Rabu, 30 Jun 2010

Menanggapi Politik Malaysia 2 : Politik Aksi

Menelusuri alam pemikiran Al-Attas lewat karya tulisnya serta tulisan2 lain yang berkaitan benar2 menyedarkan saya, bahawa umat Islam di kala ini sedang kelelahan dan tenat, laksana seorang tua yang sedang meniti hari-hari akhirnya di pembaringan yang mana orang tua itu pada zaman mudanya gagah berentap di medan. Begitulah tamsilan perbandingan Islam antara zaman dahulu dengan zaman kini. Umat terbaik ini walau masih bernyawa, namun sesak hela nafasnya di celah-celah kegergasian tamadun korup Barat.

Di Gaza umat bersuara kuat, namun bukan suara ria melainkan suara ratap tangis, penuh ketakutan. Umat di sana terus-menerus dibuli bahkan dibinatangkan.

Di Malaysia, sekelompok umat Melayu-Islam sedang kecoh ketawa, berseronok sakan, bukan kerana bersyukur dikurnia nikmat Ilahi tetapi kerana menang pilihanraya!

Ya, menang pilihanraya. Lebih teruk lagi di bumi Melayu, umat Islam sedang dipermainkan dalam ruang lingkup pemikiran politik. Di Malaysia sendiri, kelahiran realpolitik (politik aksi) yang didasari pemikiran pragmatisme-machiavellisme sebagai seorang bayi pada dahulunya, pada awal abad ke-21 ini usianya sudah cukup matang, dan pantas mendominasi pemikiran politik rakyat.

Politik jadi medan kerjaya dan sumber pendapatan lumayan bagi sesetengah politikus terutamanya yang berada di sebelah kerajaan. Politik juga jadi medan menyuburkan semangat negatif sesama manusia, bukan sebagai medan memperjuangkan ideologi parti dan membela kebajikan rakyat.

Saya ada seorang sahabat. Dia orang Jawa. Katanya, ulamak di Indonesia yang menyertai politik tidak akan dihormati oleh masyarakat, dalam kata lain, wibawanya sebagai ulamak terus hilang. Saya fikir kenyataan ini ada rasionalnya, kerana politik kita laksana politik perang. Politik perang? 


Politik perang bermatlamatkan kemenangan, kalau tidak pastilah kalah. Peperangan padat dengan strategi serta helah, malah Islam sendiri membenarkan helah dalam peperangan. Saya ulang, helah dibenarkan dalam peperangan. Jadi dalam politik perang muncul cara fikir “matlamat menghalalkan cara” atau disebut prinsip Machiavelli, iaitu helah (atau tipudaya) dibenarkan demi mencapai matlamat politik yang murni. Inilah yang berlaku di Malaysia. Kesannya, berlaku toleransi (dan pencabulan) yang boleh saja berlebihan terhadap prinsip2 agama. Perkara2 tertentu yang dilarang agama pada asalnya, telah diharuskan, kerana kononnya bagi mencapai matlamat politik.

Ternyata ini satu lagi liberalisme agama yang terjelma daripada politik Malaysia!

Malek Ben Nabi berkata: “pandanganku tentang politik berpijak pada prinsip yang tak pernah berubah-ubah, bahkan semakin kuyakini setiap hari bahawa tak akan tertegak sistem kemasyarakatan melainkan di atas asas akhlak”

Pemikir Algeria ini mengaitrapatkan unsur akhlak dengan politik, malah menilai akhlak sebagai prinsip asas dalam berpolitik, bagi mencapai matlamat suci politik iaitu membentuk sistem kemasyarakatan yang sebenar. Namun akhlak dan nilai2 murni tampak sangat asing dalam amalan politik Malaysia. Isu moral pemuka-pemuka politik dan para penyokong sentiasa ada, lebih-lebih lagi ketika di ambang pilihanraya, termasuklah dalam kalangan parti yang berteraskan agama secara fundamental.

Novel satira politik bertajuk Shit hasil kerja tangan SN Shahnon Ahmad (sasterawan-politikus) suatu ketika pernah menggemparkan negara kerana perkataan2 lucah yang digunakan sehingga diharamkan. Isu rasuah (termasuk rasuah seks) tidak kehabisan, banyak sangat. Isu peribadi korup ahli politik seperti kes Anwar Ibrahim, Elizabeth Wong, dan PM Najib adalah antara contoh paling tepat dalam hal ini.

Sekiranya benar, andai teori Ben Nabi itu tepat, dan secara rasionalnya memang tepat, maka usahlah lami kita bermimpi untuk melihat masyarakat berbilang kaum Malaysia yang berbangsakan 1Malaysia yang bersatupadu!

Malaysia terus kalut dan kecoh dengan peperangan politik. Akhbar2 dipenuhi berita politik. Majalah2 dipenuhi rencana daripada penganalisis politik. Laman forum dan blog di alam maya dipenuhi diskusi awam berkenaan politik. Para kartunis sibuk melukis dan merekacipta kartun menghina peribadi tertentu, dan pembaca pula gelak kuat-kuat menghayatinya.

Umat Islam di Gaza sedang dibuli Israel, umat di Malaysia pula sedang menderita penyakit politik perang (realpolitik). Penyakit politik perang ini lebih kronik daripada penderitaan di Gaza, kerana politik perang merupakan penyakit pemikiran yang sukar diubati sedangkan umat di Gaza hanya mengalami penderitaan fizikal yang berakhir dengan ganjaran besar – sama ada mati syahid atau hidup mulia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan