Memuatkan ...

Isnin, 6 Mei 2013

Sifat-Sifat Tuhan Menurut Imam Juwaini rhm



Kes Imam Juwaini rhm (5H) dan Pengkelasan Sifat-sifat Tuhan Menurut Beliau.


Kerangka pengkelasan sifat-sifat Tuhan Imam Juwaini rhm berbeda sebagaimana yang kita faham. Maklum, kita belajar ilmu sifat-sifat Tuhan yang 13 dan 20. Iaitu yang disusun oleh mutakallimun terkemudian. Mutakallimun terdahulu seperti Imam Juwaini rhm dan Imam Asyaari (3H) membincangkan sifat-sifat Tuhan dalam kerangka lain daripada yang kita belajar.

Sekarang ana nak bandingkan kerangka kita dan kerangka beliau rhm. Kerana pada awalnya ana terhasil keliru disebabkan hal ini antaranya.

Menurut beliau rhm dalam kitab tawhid utama beliau Al-Irsyad, Sifat-sifat Tuhan itu hanya terbahagi kepada dua;

(1) Nafsiyyah.
(2) Maknawiyyah.

Takrif (1) ialah sifat yang wujud pada diri Tuhan tanpa 'illah. Ia berdiri sendiri pada zat Tuhan. Contohnya sifat wujud.
Takrif (2) ialah sifat pada diri Tuhan kerana wujud 'illah. Ia tidak berdiri sendiri pada zat Tuhan. Ia dikira sifat Tuhan kerana adanya 'illah yang wujud pada diri Tuhan. Contohnya sifat berilmu. Ia sifat maknawiyah kerana wujud 'illah pada zat Tuhan iaitu sifat ilmu.

Sifat dua puluh seperti kita faham, jika dimasukkan ke dalam kerangka Imam Juwaini rhm ini dengan melihat takrif-takrif tadi, maka yang termasuk dalam sifat (1) ialah sifat wujud (nafsi) dan tujuh sifat maani kerana sifat-sifat ini adalah wujudi dan yang termasuk dalam sifat (2) ialah tujuh sifat maknawiyah (yang menurut kerangka sifat 20). Dan sifat salbiyyah dalam sifat 20/13 tidak termasuk dalam diskusi sifat-sifat Tuhan bagi Imam Juwaini rhm.

----------------------------------------------------

Jika kita buka kitab-kitab besar ulama kalam terdahulu, kita tak akan jumpa pengkelasan sifat dua puluh atau tiga belas. Imam Asyaari rhm (3H) dan Imam Maturidi rhm (3H) sendiri tak buat pengkelasan ini. Tidak ada pada kurun ke-5 (Imam Juwaini rhm), kurun ke-6 (Imam Ghazali rhm), kurun ke 7 (Imam Fakhrudin al-Razi rhm, Imam Al-Amidi rhm), kurun ke-8 (Imam Al-Iji, Imam Taftazani) kurun ke-9 (Imam Jurjani rhm). Kandungan kitab-kitab para imam yang ana sebut sebermula Imam Juwaini rhm membincang sifat Tuhan lebih ke arah mempertahan ketuhanan daripada spekulasi failusuf. Qaul berkata pengkelasan sifat 20 dimulakan oleh Imam Nasafi rhm. Ana tak pasti kurun berapa.

Kelainan ini bukanlah percanggahan betul/salah tetapi ianya perkembangan dari asal (Imam Asyaari rhm) kepada bentuk yang kena dengan konteks dan cabaran zaman. Prinsip-prinsip yang sama. Laisa kamithlihi syaiun yang sama. Tanzih yang sama. Cuma bagi kita, harus kita faham sifat-sifat Tuhan secara ontologinya (wujudiyahnya) bukan menghafal tuli. Supaya kita mampu serasi dengan semua kerangka dan mampu pula melawan cabaran zaman. Pada 3H Imam Asyaari rhm berdepan cabaran muktazilah. Pada 6H dan 7H Imam Ghazali rhm dan Imam Fakhrudin rhm berdepan cabaran failusuf. Dan pada zaman kita, kita berdepan dengan cabaran sekularisme dan liberalisme. Kedua-duanya menggoyah pegangan pemikiran kita. Ia bersangkut dengan bab-bab dalam kitab kalam seperti af'al 'ibad, qadak qadar, sifat-sifat Tuhan sendiri. Soalnya, mengapa kita mengaji ilm kalam tetapi tak mampu berdepan dengan cabaran zaman seperti mana imam-imam tadi rhm. Isu pluralism agama/ kristianisasi/penggunaan kalimah Allah cthnya yang melibatkan prinsip paling asas dalam ilmu kalam. Fa taammal!

Jumaat, 3 Mei 2013

Ontologi/Wujudiyah SIfat-Sifat Tuhan Menurut Mutakallimun





Oleh kerana perbincangan ini melibatkan sifat maknawiyah maka kita akan guna :

(1) kerangka pengkelasan asyak (sesuatu-sesuatu) kepada empat bukan tiga kerana perbincangan ini melibatkan haal dan

(2) kerangka Imam Maturidi rhm (3H) kerana Imam Asyaari rhm (3H) menafikan sifat maknawiyah dan Allamah Pak Da Eil rhm (13 atau 14H) sendiri menurut jalan Maturidiyah.

Kita jelaskan dahulu berkenaan pengkelasan asyak kepada empat dari segi keadaan dan ketiadaannya;

(1) Wujud. Ada di dalam dan luar akal.

(2) 'Adam. Tiada di dalam dan luar akal.

(3) Amrun iktibari. Ada di dalam akal sahaja.

(4) Haal. Bukan wujud dan bukan 'adam. Ia tengah antara dua itu.

Sifat nafsi adalah diri Tuhan sendiri. Oleh itu ia masuk dalam kategori wujud. Ini satu qaul. Qaul lain kata ia masuk dalam kategori amrun iktibari. Qaul lain kata ia masuk dalam kategori haal.

Sifat maknawi masuk dalam kategori wujud. Ia bukan 'adam. Bukan amrun iktibari. Bukan haal. Ia maujud yang berdiri sendiri pada zat Tuhan. Ia memang ada sebagaimana adanya kita dan sebagaimana adanya Tuhan. Ia bukan zat Tuhan. Ia diceritakan sebagai "perkara tambahan pada zat Tuhan selain zat-Nya". Wujudnya berdiri sendiri pada zat Tuhan tanpa 'illah.

Sifat maknawiyah masuk dalam kategori haal. Ia bukan wujud. Ia bukan amrun iktibari. Ia bukan 'adam. Ia dikira 'wujud' kerana wujudnya 'illah. 'Illahnya ialah sifat maani. Oleh itulah 'wujud'nya secara haali bukan wujudi mutlak. Buat mudah faham, seseorang itu dikata berilmu (maknawiyyah) kerana dia mempunyai sifat ilmu (maani) pada dirinya. Seseorang yang tidak punyai sifat ilmu, orang-orang bodoh dan jahil umpamanya, tidak dikatakan berilmu.

Sifat salbiyyah masuk dalam kategori 'adam. Ia bukan wujud. Ia bukan haal. Ia bukan amrun iktibari. Secara hakikatnya ia tiada sama sekali.
 

Rujukan:

(1) Imam Juwaini rhm (5H). Kitab Al-Irsyad.

(2) Imam Baijuri rhm (11H). Kitab Tuhfatul Murid li Jauharah Tauhid.
(2) Ustaz Zaidi rhm. Dhobit dari kalam beliau. 
(3) Ustaz Aqli rhm. Risalah Fikriyyah Dalam Menghuraikan Jauharah Tauhid.
(4) Ustaz Amiruddin rhm. Santri Baba Khairul rhm dan Ustaz Sobri rhm.

Jumaat, 12 April 2013

Mihrab Dirdir


*Cerpen pertamaku secara serius. Pembimbing - Pak Samad dan Dr. Faizal. Walaupun mereka jauh di Malaysia, tapi pesan-pesan dan qudwah mereka setia menbimbing ku di celah kejenuhan Perlembahan Nil.. Terima kasih. Moga-moga Allah taala perkenan amal ini, perkenan penghasilan cerpen kedua dan seterusnya, dan memperkenan ianya jadi manfaat untuk aku dan al-alamin. Amin.       



Hujan rintik malu-malu. Hujan memang jarang turun di perlembahan Sungai Nil. Sekali turun pula tidak banyak. Bangunan-bangunan klasik kota Old Cairo sekitar Darrasah akhirnya merasa juga badan dibasahi setelah sekian lama menanti. Seperti selalu Gamek Al-Azhar terpacak megah mempersila para tetamu berkunjung.  Di ruang utamanya, sewaktu solat sempena gelincir matahari hari itu,  berbaris para pengunjung yang berbilang ras dan negara. Ada Rusia, Nigeria, China, Jazair, Kepulauan Melayu dan lain-lain. Ruang utama itu terbahagi kepada dua ruang yang bernama Teduhan Fatimiyah dan Teduhan Uthmaniyyah, dan beberapa mihrab yang salah satunya diberi nama Mihrab Dirdir oleh pihak Al-Azhar.

