Khamis, 1 April 2010

Isu Mufti Perak : Melayu Dilanda Krisis Moral

Tempoh hari saya membaca akhbar Harakah. Di ruang surat pembaca, ada satu tajuk yang menarik perhatian : “Mufti Perak Sokong Politik Sekular”. Pengirimnya ialah “Orang Lama Jerangau” dari Dungun, Terengganu. Sebelum itu Harakah turut menyiarkan artikel bertajuk “Mufti Perak Jadi Ejen UMNO” – juga tajuk yang menarik. Orang Lama Jerangau menghantar surat sebagai respons artikel tersebut.

Saya baca kandungan surat itu sampai habis. Saya kurang berpuas hati memandangkan pengirim surat mengaitkan kata-kata yang tidak sesuai dengan seorang ulamak (lagi-lagi seorang mufti). Baca sendiri Harakah edisi Isnin bil. 1524. Pada saya, lidah rasmi PAS itu tidak sepatutnya mengheret sama (malah memburuk-burukkan) seorang mufti ke kancah politik tidak sihat, lagi pula pada tajuk dan isi kandungan kiriman berkenaan terdapat kecelaruan-kecelaruan yang mungkin saja dipertikaikan, bukannya sesuatu yang sabit secara pasti. Jika benar pun, tidak harus bagi kita untuk menggunakan perkataan kesat terhadap seorang ahli ilmu dan juga pendakwah.
 

Isu mufti Perak siapa sangka sampai sekarang masih berlarutan. Saya ingat konflik beliau dengan pemimpin PAS sudah selesai. Milenia Muslim pernah mengisukan konflik ini – dua kali berturut-turut gambar mufti Harussani menjadi penghias muka hadapan majalah. Isu besar?

Dato' Harussani memang sering bertindak balas untuk sebarang isu masyarakat di tanah air termasuk politik. Selain mantan mufti Perlis (yang terkenal kelantangannya itu), beliaulah orangnya yang selalu menjadi sebahagian daripada berita di akhbar dan media lainnya.

Dulu, Dato’ Harussani pernah mendedahkan perihal ratusan ribu orang Melayu murtad. Negara terkejut! Itu isu besar bukan isu main-main, tetapi sejauh mana perhatian masyarakat lebih-lebih lagi golongan penguasa? Sehari dua masuk surat khabar, selepas itu negara bergegar hebat semula dengan isu-isu politik (yang terlalu sempit dan kebudakan). Langsung tenggelam isu murtad !

Kata Dr. M, Melayu mudah lupa. Benar, Melayu mudah lupa (dan leka) kerana terlalu seronok bermain sepanjang masa – permainan politik – seperti bermain bola sepak, mana lah sempat untuk memikirkan hal-hal luar padang kerana setiap pemain perlu menumpukan sepenuh perhatian kepada perlawanan.

Saya sudah kata dalam tulisan sebelum ini, tentang kebebasan ilmiah. Saya kira, isu mufti Perak ini merupakan manifestasi terbaru betapa masyarakat kita – terutama Melayu – sudah semakin “melayu” kebebasan ilmiahnya. Ilmu luhur “terlokap” oleh politik. Maknanya politik berkuasa menentukan segala sesuatu dan pendapat pemuka-pemuka politik “dikanankan”, yang bertentangan “dikirikan”. Politiking? Mungkin juga, malah lebih lagi.

Akibatnya, adab terhadap ulamak kian menghilang, moral kemanusiaan terbinasa. Umat Melayu dilanda krisis moral! 

Sekian.   

2 ulasan:

  1. bila politik mendasari segala hal, inilah jadinya. tiada 'adab' thadap ulama' dan ilmu. yg sedihnya smpai snggup mngatakan junjungan Besar Rasulullah SAW hnya Muhamad kG sbelum d'angkat menjadi Rasulullah..
    Astaghfirullahal'azim

    BalasPadam
  2. kanta.pembesar2 April 2010 6:46 PTG

    hm,
    ilmu itu luas dan bercabang-cabang..
    jutaan cabang.
    jadi perlu kpd kfahaman mgnai "lembaga ilmu" = epistemologi,
    kalu tdk, kita yg bcabang2 pala otak, pning, bngong, sngsara.

    BalasPadam