Sabtu, 25 Disember 2010

Cerpen Kritik : Air Dan Daun Keladi


Air cuba meresapi daun, daun degil membenarkan

Dari tadi aku mengelamun;

Makin digeluti, makin merancu. Aku yang kerancuan itu, kekadang. Zaman ini penuh rancu. Aku yakin sangat, lebih rancu berbanding zaman tahafut falasifah al-Ghazali dan zaman materi-sekular Said Nursi di Turki. Kerna zaman ini menjanjikan kepelbagaian di tahap paling maksimal. Dalam setiap perkara.

Ada orang kata, ilmu pengetahuan kian bertambah seiring hayat zaman. Seiring perkembangan teknologi maklumat. Maklumat mudah-mudah didapati. Di hujung jari.

Ada 'agamawan', muda lagi, berpendapat, cendekiawan agama masa dahulu tidak setanding cendekiawan kini.

Sering juga aku mendengar ‘ahli hadith kecil’ berkata : “ ada kemungkinan sebilangan hadith nabi saw tak sampai kepada imam itu.. kerana pada zaman imam itu, ulum hadith tak semantap pada zaman ini.. Ada hadith-hadith pada masa itu yang tak sempurna lagi pengumpulannya sebagaimana zaman kemudian”

Orang yang sama juga sering mengulang-ulang ungkapan sama;

“Semua manusia tak maksum kecuali nabi. Kata-kata mereka boleh saja ditolak kerana mereka juga insan biasa yang tak lepas dari salah silap..”

sambungnya lagi;

“Jadi kemungkinan para imam dahulu untuk tersilap pasti ada. Kita berlapang dada. Kita hormat pandangan para imam. Tetapi mesti ingat! Adalah tanggungjawab kita untuk memperbetul yang salah itu..”

Telingaku, bersaksilah! bahawa engkau sudah puas mendengar ucapan seumpama itu. Dah lekat di kepala ini ayat-ayat klise itu. Akalku sudah letih mentafsir, menilai. Sedar-sedar, sudah menjangkau empat tahun aku hidup dalam hingar cakap-cakap semacam itu.

Aku meneruskan lamunan. Hal sebegini memang wajar untuk dilamun. Petang yang damai di bawah teduhan pondok tepi tasik. Alangkah tenang memandang wajah tasik yang kebiruan. Sesekali ternampak bayangan kawanan ikan saling berkejaran. Waktu yang amat ideal untuk berfikir dan meneroka ilham baru. Benarlah kata guru, ini masalah umat.

Sekonyong-konyong aku terkejut. Sejurus, terlepas dari kawalan alam lamun. Seorang teman rupanya. Tak sangka pula dia yang datang. Dah beberapa kali sebenarnya dia mendatangi aku. Apakah dia ini kasyaf? Seperti tahu-tahu apa aku sedang lamunkan. Kali ini aku pasti dia ingin menyambung diskusi. Perjuangan mencari kebenaran katanya. Kataku juga. Sedangkan kesudahannya pasti kebuntuan lagi. Tiada persepekatan. Ah. Sama sajalah.

Aku sudah kenal benar pemikirannya. Dia pun sehabis puas mendengar suara akalku. Kerana pertemuan kami bukan sekali dua. Banyak kali. Tapi masing-masing optimis. Apakah mindanya seperti mindaku? Yang ku fikir dia fikir juga kah? Entah. Masing-masing teguh dengan pendirian masing-masing. Tiada perubahan di mana-mana. Tiada percontohan. Apakah mindaku ini yang telah tepu? Tapi minda bisa tepukah?

Dia duduk langsung selepas kami bersalaman.

“Tadi ana solat di masjid. Lepas habis doa imam terus umum akan dilangsung solat hajat. Secara berjemaah. Ana rasa tak sedap hati untuk turut serta. Risau ana. Entah-entah bid'ah.."

Telahan aku tepat. Dia ingin berdiskusi lagi. Topik juga tak lari. Topik bagi diskusi-diskusi sebelumnya. Itulah juga topik lamunan aku. Nampaknya bolehlah aku sambungkan alam lamunan dengan alam nyata.

“Bagus la enta. Solat di masjid. Malu ana. Ana dari tadi melepak kat sini.”

“Itu hal kecil. Ana tengah fikir hal besar ni. Ana takut. Ana risau Mat.. Setiap hari ana terkenang-kenangkan perkara ini. Umat hari ini selalu buat apa yang nabi tak pernah buat. Ana takut nanti di akhirat nabi akan persoal balek benda yang kita buat di dunia dulu, bahawa baginda tak pernah pun suruh buat benda tu. Lebih kurang kata nabi : aku tak pernah ajar pun begitu. Kenapa kamu pandai-pandai buat?”

Masya Allah sahabat. Aku pun risau juga. Bukan kau seorang. Gumamku. Tapi risauku berbeza ketimbang risau dia. Risauku adalah pada kedangkalan manusia.

“Akhi.. Ana yakin, agama ini tidak sekejam itu. Percayalah. Bahawa Islam ini bukan agama kaku tidak bernyawa. Islam adalah agama cinta. Cinta merupakan roh agama, yang menghidupkan agama. Agama ini agama kasih sayang. Nabi Muhammad saw adalah kekasih kita, sebagaimana, baginda sangat-sangat cintakan kita umat akhir ini. Allah bukanlah penghukum semata-mata. Nabi saw bukanlah utusan dalam arti macam posmen, yang kaku, yang kerjanya semata menyampaikan surat. Bahkan baginda merupakan rahmatan lil alamin. Ertinya, mengasihi seisi alam. Baginda jua dikasihi seisi alam. Ini sangat simple. Enta pasti tahu kan.. Akhi, Allah amat menyayangi hamba-hamba. Nabi saat hampir direnggut nyawa, masih pantas di dibir baginda yang mulia lafaz memanggil-manggil kita umatnya. Ana ulang, Allah dan Rasul mengajar kita erti cinta. Islam agama kecintaan bukan agama paksaan. Ini agama kehidupan. Bukan agama prosedur yang skematis! Kita semua wajib mempercayai hakikat kerahmatan ini.. ”

Aku obses berfalsafah saat mengucap kata. Tak kira sama ada berhujah atau berkata-kata seharian. Kerana aku yakini, inilah usuluddin, awal-awal ilmu yang wajib dihadam ia. Nabi Muhammad saw, guru terbesar sepanjang zaman mengajar usul addin lebih lama tempohnya berbanding fekah ketika awal perkembangan Islam. Apa kesimpulannya? Nabi ingin membentuk pemikiran para sahabat terlebih dulu. Usuluddin itu lah falsafah agama. Falsafah dan agama mesra bersama, bukannya saling memangkah.

Aku percaya, agama adalah ilmu dan ilmu adalah kebenaran mutlak. Allah, sumber kebenaran. Muhammad bin Abdullah, rujukan kebenaran mutlak di kalangan makhluk-Nya. Dalam kitab jawi lama akidah  pernah ku terjumpa perbahasan seputar epistemologi yakni faham ilmu atau pun disebut juga faham kebenaran.

Aku sejak di bangku sekolah gemar mendalami sesuatu. Ini aku perasan. Mencari hakikat abadi. Mencari kebenaran sampai hati ku puas. Sebab itu aku cenderung sangat kepada epistemologi.

Tapi, dia pun, dia kata, mencari kebenaran. Nah. Matlamat sama.

Tuhan! mengapakah pendirian kami berbeza?

“Bukankah nabi pernah bersabda bahawa wajib ke atas kita mengikut sunnah baginda dan para sahabat, dan mereka yang teguh kekal di jalan itu iaitu salaf? Kita hafal quran. Kan ada ayat quran yang memerintahkan, apabila timbul selisih dalam sesuatu perkara maka kembalikan kepada Allah dan Rasul? Maknanya, mesti rujuk quran dan hadith yang sahih di setiap kerja buat kita.. betul tak?”

“Ana setuju penuh. Ana semampu mungkin, malah wajib, mengikuti apa quran kata. Apa nabi kata. Dan ana yakin 100% bahawa para alim ulamak terdahulu, yang tersangat warak dan tinggi ilmu itu, sedaya mungkin menjunjung kalam Allah dan hadith nabi. Bahkan, mereka ana pasti lebih memahami keduanya berbanding kita di zaman ini. Ana yakin mereka juga tegas mengikuti jalan salaf kerana salaf mengikuti nabi.”

Aku sambung lagi setelah diam sebentar untuk meraikan, setelah terlihat dia semacam tak mahu merespon;

“Hari ini umat islam dibala dengan penyakit yang sukar diobat. Enta tahu apa? Masalah inilah… Masalah memahami ilmu. Kekeliruan dalam kalangan mereka yang coba mendekati ilmu. Penyakit ini ana kata sukar disembuh kerana ia berkaitan pemikiran dan juga keilmuan itu sendiri. Kerana, rujukan ilmu yang benar sudah tiada di zaman ini. Baginda Muhammad saw dah lama pergi. Lalu hiduplah kita di zaman ini dalam kebingungan. Lebih mengharukan, hidup kita saat ini dalam dunia dan zaman milik Barat. Dunia hari ini dikawalselia oleh Barat. Orang Islam pun terkawal sama. Barat mengatur iklim dunia. Maksud aku, segala bidang kehidupan kita orang Islam ditentukan Barat, termasuklah pendidikan dan pemikiran. Kita saja yang tak perasan. Masih nyenyak bermimpi. Kita tanpa sedar terikut gaya pemikiran Barat. Sungguh! Ramai yang tak sedar telah terkena. Hasilnya, lahirlah para ilmuwan muda yang berlagak pandai padahal segala buah mulut mereka sangatlah dangkal. Kelompok keliru ini membiak pantas di IPT-IPT...”

“Cuba perincikan. Ana tak nampak la..”