Tilmisani sedang duduk bersila di sisi Mihrab Dirdir itu. Walau pun matahari di luar mekar memancar, tetapi di dalam masjid itu masih juga ada warna kekelaman. Kedengaran jelas bacaan ayat-ayat suci yang dibaca langsung secara berkumpulan dari sebuah mihrab lain di Teduhan Uthmaniyyah. Alunan demi alunan disedut dua telinganya dengan penuh perhatian. Sedap. Baginya, lebih sedap daripada nikmat tidur.

Sementara kira-kira semeter darinya kelihatan Abdul Hadi sedang duduk menyandar pada dinding di sebelah kanan mihrab. Wajahnya kelihatan lesu barangkali kerana penat amat, tetapi, masih pantas tangannya menulis sesuatu sementara menunggu kelas pengajian bermula. Jelas pada pandangan Tilmisani akan laku mata sahabatnya; sekejap terlelap sekejap terjaga. Apabila terlelap, Hadi akan segera menggeleng kepala dengan keras supaya lekas matanya kembali bulat segar. 

Mereka berdua bersahabat sejak bersekolah di Kedah lagi kerana mempunyai kecenderungan dan perjuangan yang sama. Sekalipun mereka tidak pernah mengikuti pengajian secara pondok atau pesantren ketika di tanah air, namun dada mereka sarat menampung kemegahan institusi tersebut yang diyakini watak utama kebangkitan tamadun Melayu nusantara sebermula abad ketujuh tahun Masihi. Dan permukiman mereka hari-hari di Al-Azhar sudah tentu mengingatkan mereka kepada Syeikh Ahmad al-Fathoni, pemikir dan ilmuan multidisiplin ulung bangsa Melayu yang mana pernah menetap di situ bahkan sempat pula mengarang larik-larik syairnya di situ.     
          
Beg milik Tilmisani yang berisi kitab palajaran tauhid bertajuk Jauharah Tauhid didakapnya longgar sambil belakangnya dibiar tegak cergas. Mulutnya cuba mengajuk lenggok bacaan yang ditangkap oleh telinganya. Pemandangan yang menguasai ruang matanya sekarang, sekalipun sangat mempesona sesiapa pun, baginya adalah terlalu biasa. Kerana dalam kiraannya, sudah hampir setengah tahun dia melihat pemandangan yang sama.

Gamek Al-Azhar memang menggamit. Ianya sebuah binaan yang siap daripada proses sejarah yang panjang dan penuh pergolakan pemikiran yang mengilhamkan seni bermacam. Seni bina kesuluruhannya memerikan beberapa zaman pemerintahan yang berbeza. Fatimiyyah, Ayyubiyyah, Mamlukiyyah dan Uthmaniyyah. Paling jelas ialah tiga menara yang setiap satunya mewakili satu dinasti.

Sambil menikmati ayat-ayat suci, fikiran Tilmisani memanggil kembali memori minggu-minggu awal dia bermukim di Gamek Al-Azhar. Di ruang tersebutlah dia lazim bertapa menunggu kedatangan Syaikh Jamal Faruq untuk pengajian kitab Jauharah Tauhid dan Sullam Al-Muraunaq. Ketika itu matanya sering tertancap pada kecantikan binaan dalaman ruang yang menempatkan Mihrab Dirdir itu. Lampu-lampu kuning yang dikurung oleh kaca-kaca separa tembus berbentuk hampir bulat penuh, bergayutan menghiasi siling, mencahayai permaidani merah terang yang berfungsi mengalas lantai. Ukiran-ukiran kayu bernuansa Islam yang membentuk dinding dan siling masjid pula berperan menaikkan sifat seri Gamek Al-Azhar. Selain reka bentuk mihrab-mihrab yang berupaya menghembus kenangan zaman gemilang Al-Azhar khususnya pada zaman Syeikh Hassan Al-Attar, yang mengasuh reformis masyhur Mesir Syaikh Rifaat al-Tahtawi supaya berfikiran integrasi ilmu pengetahuan agar mampu bersaing dengan Eropah.

Pada kali pertama datang, pada hujung bulan sembilan tahun lepas, Tilmisani sangat takjub dan pernah bererapa kali sengaja tidur di mihrab itu kerana kesukaan.

"Hadi, pukul berapa sekarang? Aku rasa syeikh sudah sampai di Ruwaq Atrak. Jom gerak.”

Ahmad menggosok-gosok kawasan mata kirinya, kemudian kanan. Dia membesarkan matanya ke arah Tilmisani seketika sebelum menyeluk sakunya, mengambil telefon Alcatelnya. Segera lampunya dinyalakan. Pukul dua petang.

“Awal lagi. Kan lagi setengah jam waktu kelas. Tunggu aku. Aku belum habis tulis. Ada beberapa perenggan lagi. Cerpen tentang perjuangan menuntut ilmu di Al-Azhar. Tarikh tutup esok. Lagi pun bukan selalu pertandingan macam ini dibuat..”  

“Okey. Kalau menang nanti kongsilah dengan aku ya. Sebab aku ada saham juga. Aku teman kau. Heh. ”

Ayah Tilmisani, Encik Karim, ialah seorang pengusaha perniagaan kecil-kecilan. Emaknya seorang suri. Encik Karim seorang pembudaya ilmu. Rumahnya mempunyai sebuah bilik khas yang dibina sebagai perpustakaan. Ianya malah merupakan ruang paling luas di rumah mereka. Lebih besar daripada ruang ramu dan bilik tidur Encik Karim sendiri. Sekalipun dia bukanlah seorang profesor atau pun ustaz, namun impian hatinya sentiasa mahukan anak-anaknya menjadi ahli akademik atau pun agamawan ternama. Impiannya tinggi dan panjang. Setinggi dan sepanjang rak-rak buku yang menghidupkan ruang pustaka tersebut.

Tilmisani selaku berpangkat sulung, sering diingati oleh Encik Karim akan cabaran zaman global yang menurutnya bertitik tolak daripada cabaran keilmuan. Zaman global, kata Encik Karim, merujuk kepada pengglobalan dan perataan maklumat dengan cara yang dikenal sebagai teknologi. Bahasa Inggerisnya Information Technology. Dengan adanya teknologi, maklumat dari Australia misalnya boleh sampai ke Afrika Selatan dalam masa satu saat. Tidak dikisah benar atau salah maklumat itu. Itu bahaya yang pertama. Bahaya kedua pula ialah pengglobalan ini menyebabkan masyarakat tidak lagi mengakui autoriti guru kerana segalanya kini boleh dicari menggunakan komputer. Oleh sebab itulah, lahirnya pelbagai macam aliran pemikiran yang terpisah hubungan dengan tradisi agama yang asal.

Dan apa yang Encik Karim inginkan sangat daripada anaknya itu ialah,

“ Kau pergilah belajar di Al-Azhar. Ayah tahu di sana tradisi menuntut ilmu secara menghadap guru masih kuat. Ayah kenal benar siapa Syaikh Ali Jumaah, Syaikh Jamal Faruq, Syaikh Taha Dasuki, Syaikh Hasan Syafie dan ramai lagi orang alim di sana. Ayah tak mahu kau termasuk sama dalam kumpulan liberal itu, yang selalu ayah ceritakan itu.”

Tilmisani masih lagi ingat betapa ayahnya sangat tegas ke atas kumpulan yang digelar liberal itu. Di rumah mereka bukan saja tersimpan kitab-kitab kuning peninggalan leluhur agung silam, tetapi terdapat juga buku-buku tulisan kumpulan liberal. Ayah mengkhususkan sebahagian rak untuk buku-buku liberal, iaitu di bahagian kiri-bawah yang terletak paling dekat dengan pintu keluar. Antara tokoh penulis liberal yang masih Tilmisani ingat ialah seperti Ludwig Wittgenstein, Nietzsche, Kant, Derrida dan Sartre. Mereka semua ini mewakili kebangkitan zaman moden yang mengagungkan rasionalisme sampai ke tahap meminggirkan agama. Pengaruh mereka dengan sekejap merayap ke serata dunia dengan adanya media dan teknologi, lalu membentuk asas kebimbangan Encik Karim.

Khayal Tilmisani terganggu oleh ketukan pena milik Abdul Hadi. Rakannya barangkali kehabisan ide, sebagai gantinya, mengetuk pennya beberapa kali ke lantai. Tilmisani mengarah pandangannya menyeluruhi wajah Abdul Hadi.

“Sejak bila kau pandai bersastera? Setahu aku kau tak pernah mengarang cerpen sebelum ini. Betul tak? Dan sangka aku, kau hanya cekap mengi’rab ayat-ayat bahasa arab. Ya, kau memang pandai nahu dan balaghah. Itu aku kagum dan aku mengaku. Tapi sejak bila pula kau jadi A. Samad Said ni?”

“Eh engkau ni.. Sekali-sekala mengarang pun kau nak bisingkan. Lagi pun, bukankah belajar bahasa matlamatnya untuk diguna semaksima mungkin, untuk berdakwah misalnya? Mengkritik persekitaran misalnya melalui pena? Kalau tidak, apa guna mahir bahasa? Ini langkah awal aku untuk menyatakan kesedaran ini. Kau bila pula nak mula menulis?”
Tilmisani mengangguk-angguk bersetuju. Jelas kematangan kawannya itu. Mampu mengenalpasti apa gunanya bahasanya dan apa matlamat berbahasa. Dia menguis sedikit kopiah iras rekaan Omannya ke atas dan tersenyum girang sekali. Sifat sebegitu memang cocok dengannya. Sejak dulu lagi Tilmisani senang berkawan dengan Hadi kerana sifat dan pertimbangannya, yang seirama pula dengan sifat dan pertimbangan ayah kandungnya, Encik Karim. Tidak semena-mena sebayang kenangan bersama ayah datang melintas. Lokasinya perpustakaan rumah.       

