Jumaat, 30 April 2010

Aku Ingin Jadi Seperti Rendra - Nahh..Ini Bukan Kali Pertama, Bukan Yang Terakhir!

Penghargaan khas untuk Nakula Sadewa (teman yang agak pelik), akhir-akhir ini banyak mendekati Rendra di blog beliau, memutar kembali saat minda saya pernah didominasi Rendra, lalu, timbul ide untuk post kali ini.

Inilah Sang Merak Rendra yang luar biasa

Saya pun ada rasa. Paling penting, ada aqal.

Sedemikian kerana aqal itu di luar sempadan biasa, di atas normal. Kalau tidak, bisa saja binatang menulis sajak, lalu digunanya manusia sebagai metafora! Manusia pula yang menjadi metafora, memang lucu. Itu tidak pernah terjadi dalam sejarah manusia (juga sejarah haiwan), kerana binatang tidak pernah ada aqal melainkan manusia. Dengan aqal, manusia bisa mengarang sajak, dan menjadikan alam sebagai metafora di celahan bait-bait sajak.

Seorang penyair, dia ada rasa juga. Kuat pula. Dinadakan cukup bergaya rasa itu dengan mencipta bait-bait indah. Ia bagi menyampaikan apa yang dijelas oleh aqal, dan terasa di hati.

Setahun dua terkebelakang ini, saya kian dekat dengan persajakan (dan juga sastera). Beberapa faktor sangat kuat mendorong. Panjang cerita. Cukuplah dahulu dengan berkata: kerana saya manusia. Sejak itu, saya banyak mengarang (iaitu menyusun) sajak. Paling mudah dan selalunya, terus menaip di ruang sms di fon.   

DI INDONESIA sana, ada seorang penyair ternama namanya Wahyu Sulaiman Rendra (yang sudah bergelar arwah bermula tahun lepas. semoga dia aman di negeri sana. amin.).

Saya mula kenal Rendra melalui Prof. Dr. Siddiq Fadzil melalui pidato beliau ketika itu di Kedah. W.S. Rendra masyhur dengan syair-syair kritik yang seringkali kontroversial. Pernah di suatu masa beliau mengkritik lantang perihal negara Indonesia, dikatanya belum merdeka. Ditimbang Rendra Indonesia masih belum merdeka kerana sana-sini rakyat tertindas oleh penguasa. Mustadh’afin dibuli. Benar, bebas apa jika begitu rupanya? Sajak Rendra itu memang mencengangkan. Pernah di ketika yang lain, Sang Merak - gelaran bagi arwah - membela golongan yang dibilang amat hina oleh masyarakat, iaitu wanita-wanita sundal, melalui puisi indah beliau. Rendra berupaya melihat sisi putih mereka dan membuka mata masyarakat. Ternyata, beliau menjadi hero kaum itu di Indonesia.

Rendra yang berpikiran menjangkau itu, pada perkiraan saya, benar-benar melihat sekeliling, dan mentafsir alam. Rangkaian puisi beliau bukan bermanja-manja, ia bernada keras, sangat bertenaga. Rendra, dia tidak diam seperti diam orang kuat tidur. Diamnya, diam sang pendeta, sekali bersuara terserlah daya pikir nan bijaksana.        

Saya pun nak jadi macam manusia Rendra, yang meraikan sungguh-sungguh kurnia aqal, rasa hati, dikarang dalam bait cantik-cantik.

Nah.. sajak di bawah ini asli dariku. Ku tajukkannya : Pemerintah Terbalik, Membalikkan Rakyat.

Saya kata, sajak ini ada bau Rendra, bukan sekadar pada rupa puisi beliau (iaitu pada pemilihan kata dan susunan), lebih penting lagi, saya sangat ingin menyemangati sosok peribadi beliau terutamanya pada pikiran kritis dan kependetaannya. Bagi saya, itu yang menyerlahkan keunggulan kepengarangan Rendra. Kendati pun tak setaraf Rendra, namun sajak kali ini memang terinspirasi oleh Rendra. Diizin Tuhan, saya akan terus terinspirasi lagi-lagi. Mana mungkin keterbalikan dibiarkan!

