitikkan di sini sedikit. Kata beliau :

"Mengenai faham kesusasteraan pula maka pada umumnya kebudayaan Barat membahagi pengertiannya kepada dua bahagian: Yang satu merujuk kepada falsafah perihal rasa seni terhadap keindahan atau kecantikan, ya'ni aesthetics, dan yang satu lagi kepada kandungan ma'nawi mengenai apa yang dimaksudkannya dengan istilah 'kesusasteraan', ya'ni literature. ......... Istilah aesthesis berasal dari bahasa yunani: aisthesis yang berma'na tanggapan pancaindera. Ma'na-dasar ini menerangkan kepada kita pengertian bahawa renungan-renungan terhadap keindahan dan kecantikan dan kesenian itu merupakan hasil tanggapan pancaindera. ....." 

SN Shahnon Ahmad pernah menyinggung dalam sebuah majalah terbitan DBP bahawa sebuah puisi baik mesti mempunyai dua unsur wajib iaitu estetika dan pemikiran. Boleh saja diambil faham daripada penyataan SN ini, puisi seharusnya dipenuhi hak zahir dan batinnya bagi mencapai kesempurnaan makna 'puisi'.

Estetika diwakili oleh rupa empiris puisi, yang mudah ditanggapi oleh emosi tanpa perlu mengerah akal fikir. Termasuk yang berkaitan seperti pemilihan kata dan susunannya bagi merupakan puisi yang puitis. Ya, sebuah puisi dilabel puitis kerana penggunaan kata, dan susunan kata yang baik. Aspek kepuitisan puisi bagi saya memerlukan atau pun bermula dengan daya cipta si pemuisi. Ia juga disebut sebagai sifat kreatif.

Tak salah lagi, ciri estetika ialah apa yang disebut sebagai aesthetics oleh Al-Attas dalam ungkapan di atas, iaitu puisi yang hanya mempunyai ciri estetika (puitis) tanpa pemikiran. Sementara puisi yang dikategorikan sebagai jenis literature merupakan puisi yang memiliki ciri estetik sekaligus pemikiran. inilah puisi yang baik seperti disinggung oleh Shahnon Ahmad.  



dicatatkan dan dimuat gambar:
di pinggir negeri Selangor,
terus melalui kotak posting.

Khamis, 1 Julai 2010

Seuntai Kata Untuk Dirasa : Ulul Albab



Bentangan karya terpamer penuh rahsia
Mistri sungguh!
Tatkala diperjunam ke dasar lubuk lubb
Terpancar sinar tajam 
menusuk tembus ozon rahsia
dan mistri

Ketemu Tuhan, 
kenali tuan.
Melebur dalam api keasyikan.

Di alam karya itu;
Ulul albab menangis, tidak meratap
namun rindu sangat.
Ulul albab merintih pedih,
Ulul albab memanggil-manggil nama tuannya.

"Huw", "Huw", "Huw"
Asyik.
Melebur lagi.

  -Pokok Tai - 23:13 17062010 -