Encik Karim membetulkan duduknya di kerusi rotan di ruang pustaka rumah mereka. Singlet lusuh yang dia pakai kelihatan ketat di bahagian perut sedangkan di bahagian dada muat seperti biasa. Kain pelikat Jawa yang diminatinya sejak melawat daerah itu dua tahun lepas diikat kemas separas bawah pusat. Tangan Encik Karim yang berbulu lebat mancapai kaca mata dari atas meja. Sambil menghadap Tilmisani, dia mengenakan kaca matanya. Petang terasa membahang. Encik Karim bangun menguak langsir, membuka jendela.  Angin segar menerpa masuk, berselisih pipi kanannya dan rambut tepinya yang lurus menyucuk. Surat khabar yang tersusun rapi rapat ke dinding bertingkat-tingkat terterpa juga dek angin sebelum beberapa helaian daripadanya yang berada di tingkat paling atas melayang jatuh mencium lantai. Tilmisani cepat-cepat bangun mengutip lembaran-lembaran yang jatuh dan menyusun kembali di atas meja, berhampiran dinding yang tertampal poster besar bertajuk ‘Ulama-ulama Nusantara’.   

Petang itu angin kuat benar hingga berbunyi seperti seseorang bersiul. Namun setelah berlalu beberapa minit, siulan reda dan cuaca tropika yang malar segar kembali mendamaikan. Encik Karim mempamer wajah kelegaan. 
      
Seperti minggu-minggu sebelum, pada petang itu, Pak Karim akan membaca beberapa perenggan daripada sebuah buku dengan bertemankan Tilmisani. Anak itu akan mendengar apa saja yang ayahnya akan syarahkan selepas habis membaca. Budaya itu telah mereka berdua amalkan sejak Tilmisani berumur awal sekolah menengah. 

Tilmisani masih ingat dengan jelasnya perjalanan sesi bacaan dan syarahan ayahnya itu. Malah, tiga hari sebelum berangkat ke Mesir, Encik Karim sempat memberikan syarahan terakhirnya yang berupa kesimpulan padat yang kalau boleh diberi tajuk menurut akal Tilmisani, ialah ‘Perjuangan Menuntut Ilmu Yang Benar, Mengembalikan Tradisi Gemilang Islam’.

Oleh sebab budaya ilmu itulah, sekarang Tilmisani telah dewasa sebagai remaja yang matang fikiran dan cakna perasaan. Dia jarang terlepas mengikuti perkembangan harian umat Islam terutamanya sejak berlaku rusuhan umat besar-besaran di Timur Tengah. Minggu lepas, apabila berlaku pembunuhan tragik ke atas Allamah al-Syahid Syeikh Muhammad Said Ramadhan al-Buthi, seorang tokoh perjuangan keadilan Islam yang tegas, Tilmisani berpendapat ia sebagai satu pembaharuan seruan berjuang yang lebih padu kepada seluruh kaum muslimin. Peristiwa meruntun jiwa seperti itu tidak harus ditanggap dengan perasaan semata, yang sedihnya berkunjung hanya sekejap sebelum pergi dengan berlalunya masa.

Pada pendapatnya lagi, setiap individu Islam wajib memperjuang agamanya pada posisi atau tempat masing-masing. Misalnya, sebagai seorang yang berada di posisi penuntut ilmu, cara dia berjuang ialah belajar bersungguh-sungguh tanpa mengira jenuh dan peluh. Samalah seperti seorang askar yang gigih berlatih dan berperang di medan. Dua golongan ini, kedua-duanya bermatlamat menaikkan Islam. Cuma peranan, persekitaran dan tempat saja yang berbeza.

‘Justeru, pemergian Syeikh Al-Buthi sepatutnya menguatkan lagi semangat menuntut ilmu para pelajar’, fikir Tilmisani.

Dan pemergian tokoh kemanusiaan itu benar-benar memuncakkan semangat dia. Serta-merta wajah Encik Karim membayang lagi di akalnya. Dengan janggut yang tak pernah melebar ke tepi, hanya sejemput ke bawah, dan dengan wajah sedang-sedang, tak cekung dan tak terlalu berisi walaupun terserlah sedikit tulang pipi. Tilmisani sejurus mengiangkan kembali pesan-pesan ayahnya ketika sesi syarahan terakhir di bilik perpustakaan.

Tiga pesanan pada tiga hari sebelum berangkat. Yang pertama, mesti ingat bahawa umat Islam sekarang sedang menderita penyakit hilang ilmu yang benar dan hilang kebijaksanaan. Berbanding zaman silam, zaman sekarang menyaksikan kemunduran ilmu umat Islam di belakang orang-orang kulit putih. Mereka menguasai perbendaharaan maklumat dan teknologi. Yang kedua, cabaran ketamadunan yang datang dari Barat amat mendesak. Harus bersikap berjaga-jaga dengan mereka. Telah ramai golongan ilmuan yang jadi sekular dan liberal kerana pengaruh Barat. Mereka itulah yang berpenyakit meragui alim ulama tradisi agama mereka sendiri!  Ketiga dan pesanan akhir, jangan lupa mendoakan ibu bapa serta adik-adik.

Itu tiga pesan dari desa asal. Nun jauh di tanah nusantara.

Sekilas juga, tersusun di minda Tilmisani baris lafaz Friedrich Nietscze filosof Jerman yang mengungkapkan dalam bukunya yang bertajuk Zarasustra, “God had died!” sebagai menggambarkan kesekularan zaman moden. Lafaz yang sungguh mencabar perasaan dan jiwa raga Tilmisani. Geram!

“Sudah siap atau belum cerpen kau, Hadi? Apa tajuknya?”

“Alhamdu lillah. Esok kita hantar. Tajuknya Mihrab Dirdir. Sengaja untuk mengambil keberkatan Syaikh Ahmad Dirdir dan sebagai kenangan tempat selalu kita lepak menunggu pengajian. Sedangkan mihrab ini pun mahukan keberkatan beliau, apa lagi kita yang ditaklif dosa pahala.”

Kedua-dua sahabat baik itu saling memandang sambil tersenyum, lalu bangun, terus bergegas ke Ruwaq Atrak untuk memulakan pengajian sekaligus meneruskan perjuangan!
    

Isnin, 5 November 2012

Fragmen Puisi Belajar di Mesir Syeikh Ahmad el-Fathoni (bahagian 2

( Lebih kurang setelah genap empat puluh hari di Hayy Sabiek)

Buat jiwa ku meneladan...




(Bait 28)
Maka tuntutlah ilmu, dan janganlah banyak mengeluh
Cuba kau fikirkan!
Lama kelamaan, seutas tali,
Akan dapat memberi kesan ke atas batu yang keras

(Bait 11-12)
Aku telah membuang masa,
Menyia-nyiakan masa mudaku
Aku biarkan masa berlalu,
Tiada sedikit faedah yang dapat ku raih
Aku malas dan aku lalai

Aku terpedaya dengan nafsuku,
Yang menggoda dan memujuk rayu
Laksana anak kecil datang bermanja,
Bahkan lebih dahsyat adanya
Aku terpedaya,
Walaupun aku sedar akan terlanjurku

(Bait 20-25)
Walau apa sekalipun yang terjadi
Aku tetap yakin dengan anugerah Tuhanku
Tiada pernah kecewa orang yang menjadi tetamu
Di kalangan keluarga yang pemurah, mulia, lagi suci.

Aku berada di kalangan mereka yang mulia
Aku berdoa dengan menyebut keberkatan mereka
Aku beristighatsah dengan mereka
Merekalah sebaik-baik yang diambil keberkatannya.

Dan juga dengan berkat datuk mereka,
Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Salamnya
Kekasih Allah, insan pilihan-Nya,
Yang datang membawa rahmat dan berita yang baik

Kini ku persembahkan kepada-Mu, Ya Allah,
Akan pangkat dan kedudukan yang tinggi
Semoga dengan itu
Engkau hilangkan segala kesusahanku

Maka bukakanlah dengan segera,
Pintu-pintu kemudahan
Bagi hamba-Mu, Ahmad al-Fathani
Dan sempurnakanlah segala maksud hatinya
Supaya ia dapat suka dan gembira.

Hamba-Mu ini sangat mengharapkan,
Kiranya Engkau persampaikan akan hajatnya
Maka anugerahkanlah kemurahan-Mu kepadanya,
Dan jangan Engkau tolak permohonannya.

(Bait 26-27)

Wahai hatiku jangan engkau gusar atau putus asa
Kelak akan kamu perolehi maksudmu
Barharaplah pada Tuhanmu, dan bersangka baiklah
Atas segala taqdir-Nya,
Dan hendaklah kamu banyak sabar terhadap-Nya

Sabar itu kunci segala kejayaan
Keluh kesah membawa kepada kerugian
Maka janganlah engkau mengeluh ketika diuji
Dengan ujian yang menikam ke dalam lubuk hati.


Ahad, 23 September 2012

Belajar di Mesir : Fragmen Puisi Syeikh Ahmad el-Fathoni



Buat renung muhasabahku dan teman-teman azhari, inilah fragmen pertama daripada 'bait-bait Azhari' Syeikh Ahmad Fathoni. Larik-larik ini ingin berkongsi perasaan dan fikiran pengarangnya, seorang  tokoh pemikir-ilmuan Melayu yang legendaris perihal keberadaannya di Mesir untuk menuntut ilmu pada satu ketika dulu. Ya Allah taala, tuntunilah aku menurut jalan alim besar ini.




(bait 1 – 4)

Betapa aku tiada mengeluh,
Kesedihan dan kepiluan
Betapa aku tiada menggigit ujung jari-jariku
Kerana kebingungan.

Semalam-malaman aku tiada lena,
Nafasku sesak
Dan air mata berlinang membasahi pipiku.

Kekusutan fikiran,
Telah mengganggu  ketenteraman hatiku
Hatiku resah tiada tenang.

Bahang kerinduan mencengkam di dalam hati
Laksana bara api yang membakar rusuk.

(Bait 5)

Aku dagang di negeri Mesir,
Tak ubahnya seperti Nabi Yusuf
Menanggung derita di dalam penjara.

(Bait 29)

Hendaklah engkau mengambil pengajaran,
Daripada peristiwa anak Nabi Ya’qub,
Dia berjaya, setelah banyak melintasi ujian
Dan setelah dia banyak berfikir.

(Bait 6)

Aku rasa pelbagai derita dan kesusahan
Aku lalui gurun pasir
Aku harungi lautan
Banyak wang yang aku belanjakan.

(Bait 8 – 10)

Lalu aku masuk ke dalam Masjid Al-Azhar,
Masjid nan indah,
Penuh aneka bagai ilmu pengetahuan

Aku terus beri’tikaf di dalamnya
Untuk memetik bunga-bungaan dan buah-buahan
Yang memenuhi setiap dahan.

Aku pun tinggal di sana,
[menuntut ilmu aneka ragamnya]
Beberapa tahun lamanya
Namun aku tiada mengerti,
Kenapa diriku terkadang menjadi malas..



Hayy Sabiek.
Hari Ketiga.

Isnin, 6 Ogos 2012

Mendaftar Fakta




Membaca merupakan satu kemahiran dalam kegiatan ilmiah. Menulis pula merupakan satu kemahiran yang lain dalam kegiatan yang sama. Seorang  pembaca yang hebat berupaya mencerna teks yang berselirat dan makna yang samar tetapi belum tentu dia mampu mengarang. Mengarang teks ilmiah melibatkan kemahiran mendaftar fakta. “Mendaftar fakta” ini saya dapat daripada Rahman Shaari, seorang kritikus sastera. Dalam artikel di Sinar Harian tersebut, Rahman Shaari merujuk Anwar Ibrahim sebagai seorang pendaftar fakta yang hebat. Ini bermakna beliau seorang pengarang ilmiah yang hebat. Benar, umum maklum DS Anwar bukan saja seorang pengarang yang hebat dalam catatan-catatan pena, tetapi juga dalam pidato-pidato awam. 

Bagi seorang yang bersaksi memilih berjuang dalam medan ilmu, dia mestilah pandai menulis dan dengan itu mestilah menguasai kemahiran mendaftar fakta. Ini kerana, dalam kehidupan hari ini, fakta dan data sudah menjadi nilai dan etika dalam pandangan alam manusia moden. Ya, ia sudah bertukar menjadi sebuah retorika kepada masyarakat pada zaman yang dipanggil alaf teknologi maklumat.

Buktinya, kita dapat melihat pada waktu ini Faisal Tehrani mendapat perhatian besar dalam khalayak. Tak perlu diperkenal lagi siapa Faisal. Saya percaya, yang membuatkan orang melekat dengan novel-novelnya bukan semata isu syiah tetapi kerana ‘wacana merentas institusi’ dalam penulisan beliau. Novel terbaharu beliau Perempuan Nan Bercinta mendapat komen pelbagai di alam maya dan tak maya. Ungkapan Rahman Shaari, “mendaftar fakta”, saya kira sesuai untuk beliau. Faisal Tehrani, seorang pendaftar fakta yang hebat. Malah apabila kita menyentuh bidang penulisan sastera, mendaftar fakta berubah menjadi sebuah kemahiran yang lebih kompleks lagi. Penghasilan sebuah novel yang wujud fakta, bahkan fakta lebih diutama berbanding cerita, memerlukan kemahiran mandaftar fakta yang tinggi. Faisal bukan mengarang sebuah kertas kerja seminar, beliau mengarang novel. Untuk membaurkan fakta dalam plot (atau kausaliti) yang membina perjalanan kisah, adalah bukan kerja mudah yang menjadi keutamaan beliau selama ini.

Kamus Dewan mengtakrifkan ‘mendaftar’ seumpama ‘menyusun’. Jadi, mendaftar fakta bermaksud menyusun fakta. Oleh kerana itu, boleh juga kita katakan bahawa mendaftar fakta sebagai seni menyusun fakta dalam sebentuk penulisan. Apabila cerita yang dikarang, maka jadinya, seni menyusun fakta dalam cerita. Jika cerita mempunyai peristiwa berjalinan sebab-akibat yang menarik pembaca untuk terus membaca, fakta pula bersifat sebab atau akibat semata-mata yang tidak terjalin. Fakta bersifat sedemikian kerana ia berniat khusus untuk menyampaikan kebenaran dan etika.

Seperti Faisal Tehrani, beliau menulis untuk memperjuangkan sebentuk pemikiran dan kebenaran secara serius, bukan semata meraikan kesukaan mencipta ayat-ayat kreatif. Kita sedia tahu, masyarakat umum lebih bernafsu kepada retorika berbanding fakta. Kalau berhubung dengan novel, lebih berahi dengan cerita berselirat yang mengundang permainan perasaaan berbanding fakta yang statik dan tidak bernyawa. Dalam kecenderungan umum seperti inilah, kemahiran mendaftar fakta jadi amat  signifikan supaya novel tepu fakta yang dikarang tidak terus ditolak.
  
Dulu saya pernah berpegang dan membuat ucapan, “saya hanya berminat dengan kebenaran, saya tak berminat dengan fakta. Saya ghairah membaca dan menulis bukan untuk menghafal fakta, sebaliknya saya ingin mencari makna, yang dengannya saya berdikit-dikit membina kehidupan saya yang lebih sempurna”. Tetapi nampaknya sekarang saya perlu menimbang semula ucapan tersebut. Ternyata fakta, data, angka, nota kaki, nama buku, nama pengarang, dan lain-lain yang sebangsa ada juga bahagian dalam upaya untuk meggapai sebuah kehidupan yang bermakna. Nah, untuk meyakinkan orang, untuk tujuan dakwah, perlu bijak mendaftar fakta. Sebabnya tanpa fakta orang susah nak percaya! 

Khamis, 31 Mei 2012

Andai Baginda






“Kurniaan Allah swt boleh didapati dengan melihat, iaitu melihat orang-orang soleh (al-madad fil asyhad)”

“Sahabat nabi saw, Ubai bin Kaab berselawat kepada baginda saw setengah daripada hidup beliau”

“Akhlak adalah mulia. Namun Nabi saw lebih mulia lagi daripada akhlak, kerana, tujuan baginda saw dating ke dunia ini ialah untuk menyempurnakan akhlak. Dan Allah swt sendiri mengakui kemuliaan Nabi Muhammad saw. Mengapa kita jarang memuliakan baginda?”

“Akhlak itu benda dalaman insan, yang akan terkeluar sendiri tanpa perlu difikir. (al-Ghazali)”

“Orang yang marah ni muka dia hodoh. Macam setan. Sungguh! Cuba tengok muka orang yang sedang marah..”

“Kita ni boleh mengaku kita anak murid seorang syeikh, tetapi adakah syeikh itu akan mengaku kita ni anak murid beliau??”

“Seorang isterilah yang paling tahu tingkahlaku seseorang.. Pabila Sayyidatuna Aisyah rha sendiri menyebut bahwa akhlak Nabi saw adalah al-quran ketika ditanya tentang itu, maka, ini menunjukkan betapa luhurnya akhlak Baginda saw walaupun di dalam rumah yang tersembunyi daripada ramai”

“Nabi Muhammad saw suka sangat pada kanak-kanak. Baginda saw, selepas tamat perang sebelum pulang ke rumah, pergi bermain-main dahulu dengan kanak-kanak. Baginda saw juga memuliakan binatang.. Baginda saw pernah memberi kurma kepada seekor kambing.”

“Nabi saw tak pernah berkata ‘tidak’ apabila orang meminta. Baginda saw akan berusaha berhutang dengan sesiapa untuk memberi duit tersebut kepada orang yang meminta daripadanya”


(Sebahagian petikan bicara Ustadzuna Al-Ustadz Muhadir bin Joll di Darul Quran bertajuk Lau Kaana Bainaan al-Habib)