“Bab ini sangat panjang. Baiklah. Biar ana sebut tanda-tanda untuk mengenal ilmuan muda berlagak pandai. Biar direct lah kali ni. Senang sikit. Pertama, dia gemar menyebut nas quran dan sunnah yang berkait kewajipan menurut Allah dan Rasul. Kedua, minat utamanya adalah ilmu berkaitan hadith. Seolah itulah ilmu paling usul dalam Islam. Dia sangat mengingati nama-nama besar dalam hadith. Imam Bukhary Muslim, Ibn Hajar, An-Nawawi. Juga kitab-kitab mereka dan nombor-nombor hadith. Oleh itu dia selalu merujuk Al-Albani, seorang kritikus hadith mutakhir. Ketiganya, dia sering mengiktiraf diri sebagai pejuang sunnah dan penghapus bid’ah. Justru amat akrab dengan ulamak seperti Ibn Taymiyyah dan Ibn Qayyim. Ilmuwan muda ini sangat tegas dalam isu sunnah-bid’ah sehingga melampau-lampau. Segalanya bid’ah. Sunnah seolah terlalu sempit. Keempat, dia menolak falsafah. Apa kenyataan dia? Katanya jangan ikut akal tapi ikutlah sunnah nabi. Ana nak jawab, apa yang dia tak tahu, bahawa dia telah menafikan aspek hikmah dalam agama. Kalau enta nak kenal lagi, kelompok keliru ini kalau berdebat, hujah-hujah mereka sangat umum. Tak mendalam..”

Aku kalau bercakap memang susah menoktah. Biarlah. Lagi pun niat aku hanyalah ingin berkongsi hakikat kebenaran. Bukan untuk ‘membasuh’. Aku teruskan sesi.

“Ana dah kata. Memang mereka ini dangkal. Tapi nak berlagak bijaksana dan berpengetahuan. Yang paling memperjuang sunnah kononnya. Terlalu banyak perkara asas dalam ilmu dan agama yang mereka tak kuasai dengan memadai. Inilah yang celarunya. Keliru! Namun ana tak kata enta termasuk. Ini umum.”

“Ana sangat yakin dengan jalan yang aku ikut sekarang ini. Mazhab ana adalah salaf. Ana yakini sepenuhnya. Ana yakin, jalan inilah yang pernah dilalui salaf, dan jalan inilah yang kita pada hari ini wajib ikuti. Mereka yang mengikut manhaj salaf pada zaman ini adalah minoriti. Namun usah digusar. Nabi telah memberi harapan gembira kepada ghurabak. Itu lah orang-orang yang sedikit. Yang ganjil di mata masyarakat. Mereka lantang menegakkan sunnah. Yang selalu pula dihindar orang. Tetapi mereka tetap degil mempertahan pendirian kerana Allah dan rasul sahaja matlamat mereka. Matlamat suci. Bagi mereka, seorang pejuang kebenaran pasti tak sepi dari pelbagai ujian. Mat.. Ana tak reti la nak jelaskan bagaimana lagi supaya enta faham. Mungkin ana yang kurang. Tak mahir dalam penyampaian. Tapi Allah sahaja yang tahu, ana dah sedaya-upaya sejak pertemuan pertama untuk menyampaikan kebenaran kepada enta. Sekarang ana cuma boleh berharap dan berdoa, agar enta, satu hari nanti enta ketemu kebenaran..moga-moga.”

Usai. Dia meminta diri. Aku pula masih tak berganjak.
Aku menyambung semula lamunan yang tergendala. Lalu aku teringat. Pepatah Melayu pernah mengumpama : Bagai mencurah air ke daun keladi. Inilah yang baru tadi berlaku!

Dan sekali lagi. Biar aku tulus bertanya diri sendiri tanpa memeduli optimisme yang menguasai ;
“Siapakah berwatak air?”
“Siapakah berwatak daun keladi?”
“Yang mana satu benar?”
“Yang mana satu salah?”
“Yang mana satu degil?”

Sekalipun sudah sekian lama aku meletakkan sikap, tetap, bagi wacana sebegini.

(Daun keladi tetap berkeras, air tak mungkin meresapinya!) 

Rabu, 22 Disember 2010

Bila Rumi Menari

Siapa-siapa yang suka sangat membantai perlakuan para sufi yang pelik-pelik itu, tarian sufi antaranya, Al-Ghazali kata mereka ini sangatlah dangkal. Kerana unta sekalipun bisa tergoyang-goyang apabila mendengar musik arab. Disebut ini dalam Al-Kimiya As-Saadah, karya ringkas Al-Imam bagi Ihyak Ulumiddin.Kepada golongan pembantai sufi ini, saya harap tolonglah baca Al-Kimiya - setidaknya - dan cobalah selami dalam-dalam hakikat ekstase cinta Tuhan.

Nah. Ini pula jawapan (dan simpati) daripada Maulana Rumi;


Bila Rumi Menari

Kita menari bukan sebarang tarian
Asalnya dari tanah orang-orang pilihan
Bila terdengar masnawi ciptaan maulana
Ku bunuh nafsu lebur rantainya dari badan

Hingga hilang bangga diri
Berani hidup berani mati
Bagai musafir bertemu janji
Ini Darwis sudah gila berahi

Kita tak rindu pada siasah dunia
Perangkapnya membuat manusia hampa
Untuk bertemu impian bukan percuma
Mengorbankan yang tersangat kita cinta

Bagai Yunus dimakan paus
Ibrahim tak makan api
Bertemu kekasih di malam kudus
Luka di badan tak terasa lagi
Pukullah rebana jantungku bersyairlah maulana
Aku mabuk hakiki mendengar suaramu

Sayang... pada mereka yang tak mengerti
Sayang... pada hati tertutup mati
Bagai sangkar tanpa penghuni
Burung berharga terlepas lari

Rindu (ya maulana)
Kembali bertemu (ya maulana)
Hatiku merindukan pemiliknya (ya maulana)
Rindu (ya maulana)
Kembali bersatu (ya maulana)
Kembali bersatu dengan yang dikasihi

Rindu (ya maulana)
Kembali bertemu (ya maulana)
Hatiku merindukan pemiliknya (ya maulana)
Rindu (ya maulana)
Kembali bersatu (ya maulana)
Kembali bersatu dengan kekasih


-saya kutip bait-bait ini dari sini. Sumber asalnya saya tak tahu. Siapa tahu tolong kongsi.

Rabu, 15 Disember 2010

Apa Kata Roh Yang Mendiami Jasad Manusia Lalai?

(gambaran roh yang terpenjara oleh jasad insan)

*Bait-bait ini ditulis Said Nursi dalam Risale-i Nur beliau.  Pengucap (iaitu "aku") dalam bait-bait ini ialah ROH SEJATI dalam diri orang-orang yang lalai di dunia. Perlu dingat, bahawa roh manusia adalah suci, bersifat 'ketuhanan' dan 'kemalaikatan'. Kita yang tak kenal diri ini yang menzalimi 'dia' ! ;

Jangan ajak aku ke dunia itu,
aku pernah ke sana, melihat kekejian dan kefanaannya.
ketidakpedulian adalah sebuah tabir;
aku melihat cahaya Kebenaran tersembunyi.
Segala sesuatu, seluruh ciptaan,
aku lihat begitu fana dan penuh bahaya.
Eksistensi, sesungguhnya aku diletakkan di atasnya.
Sayangnya! Ia adalah non-eksistensi; aku sangat menderita.
Seperti kehidupan, aku mengalaminya;
aku melihatnya sebagai siksaan di dalam siksaan.
Akal menjadi hukuman sejati.
Alam perbuatan hanya untuk pamer;
aku melihat ambisi menjadi penderitaan sejati.
Pertemuan pada kenyataannya adalah perpisahan;
aku melihat obat menjadi penyakit.
Cahaya-cahaya ini menjadi kegelapan;
aku melihat teman-teman ini menjadi yatim piatu.
Suiara-suara ini adalah pemberitahuan kematian;
aku melihat kehidupan menjadi kematian.
Pengetahuan berubah menjadi seloroh;
aku melihat ribuan penyakit di dalam ilmu pengetahuan.
Kesenangan menjadi penderitaan;
aku melihat eksistensi menjadi non-eksistensi terpadu.
Aku telah menemukan Kekasih Sejati;
Ah. Aku mengalami banyak penderitaan kerana perpisahan.

Sabtu, 11 Disember 2010

Hijrah Ilmiah


"Kita hidupkan api hijrah nabi di atas tanah dunia.
Agar cahayanya menerangi manusia-manusia
menghangusi setan-setan.."
- 1 Muharram 1432 - 

Duhai insan berilmu, berhijrahlah daripada Negeri Kurang Baik ke Negeri Lebih Baik. Kerna di sana ada bahagia. Dengan semangat hijrah Nabi, mulailah gerak!

Al-Imam Al-Ghazali menyebut dalam Az-Dzawahir bahawa yang paling berkuasa menaikkan ego seseorang adalah ilmu. Kata Al-Imam lagi di kesempatan lain, manusia merupakan makhluk beruntung lantaran dua anugerah, iaitu akal dan kemahuan. Ilmu mampu didapati insan dengan dua ini. Ilmu ditanggap oleh alat akal dengan adanya cetusan rasa kemahuan. Lembu tidak berilmu kerana tak punya akal, walau punya kemahuan. malaikat tidak berilmu kerana tak punya kemahuan, walau punya akal. 

Insan berilmu itu gemar mencari kesalahan dan mengata orang lain salah. Pastilah. Memang pun dunia kesalahan terzahir jelas di hadapan dia justru dua sebab. Pertama, kerana pengetahuannya. kedua, ketajaman akal fikirnya. Justru, insan itu sering mengkritik itu ini. Insan itu mudah iri dengan keilmuan orang lain, digusar melebihi keilmuannya. Pabila ingin bertutur, sering dia menghambur kesemuanya sekali yang difikir ilmiah. Tiada yang tertinggal. Selesai ucapan, kembang mekar bunga-bunga kebanggaan di jiwanya.  Dialah yang paling ilmiah, paling tajam, paling berhikmah.

Aduh.. Bahayanya ilmu. Kalau tak bisa dikawali ia, baik jangan..! Lebih baik...

Lebih baik berdiam diri berbanding bercakap. Lebih baik merenung alam Tuhan daripada termenung memikirkan ide intelektual liberal. Lebih baik bergaul dengan penekun ibadah daripada berdebat di pentas. Lebih baik berzikir daripada mencari dalil. Lebih baik bersunyi-sunyian dengan Yang Maha Tahu daripada dikelilingi pengkagum tak ketahuan. Lebih baik tadabbur al-Quran daripada membaca buku falsafah. Lebih baik beriktikaf di masjid daripada bermukim di maktabah. 

Duhai insan berilmu, mengapalah yang terlebih baik itu amat sukar untuk dilakukan berbanding yang kurang baik itu? Apakah keinginan mu itu lebih mendekati maksiat? Kau tak sedar lantaran dihijab dek topeng paling lutsinar iaitulah ilmu! Persis pujangga bangsa Persia, Urfi menasihat; 
"jika hatimu tidak tertipukan oleh fatamorgana, janganlah menyombong ketajaman akalmu; karena kelepasanmu dari tipuan mata ini, adalah disebabkan oleh dahagamu yang tidak sempurna."
Ingatlah, akal adalah alat rohani dan rohani hukumnya suci. 

Insan berilmu itu, dengan segala ketenangannya merendahkan hati menapak tanah bumi. Bangunlah dia dari khayal mimpi. Jalan mematangkan diri insani, katanya, memang penuh batu tajam. "aku tak tahu", "aku minta maaf" adalah ubat penenang bagi diri yang berpenyakit gusar jiwa. Sedang gusar jiwa adalah akibat keegoan diri dengan ilmunya.

Pada hakikatnya, Al-Imam Al-Ghazali dah lama susah hati dengan kekacauan keilmuan sebegini. Untuk al-Imam, ilmu-ilmu agama sudah hampir mati. Lalu disusunnya Ihyak Ulumuddin - The Revival of Religious Knowledge - karya terpenting Al-Imam sepanjang hayatnya. Perhatikanlah, itu zaman Al-Imam. Di zaman moden kini, kekacauan, kecelaruan, penyelewengan dalam keilmuan lebih-lebihlah lagi. Muda-mudi hari ini tiada kenal lagi siapa ilmuwan sebenar. Bahkan diri mereka pun tidak mereka kenal!  

Pujian dan kelebihan kesemuanya kembali kepada Allah. Jalan keluar ku fikir telah pun terlorong untuk aku. Melalui Al-Ghazali dan Al-Attas terutamanya, ku kenal epistemologi syarie dan juga tauhid serta akhlak al-karimah. Aku juga kian kenal diri manusiawiku. Kenal Tuhan. Kenal alam. Jalan itu kian lama kian bercahaya sehingga memadai serlah hujungnya - kebahagiaan hakiki - itulah destinasi akhir setiap perjalanan hayat manusia.

Dan semua itu, bagi aku, merupakan pengawal ilmu. Pengawal akal dan mahuku. 

Wahai Al-Haq, Kau zahirkanlah di hadapanku yang mana satu benar. Lapangkanlah jiwa bolak-balik ini. Amin..   

Ahmad Syaibani bin Ramli
Darul Quran,
Muharram 1432.

Rabu, 1 Disember 2010

Berpolitik Demokrasi Dalam Kerangka Persatuan - khas PRK DQ

Pilihanraya Kampus Darul Quran (PRK DQ) baru saja berlalu. Ini pilihanraya kedua yang saya secara langsung terlibat dalamnya – sebagai pengundi paling asasinya. Tahun lepas saya sekadar mengundi dan membuat juga pemerhatian sosial dengan tindakan yang tidak sungguh2. Kali ini, seiring pembangunan akal budi dan daya amat sosial, saya sedar malah terhentak, bahawa aspirasi perubahan mesti ditindakkan dengan lebih berkuasa. Memang saya ‘teruk’ terinspirasi oleh DSAI, bapak reformis melayu. Boleh juga mungkin, saya angkat beliau sebagai pembangkit sikap demokrasi dalam budaya politik kita. Pedulikan. Itu politik nasional.




Ada Kekeliruan

Ada 'sepokok' kekeliruan yang sejak lama saya bingung. Pilihanraya yang dibuat adalah bagi melantik barisan kepemimpinan persatuan yang baharu. Persatuan yang dimaksudkan ialah Persatuan Kebajikan Maahad Tahfiz (PERKEMAT), yang bertaraf NGO. PERKEMAT merupakan NGO, bukan MPP. NGO secara langsung tertakluk bawah kerajaan Malaysia sedang MPP secara langsung tertakluk bawah institusi pendidikan. Ini kekeliruan pertama dan pemula. Antara NGO dan MPP.

Misalkan saja, Student Representative Council (SRC) sebagai badan perwakilan pelajar di UIAM Gombak adalah bertaraf MPP, jadi, tertakluk di bawah institusi (UIA).

Kita ambil pula contoh sebuah badan NGO lain, iaitu Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM). Pertubuhan ini berdaftar dengan kerajaan Malaysia. Jadi, tertakluk ia secara langsung di bawah kerajaan.

Kecelaruan terjadi apabila PERKEMAT sebagai sebuah NGO bergerak terhad dalam ruang instutusi (DQ). Di institusi2 lain, tidak pernah wujud sebuah NGO yang mewakili secara langsung pelajar institusi tersebut. Yang ada adalah MPP, SRC di UIA misalnya. Sebutan “PERKEMAT DQ” melambangkan PERKEMAT sebagai NGO yang sepatutnya meliputi nasional, hanya meliputi ruang institusi iaitu DQ, seperti MPP.



Kita teruskan lagi perbincangan ini. Ambil contoh PKPIM iaitu Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia. Sebagai sebuah NGO yang berkonsepsikan persatuan, perlantikan kepemimpinannya bukan demokrasi pilihanraya. GAMIS juga setahu saya tidak mengamalkan pilihan raya untuk melantik barisan pemimpinnya. PKPIM menggunakan sistem syura.

Sebaliknya, setiap MPP mengamalkan sistem pilihan raya untuk melantik kepemimpinannya. MPP di UIA iaitu SRC sebagai badan perwakilan pelajar di insitusi, menggunakan pilihanraya untuk melantik kepemimpinannya. Seperti SRC, MPP di semua institusi turut menggunakan sistem pilihan raya demokrasi sehingga masyhur ungkapan “PRK” iaitu Pilihan Raya Kampus.

Konsep Pertubuhan Ini

Konsepsi pertubuhan NGO ini (PERKEMAT) adalah persatuan (union). Ini penting untuk difahami kerana ianya mewakili aspirasi pertubuhan. Perwakilan berbeza dengan persatuan. Persatuan membawa nilai perpaduan di samping mewakili pelajar sedangkan perwakilan (representative) – seperti SRC – sekadar mewakili pelajar, tiada roh perpaduan.

Justru sebagai sebuah persatuan, yang sudah sedia dirangka sedemikian rupa, saya bertegas bahawa sebarang penyerupaan kepada MPP adalah tidak patut lantaran kesan negatifnya, dalam konteks konsepsi - seperti saya jelaskan di perenggan atas ini. Biar saya jelaskan lagi. Apabila pilihanraya diamalkan oleh NGO persatuan (miliki nilai perpaduan), bermakna ia menyerupai MPP (sekadar perwakilan). Akibat penyerupaan ini (pilihanraya) - yang disebabkan oleh kecelaruan NGO-MPP - adalah kekacauan terhadap kesatuan pelajar.

Inilah kecelaruannya. Apabila sebuah NGO bertindak mewakili pelajar institusi yang sepatutnya digalas tugas itu oleh MPP.

PERKEMAT DQ mempunyai dua wajah. Berwajah NGO pada konsepsi persatuannya. Termasuk ini adalah pengamalan seluruh sistemnya, contohnya, muktamar tahunan. Wajah kedua adalah MPP, pada perlantikan kepemimpinannya di mana pilihanraya diamalkan. Sepanjang pengetahuan saya, tiada mana-mana MPP yang mengadakan muktamar tahunan! Lebih jelas lagi, muktamar tahunan adalah perhimpunan agong tahunan seluruh ahli pertubuhan. Inilah persatuan. Lanjutnya lagi, PERKEMAT bagi saya lebih berwajah NGO persatuan daripada berwajah MPP, kerana, wajah MPP hanya terjelma pada masa pilihanraya. Dalam keadaan2 lain, ia berwajah NGO persatuan.

Namun bukan itu yang saya ingin fokuskan. Fokus kita adalah pada akibat kecelaruan tersebut, iaitu, pengamalan politik pilihan raya dan demokrasi dalam konteks persatuan adalah janggal (tak pernah ada di mana2), dan implikasinya adalah apa yang dipanggil sebagai “diversity in unity”, juga adalah janggal. Diversity merujuk kepada puak2 dalaman dan unity merujuk kesatuan (PERKEMAT).

Pengamalan Politik Pilihan Raya Dalam Konteks Persatuan

Politik Darul Quran melalui PERKEMAT yang mengamalkan sistem demokrasi pilihanraya untuk melantik kepemimpinannya, wajib dibedakan pengamalannya berbanding politik nasional (serta insitusi2 lain) dalam aspek berkaitan bagi saya kerana beberapa sebab;

Pertama, tak pernah wujud sistem parti (partition) dan puak politik (political goal) tertentu di Darul Quran. Sebabnya, semua pelajar adalah ahli persatuan yang satu (PERKEMAT) Kalau pun ada, ia (puak) sekadar hadir sebagai bertujuan selain politik kuasa. Contohkan saja dengan jemaah tabligh. Tujuannya adalah tertentu (dakwah), dan bukan politik. Sebaliknya di UIA misalnya, memang wujud kelompok2 politik yang bermatlamat menang pilihan raya lantaran mereka tidak bersatu di bawah kesatuan persatuan.