Sajak ini merupakan rasa hati, tanggapan aqalku yang benar, lagi serius, bukan rekaan sekadar bagi memenuhi ruang kantapembesar.blogspot.com, juga bukan hiburan picisan masa senggang. Saya alami sendiri, bukan khayalan yang tidak empirikal ! 

Lalu sekarang ku sampaikan di sini ;

Pemerintah Terbalik, Membalikkan Rakyat.

I
Keldai ditunjukkan kerusi takhta
Bodoh-bodoh dia duduk juga
Tikus, harimau, semacam durja
Tikus enggak mengapa,
Harimau mengaum kecil.

II
Aku teringat,
Bait sakti ahli ilmu dalam pidatonya : “ sia-sia saja membesar-besarkan orang kecil, sebagaimana sia-sia mengkecil-kecilkan orang besar”

III
Keldai mulai bicara, tersangkut-sangkut suara hodohnya
bertambah hodoh, terserlah bodoh.
Tikus mendengar, mengangguk, menurut,
Jadi hamba santun
Harimau mengerut, mendengus, menunggu.
Menunggu hari akhir keldai.
Bagi harimau, lawan tetap lawan!
Di hari akhir keldai.
Setakat mana upaya harimau biasa?
Sama saja di hari akhir keldai.
Keldai tetap keldai. Keldai, gantinya keldai juga!

IV
Eksploitasi, oportunis terhadap rakyat non-kritis – majoriti!
Birokrasi selektif!
Prejudis, bias kelompok!
Rakyat diperbodoh, oleh keldai hodoh-bodoh,
Rakyat dipakaikan baju tahanan penjara.
Keldai dikultus, diberhala (oleh keldai-keldai juga)

V
Riak manis, dasar payau.
Tunduk di hadapan, panggung di belakang
Terkadang mempelawa ke meja bulat senyap-senyap.
Ahh.. Tetap sama. Keldai juga! Bahasa keldai juga!

VI
Usah jadi manusia juling
Memandang sayup orde lama Indonesia yang diejek keparat
Di sini sudah ada, keparat juga!
Demokrasi lancung, tidak konstitusional walau berwajah itu
Demokrasi baharu kata mu?
Namakan saja demokrasi basi,
Macam nasi basi yang dibuang orang.

VII
Buat penat saja bersyairan begini?
Selagi nyawa bersarung,
Selagi jasad terkandung wilayah ini,
Aku pantas mencipta alun.
Terima kasih Rendra.
Biar apa orang kata,
Aku kata, alun menenang jiwa ku nan memberontak,
Seorang penghuni wilayah nepotis yang terikat
Tunggulah! Akan ku telanjangkan segala melindung cahaya,
Agar kembali bersinar wilayah suci ini




Isnin, 26 April 2010

Kepada Semua "Ilmuwan Muda", sila baca!

IMAMUNA AS-SYAFIE r.a. merupakan seorang ulamak ulung dunia Islam. Tersohor beliau dalam bidang agama dengan antara sumbangan terbesarnya dalam perkembangan ilmu-ilmu Islam ialah mempelopori disiplin ilmu Usul Fiqh (iaitu ilmu metodologi pengistinbatan hukum). Kitab beliau Ar-Risalah memperkenalkan usul fiqh dalam kerangka yang sistenatik sehingga layak diangkatnya sebagai salah satu disiplin ilmu penting dalam Islam.

Imam Syafie, ilmuwan yang saya yakin benar-benar asli dalam erti kata mengikut jalur keilmuan Islam (Islamic epistemology) yang sebenar. Ini boleh kita lihat pada pengiktirafan kelompok besar umat lebih-lebih lagi golongan ilmuan terhadap ‘kebesaran’ beliau. Malah, autoriti al-Imam dalam ilmu Usul membuktikan kedalaman dan kehebatannya dalam bidang pemikiran / falsafah.

