Isnin, 22 Mac 2010

Menanggapi Politik Malaysia

oleh : kantapembesar


Negara demokrasi : Kuasa penentu di tangan rakyat

Malaysia, sistem politiknya ialah sistem demokrasi berparlimen dan apa yang lebih menonjol ialah politik kepartian dan politik pilihanraya (electial politic). Sistem demokrasi berparlimen mengiktiraf hak rakyat (yang berkelayakan) untuk bebas memilih calon atau parti bagi mewakili mereka di parlimen. Oleh itu, dalam pengamalan demokrasi rakyat menjadi faktor penentu justeru kerajaan yang terbina ialah kerajaan yang dipilih rakyat terbanyak.

Mudah sahaja kuncinya : menangi hati rakyat jika mahu menang dalam pilihanraya.

Setiap empat atau lima tahun, sekali pilihanraya diadakan demi menzahirkan pengamalan politik demokrasi. Pilih calon atau pilih parti – itu hal sekunder. Yang pastinya, rakyat ialah pemilih dan rakyat Malaysia telah pun membuktikan “power memilih” mereka sekaligus menafi tanggapan bahawa orang Melayu umumnya taksub terhadap BN apabila PRU 2008 menjadi saksinya. Mana mungkin kerajaan perasuah besar diakuri. Terlalu jelas amalan sumbang itu (banyak sangat) sehingga pemimpin BN sendiri terpaksa mengiyakannya di media.

Bak pepatah menyebut : Najis gajah mana bisa ditutup dengan nyiru!

Ternyata Anwar Ibrahim benar. Beliau pernah berkata sebaik dibebaskan dari penjara bahawa isu rasuah merupakan faktor terbesar beliau berselisih dengan UMNO.

Lega. Kesimpulannya, rakyat Malaysia merupakan pemilih yang masih mempunyai sifat cerewet. Umpama seorang pengguna barangan – meneliti barang sebelum membeli.

Pada PRU 1999, BN sedikit tergugat apabila Terengganu berjaya dirampas oleh BA dan ada negeri yang hampir-hampir jatuh kepada pembangkang. Itu hasil gelombang reformasi DSAI. Rakyat marah dengan Mahathir dan BN. Pada PRU 2004, Pak Lah yang baharu memegang tampuk kuasa (mengganti Mahathir) dilihat benar-benar menjadi PM harapan rakyat apabila menang besar serta berjaya merampas semula Terengganu. Pola turun-naik (tidak menentu) graf polariti rakyat ini berterusan pada PRU 2008. Kali ini PR mendapat sokongan luar biasa rakyat sehingga berjaya menafikan majoriti dua per tiga BN di parlimen.

Pendeknya, rakyat mempunyai kuasa untuk memilih mana-mana calon dan parti yang disenangi mereka justeru pengamalan politik cara demokrasi.

Kepincangan demokrasi menurut Dr. Hassan Ahmad

Dr. Hassan Ahmad (bekas ketua pengarah DBP) baru-baru ini menulis tentang kegagalan demokrasi di Malaysia. Beliau memajukan pendapat bahawa kerajaan yang terbentuk ialah kerajaan pilihan kelompok majoriti maka kerajaan itu hanya akan menyantuni masyarakat majoriti tersebut.

Sebagai contoh, rakyat di kawasan DUN tertentu telah memilih pembangkang sebagai ADUN (kelompok minoriti). Akibatnya, rakyat kawasan tersebut tidak akan mendapat layanan sewajarnya daripada kerajaan.

Lebih lanjut, Dr. Hassan menyinggung mengenai kecelaruan yang berlaku dalam menanggapi idealisme kepemimpinan di mana kerajaan sekarang pada hakikatnya tidak “memimpin” rakyat tetapi “memerintah” rakyat sebagai sebab kegagalan demokrasi di negara kita.

Politik demokrasi Malaysia masa kini

Saya dalam usaha untuk memahami politik sebagai salah satu cabang penting ilmu sains sosial, yang sekarang ini saya masih di peringkat pengantar! Di samping itu perkembangan (mungkin lebih sesuai – kekalutan) politik tanah air, saya turut mengikutinya penuh minat kerana ada sahaja isu panas timbul!

Berterusan kacau-bilau – inilah citra paling sesuai untuk politik kita.

