Rabu, 31 Mac 2010

Permainan Pemikiran Barat Menggugat

oleh : kanta.pembesar

Amerika Syarikat dan negara-negara bersekutu selainnya mengembeleng dan mencambahkan sungguh-sungguh warisan pengetahuan dan pemikiran orang-orang tua mereka – terutama pada abad pencerahan – sehinggalah ke hari ini mengakibatkan hasil terbaik buat Barat, mereka menguasai dunia sebagai the dominant world power yang tiada tergugat barang siapa pun lagi secara eksklusif dalam sektor-sektor penting seperti ekonomi (meskipun  mutakhir ini semacam merudum angkara Bush), keselamatan antarabangsa, pertahanan serta ketenteraan, pendidikan dan perhubungan (termasuk media dan hiburan).

Dengan kekuatan zahir dan batin yang ada itu, hadir sudah upaya bagi Barat untuk mempengaruhi masyarakat antarabangsa keseluruhannya. Dunia abad ke-21 sedang menyaksikan permainan pemikiran yang hebat amat. Prof. Dr. Yusuf Al-Qardawi dalam huraian ilmiahnya menggunakan rangkai kata “perang pemikiran”, bahasa arabnya ialah “ghozwatul fikr” bagi menggambarkan situasi kebudayaan global ini.

Permainan pemikiran ini sesungguhnya Barat menjadi tuan rumahnya. Tanpa menghulurkan kad jemputan pun, umat Islamlah sasarannya dan kita telah sekian lama masuk ke gelanggang mereka – ketika ini sedang asyik-masyuk mengikut rentak permainan tanpa sedar secara perlahan-lahan mulai meniru tatacara mereka (pemakaian, tutur bicara, dan segala yang zahir). Golongan berpelajaran tinggi lantaran status minda elitnya mulai mengagung-agungkan gaya pendidikan sekular yang dibidani kelahirannya itu oleh metodologi ilmiah Barat, iaitu falsafah kaedah memperoleh pengetahuan yang jelas menolak unsur-unsur mistik termasuk daripadanya aqidah mentauhidkan ALLAH ta’ala.

Ironinya kita masih asyik dalam permainan culas Barat itu. Segolongan umat Melayu sambil menampakkan segala kebengongan yang ada dengan gahnya berkata ;

“aku hanya pakai baju macam orang putih, aku bukan berfikir macam mereka. Aku pun tahu agama.. Aku pandai speaking, kamu apa tahu?”

Golongan ini sebenarnya ditimpa penyakit silau tahap serius akan kemegahan Barat. Siang malam berdikir menyebut-nyebut nama Barat. Padahal mereka tidak sedar bahawasanya Barat hanya memandang kaum Timur sebagai The West Burden! Penyakit “mengagumi musuh sendiri” ini merupakan kejayaan awal Barat dalam permainan pemikiran ciptaan mereka. Para pemikir sekaligus perancang strategi permainan sedang sabar menanti seluruh umat Muhammad hancur langsung aqidah mereka, malah mengaibkan agama Islam sendiri sebagai matlamat akhir permainan itu!

Di rantau Melayu, sekarang ini bukankah sudah wujud Jaringan Islam Liberal (Indonesia), iaitu sebuah kumpulan yang mempunyai organisasi tersusun dan rangkaian? Negara kita turut berpotensi besar dengan orang-orang “keliru” antaranya seperti Amina Wadud (pensyarah di UIA), wanita malang ini mempelopori tafsir al-Quran dengan mengangkat wacana feminisme yang jelas bertentangan habis dengan mainstream ilmu tafsir dalam Islam. Puak feminisme ini sangat bertenaga dengan jaringan perhubungan yang tidak kecil saiznya di dalam dan luar negara. Mereka menghasilkan tulisan ilmiah dalam kuantiti besar dan aktif bergerak sambil mendesak autoriti. Itu hanya satu aliran pemikiran (iaitu feminisme) diketengahkan di sini. Terdapat pelbagai lagi aliran yang berkembang gagah bagi mencabut akar tunjang Islam yang asli.

Segolongan akademik beraksi kononnya menguasai ilmu-ilmu Islam yang murni sifatnya, sebenarnya keliru dalam menanggap hakikat ilmu dalam Islam. Amina Wadud dan pemuka-pemuka liberalisme Islam seangkatan dengannya jelas sudah “terkena teruk” dalam permainan pemikiran anjuran Barat yang masih berterusan ligat mengenakan dan mengkader mangsa-mangsa seterusnya sebagai wakil mereka dalam kalangan umat Islam.

Dunia sedang ternanti-nanti apa pula perkembangan permainan ini. Umat Islam kian lama kian longgar cengkaman akar keislamannya (dan ke”melayu”annya) lalu kita tergerak ke sana, meliuk ke sini mengikut arah angin Barat yang sekular bawaannya itu. 

Tulisan ini sebenarnya cuba menimbulkan kesedaran yang “sekonyong-konyongnya” kepada pengaku-pengaku Melayu-Islam terhadap ancaman musuh (Barat) yang sangat merbahaya, dilakukan secara cukup halus dan teliti perancangannya – iaitu melalui penguasaan pemikiran – dengan masih belum menghurai dan menghubungkaitkan lebih sempurna bermacam-macam dimensi lagi bagi menunjukkan fenomena ini, selain antara yang pentingnya ialah sebab utama umat Islam (khususnya Melayu) terlalu mudah mengikut rentak pemainan lalu terperangkap. 

Buat sahabat-sahabat, mari sama-sama kita fahami dan biasakan diri dengan istilah-istilah penting seperti “sekular”, “liberal”, “feminisme”, “pemikiran” dan “falsafah”. Pada saya, ini ialah tuntutan zaman sekarang.

"Sunyi sepi si pencari tahu lebih baik daripada lantang suara si pemidato mengarut"

Selasa, 23 Mac 2010

Kebebasan Ilmiah Cara Anwar Ibrahim



Lama dahulu Anwar Ibrahim pernah menulis sebuah karya bertajuk “Gelombang Kebangkitan Asia” versi Bahasa Inggerisnya “The Renaissance of Asia”. Mungkin buku itu menjadi karya monumental beliau sehingga ke akhir hayat memandangkan beliau lebih berperan sebagai aktivis-intelektual berbanding pure intelektual dan terlibat secara langsung dalam politik tanah air yang terkenal sentiasa kelam-kabut. Bukan salah siapa, itu cara perjuangan pilihan beliau.

Antara lain, katanya dalam buku tersebut (lebih kurang) :

“Kebebasan ilmiah harus dicapai dalam konteks masyarakat bertamadun”.
Jujur, saya begitu terkesan dengan ide ini. Saya juga pernah menerima satu lagi ide mengesankan yang rasanya membawa konotasi sama (pada segi tertentu) seperti diketengahkan Anwar iaitu : pemikiran bebas, hasil pembacaan edisi terjemahan karya Malek Bennabi bertajuk “Krisis Intelektual Muslim”.

Memang. Anwar Ibrahim berhak memegang status pemimpin Malaysia abad ini yang paling berwibawa – dari banyak segi – kerana ketajaman pikirannya dan keluasan pengetahuannya, diakui kawan dan musuh.

Hari ini Anwar Ibrahim bergelar Ketua Umum Pakatan Rakyat. Sekarang beliau bukan sekadar memihak terus kepada parti pembangkang, malah mengetuai pakatan di Parlimen Malaysia selaku ketua pembangkang.

Malaysia dalam situasi kemajmukan masyarakatnya mengamalkan politik demokrasi. Dalam konteks Malaysia, ia membuahkan dua front politik yang saling bersaing iaitu BN dan PR bahkan saling menjatuhkan. Masyarakat juga terhambat sama lalu terbentuklah dua kumpulan utama yang bertentangan. Ketika pilihanraya, dua kumpulan tersebut lebih-lebih lagi menzahirkan bentuknya.

Politik stail “versus” sedemikian rupa sebenarnya menyekat kebebasan ilmiah, lebih teruk daripada itu membantutkan perkembangan budaya ilmu “bebas”, luhur dan telus dalam kalangan masyarakat. Hal ini disebabkan pemikiran yang tidak bebas menerawang (kerana disekat politik sempit), pandangan yang didahului dengan prejudis, serta hujah untuk memenangkan parti sendiri, menjatuhkan parti lawan!

Lalu bagaimana pula langkah Anwar Ibrahim untuk menterjemahkan “kebebasan ilmiah” beliau itu dalam negara demokrasi sebegini?

Isnin, 22 Mac 2010

Menanggapi Politik Malaysia

oleh : kantapembesar


Negara demokrasi : Kuasa penentu di tangan rakyat

Malaysia, sistem politiknya ialah sistem demokrasi berparlimen dan apa yang lebih menonjol ialah politik kepartian dan politik pilihanraya (electial politic). Sistem demokrasi berparlimen mengiktiraf hak rakyat (yang berkelayakan) untuk bebas memilih calon atau parti bagi mewakili mereka di parlimen. Oleh itu, dalam pengamalan demokrasi rakyat menjadi faktor penentu justeru kerajaan yang terbina ialah kerajaan yang dipilih rakyat terbanyak.

Mudah sahaja kuncinya : menangi hati rakyat jika mahu menang dalam pilihanraya.

Setiap empat atau lima tahun, sekali pilihanraya diadakan demi menzahirkan pengamalan politik demokrasi. Pilih calon atau pilih parti – itu hal sekunder. Yang pastinya, rakyat ialah pemilih dan rakyat Malaysia telah pun membuktikan “power memilih” mereka sekaligus menafi tanggapan bahawa orang Melayu umumnya taksub terhadap BN apabila PRU 2008 menjadi saksinya. Mana mungkin kerajaan perasuah besar diakuri. Terlalu jelas amalan sumbang itu (banyak sangat) sehingga pemimpin BN sendiri terpaksa mengiyakannya di media.

Bak pepatah menyebut : Najis gajah mana bisa ditutup dengan nyiru!

Ternyata Anwar Ibrahim benar. Beliau pernah berkata sebaik dibebaskan dari penjara bahawa isu rasuah merupakan faktor terbesar beliau berselisih dengan UMNO.

Lega. Kesimpulannya, rakyat Malaysia merupakan pemilih yang masih mempunyai sifat cerewet. Umpama seorang pengguna barangan – meneliti barang sebelum membeli.

Pada PRU 1999, BN sedikit tergugat apabila Terengganu berjaya dirampas oleh BA dan ada negeri yang hampir-hampir jatuh kepada pembangkang. Itu hasil gelombang reformasi DSAI. Rakyat marah dengan Mahathir dan BN. Pada PRU 2004, Pak Lah yang baharu memegang tampuk kuasa (mengganti Mahathir) dilihat benar-benar menjadi PM harapan rakyat apabila menang besar serta berjaya merampas semula Terengganu. Pola turun-naik (tidak menentu) graf polariti rakyat ini berterusan pada PRU 2008. Kali ini PR mendapat sokongan luar biasa rakyat sehingga berjaya menafikan majoriti dua per tiga BN di parlimen.

Pendeknya, rakyat mempunyai kuasa untuk memilih mana-mana calon dan parti yang disenangi mereka justeru pengamalan politik cara demokrasi.

Kepincangan demokrasi menurut Dr. Hassan Ahmad

Dr. Hassan Ahmad (bekas ketua pengarah DBP) baru-baru ini menulis tentang kegagalan demokrasi di Malaysia. Beliau memajukan pendapat bahawa kerajaan yang terbentuk ialah kerajaan pilihan kelompok majoriti maka kerajaan itu hanya akan menyantuni masyarakat majoriti tersebut.

Sebagai contoh, rakyat di kawasan DUN tertentu telah memilih pembangkang sebagai ADUN (kelompok minoriti). Akibatnya, rakyat kawasan tersebut tidak akan mendapat layanan sewajarnya daripada kerajaan.

Lebih lanjut, Dr. Hassan menyinggung mengenai kecelaruan yang berlaku dalam menanggapi idealisme kepemimpinan di mana kerajaan sekarang pada hakikatnya tidak “memimpin” rakyat tetapi “memerintah” rakyat sebagai sebab kegagalan demokrasi di negara kita.

Politik demokrasi Malaysia masa kini

Saya dalam usaha untuk memahami politik sebagai salah satu cabang penting ilmu sains sosial, yang sekarang ini saya masih di peringkat pengantar! Di samping itu perkembangan (mungkin lebih sesuai – kekalutan) politik tanah air, saya turut mengikutinya penuh minat kerana ada sahaja isu panas timbul!

Berterusan kacau-bilau – inilah citra paling sesuai untuk politik kita.

Perkembangan terkini : trend lompat parti (keluar dari parti sendiri) semakin melazim sehingga calon bebas parti boleh membentuk sebuah pasukan di parlimen. Ini satu senario baharu dalam politik Malaysia.

Barangkali kelompok ini boleh membentuk pakatan baharu dan diketuai oleh Ibrahim Ali selaku wakil rakyat bebas parti yang nampak paling berwibawa.

Sinar Harian (17/3/2010) membuat tinjauan umum : wakil-wakil rakyat bebas akan menyokong siapa di parlimen, BN atau PR? Jawab sendiri.

Saya lebih suka menjadi independent political person, iaitu individu yang menilai politik tanpa terikat secara langsung dengan politik dan tidak memihak total mana-mana parti kerana apabila berparti, pandangan seseorang itu sudah tidak bebas, berlaku bias dan keadaan bebas ilmiah susah tercapai. Keadaan politik Malaysia semasa lebih-lebih lagi menuntut cara-gaya ini.

Di Malaysia, politik kepartian dan pilihanraya lebih terserlah berbanding politik kemasyarakatan yang murni sifatnya sedangkan politik kepartian lebih mereflekkan ciri pertentangan dan perseteruan. Jangan harap berlaku sebarang win-win situation, rundingan damai dan seumpamanya.

Seronok membaca karya terakhir allahyarham Rustam A. Sani, penulis politik yang telah mendalami ilmu sosiologi dan banyak menulis dalam akhbar pembangkang selepas peristiwa reformasi. Beliau merupakan anak sulung almarhum Ahmad Boestaman.

Saya quote sejuzuk daripadanya - tentang persengketaan sesama ahli politik:

“perbalahan itu biasanya bermula dengan niat untuk menjatuhkan (atau menggantikan) seseorang yang sedang berkuasa, dan orang berkuasa itu pula akan berusaha untuk mempertahankan dirinya dan kedudukannya.”

Kendatipun negara kita mempunyai Perlembagaan Persekutuan (yang seharusnya dihayati semua), Melayu hanya sedar dan “menggunakan” keistimewaan hak milik kekal itu ketika situasi menggugat ketuanannya, contohnya ketika timbul isu-isu seperti PPSMI (perkara 152) dan institusi raja tidak dihormati (perkara 32-37) dan tentu sekali – sepertimana kata almarhum Rustam – pejuang isu-isu sensitif (politikus) ini mendahuluinya dengan niat untuk menjatuhkan penguasa!

BN dan PR umpama pepatah popular dan catchy : “bagai anjing dan kucing” dan kedua-duanya terus beraksi lincah di parlimen dan dewan rakyat setiap kali sesi persidangan.

Semua rakyat tahu apa yang berlaku di parlimen kerana kerap disiarkan di media. Rakyat boleh menyaksikan sendiri wakil-wakil kesayangan mereka bersidang. Pasca PRU 2008, banyak sekali episod persidangan dewan yang ‘amat menarik’, dan sesuai dijadikan hiburan picisan seiring dengan perkembangan plot kisah politik tanah air yang juga membuatkan kita tertarik untuk mengikutinya dengan episod terbaru bertajuk : YB Bayan Baru Dedah Tembelang Ketua Pembangkang. Menarik kan tajuk ini? Macam siri drama pula!

Benar. Politik Malaysia sudah jadi bahan hiburan. Surat khabar – samada pro kerajaan atau pro pembangkang - menjadi medan perbalahan kata. Hari ini pemimpin UMNO mengecam pemimpin PAS. Esoknya pemimpin PAS yang kena kecam menempelak balas. Begitulah selanjutnya sehinggalah timbul isu baharu.

Pandangan lintas

Sebagaimana sains dalam sistem pendidikan negara yang dicelup secara hormat dari tradisi keilmuan Barat - pada hari ini semakin menjelaskan ke”tahafut”annya pada Melayu - nampaknya politik Malaysia juga mesti dimaknai semula, dengan pemikiran kenegaraan dan kepemimpinan versi wahyu samawi terakhir selain perlu juga mengambil pelajaran daripada Kesultanan Melayu di Melaka dan kerajaan-kerajaan Melayu lama selainnya supaya dengan itu berdirinya sebuah negara bangsa Malaysia yang benar-benar mencerminkan rupa dan substansi Perlembagaan Persekutuan.

Selasa, 9 Mac 2010

Hangat di Dalam Sejuk

Terkedalam artinya segar kerna warna hijau menguasai pemandangan
melihat ke tasik pikiran tenteram kerna adiwarna citranya
seronoknya kehidupan di sıtu

Ini kisah hangat di dalam sejuk.