Syair-syair as-Syafie yang sangat masyhur kerap kali mengungkapkan perihal ilmu (hakikat) dan penerima ilmu (pentafsir ilmu). Diwan as-Syafie, antara kitab syair beliau. 

Syair yang mengandungi nasihat dan panduan  menyangkut soal ilmu adalah tersangat penting buat barangsiapa yang mempunyai sikap ingin tahu yang kuat, kuat membaca, dan yang katanya telus mencari yang mana satu benar. Terlebih utamanya dan banyak mutakhir ini menjelma dalam kalangan pemuda - yang masih muda pemikirannya, boleh juga ditafsir sebagai kurang tahu persolan ‘ilmu’ sebagai satu subjek yang mulia dan tinggi martabatnya dalam islam.


kuat membaca?

Ulamak-ulamak terdahulu terutamanya di zaman keemasan islam (iaitu 'asr abbasiah) banyak membincangkan epistemologi (faham ilmu) dalam kitab-kitab terkenal mereka.

Ulamak hari ini, yang menyentuh secara mendalam soal penting ini digolongkan sebagai pemikir atau ahli falsafah, justeru itu lebih jauh dan tidak familiar dengan masyarakat awam. Kesannya, soal faham ilmu ini tidak berkembangbiak dalam kalangan kita sebagaimana ilmu-ilmu lain. 

Kata Al-Attas, akar (punca utama) permasalahan umat Islam pada hari ini ialah kekeliruan dalam menanggap ilmu. Kesannya, kelahiran segolongan besar umat yang tidak beradab.

Golongan tak beradab itu memang benar-benar menjelma pada hari ini. Cukup banyak : iaitu - secara umum - orang-orang yang tidak matang dalam berhujah ( yang mengikut emosi), cepat prejudis, cepat mengikut hawa nafsu, terlalu skeptik dengan yang setentang, terlalu taksub dengan yang sebulu.

Lebih berat, golongan high-class yang terlalu yakin dengan pandangan (atau aliran) yang diikuti, walaupun sah berlawanan habis dengan aliran utama tradisi keilmuwan Islan yang didominasi oleh ulamak-ulamak muktabar. Sebagai contoh : golongan anti-hadith, syiah (terutamanya dalam aqidah), dan aliran liberal yang pelbagai cabang itu. 

Rangkaian syair As-Syafie boleh dijadikan panduan berguna. Lebih pragmatis dengan zaman ini, mesti rujuk Prof. Syed Muhammad Naquib Al-Attas. Saya tidak tahu ada manusia lain selain beliau di zaman ini yang membincangkan secara serius soal ini. 

Kepada ulamak akhir zaman, termasuk ulamak politik,
Iintelektual yang dengarnya bijaksana,
Mufti, lantang atau tidak lantang,
Penceramah-penceramah jemputan,

dan yang diraikan,
‘para ilmuwan muda’ bersemangat berapi-api,

Sila fahami terlebih dahulu,

APA ITU ILMU secara mendalam dan halus,

sebelum keluar menemui masyarakat sebagai "ustaz", "mufti", "prof.", "dr." dan lain-lain panggilan hormat kepada orang 'berilmu'. 

kanta.pembesar : "Ilmu itu bukan semudah mencari dalil dan maklumat dalam kitab/buku di perpustakaan, kedudukannya tersangat tinggi dan mulia menandakan kepayahan mencapainya"

Rabu, 21 April 2010

Mengharap Hari Bahagia

dari hati : kanta.pembesar




Di mana bahagia?
Yang mana satu jalan menuju bahagia?
Terjumpa pun, yang mana satu bahagia?

Benar!
Jiwa mengingat Tuhan jiwa bahagia.
Itu firman.