Kedua, atas nama perpaduan Islam hasil usaha pemikiran yang saya lakukan sejak semasuknya saya ke tempat ini. Hasilnya itu adalah, saya merasakan perpaduan dan kesatuan pelajar merupakan tema utama untuk digariskan sebagai aspirasi perubahan yang mahu ditindakkan. Ini yang saya nampak. Situasi ni lebih mudah difahami apabila dipandang dalam konteks masa, setahun yang lalu.

Saya bukanlah sosialis-liberalis tegar macam Isham Rais. Saya juga tak ingin meniru sebulat para demokrat barat. Saya sebaliknya tegar mempertahankan tradisi asli Islam yang mementingkan akhlak. Jadi, tak akan bakal saya dedahkan sedetilnya.

Cukup dengan saya simpulkan – ini saya simpulkan pada tahun lepas lagi – bahawa pelajar-pelajar DQ (ahli2 PERKEMAT) tiada kesatuan yang memadai. Maknanya, perpecahan pelajar yang ketara terzahir pada waktu tersebut. Ini satu bencana yang tidak sepatutnya berlaku dalam kebudayaan DQ dan masyarakatnya. Ini masalah terbesar dalam kalangan pelajar DQ.

Justeru asas ini, wajib pertama-tamanya kita membedakan politik DQ dengan nasional dalam konteks pengamalan, tepatnya, tidak mengamalkan sama sekali “politik menang-kalah”. Maksud saya, menang kalah tidak dijadikan titik lihat mutlak sebagaimana terjadi di peringkat politik nasional.

Ingat! Kita berpilihan raya dalam kerangka sebuah kesatuan.

Saya terus-terang hampa dengan politik demokrasi Malaysia. Walaupun membawa nilai-nilai yang boleh dimanfaat, sikap demokratis misalnya, namun, prinsip demokrasi untuk saya hanya merosakkan moral dan akhlak islami lalu menyuburkan kefasadan masyarakat. Buktinya jelas nyata tanpa perlu pengkajian mendalam. Barangkali bukan kerana demokrasi tapi ‘demokrasi ala malaysia’. Namun, skeptis saya masih kekal terhadap prinsip demokrasi atas sebab akarnya adalah Barat yang sekular. Akibat buruknya pada umat Islam Malaysia khususnya adalah perpecahan. Sedangkan Islam agama yang berpasakkan falsafah tauhidik yang memancarkan prinsip kesatuan.

Justru sedemikian korup politik nasional, mana mungkin budayanya dibenarkan untuk diusung masuk ke DQ. Pelajar DQ wajib celik membedakan dan mahir “berpolitik dalam kerangka persatuan”. Lagi bagus, hazafkan saja pengamalan pilihan raya bagi mengelakkan lahirnya puak-puak dalam sebuah kesatuan pelajar iaitu PERKEMAT.

Akhirnya, saya ucapkan selamat memimpin kepada barisan hadapan baharu diketuai akhi Che Faizul Che Mat. Ya. Kita merupakan satu pasukan. Bezanya, kalian di hadapan kami di belakang. Inilah konsepsi kesatuan dalam Islam, ia sangat ‘harmonis’ umpama satu jasad!

Sabtu, 27 November 2010

Sedarlah 'Aku'



Hidup ini bukan aku punya
Hari dan saat adalah hukum
Manusia tak kerdip terhukumkan
manusia mana hidup di luar masa?
manusia mana tidak palsu?
andai benar hidup milik aku

justru itu ;

Wahai diri akali
nobatkanlah kemalaikatanmu
Aku.
Tuhan tuju layak mu
senobatmu

Hey! serakah hayawani
pergilah jauh-jauh
diam terlayak mu di rimba sana
sini daerah suci
kerna aku telah berjanji sebelum dimateri

Aku mahu mahu
mahu untuk ketahuan
tahu untuk menyatu

Cinta teragong
adalah tuju akhir segala kepalsuan
mencari yang benar
Realitas Abadi.
................

- 16:59, 27/11/2010 -  Kuala Kubu Baru, Selangor -

Sabtu, 20 November 2010

Pesan Ibu Beribu-ribu

Saya rasa tidak beradab apabila tidak berfikir langsung soal haji dan korban sepanjang minggu ini. Cuti seminggu sempena raya haji sekaligus cuti pertengahan semester, sudah sampai ke penghujung. Esok bakal jejak kembali taman ilmu dan budi di Kuala Kubu Baru Selangor. 

Memang ada ide tentang itu (haji dan korban). Namun saya fikir ia masih belum terbina mantap untuk dijadikan entri. Masih kabur. Namun, sehabis tiada pun, saya bersyukur kerana diberi peluang menonton cerita kartun berjudul Habil dan Qabil - kisah ibadah korban pertama-tama dalam sejarah Islam. Juga, pembunuhan pertama sepanjang sejarah manusia.

Untuk memahami falsafah berkait makna dan tujuan haji, korban, seluruhnya, saya merasakan tulisan Ali Shariati sangat perlu diulit. Pergi sini untuk dapatkan link downloadnya.




Buat ummiku, sebelum berangkat ke taman ilmu :

Kita ada ibu
ibu kita satu
pesanannya beribu-ribu.


Setiap langkah kita diiringi pesanan ibu
"buat begini jangan begitu
bacalah buku selalu
kukuhkan diri dengan ilmu
pilihlah kawan yang mulia hati
tolaklah kawan pementing diri
pilihlah kawan yang yang punya petunjuk
tolaklah kawan penagih rokok."
ibu yang satu menyekat kita di pintu
bertanya ke mana arah tuju
"jagalah diri selalu
di luar sana mungkin bencana menunggu."
Kita menjadi jemu
mendengar pesanan ibu beribu-ribu
tapi ibu tetap ibu
pesanan bertambah satu dan satu 
"jangan dibiar kepala berkutu
carilah ubat jerawat batu."

Suatu senja 
seorang temanku merintih
kerana kehilangan kekasih
kini baru disedarinya
pilihan musang berbulu arnab
biarpun menyamar cekap
ada masa masuk perangkap

Si bedul sudah ditangkap
Si Bedul masuk lokap

Dia menyatakan kesalnya
kerana dia alpa
ibunya berpesan sejak dulu
"pilihlah kawan yang bermutu
jang dipilih kawan berhantu"

Mengenangkan nasib temanku itu
aku merindui pesanan ibu
Ya, pesanan ibu.

Ibu, 
kuyakini kau mengenali
yang mana permata, yang mana kaca
yang mana budaya, yang mana buaya
berilah pesanan beribu-ribu
malah berpuluh ribu
aku tidak akan jemu
ini janjiku kerana aku tahu
sempurna seorang ibu
dengan pesanan beribu-ribu.   

- Puisi ini tajuknya seperti tajuk entri ini, karya Rahman Shaari seorang kritikus sastra.

Saya ingin bertanya, sekadar mana kita mengingati dan mencintai ibu berbanding mencintai kawan2? Sekadar apa kita menghargai ibu dan adik-baradik kita? Balek bercuti, layan facebook berjam-jam.. Sedangkan ahli rumah tidak pula diajak bersembang. Awas! ini budaya jelek baharu yang sedang mara bahaya, masuk ke lingkungan masyarakat kita membentuk budaya dan adat orang Melayu terkehadapan. 

Puisi di atas sangat senang difahami, dan sangat-sangat bermakna. Hargailah seorang ibu.

Isnin, 15 November 2010

Martabat Teologi Asya’irah

Abū al-Hasan Alī ibn Ismā'īl al-Asya'arī (874 – 936) adalah pendiri aliran teologi versi baharu atau disebut aliran khalaf (generasi terkemudian). Muktazilah merupakan pengasas disiplin ilmu teologi atau falsafah ketuhanan. Asya’ari sendiri mengenal teologi daripada muktazilah. Selepas itu beliau memodifikasi sebahagiannya supaya berbetulan dengan manhaj salaf. 

Boleh dikata Asya’ari ini mengharmonikan aliran salaf (wahyu tanpa akal) dan muktazilah (akal memungkir wahyu) lalu melahirkan manhaj baharu dikenal sebagai aliran asya’irah sempena nama beliau. Sebab itu aliran asyairah dicirikan dengan unsur wasatiah. Ilmu Kalam adalah disiplin teologi bagi aliran asyai'rah. Diakuri keabsahan aliran ini oleh teolog-teolog Islam selepas itu sehingga ia menjadi aliran mainstream bagi menanggapi ilmu usul ad-din.

Penting difahami, Imam Asya’ari hanyalah melengkapkan aliran salaf konstektualnya dengan memasukkan dimensi akliah ke dalam aliran itu (salaf). Khalaf dan salaf adalah seiring dan sejalan, bukan saling berlawanan. Melihat dari perspektif lain, beliau memperbetul manhaj muktazilah yang terpesong dari jalan salaf dan Nabi Muhammad saw.

Tradisi keilmuan identik dengan budaya fikir dan falsafah ketimbang akal adalah alat utama menanggap ilmu. Abbasiyah sebagai tanda zaman kemuncak ilmu pengetahuan sepanjang sejarah umat Islam, ketika itu diperintah oleh al-Makmun, seorang muktazilah. Di zaman itu muktazilah menguasai ruang awam tika aliran salaf kian malap seiring dengan berkembangnya budaya kefalsafahan. Sedangkan salaf kelihatan jumud, tidak bebas fikir, dan tidak meraikan falsafah.

Menimbang situasi ketika itu, bakal sahaja berlaku kritikan terhadap cara-gaya salaf yang sinonim lebih suka “menyelamatkan diri” atau “berdiam diri” apabila diterjah dengan pelbagai persoalan menyangkut ontologi ketuhanan dan wujud2 tak kasat mata lainnya. Muktazilah lantas mudah dominan. Namun, akibat terlalu mengangkat akal, wahyu sebagai prinsip agama yang tidak mungkin dipinda telah diatasi kerana dianggap “menyalahi akal”. Di tahap ini, penyelewengan telah berlaku terhadap ilmu usul ad-din dan tuhan.

Imam Asya’ari, membesar dalam didikan muktazilah malah selaku pemuka mazhab muktazilah menyedari kesilapan mazhab itu lalu bertindak memeranginya, mengasaskan aliran pemikiran teologinya sendiri. Dalam Aqidah An-Najin, dikisahkan perdebatan Asya’ari dengan Jubaei mahaguru muktazilah dan Asya’ari menang.

Hidup di zaman global kala ini, segalanya mengglobal termasuk ilmu dan falsafah. Aliran pemikiran khususnya yang datang dari Barat merencam dan bercabang-cabang. Segala sesuatu disoal dan memerlukan penjelasan. Bermacam penjelasan timbul dari berlainan pemikiran. Lagi, budaya demokratik dan sikap liberal dalam tradisi ilmu-fikir Barat yang mendominasi dunia saat ini giat  mempengaruh tidak sedikit manusia-manusia yang tidak kukuh rukyah al-Islam li al-wujud (teras pemikiran Islam) pada pemikirannya sebagaimana ditayangkan oleh ilmu usul ad-din dan teologi asya’irah. 

Di sinilah letaknya keutamaan manhaj khalaf asya’irah. Artikel inilah jawapan kepada sesiapa yang gemar mengaitkan aliran asya’irah dengan falsafah lalu dengan simplistik menyalahkannya.

Perlu diingat, akal (dan pemikiran) dan tuhan saling menyangkut secara harmoni. Tuhan adalah unsur terasas dalam pandangan alam / pandangan wujud seorang individu seperti Al-Attas sering wacanakan. Aristotle dan Einstein sendiri dengan keegoan akal fikir masing-masing terpaksa mengakuri wujudnya Tuhan. Dalam ilmu falsafah ada hukum sebab-akibat. Al-Kindi, antara filosof terawal Islam, menyimpulkan Tuhan adalah sebab mutlak (pertama-tama) kepada setiap akibat yang berlaku. Ismail Al-Faruqi menulis karya monumentalnya bertajuk, Tawhid : Its Implication For Thought And Life. Saya sangat ghairah dengan tajuk ini kerana lama saya bingung memikirkan persoalan sama seperti yang ditajukkan.

Ibn Atoillah terkenal dengan mahakaryanya bertajuk Al-Hikam, sebuah kitab ilmu tasawuf yang terbukti “susah difahami”. Ibn Arabi terkenal dengan gelaran bapak aliran sufisme-falsafi dan faham wahdah al-wujudnya. Hamzah al-Fanshuri selaku penerus aliran Ibn Arabi di nusantara termasyhur dengan syair-syair sufinya dan diiktiraf Al-Attas sebagai pembaharu bahasa Melayu malah pencetus kebangkitan tamadun Melayu-Islam. Beliau memasukkan rasionalisme dalam tradisi sastra Melayu yang sebelum itu penuh dengan unsur mitos, tak masuk akal dan magis usungan pemikiran hindu-buddha. Apa makna semua ini? 

Akhirnya izinkan saya mencadangkan : bahawasa mendalami ilmu teologi dan kalam asya’irah adalah satu kebutuhan bagi setiap muslim lebih-lebih lagi golongan pemikir. Kenapa? Kesannya yang pertama, akan memperbetulkan pemikiran insan. Kedua, membentuk teras pemikiran dan falsafah insan yang sepatutnya, dan ketiga, mendekatkan insan kepada Tuhan. Ini semua sebenarnya terangkum dalam makna “aqidah”.            
 

Sabtu, 6 November 2010

Falsafah Kesatuan Dan Politik

Dalam pemikiran agama (usul ad-din), konsep kesatuan dipanggil prinsip tauhid. Dalam skema tasawwur agama Islam (yang mesti ditanggapi secara semesta dan komprehensif), dapat difahami bahawa prinsip tauhid mendominasi akal fikiran, sementara prinsip belas kasih menguasai hati. Cantik dianalogi Reza Shah Kazemi berkenaan kesepaduan keduanya, “belas kasih bagi tauhid adalah pancaran bagi matahari”. Bermakna, belas kasih atau sufisme keluar terpancar dari sumber tauhid.

Hakikat salingkait tauhid dan akhlak kesufian  dijelaskan sahabat saya (peminggirkota.blogspot.com), "akhlak karimah itu merupakan penampakan keyakinan jiwa akan tauhid.Dalam tradisi tariqah sufiyah, ada konsep tazkiyah al-nafs iaitu takhalli-tahalli-tajalli. Penyingkiran sifat mazmumah diikuti pemugaran mahmudah dan natijahnya dalam aspek mikro (diri insan) ialah akhlak al-karimah. Umpama tanih yang baik bakal menghasilkan buah yang baik . Begitu dengan kefahaman yang baik dengan 'rasa' akan faham itu, buahnya akhlak mulia."

Beliau (peminggirkota) merupakan seorang 'penghayat' mazhab attasian yang cukup saya kagumi.
 
Ismail Raji Al-Faruqi, filosof terkemuka menulis adikaryanya yang dinilai menumental bertajuk, Tawhid : Its Implications For Thought And Life. Di bagian prakata buku ada disebut kedudukan pemikiran tauhid sebagai asas setiap kewujudan. Jadi, segala benda dan makhluk saling berkaitrapat antara satu sama lain sekurang-kurangnya di peringkat paling asas.

Sila baca sini untuk lagi penjelasan falsafah tauhidik.
  
Falsafah Tauhid Dan Politik

Doktrin kesatuan mengandungi  dan diperhayat roh kesepaduan atau keharmonian unsur-unsur yang dilinkungi. Merujuk ini, sebuah perhimpunan tidak semestinya sebuah kesatuan, kerana tiada disyaratkan padanya roh kesepaduan.

Al-Attas mengenalpasti asas-asas kesepaduan dalam mencapai penyatuan masyarakat negara, sekurang-kurangnya pada tiga daripada empat perkara iaitu agama, bangsa, sejarah politik dan bahasa.

Dalam usaha pembentukan negara bangsa Malaysia yang identik dengan ciri majmuk bangsa, budaya, dan agama masyarakatnya, metod lebih-lebih lagi falsafah kesatuan amat perlu dihadam. Faham pembangunan untuk negara atau yang dimantap maknanya sebagai al-Islah oleh Wan Mohd Nor Wan Daud tak terlepas menyinggung aspek kesatuan. Ini tertuang dalam karya beliau, Pembangunan di Malaysia : Ke arah Satu Kefahaman Baru Yang Lebih Sempurna.

Namun dalam usaha membina negara bangsa di Malaysia, masalahnya dalam konteks tulisan ini adalah kepelbagaian agama, diburukkan lagi dengan budaya politik hampa nilai. Usah dibicara soal kesatuan pelbagai bangsa, kerana kesatuan masyarakat sebangsa seagama pun masih tidak berjaya dilakukan. 

Justru pemikiran tauhidik hanya pada agama Islam, skop tulisan ini hanya menyangkut isu perpaduan Melayu.

Melayu berpecah dan bertelingkah kerana politik. Mudah. Akibat ini berlaku kerana pemikiran tauhidik tidak disemangati para pemuka politik (Melayu-Islam) lalu berleluasa amalan politik bengong machiaveli. Budaya korup ini meliputi setiap peringkat politik, iaitu nasional dan mahasiswa institusi. PR dan BN, sama saja. Tidak ada roh dan bawaan falsafah tauhid yang kukuh.


Konsep kesatuan bangsa atau perpaduan masyarakat yang anbiyak, umarak, dan pemimpin-pemimpin politik yang sedar ghairahkan, bukan semata slogan dan gagasan retorik murahan, tetapi adalah manifestasi luaran yang terpancar dari roh pemikiran tauhid yang kukuh terpasak pada pemikiran manusiawi mereka. Ia sebenarnya merupakan falsafah tunjang, mengakari segala falsafah cabang lainnya.

Kala PM Najib menggagas 1Malaysia dan memperdanakannya di ruang awam sejak mula memerintah, sungguh, saya semacam merasainya (1Malaysia) sebagai roh yang hidup. Apa sebabnya? Sebab adanya “satu” atau “1” pada perkataan “1Malaysia”. Sungguh. Saya terkesan dengan slogan 1Malaysia. 

Baru sekarang saya faham mengapa, dan mampu menjelaskan di sini sebagai satu perkongsian bermanfaat. Saya kira falsafah tauhid ini sangat nadir diperkata orang. Sedangkan ia terlalu penting. Pemikiran setiap individu muslim wajib dipasakkan dengan falsafah tauhid.

Abu Hasan Asya’ari harus dipandang sebagai teolog dan filosof agong kerana beliau bertanggungjawab mengasas aliran pemikiran tauhidik berpaksi Quran dan Sunnah saw. Tradisi ini disambung oleh ulamak-ulamak muktabar seperti Al-Ghazali, Fakruddin Ar-Razi, Saifuddin Al-Amidi. Saya sekadar menyebut beberapa nama yang saya ingat yang menekuni falsafah.

Kita sepatutnya menjadi generasi penerus aliran kalam gagasan Asyai'rah ini untuk mengukuh akidah pemikiran, dan menentang aliran-aliran pemikiran lain yang bertentangan.  Sekularisme yang membadai dunia moden hari ini membawa falsafah dualisme, nampak sangat bertentangan habis dengan falsafah kesatuan aliran tauhid agama Islam.
          
Dalam konteks politik, prinsip tauhid asya’irah ini sepatutnya dianuti, difahami, dan benar-benar terjelma hidup sebagai falsafah anutan politikus-politikus BN dan PR. Kalau tidak, segala bentuk pembangunan terutamanya pembangunan modal insan jangan diharap berlaku. Perpaduan Melayu atau antara kaum usah lagi dicanang. 

Jumaat, 5 November 2010

Reformasi Anak

Pabila Ali mahukan kuasa,
dia bukan gilakan dunia,
Dia mahu mengajar cuma,
Gimana kuasa harus diguna!
-Jalaludin Rumi, Mathnawi 
(dipetik Wan Mohd Nor Wan Daud dalam bukunya)



Reformasi anak
siapa sangka mudah belaka?
Mahu bersuara ayah suruh senyap
Ayah, ayahnya.
Anak kecil.

Di minda anak :
Demokrasi lancung
pengurusnya dilembu
rela melembu
ada yang tak sedar, terlembu.
Mana ruang kebebasan yang dikisahkan lapang?
Akhirnya
Pabila keparat naik takhta
rakyat berpeluh penat
sepihak dianiaya
dia hanya tahu mempengerusi mesyuarat

Anak sedar dan tercabar
mesti budaya setan dirobahkan
Anak berjiwa singa
Hatinya bercahaya
raganya tangkas bingkas melawan
Bukan melawan ayah
tapi melawan kelancungan, kemachiavelian

Anak-anak sayang kebenaran.
Anak-anak sayang ayah.

- 1:52 pagi - Ampang Pecah -

Khamis, 28 Oktober 2010

[7:156] - "Belas KasihKu Meliputi Segala"



'Tuhanku, benarkan lah aku mencintai Mu...'
'Tuhanku, benarkan lah aku mencintai Mu...'
'Tuhanku, benarkan lah aku mencintai Mu...'

Islam adalah agama cinta. Allah tuhan yang bersifat pembelas dan pengasih kepada hamba. Ini bukan omong jenaka belaka. Tuhan serius. Buktinya, Dia telah mengisytihar bahwa “BELAS KASIHKU MELIPUTI SEGALA” (7:156). Nah. Kalam Nya membuktikan sudah.

Ihsan merupakan dimensi agama yang memancarkan nilai kasih dan cinta. Bahkan, ihsan dilmuliakan sebagai unsur tujuan dan matlamat agama, iaitu buah beragama. Tasawauf rohaniyyah mengajar manusia tentang saling cinta-mencintai Tuhan dan hamba. Orang-orang sufi bercinta dengan Tuhan, tersangat asyik sehingga mencapai mertabat lebur (fana), dengan maksud hilang daripada kawalan dunia realiti wujudi ini dan masuk ke pintu alam rohani, yang tak bisa dicapai inderawi manusia.

Sisi kasih atau cinta atau belas agama Islam ini, hanya dimengerti oleh orang-orang yang mahu faham, iaitu, mereka yang memaksima kemanfaaatan akal (natika) yang dikarunia Tuhan. Agama ini didirikan atas tapak ilmu dan faham, yang melahirkan amal atas sebab faham yang teguh itu. Tuhan memberi manusia kebebasan (freedom) untuk memilih (ikhtiyar) bermaksud budaya berfikir dan berilmu amat ditekankan sebagai wasilah untuk memilih dan memutuskan. Tuhan Yang Maha Mencintai hamba membuktikan cinta dan kasihnya apabila Dia tidak memaksa, bahkan memberi akal untuk manusia bebas berfikir dalam mencari cinta, mencari Dia. 

Manusia adalah ‘hamba tapi bebas’, iaitu bebas daripada belenggu tidak faham, jahil dan seumpamanya. Manusia adalah hamba yang akalnya dibiar lepas terbang ke mana sahaja mencari hakikat Tuhan, hakitat manusia, hakikat alam dan salingkaitan antara semuanya. Akal dilepas menerawang untuk mencari hadrat Tuhan, sebagai tujuan akhir hidupnya. Inilah falsafah hidup seorang manusia pencinta Tuhan.

Syurga neraka disediakan Tuhan sebagai tempat abadi kesudahan perjalanan manusia. Perkhabaran mengenainya dicerita awal-awal dalam Quran, dan ini termasuk dalam akidah yang wajib diimani sekalian kita. Jadi, adakah Tuhan itu martabat wujudnya hanya sebagai penghukum (atau pengadil), sepertimana juri yang menentukan menang kalah pertandingan misalnya? Tidak. 

Seorang muslim yang punyai tasawur Islam yang sempurna tidak akan mengatakan atau memomok mindanya bahawa Tuhan itu penghukum semata. Berpandukan keterangan di atas, mana mungkin Dia hanya setakat penghukum yang tidak mengambil tahu dan tiada merai cinta hamba. Sekali lagi ditegaskan, Tuhan itu pencinta hamba-hamba bukan penghukum semata!
   
Agama ini bukan didiri atas tapak kekerasan, kepaksaan dan seunpamanya. Tuhan ALLAH bukan lah tuan tanah seperti dalam prinsip feudalisme, yang mempertimbang harta dunia cuma tanpa ada hubungan kesalingan cinta dengan yang di bawah. 

Barat pada abad ini coba mengelirukan masyarakat dunia bahawa Islam itu dicirikan dengan dimensi2 seperti kekerasan, keterlaluan (ekstremisme), membelenggu dan tidak demokratis. Kempen global ini membuatkan kita seolah terlupa dan terlepas pandang seketika pada dimensi ihsan agama. Justru, tulisan ini coba menyedarkan.    

Selasa, 26 Oktober 2010

Ketuanan Insan


Memang. Alam ini menuntut aku melihatnya, mendengar, menyentuh, merasa dan membaunya. Akal, insan ajaib dan luar biasa kerananya. Insan sebagai khalifah atau pun 'tuan' bagi sekalian makhluk miliki upaya mentadbir alam (sama ada mengislah atau merosak alam) kerana karunia akal.  

Setiap insan merupakan pemikir.

Aku teringat.

Pemikir agong Melayu, Hamzah Al-Fanshuri dalam dakwahnya di Nusantara banyak kali berkata (barangkali begini) :

" sahabat2ku, sedarkah kalian bahwa setiap kamu miliki akal? Tahukah kamu gimana menggunakannya? Andai sedar dan tahu, saya hairan sangat, kenapa kerja buat kalian hampa roh akali?"    

Namun. Jangan pula aku ego dan bongkak ;

"Jika hatimu tidak tertipukan oleh fatamorgana,
janganlah menyombong ketajaman akalmu;
kerana kelepasan mu dari tiupan mata ini,
adalah disebabkan oleh dahagamu yang tidak sempurna."

Kata2 ini samada daripada Maulana Rumi atu pun Sir Iqbal. Terima kasih sang guru, kerana memberi ku kebahagiaan..

Setiap insan merupakan pemikir.





Khamis, 14 Oktober 2010

Melayu Demokratik

Nilai demokratik sering dihubung intim bersama kepolitikan, keadilan sosial dan kebebasan individu. Lalu ia setentang diametrikal dengan prinsip feudalisme, dan politik monarki yang membawa nilai pikiran jumud, pengampu, kaki bodek, bodoh, dan tidak bebas memberi pendapat. Nilai demokrasi pada hari ini menjadi semakin disebut dan universal di kalangan semua negara dan masharakatnya dalam segala aspek kehidupan, tidak dalam aspek politik kenegaraan sahaja. Dan hari ini demokrasi(tik) menjelma sebagai sebuah cara-gaya fikir, yang diteladankan dari Barat atau Eropa.    

Negara Amerika sering disimbol utama sebagai negara demokrasi dan diagong habis sebagai negara bertamaddun kerna budaya demokratiknya dan dipuji rakyatnya terbuka amat dan berbudaya bebas dan sangat2 meraikan manusiawi. Maksud saya di sini, manusiawi  gaya Barat. Islam prinsip manusiawinya berbeda.Tidak ternafi hal ini. Kerana itu, kiblat ilmu pengetahuan dan pemikiran sekarang adalah di negara Barat. Barat menghasilkan pelbagai inovasi dan kreativiti dalam memperkaya modeniti dan mengangkatkan lagi tamaddunnya di mata dunia.
Al-Hasil, hari ini Amerika mengkontrol budaya politik, ekonomi dan sosial dunia. Presidennya dikenal seantero. Bahasa tuturnya masyhur dan dikagum. Institusi pendidikannya dilambung. Segala tata hidup Eropa disanjung, terkesan sama adalah orang Melayu. English dijadikan nilai (value) dan pesona. Sama ada intelektual atau orang biasa memandang tinggi pada bahasa Eropa itu. Orang Melayu yang tak tahu English dibilang bebal, berpikiran singkat dan tidak ke mana. Ini persepsi umum hari ini. Ini lah persepsi Melayu yang hilang makna diri.
Rasa kagum melangit ini kian mencecah angkasaraya, sehinggakan orang Melayu terlupa keagongan agama Islam dan bangsa Melayu yang sudah pun menjadi harta karun (kerna harta karun perlu digali, sebab jauh di dalam tanah).  Melayu jadi bengong , kehilangan makna diri Melayunya, lalu menerawang, dan mulai coba-coba meniru bangsa lain yang dikaguminya.
Tidak sedikit pula intelektual dan pemikir jalanan yang berpenyakit sebegini (hilang makna diri). Mereka ini katanya ingin melakukan agenda pencerahan (enlightenment), namun tanpa sedar mencabut akar tradisi Melayu-Islam, ini mengarahkan Malaysia kepada keruntuhan moral - sama macam tamaddun Barat.  Mengapa jadi begini? Kerana mereka ini semuanya buta sejarah, akar budaya dan tamaddun Melayu dan Islam. Mereka kabur hakikat pertembungan tamaddun barat dan Islam (Samuel Hautington : clash of civilization). Dan, kerana mereka terlalu menghormati Barat atas budaya demokratiknya, dan keunggulan tamadunnya. Isham Rais adalah antara manifestasi terbaik dalam hal ini.  
Tak ternafi, pragmatisnya memang Melayu bodoh dan tak demokratik walau hidup dalam politik demokrasi. Betul kata Isham Rais. Budaya politik Melayu sangat bodoh dan membodohkan masharakat. Kerajaan dan pembangkang, sama saja. Di Amerika, sistem dua parti betul-betul membudayakan demokrasi individu yang melahirkan sikap terbuka rakyatnya. Kalah menang tidak menjadi tujuan mutlak, kerana mereka sudah cukup matang dan demokratik. Malaysia, yang meniru Barat dalam pengamalan sistem dua parti dalam ruang politik demokrasi, pada hari ini kita dapat lihat akibatnya – tiada serupa Amerika ! Politik Malaysia kacau-bilau dan kebudakan. Inilah akibat apabila meniru budaya orang lain tanpa menyelidik ke umbi. Persejarahan, akar budaya (dan tamaddun) dan pengalaman beragama Melayu berbeda sama sekali dengan bangsa Barat.     
Jika ditinjau dari aspek epistemologi, pasti kita akan terlihat jurang paradoks antara budaya ilmu dan pikir antara Barat dan Islam (oriental). Locke, Descartes, bertanggungjawab mengasas rasionalisme dan emperisme kerna mereka sekular, sebagai akibat rasa hampa terhadap agama kristian lama yang tidak merai akal dan sains. Akibat ini menjadi sebab kepada akibat yang lebih teruk kepada masharakat Barat dan tamaddunnya, iaitu tamaddun mereka merupakan objek modeniti yang menafikan sama sekali moral dan Tuhan (ghaib) – tidak empiris, tidak rasio. Kalau ada pun, moraliti yang tiada rujukan dan tujuan mutlak iaitu humanisme.
Dalam epistemologi Islam, misalnya Al-Ghazali dalam capaian epistemologinya menilai keotentikan sumber kebenaran (ilmu) dengan meletakkan wahyu (atau intuisi) sebagai yang teratas, diikuti rasio, dan empiris. Sebab itu di akhir hayatnya, Al-Gazel menekuni sufisme. Al-Gazel bukan semata menanggapi sufisme dari sisi emosi, bahkan dari sisi falsafah.     
Kesimpulan bergunanya, untuk menanggapi hakikat demokrasi Barat ini, caranya ialah pembudayaan nilai hormat-kritis. Budaya kebebasan berfikir  Barat patut dicontoh dan diambil manfaat dengan hormat kerna ia memang disaran agama, tetapi perlu kritis. Jangan sampai seluruh budaya Barat diambil atau terambil tanpa sedar. Dan ini memerlukan tradisi ilmu dan fikir yang betul2 mantap, selain meraikan tradisi luhur Islam.

tanggapinya dengan nilai hormat-kritis !

Isnin, 11 Oktober 2010

Faisal Dan Tuhan Manusianya

Saya kala ini sedang on da way menghabisi Tuhan Manusia, sebuah novel wacana Faisal Tehrani. Novel ini memang menarik dan penuh dengan makna. Kali ini beliau menampilkan diskusi tentang pluralism agama atau pluralism tuhan. Stail penulisan sastera FT memang patut dipuji. Ramai orang bisa menulis, tidak ramai pandai mengarang, dan hanya segelintir pula pandai berwacana di celahan karangan sastra. Namun, Faisal miliki pesona itu dan itulah yang menonjolkan beliau di arus perdana negara, lalu meletakkan beliau di samping para pendeta bahasa lain di atas pentas sama.

FT peminatnya pastilah tidak seramai Ramlee Awang Murshid, novelis thriller terpopular tanah air, yang novelnya bisa ditrologi berkali-kali. RAM berbeda dengan FT. RAM lebih suka berimaginasi dan bercerita, berbanding berwacana dan mengerah akal fikir. Jadi sasarannya tentu skali kelompok kebanyakan – suka yang mudah-mudah – iaitu remaja Melayu melayu-layu.

Orang Melayu mesti mendalami BM yang pernah terserlah kegahannya pada suatu waktu dahulu.

Siapakah gerangan pemuda Melayu yang sudi ’membuang’ upaya semata merenung Ranjau Sepanjang Jalan karya hebat Shahnon Ahmad ? Lebih baik beratur panjang membeli novel cinta Aisya Sofea, atau pun Ketika Cinta Bertasbih milik Habiburrahman atau novel saspens RAM, Mikhail.

Siapa teringin mengunyah Tuhan Manusia Faisal ? Tak sedap pun. Berapa banyak pula syarikat penerbit yang berani tampil ke hadapan? Novel begini mana ada nilai komersil. Tiada yang minat sangat.

Bagaimana mahu terbinakan masyarakat sastra, iaitu masyarakat yang menjulang ilmu dan fikir, di zaman ini ? Hamzah Fanshuri, legenda pemula sastra melayu gaya baharu (moden) itu pasti kecewa kerna tamadun Melayu yang didirikan tiang serinya oleh beliau pada suatu waktu dahulu, kini kian meruntuh, dan tiang serinya pula ditebang bangsa sendiri!
  
Al-Quran ditanzil dalam bahasa arab dengan kekuatan sastra iaitu seni balaghahnya. Ia sebuah kitab ilmu dan aqliyyah seperti disebut sendiri di dalamnya (di awalan surah Yusuf). Kesastrawanan Muhammad saw dalam bermain seni bahasa dan retorika dengan mudahnya membantai habis barisan penyair arab yang bertahun-tahun tidak tertanding. Kerna apa? Kerna sastra Muhammad adalah sastra wahyu, dari langit. Siapa bisa takluk?

demikian catatanku di mic. word : 11:40 malam, 29/09/2010M. Pokok Tai.

-------------------------------------------------------------

Pujian bagi ALLAH, Tuhan manusia.

Sedang post ini dihasil, saya sudah pun khatam Tuhan Manusia karangan FT. Memang menarik dan wajib dibaca sekalian kita. Bukan sekadar kerana ia menarik, bahkan perlu, bagi mengukuh pikiran kita di atas landasan tauhidik. Lain masa mungkin novel itu bisa diolah di sini. Itu pun jika diilham Tuhan. 

Perpustakaan Awam, Alor Star. 
 

Khamis, 7 Oktober 2010

Di Kota Kita

"Andai kota itu peradaban, rumah kami adalah budaya, dan menurut ibu, tiang serinya adalah agama."
- Faisal Tehrani dalam Tuhan Manusia.


Di kota peradaban ini
cahaya putih cemerlang.
Cinta merah merekah.
Kota ini hanya kecil.
Kota ini kita punya.
Warisan tok, nek merdeka
peletak batu pertama
mendiri tiang seri budaya
untuk anak mereka.

Al-Ghazali, Al-Asyaari, Ar-Razi
mereka tok-tok berjasa
Al-Fanshuri, Ar-Raniri, Syaikh Ali, Pak Daei
sehinggalah Baba Salleh Sik
Aku anak mereka.

Ya Tuhan Pengasih Pembelas
sanadkanlah aku dan mereka.

- Teology Centre, Sik Town - 3:36 petang, 06/10/2010 - 

Rabu, 6 Oktober 2010

Bercanda, Menangis...

di Pekan Sik,
menginap di Madrasah Ar-Rahmaniyah.
6 Oktober 2010 Masihi.

Bismilah al-Rahman al-Rahim
In the name of Allah, Most Compassionate, Most Merciful 
Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Pembelas.


His Mercy encompasses all.
Belas kasih Nya meliputi segala.

Alhamdu lillah..
Pagi tadi aku diberi bekas kosong
menungkin aku memenuhinya.

ke alam Teologi.
Bahgianya...
Mengalam pada diri kasih dan belas Ilahi.
Ampuni ku..

Terima kasih Pak Daei, sifu para teolog Melayu, penyusun Bakuratul Amanii
Terima kasih Baba Salleh, filosof Melayu, bapak teolog yang masih idup.
Terima kasih al-Fadhil Helmi, filosof, teolog muda pekan Sik.



"Man 'arafa nafsahu faqad 'arafa robbahu"

Sabtu, 2 Oktober 2010

Isham Yang Ajar Saya Lebih Berkeyakinan Kritik Orang


Rampaian terima kasih saya untuk Hakimi Mahmud, teman satu geng sedar kerna menghadiahi saya juadah kunyah yang sungguh nikmat – himpunan karya tulis Isham Rais yang dibukukan dengan dipilih judulnya : Keganasan, penipuan dan internet, Hegemoni Media Daulah Pecah. Sangat nikmat kerana, sila baca sendiri gaya tulis Isham di laman blognya tukartiub.blogspot.com. Dan juga kerana beliau (Isham) yang paling responsif dan kritis menjawab isu sosial politik Malaysia. Segala bentuk pembodohan yang berlaku di Malaysia hasil ‘politik saling menjatuhkan’ amalan berzaman disingkap Isham satu per satu.

 ini Isham Rais dan buku beliau itu

Isham dikatakan independent dalam mengkritik, namun saya tak yakin, kerna ia berlawanan dengan kesimpulan yang saya buat dalam tulisan saya sendiri sebelum ini : bahawa pandangan politikus Malaysia seringkali bias dan prejudis, tidak bebas ilmiah. Kerna Isham ada tempat duduk dalam PKR.

Buku ini memberi minda saya rehat yang paling menikmatkan, kerna Isham bercerita ‘hal-hal yang sepatutnya dilaksana tapi tak dilaksana’ iaitu hal-hal rasional yang pragmatis, hasil daya peka sosialnya yang sangat tinggi. Inilah ide. Tapi pragmatis. Dan disampai Isham kepada pembaca dengan pilihan dan susunan kata yang menghadirkan rasa lucu. Isham memang sempoi. Ini lebihnya Isham. Ini yang mengganda-gandakan kutipan jualan bukunya.

Saya sebelum mengulit dan mengulat buku ini memasang niat untuk mengenali Isham lebih dalam, pemikirannya dan apa-apa tentangnya, kerana teman penghadiah buku ini tampak sangat ‘thiqah’ akan Isham. Kedua-dua buku Isham yang diterbitkan seupaya mungkin dicarinya dan dibeli. Manakan tidak, buku ini kekal top ten bestseller sejak baharu  terbit sampai sekarang. Justru, saya berbangga memilikinya.
 