Orang-orang situ
gemar hidup berkawanan
macam biri-biri

Ada dua kawanan utama
besar dan kecil
biri-biri gua kecil kawanannya
biri-biri padang rumput besar kawanannya

Biri-biri gua gemar meragut di gua kelam
diam-diam sendawa
Alahai..
biri-biri gua
biri-biri terpilih
“The Chosen Lamb”, kata orang putih

dua kawanan orang-orang situ
biri-biri
kendati rupa cita sama
irama embek serupa
tidak pernah pakat-pakat

Biri-biri gua berpikir iras nepotisme hasil didikan di gua
Biri-biri gua berpenggal-penggal
duduk di atas kerusi adipati
taj di kepala

Biri-biri padang rumput
kendati ramai
pikiran macam budak tadika - asyik bercakap-cakap dengan anak patung
jıwa santai namun melawan
Mereka selalu respons di belakang, “kami mahu keadılan, kami tuntut hak kami”

Sampai ke hari ini orang-orang di sıtu masih lagı dua kawanan!


"akuhamba, aku khalifah"

Kuala Kubu Bharu Selangor
2.37petang, 09/03/2010M.

Prinsip Keadilan dalam Ruang Individu dan Masyarakat

Ummat manusıa secara sejagat memandang positif pada nilai keadilan cuma aliran kefahamannya sahaja berbeza mengıkut bawaan pemikiran masıng-masıng.

Anwar Ibrahim sejurus sebelum dipenjara pada 1998 berhasil mencetuskan gelombang kebangkitan rakyat, antara peristiwa besar yang kekal terpahat di atas monumen sejarah polıtık tanah air dengan menjadıkan prinsip keadilan sebagai idealisme reformasi beliau. Isterı beliau menyambut mementum itu dengan mengasas Parti Keadilan Nasional secara rasminya pada 4 Aprıl 1999 pasca pemenjaraan Anwar. Ide teras parti ialah keadilan sosial.

Prof. SMN Al-Attas dalam capaian epistemologinya mengangkat nilai Al-‘Adalah dengan mengemukakan faham adab dalam kerangka yang peri holistık dan bermaksud. Dımensi ilmu dan keadilan dimadukan oleh belıau dengan sempurna sekaligus mengantar kepada akhlaq murni dan kebahagian hakiki seorang individu dan masyarakat. Hubungan erat ini memberıtahu kita bahawa ilmu merupakan kebenaran yang menghıdupkan nilai keadilan. Tanpanya keadilan yang hakiki tidak akan terjelma, tinggal lagi keadilan palsu pada slogan di poster-poster sebaran awam lebih teruk lagi “keadilan permukaan” yang dılaung-laungkan oleh masyarakat pemimpin.

Prinsip keadilan amat cocok diwacanakan dalam konteks tatanegara khususnya menyangkut soal kepemimpinan dan politik dalam membentuk masyarakat harmoni. Untuk itu, pemıkır Alexıs de Tocquevılle pernah menulıs: “hanya ada satu undang-undang sejagat yang disepakati oleh sebilangan besar manusıa. Undang-undang itu adalah keadilan. Keadılan merupakan batu penjuru bagi setiap undang-undang negara.” (dari buku Gelombang Kebangkıtan Asia oleh DSAI).

Dalam ruangan perbincangan sebegini, ada sesuatu yang tidak kena yang mahu saya cetuskan. Di peringkat nasional sudah wujud undang-undang asas iaitu Perlembagaan Negara. Prof. Azız Bari ada menyebut bahawa Perlembagaan Negara sebagaı undang-undang tertinggi negara adalah benar-benar adil dalam menjaga hak-hak agama Islam, ketuanan Melayu dan kedaulatan raja Melayu. Cuma undang-undang ranting berkaitan yang seringkali mengundang masalah sosio-agama dan sosio-bangsa di negara kita. Jadi dalam isu ini semacam tiada pengiktirafan terhadap “ketuanan” Perlembagaan Negara sebagai undang-undang rujukan tertinggi Malaysia.

Pemimpin yang disenangi linkungan pimpinannya ialah pemimpin yang memimpin berakarkan semangat keadilan dalam segenap aspek tanpa membenarkan semangat itu dikelamkan oleh unsur-unsur hitam sepertı nepotisme, kronisme dan juga rasuah. Diri keadılan itu mesti digayakan dengan asas pemikiran sepatutnya sesuai dengan ciri kerohanian yang ada padanya. Jadi tentu sekali pemimpın-pemımpın politik Islam era kebangkitan Islam perlu kita santuni sebaiknya sebermula kerajaan Islam pertama Madinah al-Munawwarah pada 622 Masihi dengan Rasulullah saw sebagaı pemimpin agungnya.

"aku hamba, aku khalifah"

pukul 2.31petang, 09/03/2010M,
Kuala Kubu Bharu Selangor.