Benar!
Jiwa aku sakit, kuat pula.
Jiwa lali, ketagihan bangkai busuk!
Aqal tak pernah tak menolak
Namun sisi hitamku lebih dominan.
Mengapa?
Diri menjadi lain,
Binatang? Tampaknya.

Benar!
Susah sungguh mengkota kata, mendaulat sabda.

Aku rosak,
Mana ada bahagia.

Antara hari-hari hidupku,
Aku teringin sangat,
Berilah! Ya ALLAH hanya satu hari penuh yang bahagia,
Walau di alam lain.
Biar aku mabuk di sepanjang hari itu.

DQ KKB,
22:14, 17/04/2010M

Jumaat, 16 April 2010

Monolog Aku Sempena Hari Dilahirkan (Hanya Tuhan Bisa Mendengarinya) - Mengingati Hari Alastu


 
Wahai zat hakiki, ALLAH swt tempat menumpang segala zat majazi;

Aku teringat pada ‘hari alastu’ itu, aku telah berjanji dengan Mu
Ketika itu, aku belum berjasmani, belum lahir ke dunia lagi.
Bersama rakan-rakan manusia lain - yang juga masih belum berjasmani - Engkau mengeluarkan kami dari belakang sulbi, meminta persaksian dari setiap kami.
Lantas kami – aku – akur,
langsung bersaksi sebenar-benarnya,
Engkau lah Tuhanku. 

Sungguh, sungguh awal!
aku berbai’ah dengan MU,
awal-awal lagi di alam rohani itu.
Seawal sebelum telingaku mendengar suara syahdu azan abah.
Malah, seawal sebelum tubuhku terbentuk di dalam perut ummi.

Aku telah beragama seawal itu!
Engkau lah Tuhanku.

04:30 petang
15/04/2010
Darul Quran Kuala Kubu Bharu

----------------------------------------------------------------------

Sebenarnya, sebelum manusia berada di dunia ini - di alam roh - setiap daripadanya telah berjanji dan berbai’ah dengan ALLAH swt bahawasanya DIA Tuhan sekalian manusia.

Demikianlah yang berlaku pada ‘hari alastu’, iaitu hari manusia ditanya Tuhan : “alastu birobbikum ?” [terj : bukankah aku Tuhan kamu], dijawabnya manusia : “bala syahidna” [terj : benar (Engkaulah Tuhan kami), kami menjadi saksi].

Peristiwa penting Ini (yang juga dikenal sebagai ‘perjanjian asali’ atau ‘mithaq’) merupakan asas bukti paling kukuh dan awal perihal penghambaan manusia kepada Tuhan, yang menjadi intipati kepada kehidupan beragama. 

Maka, pada hari ini, tinggal lagi bagi ‘manusia berjasmani’ menunaikan janji tersebut dengan mengamalkan agama setulusnya! 


[ide asli : Al-Attas, dengan merujuk ayat di bawah ;]







Selasa, 13 April 2010

Kumpulan Puisi Pertama Faisal Tehrani

sumber : sinaganaga

Baru-baru ini di Pesta Buku Antarabangsa, Faisal Tehrani melancarkan buku kumpulan puisinya yang pertama bertajuk “Ingin Jadi Nasrallah”, menghimpunkan puisi2 cetusan peribadi sepanjang perjalanan beliau mengalami kehidupan, memerhati alam (disusun secara kronologi).

Setidak-tidaknya, buku ini berupaya mencerminkan rasa hati, gaya dan daya fikir Faisal, juga menampakkan sifat kritikal beliau terhadap isu semasa.

Antara yang menarik, puisi “Datang, Aku Datang” ditulis Faisal berdasarkan perasaannya menghayati Mathnawi karya Rumi.

Sesiapa yang ingin mendalami cara-gaya sastera beliau yang sudah terkenal “mendahului batas umur tuan” itu, sila dapatkan satu! (saya sudah beli, seronok baca!).

Klik sini untuk mengenali Faisal Tehrani lanjut.

kanta.pembesar : “Puisi untuk dihayati, didalami maknanya, agar bisa dirasai buah manisnya. Bukan sekadar dibaca seangin lalu" 

Sabtu, 3 April 2010

Melayu Mudah Lupa Apa ?

oleh : kanta.pembesar

[sila klik pada gambar untuk meng'kantapembesar'kan]

"Melayu Mudah Lupa" merupakan sebuah puisi gubahan Tun Mahathir Mohamad dan beliau mengungkapkannya ketika Perhimpunan Agong UMNO pada 2001, juga dijadikan sebagai tajuk ucapan beliau pada hari itu.

Siapa tidak kenal Tun M ? Semua orang tahu cerita kelantangannya memperjuang nasib Melayu, malah cukup setia dengan UMNO sehingga hari ini walaupun banyak kali mengkiritik kepemimpinan parti itu selepas bersara. Selain itu beliau turut terkenal sebagai PM Malaysia yang bijaksana dan berprinsip. Mungkin juga boleh dikatakan sebagai PM yang “keras kepala” lantaran sifat “berprinsip” beliau itu.

Pada minggu lepas, Tun M dianugerahi ‘Bintang Perkasa Malaysia Negara ‘ oleh Presiden Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali. Ini seorang lagi “anak Melayu tulen”.

Aslikah ‘Melayu’ yang diperjuangkan Tun dan Datuk Ibrahim? 

Melayu masa kini dalam survival bangsanya kelihatan masih keliru, tercari-cari identiti baharu walaupun pada hakikatnya identiti bangsa Melayu telah lama terbentuk dan mengakar kuat bersama agama Islam. Sayangnya sebatian Melayu-Islam itu mulai memisah dari tahun ke tahun. Ini menyebabkan kemunduran Melayu dalam pelbagai aspek. Bangsa lain mulai berani membuat tuntutan yang lebih-lebih, ketuanan Melayu semacam dipandang sebelah mata. Hilang sudah kegahan bangsa Melayu.

Itulah akibatnya apabila Melayu dan Islam didikotomikan (dipisahkan). Nasib baiklah Perlembagaan Persekutuan meletakkan Melayu sebagai tuan di negara ini, kalau tidak entah apa pula nasib bangsa ini.

Tun dan Datuk Ibrahim perlu menggali semula warisan peninggalan tamadun Melayu-Islam era pra kedatangan Portugis 1511, yang diakuri oleh sejarah sebagai fasa ketamadunan dan kemasyarakatan yang terbaik sepanjang perjalanan hayat bangsa Melayu.

Alangkah baiknya jika pejuang lantang seperti Tun dan Datuk Ibrahim menyedari dan menghayati hakikat ini lantas mengagendakannya secara serius dalam UMNO dan Perkasa.

Puisi Tun M sepatutnya menyedarkan umat Melayu betapa kita merupakan bangsa kuat dan digeruni ketika suatu masa dahulu sekaligus mengaitkan Islam sebagai kuncinya. Mungkin begini jadinya puisi beliau (saya tidak sehebat dan sepuitis Tun) :

Melayu mudah lupa
Melayu mudah lupa
Melayu mudah lupa
Dulu bangsanya diangkat
Melayu mudah lupa
Dulu bangsanya hebat
Melayu mudah lupa
Dulu bangsanya cepat
Melayu mudah lupa
Dulu bangsanya tepat
Melayu mudah lupa
Dulu bangsanya kelas satu
Melayu mudah lupa
Dulu bangsanya di atas sana
Melayu mudah lupa
Dulu bangsanya melata
Melayu mudah lupa
Dulu bangsanya berjaya
Melayu mudah lupa
Dulu bangsanya gergasi
Melayu mudah lupa
Dulu bangsanya bejiwa besi
Melayu mudah lupa
Tiada agama
Tiada maruah
Tiada moral
Melayu mudah lupa
Melayu mudah lupa
Melayu mudah lupa
Sejarah bangsanya yang perkasa
Tanah lahirnya yang berdarah islamiyah
Ingatlah, Ingatlah, Ingatlah
Wahai bangsaku
Jangan mudah lupa lagi
Kerana perjuanganmu belum selesai