Perkembangan terkini : trend lompat parti (keluar dari parti sendiri) semakin melazim sehingga calon bebas parti boleh membentuk sebuah pasukan di parlimen. Ini satu senario baharu dalam politik Malaysia.

Barangkali kelompok ini boleh membentuk pakatan baharu dan diketuai oleh Ibrahim Ali selaku wakil rakyat bebas parti yang nampak paling berwibawa.

Sinar Harian (17/3/2010) membuat tinjauan umum : wakil-wakil rakyat bebas akan menyokong siapa di parlimen, BN atau PR? Jawab sendiri.

Saya lebih suka menjadi independent political person, iaitu individu yang menilai politik tanpa terikat secara langsung dengan politik dan tidak memihak total mana-mana parti kerana apabila berparti, pandangan seseorang itu sudah tidak bebas, berlaku bias dan keadaan bebas ilmiah susah tercapai. Keadaan politik Malaysia semasa lebih-lebih lagi menuntut cara-gaya ini.

Di Malaysia, politik kepartian dan pilihanraya lebih terserlah berbanding politik kemasyarakatan yang murni sifatnya sedangkan politik kepartian lebih mereflekkan ciri pertentangan dan perseteruan. Jangan harap berlaku sebarang win-win situation, rundingan damai dan seumpamanya.

Seronok membaca karya terakhir allahyarham Rustam A. Sani, penulis politik yang telah mendalami ilmu sosiologi dan banyak menulis dalam akhbar pembangkang selepas peristiwa reformasi. Beliau merupakan anak sulung almarhum Ahmad Boestaman.

Saya quote sejuzuk daripadanya - tentang persengketaan sesama ahli politik:

“perbalahan itu biasanya bermula dengan niat untuk menjatuhkan (atau menggantikan) seseorang yang sedang berkuasa, dan orang berkuasa itu pula akan berusaha untuk mempertahankan dirinya dan kedudukannya.”

Kendatipun negara kita mempunyai Perlembagaan Persekutuan (yang seharusnya dihayati semua), Melayu hanya sedar dan “menggunakan” keistimewaan hak milik kekal itu ketika situasi menggugat ketuanannya, contohnya ketika timbul isu-isu seperti PPSMI (perkara 152) dan institusi raja tidak dihormati (perkara 32-37) dan tentu sekali – sepertimana kata almarhum Rustam – pejuang isu-isu sensitif (politikus) ini mendahuluinya dengan niat untuk menjatuhkan penguasa!

BN dan PR umpama pepatah popular dan catchy : “bagai anjing dan kucing” dan kedua-duanya terus beraksi lincah di parlimen dan dewan rakyat setiap kali sesi persidangan.

Semua rakyat tahu apa yang berlaku di parlimen kerana kerap disiarkan di media. Rakyat boleh menyaksikan sendiri wakil-wakil kesayangan mereka bersidang. Pasca PRU 2008, banyak sekali episod persidangan dewan yang ‘amat menarik’, dan sesuai dijadikan hiburan picisan seiring dengan perkembangan plot kisah politik tanah air yang juga membuatkan kita tertarik untuk mengikutinya dengan episod terbaru bertajuk : YB Bayan Baru Dedah Tembelang Ketua Pembangkang. Menarik kan tajuk ini? Macam siri drama pula!

Benar. Politik Malaysia sudah jadi bahan hiburan. Surat khabar – samada pro kerajaan atau pro pembangkang - menjadi medan perbalahan kata. Hari ini pemimpin UMNO mengecam pemimpin PAS. Esoknya pemimpin PAS yang kena kecam menempelak balas. Begitulah selanjutnya sehinggalah timbul isu baharu.

Pandangan lintas

Sebagaimana sains dalam sistem pendidikan negara yang dicelup secara hormat dari tradisi keilmuan Barat - pada hari ini semakin menjelaskan ke”tahafut”annya pada Melayu - nampaknya politik Malaysia juga mesti dimaknai semula, dengan pemikiran kenegaraan dan kepemimpinan versi wahyu samawi terakhir selain perlu juga mengambil pelajaran daripada Kesultanan Melayu di Melaka dan kerajaan-kerajaan Melayu lama selainnya supaya dengan itu berdirinya sebuah negara bangsa Malaysia yang benar-benar mencerminkan rupa dan substansi Perlembagaan Persekutuan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan