Rabu, 31 Mac 2010

Permainan Pemikiran Barat Menggugat

oleh : kanta.pembesar

Amerika Syarikat dan negara-negara bersekutu selainnya mengembeleng dan mencambahkan sungguh-sungguh warisan pengetahuan dan pemikiran orang-orang tua mereka – terutama pada abad pencerahan – sehinggalah ke hari ini mengakibatkan hasil terbaik buat Barat, mereka menguasai dunia sebagai the dominant world power yang tiada tergugat barang siapa pun lagi secara eksklusif dalam sektor-sektor penting seperti ekonomi (meskipun  mutakhir ini semacam merudum angkara Bush), keselamatan antarabangsa, pertahanan serta ketenteraan, pendidikan dan perhubungan (termasuk media dan hiburan).

Dengan kekuatan zahir dan batin yang ada itu, hadir sudah upaya bagi Barat untuk mempengaruhi masyarakat antarabangsa keseluruhannya. Dunia abad ke-21 sedang menyaksikan permainan pemikiran yang hebat amat. Prof. Dr. Yusuf Al-Qardawi dalam huraian ilmiahnya menggunakan rangkai kata “perang pemikiran”, bahasa arabnya ialah “ghozwatul fikr” bagi menggambarkan situasi kebudayaan global ini.

Permainan pemikiran ini sesungguhnya Barat menjadi tuan rumahnya. Tanpa menghulurkan kad jemputan pun, umat Islamlah sasarannya dan kita telah sekian lama masuk ke gelanggang mereka – ketika ini sedang asyik-masyuk mengikut rentak permainan tanpa sedar secara perlahan-lahan mulai meniru tatacara mereka (pemakaian, tutur bicara, dan segala yang zahir). Golongan berpelajaran tinggi lantaran status minda elitnya mulai mengagung-agungkan gaya pendidikan sekular yang dibidani kelahirannya itu oleh metodologi ilmiah Barat, iaitu falsafah kaedah memperoleh pengetahuan yang jelas menolak unsur-unsur mistik termasuk daripadanya aqidah mentauhidkan ALLAH ta’ala.

Ironinya kita masih asyik dalam permainan culas Barat itu. Segolongan umat Melayu sambil menampakkan segala kebengongan yang ada dengan gahnya berkata ;

“aku hanya pakai baju macam orang putih, aku bukan berfikir macam mereka. Aku pun tahu agama.. Aku pandai speaking, kamu apa tahu?”

Golongan ini sebenarnya ditimpa penyakit silau tahap serius akan kemegahan Barat. Siang malam berdikir menyebut-nyebut nama Barat. Padahal mereka tidak sedar bahawasanya Barat hanya memandang kaum Timur sebagai The West Burden! Penyakit “mengagumi musuh sendiri” ini merupakan kejayaan awal Barat dalam permainan pemikiran ciptaan mereka. Para pemikir sekaligus perancang strategi permainan sedang sabar menanti seluruh umat Muhammad hancur langsung aqidah mereka, malah mengaibkan agama Islam sendiri sebagai matlamat akhir permainan itu!

Di rantau Melayu, sekarang ini bukankah sudah wujud Jaringan Islam Liberal (Indonesia), iaitu sebuah kumpulan yang mempunyai organisasi tersusun dan rangkaian? Negara kita turut berpotensi besar dengan orang-orang “keliru” antaranya seperti Amina Wadud (pensyarah di UIA), wanita malang ini mempelopori tafsir al-Quran dengan mengangkat wacana feminisme yang jelas bertentangan habis dengan mainstream ilmu tafsir dalam Islam. Puak feminisme ini sangat bertenaga dengan jaringan perhubungan yang tidak kecil saiznya di dalam dan luar negara. Mereka menghasilkan tulisan ilmiah dalam kuantiti besar dan aktif bergerak sambil mendesak autoriti. Itu hanya satu aliran pemikiran (iaitu feminisme) diketengahkan di sini. Terdapat pelbagai lagi aliran yang berkembang gagah bagi mencabut akar tunjang Islam yang asli.

Segolongan akademik beraksi kononnya menguasai ilmu-ilmu Islam yang murni sifatnya, sebenarnya keliru dalam menanggap hakikat ilmu dalam Islam. Amina Wadud dan pemuka-pemuka liberalisme Islam seangkatan dengannya jelas sudah “terkena teruk” dalam permainan pemikiran anjuran Barat yang masih berterusan ligat mengenakan dan mengkader mangsa-mangsa seterusnya sebagai wakil mereka dalam kalangan umat Islam.

Dunia sedang ternanti-nanti apa pula perkembangan permainan ini. Umat Islam kian lama kian longgar cengkaman akar keislamannya (dan ke”melayu”annya) lalu kita tergerak ke sana, meliuk ke sini mengikut arah angin Barat yang sekular bawaannya itu. 

Tulisan ini sebenarnya cuba menimbulkan kesedaran yang “sekonyong-konyongnya” kepada pengaku-pengaku Melayu-Islam terhadap ancaman musuh (Barat) yang sangat merbahaya, dilakukan secara cukup halus dan teliti perancangannya – iaitu melalui penguasaan pemikiran – dengan masih belum menghurai dan menghubungkaitkan lebih sempurna bermacam-macam dimensi lagi bagi menunjukkan fenomena ini, selain antara yang pentingnya ialah sebab utama umat Islam (khususnya Melayu) terlalu mudah mengikut rentak pemainan lalu terperangkap. 

Buat sahabat-sahabat, mari sama-sama kita fahami dan biasakan diri dengan istilah-istilah penting seperti “sekular”, “liberal”, “feminisme”, “pemikiran” dan “falsafah”. Pada saya, ini ialah tuntutan zaman sekarang.

"Sunyi sepi si pencari tahu lebih baik daripada lantang suara si pemidato mengarut"

Tiada ulasan:

Catat Ulasan