Teman saya itu, dihikayatnya awal-awal bahwa Isham ini sosialis dan idealis yang ‘piyao’. Pada gambaran akal saya pada masa itu (yang dipengaruh oleh premis yang tersimpan di akal), pasti Isham ini seorang yang begitu memahami sosialisme hingga ke akar umbinya – sekurangnya macam Rustam A. Sani – antara orang terawal mengajar dan mengembang ilmu sosial sains dan masyarakat di universiti di Malaysia. Maksud saya, sosialisme sebagai ilmu dan falsafah pemikiran.

Namun saya tersilap. Isham sendiri memperbetulkan saya. Beliau dalam buku ini mengaku beliau sosialis, tetapi bukan sosiologis. Jadi saya dapat satu istilah baharu daripada Isham iaitu ‘sosiologis’, iaitu seorang sosialis yang ‘piyao’. Barangkali apa yang Hakimi maksudkan dengan sosialis piyao perlu beliau jelaskan kembali kepada saya. Mungkin lain ide yang mahu beliau beri tahu. Namun saya dapat agak sosialis ‘piyao’ yang Hakimi coba ungkap ini adalah bermaksud pengamal dan pejuang isu sosial yang tegar. Inilah yang dinamakan keragaman tafsiran akal, yang sekaligus mendedahkan kelemahan manusia ‘agnostik’ (seperti diungkap dalam buku) – itu lah Isham – orang yang percaya pada kekuatan akal pikir manusia.

Isham membuat bermacam pengakuan pelik dalam buku ini, dan dengan itu saya lebih kenal siapa Isham lalu matlamat saya mambaca buku tercapai. Dalam buku, Isham tanpa segan mengaku bahwa beliau sekular dan lebih bahaya dan bengong lagi, mengatakan bahwa untuk beliau, agama hanyalah sebagian daripada budaya bangsa. Sekadar itu. Ini yang paling saya tak puas hati. Isham memang telah terbaratkan. Saya faham. Tempoh 20 tahun di luar negara terutama di kota London adalah sangat lama dan matang untuk membentuk rasa kagum beliau terhadap bangsa sekular dan gaya fikir dan budaya bangsa itu. Isham dalam buku ini seringkali mengangkat budaya Eropah dan merendah budaya Melayu. Bagi Isham kebangsaan tiada apa2 nilai. 

Sedangkan bangsa Melayu punya akar budaya yang terbentuk daripada worldview Islam yang mantap. Sebenarnya Isham tak layak bercakap soal budaya, kerna budaya datang dari pemikiran, dan pemikiran datangnya dari tradisi keilmuan yang melampaui, dan budaya pula membentuk tamadun. Semua ini falsafah dan pemikiran yang memerlu kajian mendalam, bukan gaya pragmatis Isham yang hanya setakat berupaya memahami permukaan.   

Saya yakin dan percaya, di balik kehidupan yang sangat dinikmati oleh Isham, yang sangat selalu beliau luah dalam buku ini, ada tikanya beliau tidak tenteram. Dimensi spiritual yang diangkat menjulang oleh Al-Attas sebagai the real happiness dalam hidup insan, tampak malap di jiwa manusia Isham. Ketenangan dan kegembiraan yang hakiki (original, sebenar) hanya ada pada manusia beragama dan berpandangan dunia menurut Islam (worldview of Islam) dalam mengharung hidup singkat ini. Inilah nikmat sebenar, yang diketengah agama Islam, bukan seperti diketengah Isham.
 
Isham Rais yang saya hormati itu, barangkali sebelum beliau tua dan berkurang daya taakulnya ada baiknya beliau menghadam pemikiran Al-Attas. Saya sarankan, bacalah Islam and Secularism karya mega Al-Attas dan juga tulisan Al-Attas tentang akar budaya Melayu supaya beliau ‘turut sama menikmati’ hidup kekal selepas hidup singkat ini.

Pada saya, yang membuat saya hormat dan kagum akan Isham adalah kerana beliau pejuang isu sosial yang sangat melawan dan daya pragmatis beliau yang tinggi. Kempennya telah menyedarkan ramai orang. Ini sumbangan Isham. Ini perjuangan isham. Setakat itu.

Yang membuat saya jelek pula ialah kehidupan sekularnya, dan kegagalannya mencari punca penolakan masyarakat terhadap Barat. Kesian Isham, kerna hal yang terlalu dan paling penting ini beliau bodoh menilainya sedangkan hal-hal lain beliau lah paling bijak dan ideal. Inilah bahana mazhab pragmatism anutan Isham – tak mampu membongkar isu2 pemikiran dan akidah. Yang bahayanya, jumlah pengikut Isham dan daya ketrampilan beliau sangat ramai dan beranak-ranak. Ya. Isham pada satu tahap telah berjaya membentuk budaya baharu masyarakat Malaysia, iaitu budaya Isham. Para pengkagum Isham ini saya harap semuanya insaf dan kembali kepada akar budaya Melayu-Islam.
 
Dari segi keilmuwan dan kefalsafahan – yang lebih saya cenderung – Isham masih ketinggalan jauh. Praktikalnya, mendengar syarahan ahli2 ilmu sosiologi dan falsafah amnya, lebih menikmatkan daripada mendengar syarahan Isham. Isham (untuk saya) lebih kepada hiburan (yang mudah-mudah), kerna ilmu dan falsafah itu sesuatu yang mulia, diangkat tinggi oleh agama. Sebab itu, ianya yang payah-payah.

Isham ini saya simpulkan termasuk pengamal politik pragmatis-machiavelis – sama saja dengan umno yang selalu sangat beliau kritik.

Isham Rais memang meraikan manusiawi, iaitu meraikan akal - kerna manusia itu ditakrifkan sebagai haiwan berakal. Nasihat saya, Isham mesti meraikan juga Ilahi. Ini lebih penting.    
   

Rabu, 29 September 2010

" My Name Is Khan, I'm Not A Terrorist. I'm A Humanist! "


MY NAME IS KHAN sebuah filem arahan sutradara Karan Johar. Ia begitu menarik minat saya kerna mengangkat wacana agama yang mungkin sekali diperdebat orang, kerna ia hal paling sensitif dalam hidup insan. Seperkara, ia memang menarik pun. Tetapi wajar sekali menanggapnya dengan pandangan awal yang skeptis lagi prejudis kerna dunia sekarang dilanda sekularisme hasil peradaban Barat. Islam, Hindu, dan Kristian disertakan sekali dalam satu filem, dengan menonjolkan Islam secara berlebihan. Tidak ketinggalan, pemikiran sekularisme yang diwakili oleh negara Amerika.

Watak utama ialah Rizvan Khan, seorang muslim yang berkahwin dengan seorang penganut hinduisme, Mandira. Pelakon Shah Rukh Khan dan Kajol. Islamiphobia melanda Amerika sejurus tragedi 11/9 lalu Islam diberi wajah teroris. Kesannya, pelbagai masalah menimpa keluarga Khan lantaran keislaman Rizvan dan terbesarnya ialah kematian anak mereka yang pantas memomok langsung persepsi Mandira bahwa Islam itu mesti dihindarkan.

Rizvan yang dihalau isteri sendiri kemudiannya melalui perjalanan panjang bagi ‘membuktikan’ falsafah anutannya iaitu (petikan dalam filem) : “good people who do good deeds. And bad people who do bad. That’s the only difference in human beings. There’s no other difference”. Baginya, seseorang tidak boleh dianggap jahat kerna agamanya Islam. Tetapi seseorang dianggap jahat kerna membuat jahat. Falsafah itu dilekat kukuh pada pemikiran Rizvan oleh ibunya sejak dia kecil, apabila ketika itu (1983) berlaku pertelingkahan besar antara agama Islam dan hinduisme.

Pengembaraan Rizvan ditandai terutamanya oleh babak ‘good deed’ beliau terhadap panganut kristian dengan bersusah-payah meredah hujan lebat dan banjir besar demi menemui dan menyelamatkan Mama Jenny yang juga pernah berbudi kepadanya terdahulu. Tragedi banjir yang menimpa tempat itu mendapat liputan media. Sekali lagi Rizvan melakukan ‘good deed’ iaitu menolong pihak polis menangkap seorang ekstremis Islam. Kedua-dua peristiwa itu dijadikan rasional yang berkesan oleh pengarah filem bagi menafikan tanggapan bahwa Islam itu ganas dan sebagai pemusnah virus islamiphobia. Selepas itu, Rizvan mulai dikenali masyarakat dan menjadi amat terkenal di Amerika. Ia sekaligus merubah sama sekali persepsi masyarakat terhadap Islam yang sebelum itu teruk diskeptis dan diprejudiskan.
      
FILEM ini dengan halusnya menganjurkan bahwa islamiphobia kononnya dapat diatasi dengan pemikiran anutan Rizvan Khan iaitu : orang baik ialah yang buat baik, dan orang jahat ialah yang buat jahat. Tidak dikira apa agamanya.  Filem ini walau tampak mahu menghapus sisi ekstrem Islam yang diwakili oleh sebutan lafaz “jihad” dan “sacrifice” dalam filem, namun, ditampilkan pula ideologi humanisme dan secara sangat halus menolak peranan agama dalam kehidupan. Sudah cukup dengan melakukan kebaikan dan menafikan kejahatan, yang dibilang berupaya ditanggap sepenuhnya oleh akal tanpa panduan wahyu. 

Sedangkan Islam menjawat sebagai agama samawi yang ditunjang wahyu tanpa menolak akal budi manusia dan nilai kemanusiaan. Nilai kemanusian itu sendiri dipandu oleh wahyu sebagai perlembagaan baik-buruk perbuatan manusia.

Lebih berat lagi, mungkin saja falsafah humanisme yang cuba dimomok dalam My Name Is Khan ini membawa kepada falsafah pluralisme agama, ideologi yang mengandaikan bahwa semua agama itu sama rata dan berkongsi hakikat kebenaran. Tiada kebenaran mutlak yang berhak dimiliki oleh hanya satu agama. Falsafah ini malah pada hari ini dikatakan berkesan bagi mendamaikan konflik antara agama dan membawa perpaduan sosial.