Khamis, 1 April 2010

Isu Mufti Perak : Melayu Dilanda Krisis Moral

Tempoh hari saya membaca akhbar Harakah. Di ruang surat pembaca, ada satu tajuk yang menarik perhatian : “Mufti Perak Sokong Politik Sekular”. Pengirimnya ialah “Orang Lama Jerangau” dari Dungun, Terengganu. Sebelum itu Harakah turut menyiarkan artikel bertajuk “Mufti Perak Jadi Ejen UMNO” – juga tajuk yang menarik. Orang Lama Jerangau menghantar surat sebagai respons artikel tersebut.

Saya baca kandungan surat itu sampai habis. Saya kurang berpuas hati memandangkan pengirim surat mengaitkan kata-kata yang tidak sesuai dengan seorang ulamak (lagi-lagi seorang mufti). Baca sendiri Harakah edisi Isnin bil. 1524. Pada saya, lidah rasmi PAS itu tidak sepatutnya mengheret sama (malah memburuk-burukkan) seorang mufti ke kancah politik tidak sihat, lagi pula pada tajuk dan isi kandungan kiriman berkenaan terdapat kecelaruan-kecelaruan yang mungkin saja dipertikaikan, bukannya sesuatu yang sabit secara pasti. Jika benar pun, tidak harus bagi kita untuk menggunakan perkataan kesat terhadap seorang ahli ilmu dan juga pendakwah.
 

Isu mufti Perak siapa sangka sampai sekarang masih berlarutan. Saya ingat konflik beliau dengan pemimpin PAS sudah selesai. Milenia Muslim pernah mengisukan konflik ini – dua kali berturut-turut gambar mufti Harussani menjadi penghias muka hadapan majalah. Isu besar?

Dato' Harussani memang sering bertindak balas untuk sebarang isu masyarakat di tanah air termasuk politik. Selain mantan mufti Perlis (yang terkenal kelantangannya itu), beliaulah orangnya yang selalu menjadi sebahagian daripada berita di akhbar dan media lainnya.

Dulu, Dato’ Harussani pernah mendedahkan perihal ratusan ribu orang Melayu murtad. Negara terkejut! Itu isu besar bukan isu main-main, tetapi sejauh mana perhatian masyarakat lebih-lebih lagi golongan penguasa? Sehari dua masuk surat khabar, selepas itu negara bergegar hebat semula dengan isu-isu politik (yang terlalu sempit dan kebudakan). Langsung tenggelam isu murtad !

Kata Dr. M, Melayu mudah lupa. Benar, Melayu mudah lupa (dan leka) kerana terlalu seronok bermain sepanjang masa – permainan politik – seperti bermain bola sepak, mana lah sempat untuk memikirkan hal-hal luar padang kerana setiap pemain perlu menumpukan sepenuh perhatian kepada perlawanan.

Saya sudah kata dalam tulisan sebelum ini, tentang kebebasan ilmiah. Saya kira, isu mufti Perak ini merupakan manifestasi terbaru betapa masyarakat kita – terutama Melayu – sudah semakin “melayu” kebebasan ilmiahnya. Ilmu luhur “terlokap” oleh politik. Maknanya politik berkuasa menentukan segala sesuatu dan pendapat pemuka-pemuka politik “dikanankan”, yang bertentangan “dikirikan”. Politiking? Mungkin juga, malah lebih lagi.

Akibatnya, adab terhadap ulamak kian menghilang, moral kemanusiaan terbinasa. Umat Melayu dilanda krisis moral! 

Sekian.